Rabu, 24 Mac 2010

UBAH RUKUN NEGARA DARIPADA 'TUHAN' KEPADA 'ALLAH'?

Penulis sebenarnya agak keberatan nak berikan komen isu ini memandangkan penulis amat menghormati Tok Guru Haji Hadi (TGHH) sebagai salah seorang tokoh ilmuan Islam. Bagaimanapun pandangan seseorang ulama tak sentiasanya tepat, adakalanya ia kurang tepat...yang benar semestinya hanyalah al-Qur'an dan al-Sunnah. Semoga Allah SWT merahmati beliau, parti pimpinannya dan pendirian-pendiriannya.

Bagi penulis, Rukun Negara hanyalah satu ideologi kebangsaan yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat negara ini, sesuai dengan latarbelakang ia diwujudkan iaitu untuk mengatasi punca peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Antara kaedah berkesan yang difikirkan adalah mencari titik yang boleh dipersetujui bersama oleh seluruh rakyat Malaysia. Maka rukun yang pertama menyebut kepercayaan kepada tuhan, iaitu menganuti dan mengamalkan agama mengikut kepercayaan masing-masing. Ia bukan bermakna kita mengiktiraf agama lain tetapi kita mengiktiraf KEWUJUDAN kepelbagaian penganut agama di dalam negara ini. 

Pada fikiran penulis, prinsip ini sesuai dengan fasa 2 dalam Piagam Madinah ketika membahaskan tentang hubungan antara umat Islam dan bukan Islam. Piagam itu menyebut "kaum Yahudi Bani 'Auf adalah SATU UMAT dengan orang mukmin. Bagi Yahudi agama mereka dan bagi orang Islam agama mereka". Atau dalam nas Arabnya:-
أن يهود بني عوف أمة مع المؤمنين، لليهود دينهم، وللمسلمين دينهم

Kalimah SATU UMAT di sini tentu sekali tidak dimaksud oleh Rasulullah SAW bahawa kita dan golongan Yahudi adalah termasuk dalam satu golongan yang samatarafnya di sisi Allah SWT. Oleh kerana itu Rasulullah SAW menjelaskan pula selepasnya bahawa bagi kita agama kita dan bagi mereka agama mereka. Jadi, apa yang dimaksud di sini adalah semangat kebangsaan @ nasionalisma antara kita dan bukan Islam sebagai rakyat sebuah negara melangkaui perbezaan agama. Di sini wujud persamaan dengan apa yang ingin diterapkan dalam Rukun Negara.

Tetapi jika kita ubah kepercayaan kepada tuhan kepada kepercayaan kepada Allah, penulis tidak pasti adakah ideologi kebangsaan atau ideologi keagamaan yang akan terbentuk? Jika jawapannya ideologi kebangsaan, benarkah tekaan itu? Kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bukan sahaja agama sawami spt Islam & Kristian tetapi juga agama paganisme spt Hindu & Buddha serta agama yang berkonsepkan animisme & dinimisme spt yg dipercayai oleh orang asli dll.  

Tetapi jika jawapannya yang akan terbentuk adalah ideologi keagamaan, maka bersedialah untuk kita menerima konsep 'kesamarataan agama' @ pluralisme agama. Mengapa? Ini kerana jika kita menerapkan Allah sebagai tuhan semua rakyat tanpa mengira apa jua kepercayaan yang dianuti oleh rakyat negara ini, maka bersedialah untuk menerima hakikat bahawa slogan 'Allah adalah tuhan sekalian  agama!'. Jika Allah adalah tuhan sekalian agama apalagi yang eksklusifnya bagi umat Islam hatta pertukaran ke agama lain pun tak perlu dirisaukan kerana tuhan agama lain itu juga sama. Ini adalah bahana apabila Rukun Negara itu berubah menjadi ideologi keagamaan. Oleh itu, biarlah ia kekal menjadi ideologi kebangsaan sebagaimana awal mula ia digagaskan.

Isu ini sebenarnya  perlu kepada pemahaman yang mendalam kerana ia berkait rapat dengan pemikiran dan ideologi. Kita  tidak menolak konsep universal Islam kerana memang segala-gala di alam ini adalah ciptaan Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh menisbahkan perkara yang Dia tidak sandarkan kepada Zat-Nya seperti mengatakan Allah Tuhan sekalian agama kerana Allah hanya menisbahkan Dia sebagai Tuhan kepada agama Islam. Fahaman yang mempercayai Allah sebagai tuhan sekalian agama ini adalah berdasarkan falsafah sesat transcendent unity of religions.  

Seperti juga Rukun Iman, mana mungkin kita memaksakan umat lain untuk menerima rukun iman hanya kerana negara ini adalah negara Islam! Bagi penulis apa yang penting adalah kita mengukuhkan kedudukan Islam sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan negara. Itu lebih penting kerana itu adalah undang-undang tertinggi negara melambangkan 'title' sebenar sesebuah negara itu sama ada Islam @ tidak. Jika hari ini, hukum sebat syariah telah mula dilaksanakan tetapi dengan kadar yang terhad kepada 6 sebatan, mengapa ahli-ahli parlimen tidak bahaskan supaya dibuat pindaan agar kadar sebenar sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an dapat dilaksanakan?

Akhirnya, lupakanlah isu remeh temeh spt ingin meminda Rukun Negara, malah kalau bukan kerana peristiwa 13 Mei, boleh jadi Rukun Negara pun tidak ada...lagipun isu kalimah Allah yang ditimbulkan oleh Herald bukan berpunca daripada keinginan mereka ingin menggunakan kalimah tersebut sebagai satu teologi yang disepakati bersama oleh semua Katolik, tetapi ia hanya terjemahan kepada God utk versi Melayu, adapun versi-versi bukan Melayu masih kekal dalam bahasa masing-masing dan langsung tak guna Allah...inilah satu AGENDA seperti kata paderi lawrence, tapi kita umat Islam terus berbalah meleret-leret sesama sendiri tanpa memahami isu sebenar..

Wallahu a'lam..

Himpunan Artikel