Selasa, 8 Disember 2009

PROJEK SENTUH (SEKSUALITI DAN TUBUH) TAJAAN SISTERS IN ISLAM


Nampaknya SIS terus menerus mencabar kedudukan mereka DALAM agama Islam. Mereka sebenarnya bukan mencabar institusi agama atau pihak berkuasa agama tetapi mencabar aqidah yang ada dalam diri mereka sendiri. Mereka menamakan diri sendiri sebagai Sisters In Islam maknanya Wanita Dalam Islam tetapi nampaknya perjuangan mereka langsung tak selari dengan seruan Islam. Adakah SIS mau tukar jadi Sister Out of Islam. Itu SIS kena jawab sendiri.


Terbaru, SIS dan pertubuhan-pertubuhan wanita liberal yang lain telah menganjurkan satu kempen dinamakan Projek Sentuh (Seksuliti dan Tubuh) sebagai respon kepada apa yang dikatakan sebagai pelanggaran hak asasi manusia kepada pihak-pihak tertentu ke atas tubuh badan mereka sendiri. Lelaki nak jadi wanita, wanita nak jadi lelaki, perempuan keras ke, lelaki lembut ke, lelaki nak kawin lelaki ke, perempuan nak kawin perempuan ke..itu semua hak asasi!! Kalau berdosa pun, mereka kata 'that is their personal sin'...kubur lain-lain, dosa masing-masing tanggung..Subhanallah..beginilah jadinya bila perjuangan Hak Asasi Manusia dah jadi kalimah wahyu yang tak boleh dipertikai dan ditegur..

Apapun, penulis ingin sekali mendengar komen SIS berkenaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang menegah daripada perbuatan serupa menyerupa lelaki perempuan ni. Antaranya hadith riwayat al-Bukhari:

 عن إبن عباس رضي الله عنهما قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas r.a berkata: Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita”.  

Begitu juga hadith riwayat Abu Daud berbunyi:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة والمرأة تلبس لبسة الرجل

Maksudnya: “Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki”.

Adakah SIS juga ingin mengatakan Rasulullah SAW juga adalah pengacau hak asasi tubuh badan seseorang? Harap SIS dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya dapat menjawab.



Read more >>

Sabtu, 5 Disember 2009

HIZBUT TAHRIR HARAM BTN???


Penulis langsung tidak terkejut apabila keluar fatwa Hizbut Tahrir Malaysia yang mengharamkan BTN. Hakikatnya isu BTN bukan isu besar kerana ia hanya sekadar satu alat. Lihatlah siapa yang menggunakannya. Jika kandungannya baik dan digunakan untuk tujuan yang baik maka ia akan jadi baik tetapi jika sebaliknya, inilah yang terjadi. Tapi itu bukan perbincangannya di sini.


Apa yang ingin disentuh penulis ialah soal doktrin Hizbut Tahrir itu sendiri. Kumpulan ini memang terkenal dengan perjuangan mereka menegakkan khilafah Islam di dunia. Setiap muslim yang memahami Islam dengan baik, sudah tentu tidak akan membantah sesiapa jua yang ingin menegakkan khilafah Islam di dunia ini. Malah kewujudan gerakan-gerakan Islam yang banyak menunjukkan betapa wujudnya segolongan umat yang masih komited bagi meneruskan perjuangan mengembalikan Islam sebagai 'kuasa dunia'.


Bagaimanapun, perjuangan menegakkan khilafah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengkafirkan pemimpin Islam dan seluruh umat Islam termasuk ulama, mufti dan sesiapa sahaja yang dituduh sebagai terlibat dengan sistem kuffar. Malah parti-parti politik Islam yang terlibat dengan sistem demokrasi seperti menyertai pilihanraya dan menjadi ahli parlimen juga dianggap kafir kerana telah meredhai sistem kuffar. Sesiapa yang mengkaji sejarah Hizbut Tahrir sudah tentu mengetahui bahawa antara punca pengasasnya keluar daripada Ikhwan Muslimin dan menubuhkan Hizbut Tahrir adalah disebabkan beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Ikhwan yg menerima sistem politik demokrasi selagi mana matlamat menegakkan syariat Islam boleh dicapai.


Lihat sahaja antara-kenyataan-kenyataan di dalam buku 'Islam, dakwah dan politik, Pustaka Thariqatul Izzah,2002' yang menjadi panduan usrah anggota Hizbut Tahrir:-


“Mari kita perhatikan penguasa-penguasa negeri Islam di antaranya adalah Jordan. Apakah mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ yang qat’iy kemudian mereka membuat hukum-hukum lain dari Barat atau Timur? Ya. Apakah mereka mengakui bahawa mereka meninggalkan hukum-hukum syara’ kemudian membuat yang lain berdasarkan keinginan mereka dan disertai sikap qana’ah (rasa menerima)? Ya. Maka mereka adalah kafir, dan tidak perlu ada kenyataan lain lagi. Hanya saja mungkin segelintir dari mereka bisa terhindar dari kekufuran, tetapi tidak dapat terhindar dari kefasikan dan kemaksiatan”. (hal. 91)


Sekarang cuba perhatikan anggota-anggota parlimen yang mereka sebut dengan dewan legislatif. Mereka telah mengadopsi perundangan-perundangan dan hukum-hukum yang jelas bertentangan dengan nas-nas Islam yang qat’iy, baik sumber mahupun penunjukkan maknanya. Mereka nyata-nyata mengadopsi kekufuran yang riil. Maka, setiap anggota parlimen yang mengeksposenya dengan bangga dan rida, serta mendorong pengambilan hukum dan perundangan-perundangan kufur, bererti jelas dia telah kafir”. (hal. 91)


Dan lagi...


"Apabila orang alim yang paling taqarrub ini mendorong secara langsung lahirnya perundangan-perundangan yang bertentangan dengan nas syara’ yang qat’iy baik sumber mahupun penunjukkan maknanya dan turut menghiasinya agar bisa diberlakukan. Maka orang alim (yang sebenarnya bodoh) adalah kafir, tanpa ragu-ragu sedikitpun. Sekalipun dia menjalankan puasa, salat, haji dan zakat, serta disangka (sebagai) seorang muslim. Dia adalah kafir-munafiq”.(hal.99)


Dan lagi...


Dari sini jelas bahawa majoriti penguasa kaum muslimin saat ini bukan lagi berbuat maksiat ataupun fasik sahaja. Mereka adalah kafir yang jelas-jelas kekufurannya. Yang telah mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa tinta dan lidah yang berusaha membersihkan para penguasa berserta sistem kufur yang mereka jalankan adalah tinta dan lidah yang dimiliki orang-orang munafiq dan kufur. Kekufuran mereka sangat nyata. Yang mengeluarkan mereka dari agama Islam. Jelas pula bahawa orang yang menerima para penguasa dan rela dengan sistem kufur yang mereka pratikkan adalah kafir. Kekufurannya jelas, telah mengeluarkan dirinya dari agama Islam” . (hal.99)


Bahkan mesti perangi pemerintah itu...


“Jadi dalam keadaan apapun berhukum dengan selain yang diturunkan Allah merupakan kekufuran yang amat jelas. Mafhum hadis tersebut (ala tuqatilhum ya rasulallah qala la ma sallu-ahmad) (qila ya rasulullah afala nunabizuhum bissaif faqala la ma aqamu fikum al-salat-malik) adalah agar mengambil alih kekuasaan dan memerangi dengan pedang terhadap orang yang melakukannya. Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa Islam memerintah untuk memerangi orang yang menerapkan (sistem) hukum selain Islam. Iaitu perintah memerangi penguasa tatkala jelas-jelas nampak kekufurannya. Termasuk dalam hal ini perintah memerangi para pemimpin yang tidak menegakkan salat, iaitu mereka yang tidak menerapkan (sistem) hukum berdasarkan apa yang diturunkan Allah. (hal. 117)
Angkat senjata dan bunuh pemimpin!!!


"Tidak hanya itu, syara’ bahkan melarang berhukum kepada selain yang diturunkan Allah, dengan larangan yang bersifat pasti. Itupun belum cukup, syara’ juga memerintah kaum muslimin untuk memerangi para penguasa, apabila mereka berhukum dengan selain syara’. Iaitu dengan mengangkat senjata di hadapan mereka ingat mereka kembali kepada hukum syara’". (hal. 117)


Pandangan Hizbut Tahrir yang mengkafirkan pemerintah Islam serta mereka yang dituduh terlibat dengan sistem kufur dengan alasan meninggalkan sistem/perundangan Islam adalah menyalahi ijma’ para ulama. Dalam hal ini Imam Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim:

وَأَجْمَعَ أَهْل السُّنَّة أَنَّهُ لَا يَنْعَزِل السُّلْطَان بِالْفِسْقِ ، وَأَمَّا الْوَجْه الْمَذْكُور فِي كُتُب الْفِقْه لِبَعْضِ أَصْحَابنَا أَنَّهُ يَنْعَزِل ، وَحُكِيَ عَنْ الْمُعْتَزِلَة أَيْضًا ، فَغَلَط مِنْ قَائِله ، مُخَالِف لِلْإِجْمَاعِ .قَالَ الْعُلَمَاء : وَسَبَب عَدَم اِنْعِزَاله وَتَحْرِيم الْخُرُوج عَلَيْهِ مَا يَتَرَتَّب عَلَى ذَلِكَ مِنْ الْفِتَن ، وَإِرَاقَة الدِّمَاء ، وَفَسَاد ذَات الْبَيْن ، فَتَكُون الْمَفْسَدَة فِي عَزْله أَكْثَر مِنْهَا فِي بَقَائِهِ


Maksudnya: "Dan Ahli Sunnah telah sepakat (ijma') bahawa pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan kefasiqan/kemaksiatan, adapun pendapat yang termaktub di dalam kitab-kitab fiqh daripada sesetengah sahabat kita bahawa ia dilucutkan, dan diriwayatkan juga daripada Mu'tazilah, ia adalah kesilapan daripada orang tersebut, malah menyanggahi kesepakatan ulama' (ijma'). Para ulama' berkata: Sebab tidak dibolehkan pelucutan dan haram menentang mereka adalah kerana menyebabkan timbulnya fitnah-fitnah, terjadinya pertumpahan darah, rosaknya hubungan persaudaraan, oleh itu, keburukan menggulingkannya lebih banyak daripada membiarkannya".



Lebih merugikan lagi..Hizbut Tahrir juga mengajak supaya ahli-ahli tidak terlibat dalam sebarang aktivit ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sosial di sebuah negara yang berhukum dengan sistem kufur atas alasan itu boleh membantu kerajaan tersebut untuk terus kekal memerintah dengan penambahbaikan yang dilakukan. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah menjatuhkan pemimpin kerajaan tersebut supaya mereka dapat digantikan dengan golongan yang dapat menukarkan sistem kufur kepada sistem Islam. Ini berdasarkan kenyataan yang diajar oleh pengasasnya dalam bukunya 'Manhaj Hizbut Tahrir fi al-Taghyir'.

Penulis ingin mengingatkan kepada pengikut-pengikut Hizbut Tahrir di Malaysia supaya menguasai Bahasa Arab dan membaca buku-buku karangan pengasasnya dalam bahasa asal. Bukan sekadar ikut-ikut dan semangat membabi buta tanpa memahami konsep perjuangan mereka. Mereka juga perlu membaca sejarah mengapa al-Nabhani keluar daripada Ikhwan dan bagaimana tokoh-tokoh di dalam Ikhwan pernah menasihatkan mereka supaya kembali kepada jamaah Ikhwan antaranya, al-Marhum al-Syahid Sayyid Qutb dll. Fikir-fikirkan juga apa sebenarnya kaedah yang ingin digunakan oleh Hizbut Tahrir untuk menegakkan 'khilafah' jika sistem politik berasaskan demokrasi yang ada sekarang dianggap kufur dan menggunakannya dianggap kafir? Perang? Revolusi? Inqilab? Guling? Jika sekadar tatsqif dan tarbiah..bukankah dalam jemaah-jemaah Islam lain juga wujud? Silakan dijawab oleh ahli-ahli Hizbut Tahrir... 

Sekadar itu dulu...wassalam...





Read more >>

Jumaat, 4 Disember 2009

HUKUM DOA LAKNAT KE ATAS ORANG MUSLIM YANG FASIQ @ AHLI MAKSIAT

Penulis bukan bermaksud untuk respon kepada isu yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, tetapi apabila isu tersebut berlaku, ramai yang bertanya tentang hukum melaknat orang Islam yang fasiq, zalim, ahli maksiat dan yang sewaktu dengannya.




Pertama sekali kita perlu memahami makna laknat, menurut Imam al-Qurtubi, laknat bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT dan ganjarannya malah membawanya ke neraka. (Lihat: al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Sahih Muslim, j.6, hal. 579) Menurut Ibn ‘Abidin yang menukilkan daripada al-Quhustani, dari segi syara’ jika laknat itu ditujukan kepada orang kafir ia bermakna jauh daripada rahmat Allah SWT tetapi jika ditujukan kepada orang Islam ia bermaksud menggugurkannya daripada darjat orang-orang yang baik. (Hasyiyah Ibn ‘Abidin, j.3, hal. 416)



Berbalik kepada persoalan laknat terhadap orang Islam yang fasiq dan ahli maksiat, jika ia bersifat umum tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama berdasarkan hadith-hadith yang banyak bagaimana Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah, pencuri, peminum arak, pemakan riba, penyambung rambut dengan rambut palsu dll. Hadith-hadith ini tentulah tidak ditujukan kepada orang kafir kerana mereka bukanlah mukallaf yang dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum taklif yang lima (wajib, haram, sunat dll)



Apa yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama ialah, adakah harus mendoakan laknat secara khusus kepada orang Islam fasiq @ ahli maksiat tertentu? Di sini penulis lebih cenderung kepada apa yang disebut oleh pengarang Hasyiyah kepada Nihayatul Muhtaj, katanya, “Adapun melaknat orang kafir atau orang Islam yang fasiq secara khusus, jika dilihat kepada zahir hadith ianya harus, namun al-Ghazali merujuknya sebagai haram, kecuali seseorang yang diketahui bahawa dia akan mati dalam kekufuran…). Kesimpulannya tiada sesiapa dapat menentukan seseorang yang ahli maksiat itu akan meninggal dunia dalam keadaan kemaksiatannya atau nanti akan diberi hidayah dan meninggal dalam keadaan bertaubat kepada Allah SWT.



Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pandangan yang tidak membenarkan doa laknat secara khusus kepada mana-mana orang Islam yang fasiq @ ahli maksiat. Apatah lagi sekiranya kefasiqannya itu tersembunyai dan tidak dapat disahkan dengan bukti yang benar dan nyata. Rasulullah SAW sendiri menyebut dalam hadithnya, diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a, ia berkata, "Rasulullah SAW pernah bersabda, 'Bukanlah seorang mukmin, yang suka mencela, suka melaknat, keji, lagi suka berkata kotor'," (Sahih, riwayat at-Tirmizi). Wallahu a’lam.


Read more >>

Khamis, 3 Disember 2009

PERIHAL TUN MAHATHIR MOHAMAD

Penulis bukanlah peminat no. 1 Tun tetapi sekadar berminat mengetahui tentang perkembangan semasa pemikiran Tun. Cara berfikirnya 'smart' dan suka menggunakan kaedah 'literal thinking' berbanding 'critical thinking' yg kadang-kadang menyebabkan cerita mudah jadi susah. Apa pun penulis tidak nafikan, 'sound bites' terbaru Tun amat menyentuh benak penulis. Tun memang still konsisten dalam memperjuangkan isu al-Aqsa dan Palestin. Arab kata 'sound bites' tu maknanya 'ta'liqat qasirah' tp walaupun komennya ringkas tapi amat sinis terhadap laporan media Malaysia yg bagaikan hanya pandai menceduk dari media Barat sehinggakan apa yg sebenarnya berlaku di Palestin tidak sampai ke pengetahuan umat Islam di Malaysia.

Tapi, bila Tun mula bercakap isu agama, itu yang menyebabkan penulis berasa kurang selesa. Terbaru, bila Tun menjadi antara penyokong terhadap perjuangan Dr. Asri. Lebih-lebih lagi bila Tun menulis pula tentang isu 'hukum Allah'. Kata Tun, betul ke semuanya itu hukum Allah? Mungkin soalan Tun ada persamaannya dengan perjuangan Dr. Asri yang mengajak kepada tajdid supaya umat Islam merujuk kepada nas bukan kepada mazhab yg kadang-kadang boleh memandulkan pemikiran. Sekilas pandang memang ada persamaannya pemikiran Tun dgn Dr. Asri.

Penulis teringat, dua tahun lepas ketika di Indonesia, penulis ada membeli buku bertajuk 'Islam Madzhab Tengah' diedit oleh Hery Sucipto. Buku ini ibarat sebuah jurnal yang mengumpulkan artikel-artikel pemikir Islam yang dikatakan berfahaman moderat dan sederhana. Antaranya termasuklah Tun. Tajuk tulisan Tun ialah 'Menjadi Muslim Fundamentalis'.


Apabila membaca artikel Tun, penulis dapat memahami bahawa memang Tun adalah pejuang al-Qur'an dan al-Sunnah tulin. Kata Tun, Islam menjadi pecah belah dari dulu hingga sekarang kerana berpunca daripada pelbagai tafsiran sehingga melahirkan banyak mazhab seperti Sunni, Syiah, Wahabi dll. Itu sebab Tun menyeru supaya kita kembali kepada 'AJARAN ASAL ISLAM TERUTAMANYA KEPADA AL-QUR'AN' kerana al-Qur'an itu tidak seperti hadith, al-Qur'an itu satu dan tidak berbeza-beza.


Begitulah pemikiran Tun apabila beliau bercakap soal agama. Malah slogan Tun untuk mengajak kembali kepada al-Qur'an & al-Sunnah itu juga sama dengan slogan yg dibawa oleh Dr. Asri. Persoalannya, samakah pemikiran kedua-dua tokoh ini? Wallahu a'lam...
Read more >>

Selasa, 1 Disember 2009

ANTARA REFORMASI ISLAM LIBERAL DAN TAJDID BEKAS MUFTI PERLIS


Artikel pernah diterbitkan oleh penulis di dalam laman blog Pemikir Islam, bagaimanapun kerana isu ini kembali menjadi panas semula, penulis siarkan di sini, kritikan penulis terhadap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ketika beliau menjadi Mufti Perlis...terserah kepada pembaca untuk menilai kritikan ini...

Salah satu buku bacaan penting pengikut Islam Liberal ialah buku Charles Kurzman berjudul Wacana Islam Liberal: Pemikiran Islam Kontemporari Tentang Isu-isu Global. Dalam buku tersebut Kurzman ada menyenaraikan nama-nama tokoh Islam Liberal termasuk tokoh reformis Islam seperti Muhammad Abduh, Yusof al-Qaradawi, Muhammad Natsir dan lain-lain. Walaupun pada hakikatnya mereka bukanlah pejuang Islam Liberal tetapi apa yang menjadi concern kepada Kurzman adalah, pemikiran-pemikiran mereka itu dianggap dapat mendokong gagasan Islam Liberal.


Hal ini seakan-akan mahu terjadi juga kepada Bekas Mufti Perlis (BMP). Barangkali sekiranya Kurzman mengedit karyanya untuk edisi akan datang, nama BMP pasti tercatat sebagai salah seorang daripada tokoh Islam Liberal itu. Walaupun BMP sebenarnya tidaklah sehebat al-Qaradawi atau Muhammad Natsir dalam membawa wajah Islam yang baru dan global, sebaliknya BMP pada pandangan penulis hanyalah seorang pejuang reformasi tradisional tempatan sahaja.

Tanggapan penulis bukanlah kerana penulis mahu mengkategorikan BMP ke dalam kelompok liberal tetapi cara pembawaan seseorang itu kadang-kadang dilihat sama, sekalipun tujuannya berbeza. Itu sebab diawal kemunculan BMP sebagai mufti, kumpulan terawal membuat sokongan terbuka terhadap beliau adalah Sisters In Islam. Antaranya, apa yang disebut Zainah dalam artikelnya bertajuk A refreshing chorus of voices’ di akhbar New Straits Times bertarikh 12 Januari 2007. Zainah menganggap kemunculan BMP sebagai kebangkitan semula suara-suara keadilan, kebebasan, rasional dan hak. Ia dilihat sebagai satu yang amat menguntungkan menjelang 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

Zainah mengimbas semula hujjah BMP yang mengatakan keperluan mengkaji semula pegangan-pegangan agama yang dibawa oleh golongan konservatif sebelum ini. Seseorang ulama itu walaupun seorang yang popular, ini tidak bermakna mereka itu maksum. Mereka boleh dikritik dan pandangan mereka boleh disemak semula. Perlakuan ulama yang masih bergantung kepada teks berusia ratusan dulu, sebenarnya tidak mampu menjawab segala persoalan semasa yang wujud pada hari ini.

Menurut Zainah lagi, ketika ini BMP diharap bakal menjawab pelbagai isu yang timbul pada tahun lalu, iaitu meliputi isu polisi moral, murtad, kongsi raya, diskriminasi wanita dan injil Melayu. BMP dinilai sebagai seseorang yang berpegang kepada keadilan, kebebasan, pejuang hak asasi dan kepelbagaian kepercayaan serta agama berdasarkan kefahamannya tentang Islam.

Zainah mengatakan sudah sekian lama kumpulan hak asasi dan wanita di Negara ini cuba mengetengahkan pendirian yang sama tetapi dituduh dengan anti-Islam, anti-Tuhan dan anti-Syariah. Tetapi untuk menuduh seorang mufti dengan sifat-sifat sedemikian adalah agak sukar.

Zainah juga mengatakan ramai di kalangan masyarakat sivil di Negara ini merasa cemburu dengan suasana yang terdapat di Indonesia, apabila ramai di kalangan para pemikir Islam mereka seperti Gus Dur, Nurcholis Majid, Prof. Azyumardi Azra, Rektor Universiti Islam Jakarta dan Prof. Amin Abdullah, Rektor Universiti Islam di Jogjakarta, bukan sahaja memimpin bahkan disediakan ruang dan perlindungan untuk perkembangan Islam yang progresif dan inklusif.

Zainah juga memaklumkan bagaimana sepupu rakan beliau, selepas membaca satu wawancara dengan BMP, telah mengambil keputusan bahawa sememangnya tidak ada hukuman bunuh untuk murtad sebagaimana yang dipercayainya sebelum ini. Oleh itu sekiranya seseorang itu berpegang kepada adanya hukuman bunuh untuk yang murtad, hudud, Negara Islam dan undang-undang Syariah, maka seorang yang lain pula hendaklah diberi kebebasan untuk berpandangan sebaliknya walaupun dia bukan merupakan golongan berpendidikan agama. Ini kerana seorang yang bergelar Syeikh Azhar sekalipun, beliau sebenarnya tidak boleh kebal daripada diserang atau dikritik oleh mana-mana individu lain.

Demikianlah kuatnya sokongan Zainah terhadap BMP di atas usaha tajdid yang cuba dilakukan oleh BMP. Persoalannya apakah agaknya parameter yang digunakan oleh Zainah sehingga BMP dinobatkan sebagai idola pemuda masakini!!!

Jika kita berbalik kepada teori ciptaan Kurzman, beliau memahami liberalisme Islam melalui ruang yang amat luas. Baginya adalah common sense bahawa setiap orang memiliki tekanan liberaliti yang berbeza dalam menyuarakan gagasan-gagasan pemikirannya. Yang terpenting adalah pemikiran-pemikiran mereka dapat memenuhi standard liberalisme Islam yang boleh diukur berdasarkan enam state of mind, iaitu sikap terhadap teokrasi, demokrasi, hak wanita, hak non-muslim, kebebasan berfikir dan berfikiran progresif.

Berdasarkan kriteria itu, sesiapa saja boleh dimasukkan ke dalam barisan Islam Liberal seandainya mereka memiliki state of mind yang jelas terhadap enam kriteria di atas. Nampaknya kelantangan dan kemunculan BMP secara mendadak dalam memperjuangkan isu-isu di atas telah memberi ’point’ yang banyak untuk dimahkotakan sebagai salah seorang pejuang liberalisme Islam. Lebih-lebih lagi bila BMP juga turut mempersoalkan slogan ’negara Islam-hudud PAS’. Ini seolah-olah menggambarkan BMP menolak konsep Islam politik. Sekaligus memberikannya markah liberalisme yang lebih tinggi kerana Islam Liberal teramat memusuhi konsep ’negara agama’ (teokrasi pada anggapan mereka).

Itu punca utama mengapa BMP dikatakan selari dan sekata dengan perjuangan Islam Liberal. Kedua, BMP secara terang-terangan mengisytiharkan peperangannya dengan golongan konservatif yang ada di negara ini. Jabatan-jabatan agama dengan seluruh ahli dan pengisiannya dianggap konservatif. BMP mengecam mereka dengan bahasa-bahasa yang berbau perlecehan, perlekehan, sindiran dan kadang-kadang sesuai digunakan untuk orang-orang bodoh seperti berakal lemah dan sebagainya. Gelaran yang biasa digunakan oleh BMP untuk golongan ini adalah konservatif. Seakan-akan inilah musuh utama BMP dalam perjuangan tajdid beliau.

Jika begitu, maka musuh BMP adalah benar-benar sama dengan musuh puak Islam Liberal. Kata Lutfi Assyaukani, dia melihat dua “musuh” utama Islam Liberal. Pertama, konservatisme yang merupakan musuh dalam sejarah yang telah ada sejak gerakan liberalisme Islam pertama kali muncul. Kedua, fundamentalisme yang muncul akibat pergeseran Islam dan politik setelah negara-negara muslim meraih kemerdekaannya.

Bagi puak liberal, konservatisme telah lama dianggap sebagai “ideologi” yang bertanggungjawab terhadap kemunduran dan keterbelakangan kaum muslim. Pandangan-pandangan konservatif selalu dianggap berbahaya kerana ia bertentangan dengan semangat pembaharuan dan kemajuan. Sejak gerakan kebangkitan Islam muncul di Mesir pada awal abad ke-19, konservatisme menjadi target utama para pembaharu muslim. Tokoh-tokoh seperti Rifa’at Rafi’ al-Thahtawi dan Ali Abd al-Raziq, baik secara radikal mahupun perlahan-lahan telah berusaha mengikis ajaran-ajaran konservatif. Begitu juga, tokoh-tokoh dari generasi selanjutnya, termasuk generasi pasca-67, seperti Hassan Hanafi di Mesir, Tayyib Tizzini di Syria, dan Mohammad Abid al-Jabiri di Maroko, mengisytiharkan perang yang sama terhadap konservatisme.

Pada hari ini pula, institusi yang mempertahankan Islam di Indonesia seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah dianggap sebagai pendokong kuat konservatisme oleh puak liberalisme Islam. Lihat sahaja, ketika fatwa MUI pada 2005 berkenaan pengharaman aliran pluralisme, liberalisme dan sekularisme dikeluarkan, puak-puak liberal tanpa segan silu telah mempertikai dan menolak fatwa tersebut secara mentah-mentah. Malah fatwa tersebut telah dipermain-mainkan sehingga ia menjadi bahan seminar dan buah mulut masyarakat awam yang akhirnya meragui kredibiliti institusi agama seperti MUI. Itulah bahana dan bahayanya tuduhan konservatisme apabila dilontarkan kepada ahli dan institusi agama.

Sekali lagi penulis tegaskan, penulis tidak bermaksud ingin memasukkan BMP sebagai pendokong Islam Liberal, tetapi dengan gaya dan cara yang ditampilkan oleh BMP penulis berkeyakinan tinggi aliran humanisme sekular yang memberi penekanan kepada kerasionalan, penolakan terhadap agama, dan kebebasan individu akan semakin kuat bertapak di negara ini. Bahkan perjuangan mereka untuk menolak autoriti agama dalam kehidupan individu akan semakin subur. Penolakan autoriti agama ini amat signifikan bagi mereka agar menjamin kebebasan berpendapat atau ijtihad yang dapat disesuai dengan matlmat liberalisasi Islam.

Tren seperti ini sebenarnya telah wujud di Malaysia seperti penulisan-penulisan berbau penghinaan terhadap golongan agama serta institusi agama. Kewujudan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan penulis, tajdid yang dibawa oleh BMP langsung tidak membezakan antara liberal dan Islam. Adakah apabila menjadi seorang Salafi, maka peperangan hanya ditujukan kepada puak konservatif semata-mata. Adakah BMP sengaja mewajibkan dirinya untuk menjadi seperi Za’ba, Hamka, Hassan Bandung, Abu Bakar Asya’ari untuk berdakwah pada zaman ini. Tidak bolehkah BMP bercakap dengan gaya zamannya sekarang?

Sedarkah BMP, di era manakah kita berada sekarang. BMP bukan bercakap dalam era sebelum merdeka atau pascamerdeka tetapi era globalisasi. Era kitab-kitab kuning sudah kurang ditelaah, tetapi kitab-kitab baru telah diberi ruang. Era ulama sudah berpadu dengan saintis dalam memutuskan keputusan. Era para huffaz telah menjadi professional. Era ulama sudah beramah-mesra dengan para wartawan, artis, karyawan dan pelbagai lagi. Adakah BMP sedar atau tidak sedar perkara ini. Jangan hanya tahu mengkritik tetapi faktanya tiada.

BMP sering menempatkan dirinya seolah-olah berada pada zaman sebelum merdeka. Ulama pada ketika itu amat konservatif dan ta’assub dengan pegangan mazhabnya. Tetapi benarkah ia masih berlaku pada hari ini? Atau pemikiran BMP yang ketinggalan zaman. Lihat sahaja betapa keputusan-keputusan fatwa pada hari ini yang tidak terikat hanya kepada satu mazhab, dalam soal mu’amalat, perbankan Syariah, perundangan dan kehakiman, isu-isu kontemporari dan sebagainya, kita menerima untuk merujuk kepada sesiapa sahaja termasuk pandangan daripada ulama Su’udi sekalipun. Apa yang penting hujjah dan fakta serta kesesuaiannya dengan prinsip Siyasah Syar’iyyah.

Akhirnya, penulis ingin menyimpulkan sekali lagi, tajdid yang ingin dibawa oleh BMP ini, hakikatnya adalah setakat reformasi tradisional tempatan semata-mata. Tiada sedikitpun agenda besar buat masa depan umat Islam.

Read more >>

SALAM ‘ONE MALAYSIA’ PENGGANTI SALAM?




Penulis agak tersentak apabila diajukan satu persoalan oleh Haji Mail tentang hal ini. Haji Mail bukanlah seorang ustaz atau lulusan pengajian Islam. Beliau hanyalah seorang bekas Pengurus Felda, namun kini menghambakan dirinya sepenuh masa mengimarahkan masjid di kampung penulis. Beliau melahirkan rasa kebimbangannya terhadap fenomena pihak media yang semakin gemar menyampaikan ‘salam satu Malaysia’ berbanding menyampaikan salam sebenar menurut Islam. Katanya, beliau tak akan teragak-agak untuk mengadu hal ini kepada Ketua Pengarah JAKIM. Penulis hanya menjawab, “Silakan tuan haji…”.



Sebenarnya, penulis sendiri tidak pasti adakah benar dakwaan Haji Mail bahawa pihak media termasuk pembaca berita RTM tidak lagi memberi salam Islam, sebaliknya hanya mengungkapkan ‘salam satu Malaysia’ setiap kali memulakan berita dan mengakhirinya. Penulis masih belum berkesempatan untuk meneliti hal tersebut, mungkin pembaca di luar sana boleh memberi maklum balas. Tetapi jika benar dakwaan itu, ini sudah tentu bertentangan dengan syiar yang ingin dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah supaya menyebarkan salam iaitu sekurang-kurangnya, “al-Salamu ‘alaikum”. Jika ungkapan ini dibaca bersama seperti, “al-Salamu ‘alaikum” dan “salam satu Malaysia”..penulis fikir ia tiada masalah, namun jika hanya menyebut “salam satu Malaysia” tanpa memberi salam yang sebenar, ini bakal membunuh syiar Islam itu sendiri!


Dalam Islam, ucapan salam adalah satu syiar khusus untuk menunjukkan persaudaraan yang jitu sesama umat Islam. Ia bagi menggantikan ucapan-ucapan yang pernah digunakan oleh masyarakat Arab sebelum itu. Selain itu ucapan salam juga menjadi isyarat untuk meminta izin memasuki rumah orang lain, pendahuluan ucapan dan sebagai rukun bagi mengakhiri solat. Malah, salam adalah ucapan sesama ahli syurga di akhirat nanti. Oleh itu, ia adalah satu syiar yang memiliki signifikan tertentu dalam agama Islam dan bukan sesuatu yang boleh diremeh-remehkan.


Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah memerintahkan kita untuk melakukan tujuh perkara, antaranya ialah menyebarkan salam. Ini menunjukkan ‘salam’ bukanlah sesuatu yang boleh diringan-ringankan tetapi ia termasuk suatu perintah. Bagaimanapun hukum memulakan salam menurut jumhur adalah sunat, berbeza dengan mazhab Hanafi yang mengatakan ia wajib. Adapun menjawab salam hukumnya adalah wajib kecuali sekiranya salam itu diberikan kepada ramai orang, maka menjadi fardhu kifayah kepada sebahagiannya sahaja untuk menjawab.


Kesimpulannya, jika benar dakwaan orang kampung penulis itu, penulis berharap perkara ini dapat diperbetulkan. Janganlah kerana keghairahan kita menyambut ‘gagasan’ kerajaan pimpinan PM baru, kita terlupa pula kepada petunjuk dan hidayah yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT dan Rasulnya SAW. Wallahul musta’an…
Read more >>

Ahad, 29 November 2009

HUKUM AGIH DAGING KORBAN KEPADA BUKAN ISLAM




Semasa berada di kampung baru-baru ini, seperti biasa penulis bertemu dengan ramai orang terutamanya adik beradik, ipar duai, orang kampung dan ramai lagi la..Macam biasa banyaklah perkara yang dibualkan, antaranya isu sedekah daging korban kepada bukan Islam. Sebenarnya, perkara ni kurang menjadi persoalan di kalangan orang-orang kampung. Maklumlah diorang tinggal dalam kalangan majoriti Melayu Islam, tetapi isu ini banyak berlaku di kalangan orang-orang bandar yang sesetengah berjiran kiri dan kanan dengan bukan Islam atau minoriti bukan Islam yang wujud sebagai sebahagian daripada komuniti di taman-taman dalam @ pinggir bandar.


Cuma, dalam menjawab persoalan ini penulis menemui kesukaran kerana terdapat di kalangan masyarakat yang agak keliru dengan kewujudan dua fatwa yang berbeza di dalam laman web e-fatwa JAKIM. Salah satunya fatwa yang membenarkan oleh JK Fatwa Negeri Perlis (lihat di sini) dan satu lagi keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang melarangnya (lihat di sini). Maklumlah, masyarakat pada hari ini memiliki maklumat hanya di hujung jari. Mereka boleh access kepada apa jua maklumat dengan begitu cepat sekali...


Bagi menjawab persoalan ini, penulis cuba merujuk kepada antara kitab utama bagi Mazhab Syafie. Apabila membelek-belek kitab ini, penulis menemui ucapan Imam Nawawi seperti berikut:


"Berkata Ibn al-Munzir: Ulama telah sepakat bahawa harus diberikan daging korban kepada org Islam yang faqir. Adapun ahli zimmah (bukan Islam), ulama berselisih pendapat mengenainya. Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Tsur membenarkannya. Imam Malik pula memakruhkannya, malah beliau memakruhkan memberi kulit binatang korban atau dagingnya kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya, dan beliau berkata: Jika dimasak dagingnya tidak mengapa kafir zimmi makan bersama. Ini adalah ucapan Ibn al-Munzir dan aku tidak menemui pandangan para sahabat kita (ulama dalam mazhab Syafie) mengenainya. Bagaimanapun kehendak umum (muqtadha) mazhab (memberi maksud) harus memberi mereka (bukan Islam) daging korban sunat, tidak korban wajib". (Nawawi, al-Majmu', Bayrut: Dar al-Fikr, 1997, j.8, hal.316)

Daripada penjelasan Imam Nawawi ini, kita dapat simpulkan bahawa isu mengagihkan daging korban kepada bukan Islam hanyalah isu cabang (furu') yang tidak perlu diperbesar-besarkan. Mungkin kaedah terbaik dalam menyelesaikan perbezaan pendapat ini adalah melihat kepada fatwa yang mana satukah paling menepati maslahah agama dan ummah pada ketika ini? Jika kefakiran masih menyelubungi majoriti orang Islam di satu-satu kawasan ibadah korban itu dilakukan, sudah tentu tidak wajar sama sekali daging korban tersebut diagihkan kepada bukan Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan seperti ibadah korban yang dilakukan di kawasan-kawasan bencana alam yang meliputi umat Islam dan bukan Islam, kebanyakan ulama muta'akhirin membenarkannya. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga adalah antara ulama yang membenarkan pengagihan daging korban kepada bukan Islam tetapi dengan syarat mereka itu hendaklah di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan seperti faqir miskin.

Selain itu, untuk berpegang kepada fatwa yang membolehkan perlu juga satu garis panduan yang jelas. Pertama, hanya melibatkan daging korban sunat, bukan korban wajib seperti korban nazar dsb. Kedua, sudah tentulah daging tersebut haram diberikan kepada golongan bukan Islam yang termasuk ke dalam golongan kafir harbi iaitu kafir yang memerangi Islam. Ketiga, hendaklah bukan Islam itu terdiri di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan iaitu faqir dan miskin. Keempat, tiada orang Islam yang lebih memerlukan berbanding golongan bukan Islam di dalam satu-satu kawasan atau daerah ibadah korban itu dijalankan. Wallahu 'alam.
Read more >>

Khamis, 26 November 2009

SELAMAT HARI RAYA KORBAN DAN JANGAN BERBALAH PULA!!!



Oleh kerana raya korban tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penulis ingin berpesan kepada sahabat-sahabat..jangan pula ada yang mencemarkan hari baik dan bulan baik ini dengan perkara-perkara khilafiyyah. Apa yang penulis maksudkan iaitu isu, sama ada gugur atau tidak solat Jumaat apabila telah menunaikan solat hari raya? Di sini penulis perturunkan fatwa Syeikh Abdul Majid Salim, Syeikh al-Azhar 1950-1952:



“Menurut Mazhab Hanafi sekiranya berkumpul solat hari raya dan solat Jumaat, maka tidak memadai salah satu daripada dua solat tersebut bahkan disunat atau diwajibkan kedua-duanya sekali. Ini kerana solat hari raya adalah sunat manakala solat Jumaat adalah wajib. Ini sebagaimana yang dipegang di dalam Mazhab Syafie. Bagaimanapun Mazhab Syafie memberi kelonggaran kepada penduduk kampung yang jauh dari masjid dan telah menunaikan solat hari raya untuk menunaikan solat Jumaat. Mazhab Maliki pula berpegang kepada wajib menunaikan solat Jumaat walaupun telah menunaikan solat hari raya pada hari tersebut.

Bagi Mazhab Hambani pula, sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya, maka gugur baginya kewajipan solat Jumaat kecuali imam”.

Bagaimanapun, Syeikh Abdul Majid Salim mentarjihkan pandangan Imam Ahmad yang mengatakan gugur kewajipan solat Jumaat kepada sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya. (Rujuk: Himpunan Fatawa al-Azhar)

Kesimpulannya, jangan pula pada hari Idul Adha yang mulia ini ada antara kita yang berbalah tentang hal ini. Yang jelas ia adalah masalah khilafiyyah semata-mata. Tidak perlu taksub dan fanatik terhadap satu-satu mazhab dan jangan pula sampai kedengaran tuduhan Wahabi dan macam2…

Bagi penulis..untuk berhati-hati dan ihtiyath, penulis lebih cenderung kepada Mazhab Syafie..Wallahu A’lam…


Kullu 'am wa antum bikhair..
Read more >>

Rabu, 25 November 2009

SITI HASNAH @ BANGGARMA???




Wallahu a'lam..hakikat sebenarnya tentulah hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Yg jelas adalah, kita memerlukan justifikasi yang berasaskan fakta & bukti. Itulah penilaian untuk menghukum sesuatu di dunia ini. Isu yang berlaku ke atas wanita India bernama Islam Siti Hasnah Vangarama Abdullah, semestinya menjadi satu pengajaran bagi pihak berkuasa agama berkenaan.


JKM mendakwa Siti Hasnah telah menganut agama Islam sebelum dimasukkan ke sebuah rumah kebajikan di Kepala Batas kira-kira dua dekad lalu. Beliau diislamkan sendiri oleh ibubapanya ketika dia berusia setahun. Bagaimanapun Banggarma mendakwa beliau hanya diislamkan ketika berusia 7 tahun iaitu ketika berada di rumah kebajikan tersebut.


Menurutnya peguamnya, sijil yang ada pada Banggarma menunjukkan dia memeluk Islam pada 28 Disember 1989 di hadapan pegawai-pegawai jabatan agama Islam. Hal ini menjadi satu tanda tanya kepada pihak Banggarma yang menganggap rumah kebajikan telah melanggar undang-undang kerana telah menukarkan agama seorang kanak-kanak sebelum mencapai umur 18 tahun. Penulis menjangkakan isu ini akan menjadi semakin panas apabila Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) turut membuat kenyataan menggesa S Banggarma dibenarkan menganut Hindu, dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Campur tangan pihak-pihak yg tidak berkenaan ini sudah tentulah akan mengeruhkan lagi suasana.

Perlu diingat, penubuhan MCCBCHST bukanlah hanya untuk mempromosikan kesefahaman dan perasaan hormat menghormati di kalangan penganut berbagai agama, tetapi matlamat utamanya ialah menjadikan badan itu sebagai forum atau jambatan bagi menyatakan hasrat dan kesangsian berkait dengan hal-ehwal kehidupan beragama kaum bukan Islam kepada pihak Kerajaan yang pada waktu itu telah melancarkan dasar penerapan nilai-nilai Islam (Islamisasi).



Pada tahun 2002 satu deklarasi telah dibuat oleh MCCBCHS yang dinamakan dengan Declaration on the Freedom of Religion or Belief and the Elimination of ALL Forms of Intolerance and of Discrimination based on Religion or Belief, dipetik sebahagiannya seperti berikut:


ARTICLE I (1)


"Everyone shall have the right to freedom of thought, conscience suara hati and religion. This right shall include freedom to have or to adopt or to change one's religion or belief of one's choice, and freedom, either individually or in community with others and in public or private, to manifest mnyatakan one's religion or belief in worship, observance, practice and teaching".

Oleh yang demikian..penulis amat bimbang sekiranya kes Siti Hasnah berpenghujung dengan apa yang terjadi kepada kes Fatimah Tan, iaitu mahkamah membenarkan beliau keluar daripada Islam tanpa sebarang hukuman & tindakan. Yg lebih membimbangkan, akan wujud generasi akan datang mula memahami..ohhh..rupa-rupanya Islam itu bebas terbuka..sesiapapun boleh masuk & keluar Islam bak menukar baju...Wallahul musta'an... 
Read more >>

Rabu, 18 November 2009

TAMADUN YANG MENUMBANGKAN TAMADUN?

Bagi merehatkan sedikit fikiran yang telah 'dihenyak' dengan pelbagai perkara baru tentang internet dan ICT, penulis mengambil peluang berada di Terengganu untuk melawat Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man. Maklumlah, kalau dah terlalu lama sgt berada dalam bilik mesyuarat yg sejuk, ditambah pula dengan bahan2 yg berat...bilik hotel pun sejuk..mau stress dibuatnya kepala ni..Jadinya sekali-sekala kena juga buat rombongan macam zaman budak-budak sekolah dulu. Dipanggil lawatan sambil belajar.. bukan makan angin...

Memang tempat ini cukup menarik kerana kita dapat melihat banyak replika-replika masjid tersohor sepanjang tamadun Islam ini terbina. Tetapi penulis tidak pasti adakah 'membina replika dengan harga ratusan juta ini juga termasuk salah satu cara untuk membangunkan tamadun Islam?' Yg itu...pembaca perlu menilai dan menjawabnya sendiri..

Menurut maklumat wikipedia, taman ini dibina dengan kos keseluruhan mencecah RM249.3 juta..bagaimanapun ada sumber lain yang mempertikaikan dan mengatakan ia hanya bernilai RM143 juta..jadi ke mana pergi lebihan lagi RM100 juta itu? Wallahu 'Alam...Apa pun, bagi penulis pembinaan taman ini tidak mengubah dan menyumbang apa-apa buat rakyat dan agama Islam di Terengganu..tetapi ia hanya sekadar hiburan untuk menambah lagi tempat-tempat pelancongan di negeri itu. Itu je..


Replika Masjid al-Aqsa


Replika 'batu' tempat Rasulullah SAW berpijak dlm al-Aqsa pun ada jugak!!

Masjid Kristal yang bernilai RM30 juta..

Tiada solat Jumaat dibuat di sini, kalau ada pun siapa yang nak solat di sini? Pulau Wan Man ini sebenarnya tidak berpenghuni sebelum wujudnya projek Tamadun Islam ni kerana ia asalnya adalah kawasan Hutan Nipah..Wallahulmusta'an... 
Read more >>