Pada Isnin lalu, penulis hadir ke program Seminar Islam Agama Persekutuan di IKIM. Jika lihat kepada web IKIM, seminar ini dianjurkan buat orang bukan Islam dan golongan korporat. Penulis hanya mengetahuinya melalui SMS yang dihantar oleh salah seorang pembentang dalam seminar tersebut, Tn. Haji Naser Disa, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara. SMS tersebut menggalakkan orang Islam hadir supaya memberikan sokongan kepada panel yang membentang. Malangnya apabila sampai di IKIM, setakat yang penulis nampak, tidak pula kelihatan muka-muka bukan Islam, namun mungkin mereka hadir tanpa pengetahuan penulis.
Apa yang menarik perhatian penulis adalah ketika sesi soal jawab. Seorang audien bangkit dan mengajukan persoalan berikut, "Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas golongan eksekutif (pemerintah) yang memberi peruntukan dan tanah untuk bukan Islam mengembangkan agama mereka?"
Terdahulu, dua orang panel cuba menjawab persoalan ini, namun jawapan paling konkrit adalah apa yang diberikan oleh Tn. Haji Naser, beliau dengan tegas dan tanpa teragak-agak menjelaskan bahawa ketika penggubalan Rukun Negara pada 1970, satu perenggan telah dicadangkan supaya disebut, "walaupun Islam adalah agama rasmi (persekutuan) tidak bermakna menghalang kerajaan untuk membantu agama-agama lain untuk membangunkan agama-agama mereka". Apabila perkara ini dibawa kepada Tun Salleh Abas sebagai Peguamcara Negara pada masa itu, ayat yang menyebut "tidak salah kerajaan untuk membantu agama lain membangun agama mereka", ditolak kerana menyalahi peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 12(2) yang hanya membenarkan kerajaan untuk memperuntukkan wang kepada agama Islam sahaja. Bermakna kerajaan tidak boleh untuk menggunakan wang daripada consolidated fund untuk dibelanjakan bagi tujuan agama-agama lain. Jika mahu dibelanjakan juga ia memerlukan express provision lain yang menyebut agama-agama bukan Islam, tetapi yang ada hanya untuk agama Islam sama ada bagi negeri atau persekutuan. (Lebih kurang skripnya, rekod kenyataan masih disimpan penulis)
Dalam hal ini, penulis melihat semakin ramai ahli politik Melayu Islam berstatus 'pemerintah', di negeri atau persekutuan, kerajaan mahupun pembangkang, yang kian hanyut hingga TERLANGGAR PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN ini. Jika masih ingat, suatu ketika dahulu ahli-ahli politik sibuk membicarakan soal siapakah yang lebih islamik? Kini, zaman sudah berubah, orang-orang politik sibuk menonjolkan diri untuk menunjukkan siapa lebih demokratik? Siapa lebih liberal? Inilah penangan pejuang-pejuang civil society ala demokrasi liberal Barat (CSDLB). Pengamatan penulis, ketika ini, golongan CSDLB wujud dalam semua parti Melayu Islam. Kalau dulu, kita mungkin sedikit lega apabila dalam isu Islam, ada sebuah Parti Islam yang sentiasa menjadi check & balance kepada kerajaan. Tapi kini, dalam isu demokrasi dan liberal, masing-masing ingin tunjuk jaguh hingga tiada parti yang benar-benar boleh diharap untuk lakukan check & balance. Di sinilah tanggungjawab memelihara agama perlu dikembalikan kepada agensi agama yang memikul amanah YDP Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Sebab itu, penulis sangat teruja dengan penjelasan Tn. Haji Naser, ia sangat tepat pada masanya. Jika nak disorot, lihat beberapa fakta ini…
Di Selangor
Dalam tahun 2010 sahaja sebanyak Kerajaan Negeri telah habis membelanjakan seluruh RM 3 juta untuk membaik pulih serta membiayai upacara sembahyang. Kebanyakan peruntukan tersebut telah dibelanjakan untuk kuil-kuil hindu. Selain itu, Jawatankuasa Rumah Ibadat untuk agama dan kepercayaan selain Islam telah meluluskan 103 permohonan tanah untuk rumah ibadat, daripadanya 56 adalah Kuil hindu. Lihat sini
Di Perak
Semasa lawatan itu, Zambry turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kuil Subramaniar pada tahun ini. Lihat sini
Di Kelantan
Lebih 2,000 penduduk kaum India di Ladang Kerilla, dekat Tanah Merah, gembira dengan peruntukan RM100,000 daripada kerajaan pusat bagi membesarkan dewan kuil Sri Maha Mariamman demi memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun. Lihat sini
Di Sabah
Masyarakat Murut di Sabah hari ini mendapat hadiah istimewa iaitu peruntukan RM3 juta bagi membina sebuah dewan besar untuk kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan anjuran Pelayanan Persekutuan Murut Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah. Lihat sini
Menjelang pilihanraya umum ke-13 ini, mungkin lagi banyak peruntukan-peruntukan luar bajet akan diumumkan untuk membiayai pembinaan atau pembaikan rumah-rumah ibadat bukan Islam menggunakan wang persekutuan atau negeri. Soalnya, adakah perkara ini tidak diketahui oleh badan eksekutif pimpinan Melayu Islam bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan? Atau sengaja didiamkan untuk tujuan meraih undi? Atau memang telah terpengaruh dengan prinsip-prinsip kesamarataan CSDLB, hukum hakam Islam bukan lagi jadi penilaian? Cukuplah setakat ini. Lihat artikel lama penulis di sini. Wallahu a'lam.