Khamis, 15 Oktober 2009

Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa di Kaherah Mesir



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berjaya mengadakan Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa Bagi Tahun 2009 selama tiga bulan bermula dari 26 April 2009 hingga 26 Julai 2009, bertempat di Bangunan Masyiyakhah al-Azhar, Kaherah Mesir.

Kursus tersebut telah disertai oleh 13 orang peserta terdiri daripada para pegawai JAKIM, Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Jabatan Mufti Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Perak, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).



Para peserta telah dibentangkan dengan 11 subjek kursus iaitu Aqidah dan Ijtihad, Usul al-Fiqh, Fiqh Muqarin, Qadhaya Mu’asirah, Thaqafah Fiqhiyyah, ‘Ilm al-Mawarith, Iqtisad Islami, Lughah ‘Arabiyyah, al-Balaghah fi al-Qur’an, Tajwid al-Qur’an dan Funun al-Fatwa. Para peserta turut didedahkan dengan praktikal fatwa bersama ahli Lajnah Fatwa bi al-Jami’ al-Azhar di Masjid al-Azhar.

Antara pembentang subjek kursus tersebut adalah Syeikh al-Azhar sendiri, Fadhilat al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Wakil al-Azhar (Timb. Syeikh al-Azhar) Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘Allam dan bekas Rektor al-Azhar merangkap Ketua Lajnah Fiqh di Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar, Prof. Dr. Abdul Fattah al-Syeikh.




Sepanjang kursus berjalan, para peserta telah berpeluang mengadakan perbincangan bagi mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada masyayikh al-Azhar berkenaan isu-isu yang sedang melanda Malaysia khususnya serta dunia Islam amnya. Antara isu-isu yang sempat diutarakan iaitu isu penggunaan kalimah Allah bagi penganut bukan Islam, pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, murtad dalam kalangan mu’allaf, pemboikotan barangan Amerika dan Israel, perebutan mayat orang Islam dengan bukan Islam, khitan wanita, kedudukan anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, menunaikan ibadat haji ketika penyebaran wabak H1N1, pengharaman kumpulan Islam liberal dan pelbagai isu lain yang meliputi bab aqidah, fiqh ibadat, munakahat dan mu’amalat.