Seram tengok gambar ini? Bermakna anda salah seorang yang takutkan hantu |
Soalan:
Adakah
hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan
manusia yang masih hidup.
Hantu dalam masyarakat
Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa
yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal
daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum
selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara
jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah
hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada
sesetengah orang Melayu menggunakan istilah 'roh kembali' terhadap beberapa
fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin
drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama
mereka.
Dalam Islam, hantu
seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak
wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan al-Sunnah didapati apa
yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan
roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan.
Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman
yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara
jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya.
Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada
Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56: “Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepada-Ku”.
Begitu
juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang
asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman
kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis;
ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah
Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang
mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim;
pengganti yang mereka pilih itu”.
Manakala
firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat
jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman
Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan
sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia
menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada
mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya
melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya
Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang
tidak beriman”.
Bagaimana
Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?
Walaupun,
pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan
kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa
tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia
Al-Qadhi
Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan
bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah
boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana
jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut
Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain.
Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan
maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau
melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang
lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya
sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke
bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya.
Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal.
19.
Diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar
al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah
bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT mula-mula. Namun mereka
mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian.
Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka”. Al-Hafiz Ibn
Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).
Adakah
hantu boleh memudaratkan manusia?
Seperti
yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang
dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah ditanya
tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang sihir daripada
kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan). Namun
begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam
Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada
wabak penyakit, kesialan, dan hantu”. Diriwayatkan oleh Muslim (14/217
dengan Syarh al-Nawawi).
Apabila
Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah
bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin
menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat
kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan
bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir.
Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan
mereka.
Imam
al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab
meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan salah satu jenis
syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan
mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan.
Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka
tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk
menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau
keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain
lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa
ghuula), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith
yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang
sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang
sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang
dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih
Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.
Ini
menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali
mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat
adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW
mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an
seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri
kita daripada gangguan jin dan syaitan.
Perlukah
takut kepada hantu?
Seperkara
yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang beriman kepada Allah
SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Kerana
itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula yang takut kepada jin
atas dasar takut kepada hantu.
Diriwayatkan
oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat
pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti kanak-kanak di
hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke
balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak kembali lagi setelah
kejadian itu”. Aakam al-Marjan, hal. 137.
Mujahid
berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun
takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari Mujahid, beliau berkata:
“Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di antara kalian. Apabila ia
menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga akan
menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian kepadanya, nescaya ia
akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.
Al-Hafiz
Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah
menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan
kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan
senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam
bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga
selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali
menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga
mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya
lagi”. Aakaam al-Marjaan, hal. 166.
Menerusi
riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak
pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan
syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa
dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian
mukmin.
Kesimpulannya,
sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara ghaib. Oleh
itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan
terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan
berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah perkara-perkara
ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita
apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahu a’lam.
(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)