Isnin, 5 September 2011

Buat Syiah yang memperlecehkan para sahabat

Penulis tidak punya kesempatan yang banyak untuk menelaah secara detail empat buku Syiah yang cuba diedarkan ke seluruh negara. Cuma, melalui bacaan rambang, penulis dapati buku-buku tersebut penuh dengan kutukan dan perlecehan terhadap sahabat-sahabat besar Baginda SAW. Insya-Allah dalam tempoh terdekat satu wacana ilmiyyah untuk membincangkan buku-buku Syiah tersebut akan diadakan. 

Bagaimanapun, bagi menjawab tohmahan golongan Syiah (dan yang sealiran dengannya) terhadap para sahabat, penulis merasakan adalah memadai dengan menyertakan bersama-sama ini rakaman perbincangan antara penulis dengan al-marhum Syeikh al-Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Tantawi di pejabat beliau pada tahun 2009. Penulis pada awalnya bertanyakan al-marhum berkenaan segelintir daripada gol. Ahli Sunnah yang memperleceh dan mempertikaikan Sayyidina Mu'awiyah, lalu persoalan ini dijawab oleh al-marhum secara panjang lebar. Apa yang cuba dijelaskan oleh al-marhum adalah, persoalan tentang para sahabat Nabi SAW hendaklah dikembalikan kepada al-Qur'an dan al-Sunnah, bukan kepada kitab-kitab sejarah yang mempunyai pelbagai versi.

Apa yang penting, sorih al-Qur'an (dengan jelas) telah mengiktiraf golongan para sahabat, malah Allah SWT telah redha kepada mereka sebagaimana mereka redha kepada Allah, dan mereka telah dijanjikan dengan syurga di akhirat. Adapun apa yang berlaku kepada mereka maka ianya hendaklah dikembalikan kepada Allah SWT semata-mata dan kita tidak dibenarkan sama sekali untuk menjadi hakim atau pengadil dalam fitnah-fitnah yang berlaku. Inilah sebenarnya dasar yang dipegang oleh gol. Ahli Sunnah wal-Jamaah dalam persoalan sahabah r.a.h. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 100 :

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ  

"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar".

Bagi mengetahui secara lanjut, dipersilakan mendengar rakaman perbincangan tersebut di sini (dalam Bahasa Arab). Mohon ustaz-ustaz yang mendengar rakaman ini menterjemahkannya kepada murid @ jemaah masing-masing. Wallahu a'lam.