Sedih bila tengok pelbagai komen daripada orang Melayu-Islam tentang isu yang berlaku di Dream Centre DUMC baru-baru ini. Ada yang beri komen tanpa mengetahui hujung pangkal. Ada juga yang komen JAIS lebih untuk jaga 'kepentingan peribadi' kerana 'kes' tertentu. Kadang-kadang bila kita nak menunjukkan kita ini terlalu toleransi atau kononnya Islam itu agama yang teraaamat 'demokrasi', maka lagak kita lebih dari 'orang putih' yang mengasaskan demokrasi di Barat itu.
Akibatnya adalah amat memalukan apabila ada Melayu-Islam yang menjadi pembela membuta tuli PUSAT PENYEBARAN KRISTIAN di Petaling Jaya yang berselindung di sebalik nama pusat komuniti 'Dream Centre' dan pertubuhan kebajikan 'Harapan Komuniti'. Bagi penulis apabila membaca misi DUMC yang menyebut "TO EVANGELISE THE KLANG VALLEY...", itu sudah cukup menjadi bukti bahawa ini adalah kumpulan Kristian Evanglis yang memang terkenal di seluruh dunia dengan aktiviti-aktiviti penginjilan dan missionary terhadap penganut agama lain. Sama seperti kumpulan evangelist yang lain, matlamat utama mereka adalah untuk menyampaikan ajaran bible kepada seluruh umat manusia.
Apa yang perlu diketahui, kumpulan evangelist bukanlah sebodoh itu untuk menunjukkan aktiviti penginjilan mereka terhadap agama lain, lebih-lebih lagi penganut Islam! Itu sebab kebanyakan kumpulan evangelist tidak akan meminta mana-mana penganut agama yang berjaya di'baptis'kan atau di'convert'kan semudah itu untuk menukar personaliti atau identiti diri mereka. Bermakna; nama, pakaian, budaya dan cara beragama luaran akan terus nampak kelihatan Islam. Jangan terkejut, mungkin mereka yang sedang sama-sama berpuasa dan bersolat hari raya dengan kita itu sebenarnya bukan muslim lagi, tetapi mereka itu sebenarnya adalah kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Melayu Muslim"! Bahkan memang pun di peringkat dunia sudah wujud konferensi bagi kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Muslim", siap dengan pastor di kalangan mereka sendiri!
Inilah yang telah berjaya dilakukan oleh kumpulan evangelist Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak (yang kini telah tersebar ke seluruh semenanjung). Ketika penulis melakukan kajian di Lawas dan Limbang, dapat dilihat dengan jelas bagaimana penduduk pribumi di sana telah berjaya diubah kepercayaannya tanpa sedikitpun menyentuh budaya mereka. Lihat sahaja nama-nama yang digunakan, masih kekal kelihatan Melayu-Islam-nya (Idris Jala sebagai contoh), pakaian wanitanya seperti berbaju kurung ke gereja dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di gereja termasuk menggunakan kalimah Allah. Apa yang dilakukan oleh gol. evangelist hanyalah mengubah konsep Allah dari ESA kepada Allah sebagai God The Father dan Jesus sebagai anak-Nya.
Harapan penulis, janganlah ahli-ahli politik dan tokoh tertentu dari kalangan Melayu-Islam terlalu jahil tentang misi dan visi golongan evangelist ini. Al-Qur'an sendiri telah memberi peringatan dan amaran dalam surah al-Baqarah ayat 120 bahawa Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda terhadap Islam hinggalah kita menjadi pengikut agama mereka. Pertahankanlah maruah Islam lebih daripada kita mempertahankan maruah diri dan parti. Janganlah kerana "politik ambil hati orang kafir" yang melampau, parti kita menang tapi akidahnya tergadai...
Wallahu a'lam.