Selasa, 14 Jun 2011

Hati-hati dengan karpet sejadah tertentu

 
Gambar Hiasan

Sudah menjadi trend pada hari ini, sesetengah surau dan masjid menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan warna. Cumanya timbul kebimbangan corak-corak karpet sejadah tertentu seperti yang berpetak gerbang masjid. Perkara ini dibimbangi kerana menyebabkan segelintir jemaah menganggap bahawa setiap petak untuk setiap seorang (lihat seperti gambar di atas). Hal ini sudah tentu bertentangan dengan hadith-hadith Baginda SAW yang mengarahkan kita melurus dan merapatkan saf-saf solat. Antaranya seperti hadith-hadith berikut :

وعن أنس قال‏:‏ ‏(‏كان رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم يقبل علينا وجهه قبل أن يكبر فيقول‏:‏ تراصوا واعتدلوا‏)‏‏.‏ متفق عليهما‏

Daripada Anas, ia berkata: Rasulullah SAW biasa menghadapkan wajahnya kepada kami, sebelum ia bertakbir, lalu bersabda : “Rapatkanlah dan luruskanlah”. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

ولأحمد وأبي داود في رواية قال‏:‏ ‏(‏فرأيت الرجل يلزق كعبه بكعب صاحبه وركبته بركبته ومنكبه بمنكبه‏)‏‏.

Dan bagi Ahmad dan Abu Dawud, dalam satu riwayat – dikatakan – (An-Nu’man bin Basyier) berkata: Lalu aku melihat orang-orang itu menyentuhkan mata kakinya pada mata kaki kawannya, dan lututnya pada lutut kawannya, serta bahunya pada bahu kawannya”.

وعن أبي أمامة قال‏:‏ ‏(‏قال رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم‏:‏ سووا صفوفكم وحاذوا بين مناكبكم ولينوا في أيدي إخوانكم وسدوا الخلل فإن الشيطان يدخل فيما بينكم بمنزلة الحذف يعني أولاد الضأن الصغار‏)‏‏.‏ رواه أحمد‏.‏

Dan daripada Abu Umamah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Luruskanlah saf-saf kamu, dan jajarkanlah antara bahu-bahu kamu, dan berlemah-lembutlah dalam (menyentuh) tangan-tangan saudara kamu,dan tutuplah celah-celah, kerana sesungguhnya syaitan akan masuk dalam (celah-celah) di antara kamu itu bagaikan anak kambing. Yakni, anak-anak kambing yang masih kecil”. (HR Ahmad).

وعن جابر بن سمرة قال‏:‏ ‏(‏خرج علينا رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم فقال‏:‏ ألا تصفون كما تصف الملائكة عند ربها فقلنا‏:‏ يا رسول اللَّه كيف تصف الملائكة عند ربها قال‏:‏ يتمون الصف الأول ويتراصون في الصف‏)‏‏.‏ رواه الجماعة إلا البخاري والترمذي‏.‏

Dan daripada Jabir bin Samurah, ia berkata: Rasulullah SAW pernah keluar kepada kami, lalu bersabda: “Apakah kamu tidak berbaris seperti barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya?” Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya itu? Ia menjawab:”Iaitu mereka menyempurnakan saf pertama, dan mereka berbaris dengan rapat dalam saf itu.” (HR Jamaah, kecuali Bukhari dan al-Tirmizi)


Karpet begini lebih baik, ringkas dan tidak merosakkan saf

Oleh itu, penulis cadangkan supaya pihak berkuasa agama atau para mufti menasihatkan pihak surau atau masjid berhati-hati dalam menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan bentuk. Malah terdapat dalam keadaan tertentu, sejadah berasingan pula dihamparkan di atas karpet sedia ada untuk tujuan 'reserved'. Apa yang dibimbangi penulis, perkara-perkara seperti ini akhirnya mencetuskan "bid'ah" di dalam pembentukan saf solat. Kadang-kadang timbul juga persoalan, siapa yang reka karpet sebegini? Ada agendakah di sebaliknya?

Wallahu a'lam.   

Himpunan Artikel