Isnin, 14 Mac 2011

Tsunami : Mengingatkan kita kepada kematian

Peristiwa  tsunami di Jepun sepatutnya menginsafkan dan mengingatkan kita kepada kematian. Antara kata-kata Imam al-Qurtubi yang benar-benar menusuk hati penulis sepanjang penulis mengajar kitab beliau 'al-Tazkirah' ialah :

وأجمعت الأمة على أن الموت ليس له سن معلوم، و لا زمن معلوم، ولا مرض معلوم، و ذلك ليكون المرء على أهبة من ذلك، مستعداً لذلك. انتهى.

Maksudnya : "Dan ummah telah sepakat bahawa kematian itu tiada baginya, umur tertentu, masa tertentu dan penyakit tertentu. Demikian itu supaya seseorang itu dalam keadaan berjaga-jaga daripadanya dan bersedia untuk itu (mati)".
 
Hakikatnya, mengingati mati termasuk salah satu akhlak terpuji dan perilaku luhur lagi mulia. Bagaimana tidak, mengingati kematian bukan sekadar ingat dan tidak lupa, namun lebih daripada itu mengingati kematian bererti mempersiapkan bekal sebelum ajal datang.

Diriwayatkan dari Kumail bin Yizad, bahawa ia keluar dengan Ali Abi Talib r.a. Dalam perjalanan itu Ali menoleh ke kubur lalu berkata, "Wahai penghuni tempat yang menyeramkan, wahai penghuni tempat penuh bala`, bagaimana khabar kalian saat ini? Mahukah kalian ku beritahu khabar dari kami: harta-harta kamu telah dibahagi-bahagi, anak-anak kamu telah menjadi yatim, dan isteri kamu telah dinikahi oleh orang lain. Kini, mahukah kamu memberi tahu tentang khabar yang kamu miliki? "

Kemudian Ali menoleh pada Kumail dan berkata, "Wahai Kumail, seandainya mereka dibenarkan menjawab mereka akan berkata, 'Sebaik-baik bekal adalah taqwa.'

Ali menangis. Lantas, kembali berkata, "Wahai Kumail, kubur itu adalah tempat amal, dan di kala kematian, khabar dari isi kotak amal itu akan menghampirimu." ( Al-Hasan bin Bisyr Al-Aamidiy, Kanzul `Ummaal, Juz III, hal.697, Maktabah Syamilah).

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dun-ya dengan sanad daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:" Perbanyaklah mengingati kematian, sebab ia mampu membersihkan dosa-dosa, dan menjauhkan diri dari kesenangan duniawi. "

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat tentang siapa "orang-orang yang beruntung." Maka Rasul menjawab, "Orang yang paling banyak ingat mati, paling baik dalam persiapan menyambut kematian. Merekalah orang-orang yang beruntung, di mana mereka pergi (meninggal) dengan membawa kemuliaan di dunia dan akhirat. "(HR. Ibnu Majah (4259)

Sehebat apapun seseorang, sepantas bagaimanapun ia berlari, tidak ada yang bisa lepas dari jaring kematian. Di mana-mana, bila-bila masa, dan dalam keadaan bagaimanapun, kematian itu pasti akan datang menyerkap, baik dalam keadaan kita bersedia atau tidak, baik dalam keadaan baik atau buruk, kematian adalah suatu kepastian.

Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman,

" Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu." (QS. Al-Jumu `ah [62]: 08)

Cara Mengingat Mati

Ada banyak cara dan isu untuk membuat kita selalu ingat mati. Beberapa antaranya:

Pertama, berusaha sekuat mungkin untuk mengingati kematian yang menimpa orang lain, entah itu saudara, keluarga, atau sesiapa saja antara manusia yang telah mendahului kita. Misalnya, ketika kita berjalan dengan rombongan yang mengiringi keranda jenazah, di saat itulah kita berusaha mengingati kematian.

Atau saat jiran tetangga kanan dan kiri, rakan taulan, saudara mara kita ada yang meninggal, kita juga berusaha mengingat kematian dengan mengatakan dalam diri kita, "Hari ini jiranku telah meninggal, mungkin esok, lusa, atau beberapa hari lagi aku yang akan dipanggil oleh Allah SWT."

Hal demikian jika kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, akan membuat kita terhindar daripada perbualan yang tidak berfaedah di kala bertakziah kepada keluarga si mati seperti yang sering kita perhatikan atau bahkan kita sendiri pernah melakukannya.

Padahal Rasulullah SAW pernah menegur beberapa orang yang berbual-bual kosong. Baginda SAW mengatakan, "Jika kamu banyak mengingati 'pemutus kenikmatan' nescaya kamu tidak banyak berbicara seperti ini, perbanyakkanlah mengingati 'pemutus kenikmatan' (mati). (HR. Turmudzi (2648))

Kedua, setelah kita mengingati kematian itu sendiri, cubalah kita membayangkan bagaimana sepi dan sunyinya alam kubur itu, tidak ada yang menemani pada hari-hari yang bakal dilalui. Suami atau isteri yang paling dicintai sekalipun tidak akan sanggup menemani jika kita telah wafat, terkubur dalam limpahan debu dan tanah.

Diceritakan daripada Abu Bakar Al-Isma`ili dengan sanandnya daripada Usman bin Affan, bahawa apabila mendengar cerita neraka, ia tidak menangis. Bila mendengar cerita kiamat, ia tidak menangis. Namun, apabila mendengar cerita kubur, ia menangis.

"Mengapa demikian, wahai Amirul Mukminin," tanya seseorang kepada beliau. Usman menjawab, "Apabila aku berada di neraka, aku tinggal bersama-sama orang lain, pada hari kiamat aku bersama orang lain, namun bila aku berada di kubur, aku hanya seorang diri." (Syeikh Muhammad bin Abu Bakar Al-`Ushfuri, Syarh Al -Mawaa `idz Al-` Ushfuuriyyah, Jakarta: Dar Al-Kutub Al-Islamiyah, hal. 28)

Kesendirian dan senyap sunyinya alam kubur boleh berubah menjadi kebahagiaan atau kesengsaraan, bergantung kepada amal kita selama hidup di dunia. Kuburan boleh menjadi taman kebahagiaan atau menjadi lubang azab dan sengsara. "Kubur itu boleh merupakan salah satu kebun syurga atau salah satu parit neraka," sabda Nabi SAW. (HR. Turmudzi (2460))

Ketiga, termasuk hal yang sangat dianjurkan dalam usaha kita mengingati mati adalah berziarah ke kubur. Ziarah kubur merupakan perkara yang disunnahkan dan sangat disarankan oleh Rasulullah SAW.

Melalui kegiatan ziarah, kita mengambil pelajaran dan hikmah tentang keadaan alam kubur dan apa yang terjadi di dalamnya serta kehidupan yang akan ditempuhi selepas daripada alam kubur kelak.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW berpesan, "Aku pernah melarang kamu untuk berziarah kubur, namun sekarang berziarahlah sebab ia dapat mengingatkan akan kehidupan akhirat dan menjauhi kemewahan dunia." (HR. Muslim (977))

Saat ini, musibah terjadi di mana-mana bila-bila masa. Sementara di waktu yang lain, ramai manusia tidak sedar bahawa detik jantung, denyut nadi mereka boleh sahaja berhenti berdetik bila-bila masa. Entahkan kerana kemalangan, kerana banjir, kerana tsunami, bahkan saat mereka sedang bersenda gurau dengan sanak keluarga. Sesungguhnya kematian merupakan hal yang sudah pasti, kita hanyalah menunggu gilirannya.

Terfikirkah kita, ketika nyawa dicabut, apa yang telah kita sediakan untuk menghadap-Nya?