Selasa, 18 Januari 2011

Tukar istilah "Pluralisme Agama" kepada "Wahdatul Adyan"

Sabtu lepas, penulis dijemput membentangkan kertas Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal dalam Wacana Isu-isu Semasa Aqidah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beberapa kertas kerja lain juga dibentangkan oleh Dr. Anis Malik Toha (UIA), Ustaz Uthman el-Muhammady (ISTAC), Dr. Syamsuddin Arif (UIA) dan Dr. Ahmad Bazli Shafie. Penulis berpandangan ada baiknya jika istilah pluralisme agama yang digunapakai oleh Barat itu kita tukarkan kepada istilah Islam yang lebih jelas maknanya iaitu "Wahdatul Adyan".

Dengan menyebut "Wahdatul Adyan" atau terjemahannya "Kesatuan Agama-agama", penulis fikir tiada seorang pun akan terkhilaf dalam memahaminya. Rasionalnya, semua agama pun tidak mahu identiti mereka luntur apabila semuanya disatukan antara satu dengan lain, inikan pula agama Islam yang jelas merupakan satu-satunya agama yang haq! Bahayanya, istilah pluralisme agama yang dipopularkan oleh John Hick berjaya memperdayakan sesetengah orang Islam yang menganggap ia hanyalah konsep toleransi berdasarkan kepelbagaian agama. Yakni mereka memahaminya sekadar religious plurality iaitu kepelbagaian agama. Jika itu maksudnya memang tiada isu di sini kerana Islam sendiri mengakui hakikat kewujudan agama-agama itu tetapi yang berlaku konsep itu sebenarnya cuba mengiktiraf kebenaran semua agama sekaligus menyamaratakannya dengan Islam.

Dalam pembentangan tersebut, penulis sempat perjelaskan antara medium atau modus operandi yang digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan faham "Wahdatul Adyan" seperti:-

-Perjuangan hak asasi manusia supaya semua agama lepas bebas untuk berdakyah antara satu dengan lain termasuk untuk saling bertukar agama, ini akan melenturkan keistimewaan dan kebenaran Islam.

-Menafsir sendiri konsep "Satu Malaysia" menjadi konsep "Satu Agama", seperti menafsirkan isu-isu semasa agama yang menyebelahi pihak bukan Islam dianggap hasil daripada konsep "Satu Malaysia".

-Dialog antara agama tanpa mengira apa jua bentuk atau kaedah seperti cadangan pembentukan Interfaith Council, Jawatankuasa Perpaduan, Jawatan Mempromosi Persefahaman Antara Agama dan lain-lain. Jawatankuasa-jawatankuasa ini dilihat mempunyai unsur-unsur yang menyentuh keistimewaan Islam seperti yang temaktub di dalam perlembagaan.

-Kumpulan-kumpulan pro-pluralisme agama seperti SIS, MCCBCHS, Majlis Peguam dan lain-lain seperti kempen memperkasakan artikel 11 dan pindaan artikel 121(1a) supaya kuasa mahkamah sivil mengatasi mahkamah syariah.

-Slogan-slogan perpaduan global seperti Global Ethic, Global Theology, Golden Rule, Unity in Diversity, Transcendent Unity of Religions dan lain-lain. Slogan-slogan ini kebanyakannya menyeru kepada kesamarataan antara agama tanpa ada mana-mana agama mendominasi agama lain.

Akhirnya, penulis tegaskan bahawa Malaysia adalah negara demokrasi berasaskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen bukan demokrasi liberal Barat seperti di Singapura, Amerika, Britain dan lain-lain tempat. Raja Berperlembagaan menjadi simbol ketaatsetiaan kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu yang menjunjung amanah agama Islam manakala Demokrasi Berparlimen lambang terhadap hak-hak istimewa umat Islam yang menjadi majoriti di Malaysia. Kesimpulannya, tiada tempat sama sekali untuk keberadaan fahaman "Wahdatul Adyan" di Malaysia.