Sabtu, 1 Januari 2011

Antara Hak Asasi dan Mazhab Rasmi Negara

Berikut adalah artikel asal penulis (tanpa potongan) yang telah diterbitkan oleh Utusan Malaysia pd 31 Disember 2010. Tulisan berwarna adalah bahagian yang dipotong oleh Utusan Malaysia.Malaysia adalah negara Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 menetapkan bahawa; Pertama, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak. Kedua, memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Islam” seperti berikut: “Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal- Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak”.


Penetapan dasar ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama. Dalam konteks sebuah negara, sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sini kerajaan Islam berperanan menjalankan prinsip hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya (pemeliharaan agama dan pembangunan duniawi) berteraskan siyasah syar’iyyah. Menurut Ibnu ‘Aqil; siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, j.6, hal.26)

Justeru, sebagai penganut ASWJ, kita haruslah memahami bahawa penetapan ASWJ sebagai mazhab rasmi negara bertujuan untuk memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dipertahan, dibela dan dipelihara. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk menindas mana-mana pihak. Namun, timbul desas desus kononnya dasar ini menyekat dan mengongkong hak asasi individu muslim bagi menganut satu-satu fahaman, ajaran dan kepercayaan di luar konteks ASWJ. Permasalahan ini bertambah rumit apabila ia dijaja bersama slogan-slogan keramat seperti hak asasi, keadilan, kesaksamaan dan demokrasi tulen.

Penulis berpendapat, fenomena ini muncul apabila masyarakat moden mula memperkatakan soal pembentukan civil society. Masyarakat sivil sering dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu. Dalam tradisi Barat, kumpulan-kumpulan sukarela, pergerakan sosial, media massa dan lain-lain institusi bukan kerajaan dapat berfungsi tanpa kawalan kerajaan. Dengan itu, masyarakat sivil menjadi medium bagi rakyat membahaskan apa jua isu termasuk memperkatakan isu-isu sensitif sehingga membabitkan kesucian agama.

Dalam konteks negara Islam, sudah tentu konsep civil society yang dicanang oleh pemikiran Barat itu menyalahi konsep kebebasan beragama dan bersuara yang ditetapkan oleh Islam. Nilai-nilai demokrasi liberal Barat apabila diterapkan dalam semua aspek kehidupan akan menjerumuskan manusia menjadi makhluk yang berfikir dan berbuat apa sahaja tanpa batasan. Bukan sahaja dalam soal-soal keduniaan malah sehingga mempertikai dan menceroboh kesucian agama yang dianutinya sendiri. Itulah kesan nilai-nilai hak asasi sekular-liberal Barat yang amat bahaya sekiranya dibiar dan tidak diawasi oleh pihak pemerintah.

Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi sememangnya telah menjadi agenda suci. Ia bermula dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS 1948). Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Antara komuniti dunia terkuat yang mendukung perjuangan hak asasi ialah masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota komuniti Eropah.

Keghairahan dunia Barat dalam memperjuangkan hak asasi menyebabkan mereka lupa bahawa di sana ada hak yang dicabuli. Umat Islam adalah antaranya. Beberapa perkara di dalam PHAMS 1948 ditolak oleh umat Islam kerana hak asasi mereka untuk mengamalkan agama digugat. Antaranya Perkara 18 yang berbunyi, “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.

Bagi Islam, Perkara 18 tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam beragama. Islam menetapkan tujuan (maqsad) syariah yang pertama iaitu memelihara agama. Bererti Islam menolak sebarang usaha mengubahsuai atau menokoktambah sehingga merosakkan ketulenan agama. Sebarang penyelewengan dan kegelinciran yang berlaku dalam akidah dan syariah akan ditolak oleh Islam tanpa mengira samada ia berbentuk kepercayaan, pemikiran atau perbuatan.

Lebih teruk lagi, apabila hak asasi juga membenarkan seseorang untuk keluar dan masuk agama sesuka hati. Justeru, di mana hak umat Islam untuk memelihara agamanya? Sedangkan hukum Islam menetapkan bahawa keluar agama atau murtad merupakan jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ia adalah perbuatan yang membabitkan kepentingan umum kerana melibatkan maruah agama dan umat Islam. Bukan sekadar hak individu.

Jangan pula ada pihak yang mendakwa Islam telah menyanggah hak kebebasan individu untuk memilih. Bukankah PHAMS 1948 itu juga diasaskan atas dasar menjaga kepentingan umum melebihi hak individu? Jika hak individu dibiarkan bermaharajalela, apa gunanya lagi kerajaan-kerajaan di dunia menggubal undang-undang. Bukankah undang-undang itu dibentuk untuk menyekat kebebasan individu yang ditafsirkan oleh undang-undang sebagai salah? Malah terdapat satu klausa khas di dalam PHAMS 1948 Perkara 29 yang menyebut bahawa, “setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik”. Bermakna, undang-undang buatan manusia juga mengakui tiada hak asasi mutlak bagi mana-mana makhluk di atas muka bumi ini!

Begitulah Islam. Perundangan Islam telah menentukan kepercayaan, pemikiran dan amal perbuatan menyeleweng yang disandarkan kepada Islam adalah suatu kesalahan dan tidak boleh disenaraikan sebagai hak asasi individu. Ia adalah soal memelihara dan mempertahankan doktrin agama yang suci.

Bagi sebuah negara Islam, undang-undang perlu ditegakkan tatkala tabiat manusia tidak lagi terkawal sehingga memudaratkan manusia yang lain (maslahah ‘ammah). Apa lagi ia membabitkan ancaman akidah dan pemikiran. Ia perlu disekat dengan segera. Berhujjah dan berdialog memang patut dilakukan tetapi perlu diawasi dengan undang-undang. Bukankah kes menghina dan mempertikaikan agama adalah jenayah menurut Islam. Ia bukan soal khilafiyyah yang boleh dikompromi. Ia bukan sekadar debat bagi menentukan kalah atau menang.

Sejarah Islam sendiri telah membuktikan bagaimana para khalifah Islam pernah mengharamkan bahkan bertindak tegas terhadap pembawa pemikiran yang menyeleweng daripada akidah ASWJ. Sebagai contoh Ma'bad al-Juhani pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 hijriyyah. Pada zaman itu juga Imam Hassan al-Basri telah mengeluarkan fatwa menegah orang ramai menghadiri majlis yang dipimpin oleh Ma'bad al-Juhani sambil menyifatkan dia adalah seorang yang sesat lagi menyesatkan.

Seorang lagi pengikut mazhab Qadariyyah yang dihukum mati adalah Ghailan al-Dimasyqi iaitu pada zaman Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Pada zaman Khalifah Hisham juga baginda telah menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pembawa mazhab Jabariyyah iaitu Ja'd bin Dirham pada tahun 120 hijriyyah. Jaham bin Safwan, iaitu murid kepada Ja'd bin Dirham juga menerima nasib yang sama apabila dia juga dijatuhi hukuman bunuh pada zaman Bani Umayyah atas arahan Gabenor Khurasan pada tahun 128 hijriyyah.

Pada zaman ini pula, menjadi kelaziman bagi institusi agama berautoriti mengeluarkan fatwa tertentu atau mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana ajaran dan amalan yang boleh mencabuli kesucian akidah dan syariah Islam.

Perkara ini tidak sukar sekiranya semua pihak benar-benar memahami tanggungjawab pemerintah Islam dalam mempertahankan agamanya. Jika tidak, mereka akan sering menyalahkan pihak berkuasa atas dakwaan melanggar prinsip hak asasi manusia. Dalam konteks Malaysia, Seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada PHAMS 1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, peruntukan perlembagaan secara jelas menyatakan kedudukan dan fungsi Yang Di Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing di bawah Fasal (2), (3) dan (5) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, kesemua hak, hak keistimewaan dan kuasa prerogatif YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam.

Oleh yang demikian, jika YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja telah menjalankan kuasa prerogatif untuk meluluskan undang-undang tertentu seperti Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri, maka undang-undang tersebut hendaklah dipatuhi dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia. Mana-mana tindakan ketidakpatuhan akan dikira sebagai ketidaksetiaan dan ketidakhormatan kepada YDPA dan Sultan-Sultan atau Raja-Raja. Ini adalah selari dengan prinsip Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dan “Keluhuran Perlembagaan”.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang realistik. Islam mengiktiraf kebebasan hak asasi manusia tetapi melihatnya dalam ruang lingkup manusia sebagai hamba kepada Allah SWT. Islam mengenali apakah batas-batas kemanusiaan itu. Apa jua yang menepati sifat-sifat kemanusiaan, Islam tidak menafikannya. Manakala apa jua yang di luar batas-batas kemanusiaan maka ia ditegah walaupun pejuang hak asasi mendakwa ia pencabulan terhadap kebebasan. Sebaliknya perjuangan hak asasi rekaan Barat merupakan sesuatu yang relatif. Ia hanya kuda tunggangan golongan sekular dan liberalisme agama di sana.

Oleh itu, Islam tidak sekali-kali menerima konsep hak asasi acuan world-view Barat. Sesungguhnya hak asasi tidak pernah suci, tetapi manusia yang mendakwa ia suci. Adapun agama, ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa bagi membimbing manusia. Walaupun agama tidak diagung dan disucikan oleh manusia, agama tetap suci pada esensinya sendiri. Lantaran itu, menjadi hak buat umat Islam di Malaysia untuk mempertahankan mazhab ASWJ bagi memastikan akidah dan syairah Islam kekal suci dan terpelihara.