Rabu, 29 Disember 2010

Di mana peranan "ahli ilmu"? - Us. Fatah

Alhamdulillah, hari ini penulis sempat bersama tuan guru, Ustaz Fatah. Orangnya biasa-biasa sahaja. Penampilannya tidaklah segah professor-professor pengajian Islam di luar sana. Kelulusannya pun biasa-biasa sahaja. Setakat mengaji di Pondok Bunut Payung (Matan Jauharah tu, mainan lidah beliau aje), kemudian ke Madrasah al-Junaid, Singapura. Kemudian ke Deoband, India dan akhirnya ke Universiti al-Azhar. Pencapaiannya di al-Azhar pun biasa-biasa sahaja, setakat menerima pingat dan sijil kecemerlangan degree al-'aliyah al-Azhar dengan darjah Imtiyaz li Awwal al-Kuliyyat daripada Presiden Mesir Jamal Abdul Nasir pada tahun 1964 (setakat ini penulis difahamkan tiada lagi pelajar Asia Tenggara yang dapat pecahkan rekod beliau, bukan mumtaz tapi imtiyaz).

Di peringkat ijazah tinggi pula, tiada apa yang mahu dibanggakan, Ustaz Fatah setakat belajar MA., MA. Ed. dan PhD. Divinity Degree di Universiti of California Los Angeles, Temple dan Northwestern Oklahama. Kata beliau, yang ni kalau boleh tak payah la disebut-sebut, pengajian beliau ketika di pondok Bunut Payung, al-Junaid dan al-Azhar lebih beliau banggakan berbanding yang Amerika ini. Penguasaan bahasa pula, biasa-biasa sahaja, setakat boleh menulis dan bertutur dengan cemerlang dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Malah pernah menjadi panel tamu rancangan agama mingguan dalam bahasa Inggeris di RTM pada tahun 70-an. Beliau juga adalah satu-satunya pensyarah fakulti Islam UKM yang tegas memperjuangkan supaya bahasa Arab menjadi medium pengajaran dan kitab Arab menjadi rujukan siswa bukan buku terjemahan.

‘Gaya bahasa’ yang penulis gunakan dalam perenggan-perenggan di atas sebenarnya bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan tuan guru penulis ini. Tetapi inilah ‘gaya bahasa’ al-Fadhil PROF. DR. ABDULFATAH HARON IBRAHIM ketika duduk bersama beliau. Orangnya sangat tawaduk dan merendah diri. Tetapi bila bercakap, tiada yang keluar dari mulutnya kecuali ilmu, ilmu dan ilmu. Pantangnya satu…AJARAN SESAT! Kerana itulah bidang kepakaran beliau; tawhid, tasawuf dan falsafah @ theologoy, philosophy and sufism.

Dalam pertemuan singkat ini, penulis sempat berbincang dengan beliau tentang isu Syiah yang heboh diperkatakan sekarang. Bagi beliau mudah, semua pihak perlu memainkan peranan. Beliau setuju dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan melalui saluran perundangan ke atas Syiah kerana itu tanggungjawab mereka. Tetapi persoalan beliau, di mana tanggungjawab ‘ahli ilmu’? Khususnya penyandang-penyandang gelaran doktor dan professor yang ada di pusat-pusat pengajian Islam di IPT-IPT seluruh negara. Seharusnya tanggungjawab ‘ahli ilmu’ adalah berdialog atau bermuzakarah dengan golongan seumpama ini. Itulah lambang kesarjanaan mereka yang sebenar bukan pangkat-pangkat seperti Dr., Prof. Madya atau Prof. itu semata-mata. Sambil itu, beliau mula mengingat-ingat kembali pengalaman-pengalaman beliau berdialog atau bermuzakarah dengan pengikut ajaran sesat.

Bukan sekadar berteori di bilik-bilik kuliah, tetapi beliau sendiri terjun dan berhadapan dengan golongan berkenaan. Bahkan terbaru, dalam usianya yang mencecah 70-an, beliau masih menggagahkan diri untuk berdialog dengan beberapa individu daripada sebuah kumpulan ajaran sesat yang telah diharamkan. Tiada liputan berita. Tiada wartawan. Tiada populariti. Semata-mata dengan niat untuk memperbetulkan si penganut ajaran sesat itu. Semangat beliau memang amat dikagumi penulis. Keilmuannya apatah lagi. Semoga Allah SWT memberkati beliau dan mengurniakan ganjaran pahala yang tidak terhitung atas segala sumbangannya di akhirat kelak. Amin. Wallahu a’lam.