Khamis, 28 Oktober 2010

PERIHAL ISLAMIC FASHION FESTIVAL, HAB HIBURAN ETP, PASANG ANCAK & MENEPUNG TAWAR

Pengamatan penulis, ketiga-tiga isu tersebut berpunca daripada sikap pemerintah yang kurang merujuk atau kurang memanfaatkan sepenuhnya institusi agama, ahli agama, alim ulama atau yang seumpama dengannya dalam pemerintahan mereka. Jika sesuatu isu itu dirujuk terlebih dahulu kepada pihak yang sepatutnya, insya-Allah isu-isu seperti ini tidak timbul sama sekali. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab kepada golongan agama tanpa mengira saluran apa sekalipun selagimana ianya tidak menyalahi hukum agama atau peraturan duniawi untuk menegur pemerintah tersebut. Jika anda golongan agama dalam kerajaan, gunakan saluran sedia ada seperti melalui mesyuarat, mendraf polisi dan lain-lain. Jika anda seorang ahli politik, gunakan sidang DUN atau Parlimen. Jika anda ustaz biasa, gunakan kuliah di surau atau masjid bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada masyarakat supaya masyarakat dapat membezakan antara haq dan batil yang telah dilakukan pemerintah.

Berkenaan isu Islamic Fashion Festival yang diperagakan oleh wanita. Bagi penulis, isu ini tidak jauh berbeza dengan isu pertandingan ratu cantik yang telah diharamkan oleh beberapa negeri di Malaysia seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah. Alasan pengharaman adalah kerana ia merendah-rendahkan martabat kaum wanita yang mempunyai fikiran dan roh serta tidak seharusnya dianggap bahawa wanita-wanita ratu cantik ini hanya ada nafsu syahwat semata-mata. Bagi penulis, soal eksploitasi wanita dalam peragaan fesyen perlu diteliti sedalam-dalamnya. Unsur-unsur eksploitasi sangat jelas. Bukankah hanya wanita-wanita yang cantik bentuk tubuh dan wajahnya sahaja akan dipilih untuk memperagakan fesyen tersebut? Tidakkah kitab-kitab fiqh telah menjelaskan bagaimana kedudukan wanita di hadapan bukan mahram lebih-lebih lagi seorang wanita cantik yang sengaja memperagakan dirinya bagi menarik perhatian khalayak? Berbalik kepada isu Islamic Fashion Festival 2010 yang melibatkan pemimpin negara kita, ia jauh lebih mengundang fitnah kerana melibatkan penghinaan terhadap Islam dalam fesyen yang ditonjolkan.

Berkaitan isu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan pula, bila penulis membaca program yang dicadangkan itu, jelas kepada penulis, ia seperti sabda Rasulullah SAW: “Orang Islam makan dengan satu perut manakala orang kafir makan dengan tujuh perut”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut sesetengah pensyarah hadith, hadith ini adalah satu perumpamaan bahawa orang mukmin tidak makan melainkan daripada sumber yang halal di samping menjauhi yang syubhat dan haram. Tetapi orang kafir mereka makan tanpa mengira apa yang dimakan? Dari mana sumbernya? Bagaimana menghabiskannya? Bagi penulis jika benar negara ini menobatkan Islam sebagai sumber inspirasi pemerintahannya, tetapkan bahawa hendaklah sumber ekonomi utamanya (NKRA) adalah berasaskan perkara yang halal, bukan yang haram dan syubhat. Yakinlah dengan konsep “baldatun thayyibah wa rabbun ghafuur”.

Adapun berkenaan isu ‘main’ ancak dan ‘bertepung tawar’ seperti yang dibuat oleh seorang Menteri Besar baru-baru ini, bagi penulis itu adalah berpunca daripada kejahilan dan tidak merujuk kepada alim ulama’ yang dilantik. Bukankah perkara ini telah masyhur tentang kekhurafatannya dan ketidakrasionalannya. Cukuplah penulis bentangkan petikan Garis Panduan JAKIM tentang khurafat dan azimat berkaitan isu ini (sila lihat Garis Panduan penuh dalam kolum sebelah kanan blog ini).

"Di antara bentuk-bentuk khurafat ialah:

Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepong tawar adat pantai dan sebagainya.

Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut dan bermain pantai".

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada pemerintah negara ini untuk mendengar teguran ulama’, mengakui dan memperbetulkan kesilapan mereka. Walhaqqu ahaqqu an yuttaba’. Wallahu a’lam.


Himpunan Artikel