Jumaat, 9 Julai 2010

KOMEN PERIBADI TENTANG FATWA ESQ MUFTI WILAYAH

Beberapa hari kebelakangan ini penulis dihujani banyak pertanyaan berkenaan kedudukan fatwa pengharaman ESQ yang telah diwartakan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan (SSDMWP) pada 17 Jun 2010. Sebagai seorang yang pernah beberapa kali mengikuti kursus ESQ (sebelum ia dibawa ke JK Fatwa Kebangsaan dan mempunyai Panel Syariah sendiri), menonton video-video dan membaca buku-buku ESQ, penulis merasa terpanggil untuk memberi sedikit komentar berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh SSDMWP tersebut. Lebih-lebih lagi penulis teramat sedih apabila timbul fitnah-fitnah lain berikutan pewartaan fatwa berkenaan. Komentar penulis berkenaan isu ini adalah seperti berikut:-

Pertama: SSDMWP telah melaksanakan tugasnya di bawah kuasa yang telah diberikan oleh Yg Di Pertuan Agong (YDPA) kepadanya. Oleh itu, mempertikaikan mana-mana fatwa yang telah diwartakan bermakna mempertikaikan YDPA. Bagi penulis sekurang-kurangnya bagi mereka yang tidak bersetuju pun,janganlah sampai lupa bahawa setiap wilayah @ negeri di Malaysia ini ada pihak yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara kesucian agama Islam. Logiknya, jika seorang ahli agama @ ustaz yang telahpun memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam sendiri pun perlu menghadiri temuduga utk memperoleh tauliah mengajar, apatah lagi 'orang luar' yang bukan dlm bidang agama ingin menyampaikan ajaran agama (walaupun berkonsepkan motivasi) di negara ini.

Kedua: Setakat pengetahuan penulis, tiada lagi fatwa yang dikeluarkan secara semberono oleh mana-mana institusi fatwa di Malaysia. Semuanya sudah tentu berasaskan satu kajian yang konkrit dan menyeluruh serta diputuskan melalui musyawarah oleh golongan yang berkeahlian. Hujjah-hujjah mengapa fatwa itu dikeluarkan jelas disebutkan di dalam kertas pewartaan. Sama ada ia dipersetujui atau tidak, itulah penemuan dan dapatan yang terhasil daripada kajian dan ijtihad yang dilakukan.

Ketiga: Fatwa pengharaman sesuatu perkara tidak semestinya merujuk kepada haramnya sesuatu perkara itu pada zatnya. Kadang-kadang ia lebih bertujuan untuk menyekat jalan-jalan yang mungkin akan membawa kerosakan pada masa-masa akan datang atau disebut sadd al-zara'i'. ESQ tidak boleh menafikan bahawa kini mereka mempunyai dua versi yang berbeza. Versi pertama iaitu sebelum ditegur dan belum mempunyai panel syariah sendiri. Versi kedua iaitu selepas ditegur dan telah melantik Panel syariah. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui adakah ESQ benar-benar telah menerima 'perubahan versi' itu atas dasar ia menyalahi aqidah dan syariah..atau..ESQ hanya mengubahnya kerana itu kehendak 'client' di Malaysia. Wallahu a'lam.

Keempat: Alasan yang mengatakan bahawa "tiada apa-apa keraguan pada ESQ kerana saya sendiri telah mengikuti kursus tersebut" tidak boleh diterima bulat-bulat untuk menjustifikasikan bahawa ESQ itu 100 persen halal. Orang yang mengkaji ESQ hanya dengan mengikuti kursus-kursus ESQ tidak akan menemui 'apa sebenarnya sumber ilmu' ESQ. Apa yang ada di dalam kursus tersebut hanyalah metodologi penyampaian ESQ berserta aspek teknikalnya sahaja. Tetapi ideologi pengasasnya bagaimana? Apa alirannya? Siapa gurunya? Apa sumber ilmu dan rujukannya? Oleh itu, penulis berpandangan SSDMWP bukan hanya menilai ESQ melalui kursus-kursus yang dijalankan tetapi yang lebih penting 'sumber ilmunya' iaitu melalui buku-buku karangannya dan tuan gurunya.

Kelima: ESQ bukan lahir sebagai satu kursus motivasi biasa seperti tanggapan sesetengah pihak. Ia bermula dengan satu teori yang dikarang oleh Ary Ginanjar melalui bukunya 'Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam' pada 2001, diikuti dengan buku 'ESQ Power' dan 'ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual'. Buku-buku ini sepatutnya menjadi kajian utama para pengkaji ESQ kerana di sinilah bermulanya ESQ dan ESQ  tidak akan wujud jika tiada 'ideologi' yang terkandung di dalam buku-buku ini. Ideologi bukan sesuatu yang mudah untuk dikompromi, walaupun isi kandungan ini telah dibincangkan oleh Panel Kajian Aqidah JAKIM & Panel Pemantau JK Fatwa dengan Ary Ginanjar, tetapi ESQ tidak pernah membuat perakuan bahawa ideologi yang wujud dalam buku tersebut adalah menyalahi aqidah sebaliknya hanya bersetuju untuk menukarkannya dengan versi baru yang 'Malaysia compliance'. Penulis tidak pasti adakah modul ESQ di Indonesia atau di tempat-tempat lain telah diubah seperti apa yang wujud di Malaysia? Jika yang diubah hanya ESQ versi Malaysia bermakna ESQ hanya menurut 'Malaysia compliance' bukan 'Syariah compliance'! 

Keenam: Orang yang 'bukan ahli' janganlah terlalu cepat melatah dalam isu agama sehingga ke peringkat memperlekehkan institusi fatwa atau mufti. Alasannya hanya mufti wilayah yang mengeluarkan fatwa tetapi mufti lain tidak. Bagi penulis, tindakan SSDMWP sememangnya tidak popular di kala ESQ diterima baik oleh ramai tokoh agamawan dan pelbagai pihak. Tetapi sejarah telah membuktikan, apabila ia melibatkan isu 'ideologi' yang sukar dilihat oleh zahir mata kecuali oleh mereka 'yang ahli', maka tidak hairan jika ada fatwa yang menongkah arus. Ia tidak berbeza dengan tindakan Imam al-Ghazali yang mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina ketika masyarakat memuji kedua-dua mereka sebagai tokoh matematik, politik dan perubatan. Al-Ghazali mengkafirkan mereka kerana pengaruh pemikiran falsafah yang meresap ke dalam ideologi mereka dalam bab ketuhanan yang menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar (Rujuk kitab al-Munqiz min al-Dhalal atau Tahafut al-Falasifah). Bagi Imam al-Ghazali kesalahan kedua-dua tokoh itu adalah muktamad, bagaimanapun Ibn Rusy menolak pandangan al-Ghazali dalam kitabnya 'Tahafut al-Tahafut' dengan menghujjahkan bahawa kesalahan kedua-dua tokoh itu bukan perkara yang muktamad (qat'iy). Adakah dengan pengkafiran al-Ghazali terhadap al-Farabi dan Ibn Sina boleh menjatuhkan martabat keilmuan al-Ghazali? Penulis tidak fikir mana-mana 'orang berilmu' yang memahami tradisi keilmuan akan mengatakan begitu.

Ketujuh: Bidang perbahasan ESQ bukanlah berfokus kepada isu syariah semata-mata, ia lebih kepada perbahasan ilmu falsafah, usuluddin dan pemikiran Islam. Para ulama yang pakar dalam bidang ini sepatutnya diberi ruang yang seluas-luasnya untuk membongkar segala-galanya tentang ESQ. Mereka lebih berhak untuk memperkatakan tentang ESQ kerana mereka adalah ahli dalam bidang tersebut. Selain memahaminya dari konteks agama Islam, penguasaan terhadap teori dan falsafah Barat juga amat penting bagi memastikan kita tidak tertipu di sebalik pelbagai istilah dan teori yang diketengahkan. Sebagai contoh, penulis tidak fikir semua orang memahami apa itu perrenial philosophy dalam perbahasan Barat. Satu falsafah ketuhanan yang amat halus dan licik dan boleh meresap dengan mudah tanpa disedari oleh penganut agama itu sendiri.     

Kelapan: Seorang ahli ilmu tidak sewajarnya menilai ESQ hanya pada zahirnya. Ia seperti mengatakan, "adakah kita mahu mengharamkan ESQ sedangkan ESQ telah banyak mengubah orang yang tidak solat kepada bersolat, tidak bertudung kepada bertudung...dll". Bagi penulis, kalau ini hujjahnya maka apa salahnya 'Syiah' dan 'al-Arqam', bukankah kumpulan-kumpulan ini amat indah pada zahirnya. Tetapi apabila ideologinya dibongkar, di sana jelas terlihat kedangkalan pegangan mereka. Mungkin ini yang menjadi keutamaan SSDMWP ketika memutuskan fatwa tersebut.

Kesembilan: Bila dibuat perbandingan antara ESQ versi asal dan versi yang diubah, penulis dapati tiada lagi keistimewaan ESQ. Dulunya konsep pencarian, suara hati, asimilasi sifat tuhan, God Spot dan rumus Zero Mind Process menjadi hardcore subject dalam kursus ESQ. Tetapi kini fokus ESQ lebih kepada monolog-monolog yang meruntun hati para peserta untuk menangis. Kelebihan teknikal seperti penggunaan layar besar, kesan bunyi, pencahayaan dan kepakaran berpidato digunakan oleh para trainer untuk mengujudkan suasana sedih hingga menyentuh hati para peserta. Bagi penulis, jika ini yang menjadi kelebihan ESQ, ia bukanlah isu besar yang perlu dipertahankan sangat. Ia tiada beza dengan para pakar motivasi di Malaysia, cuma bezanya hanyalah 'persoalan teknikal dan metodologi penyampaian'.

Kesepuluh: Bagi individu yang was-was sama ada mahu menyertai ESQ atau tidak. Nasihat penulis adalah seperti sabda Baginda SAW: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan". Insya-Allah kita akan selamat dan keluar daripada segala bentuk syubuhat, khilaf atau segala keraguan. 

Sebagai rujukan semua, di sini adalah beberapa keraguan yang pernah ditimbulkan terhadap ESQ berdasarkan kitab rujukan utama mereka (yang akan dibekalkan secara percuma kpd setiap peserta kursus-versi lama):-

Mengiyaskan kurniaan kenabian para Nabi dengan pencarian manusia (Ary Ginanjar)

Mentafsirkan nama-nama Allah sesuai dengan sifat manusia sebagai 'barometer'
Nabi SAW memimpin manusia dengan suara hati (di mana letaknya wahyu?)

Nabi SAW pemimpin yang paling banyak menggunakan logik & suara hati akal bukan mukjizat2

Mengapa berhujjah dengan pejuang 'Global Ethic' yang jelas membawa faham pluralisme agama?

Mengapa berhujjah dengan aliran sesat kod 19 tajaan Rashad Khalifah?

Rumus ZMP boleh menghasilkan 'kekuatan luar bisa' termasuk mukjizat & karamah (spt kisah Kapt Razak)
   
Wallahu a'lam.