Ahad, 29 November 2009

HUKUM AGIH DAGING KORBAN KEPADA BUKAN ISLAM




Semasa berada di kampung baru-baru ini, seperti biasa penulis bertemu dengan ramai orang terutamanya adik beradik, ipar duai, orang kampung dan ramai lagi la..Macam biasa banyaklah perkara yang dibualkan, antaranya isu sedekah daging korban kepada bukan Islam. Sebenarnya, perkara ni kurang menjadi persoalan di kalangan orang-orang kampung. Maklumlah diorang tinggal dalam kalangan majoriti Melayu Islam, tetapi isu ini banyak berlaku di kalangan orang-orang bandar yang sesetengah berjiran kiri dan kanan dengan bukan Islam atau minoriti bukan Islam yang wujud sebagai sebahagian daripada komuniti di taman-taman dalam @ pinggir bandar.


Cuma, dalam menjawab persoalan ini penulis menemui kesukaran kerana terdapat di kalangan masyarakat yang agak keliru dengan kewujudan dua fatwa yang berbeza di dalam laman web e-fatwa JAKIM. Salah satunya fatwa yang membenarkan oleh JK Fatwa Negeri Perlis (lihat di sini) dan satu lagi keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang melarangnya (lihat di sini). Maklumlah, masyarakat pada hari ini memiliki maklumat hanya di hujung jari. Mereka boleh access kepada apa jua maklumat dengan begitu cepat sekali...


Bagi menjawab persoalan ini, penulis cuba merujuk kepada antara kitab utama bagi Mazhab Syafie. Apabila membelek-belek kitab ini, penulis menemui ucapan Imam Nawawi seperti berikut:


"Berkata Ibn al-Munzir: Ulama telah sepakat bahawa harus diberikan daging korban kepada org Islam yang faqir. Adapun ahli zimmah (bukan Islam), ulama berselisih pendapat mengenainya. Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Tsur membenarkannya. Imam Malik pula memakruhkannya, malah beliau memakruhkan memberi kulit binatang korban atau dagingnya kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya, dan beliau berkata: Jika dimasak dagingnya tidak mengapa kafir zimmi makan bersama. Ini adalah ucapan Ibn al-Munzir dan aku tidak menemui pandangan para sahabat kita (ulama dalam mazhab Syafie) mengenainya. Bagaimanapun kehendak umum (muqtadha) mazhab (memberi maksud) harus memberi mereka (bukan Islam) daging korban sunat, tidak korban wajib". (Nawawi, al-Majmu', Bayrut: Dar al-Fikr, 1997, j.8, hal.316)

Daripada penjelasan Imam Nawawi ini, kita dapat simpulkan bahawa isu mengagihkan daging korban kepada bukan Islam hanyalah isu cabang (furu') yang tidak perlu diperbesar-besarkan. Mungkin kaedah terbaik dalam menyelesaikan perbezaan pendapat ini adalah melihat kepada fatwa yang mana satukah paling menepati maslahah agama dan ummah pada ketika ini? Jika kefakiran masih menyelubungi majoriti orang Islam di satu-satu kawasan ibadah korban itu dilakukan, sudah tentu tidak wajar sama sekali daging korban tersebut diagihkan kepada bukan Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan seperti ibadah korban yang dilakukan di kawasan-kawasan bencana alam yang meliputi umat Islam dan bukan Islam, kebanyakan ulama muta'akhirin membenarkannya. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga adalah antara ulama yang membenarkan pengagihan daging korban kepada bukan Islam tetapi dengan syarat mereka itu hendaklah di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan seperti faqir miskin.

Selain itu, untuk berpegang kepada fatwa yang membolehkan perlu juga satu garis panduan yang jelas. Pertama, hanya melibatkan daging korban sunat, bukan korban wajib seperti korban nazar dsb. Kedua, sudah tentulah daging tersebut haram diberikan kepada golongan bukan Islam yang termasuk ke dalam golongan kafir harbi iaitu kafir yang memerangi Islam. Ketiga, hendaklah bukan Islam itu terdiri di kalangan golongan yang benar-benar memerlukan iaitu faqir dan miskin. Keempat, tiada orang Islam yang lebih memerlukan berbanding golongan bukan Islam di dalam satu-satu kawasan atau daerah ibadah korban itu dijalankan. Wallahu 'alam.
Read more >>

Khamis, 26 November 2009

SELAMAT HARI RAYA KORBAN DAN JANGAN BERBALAH PULA!!!



Oleh kerana raya korban tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penulis ingin berpesan kepada sahabat-sahabat..jangan pula ada yang mencemarkan hari baik dan bulan baik ini dengan perkara-perkara khilafiyyah. Apa yang penulis maksudkan iaitu isu, sama ada gugur atau tidak solat Jumaat apabila telah menunaikan solat hari raya? Di sini penulis perturunkan fatwa Syeikh Abdul Majid Salim, Syeikh al-Azhar 1950-1952:



“Menurut Mazhab Hanafi sekiranya berkumpul solat hari raya dan solat Jumaat, maka tidak memadai salah satu daripada dua solat tersebut bahkan disunat atau diwajibkan kedua-duanya sekali. Ini kerana solat hari raya adalah sunat manakala solat Jumaat adalah wajib. Ini sebagaimana yang dipegang di dalam Mazhab Syafie. Bagaimanapun Mazhab Syafie memberi kelonggaran kepada penduduk kampung yang jauh dari masjid dan telah menunaikan solat hari raya untuk menunaikan solat Jumaat. Mazhab Maliki pula berpegang kepada wajib menunaikan solat Jumaat walaupun telah menunaikan solat hari raya pada hari tersebut.

Bagi Mazhab Hambani pula, sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya, maka gugur baginya kewajipan solat Jumaat kecuali imam”.

Bagaimanapun, Syeikh Abdul Majid Salim mentarjihkan pandangan Imam Ahmad yang mengatakan gugur kewajipan solat Jumaat kepada sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya. (Rujuk: Himpunan Fatawa al-Azhar)

Kesimpulannya, jangan pula pada hari Idul Adha yang mulia ini ada antara kita yang berbalah tentang hal ini. Yang jelas ia adalah masalah khilafiyyah semata-mata. Tidak perlu taksub dan fanatik terhadap satu-satu mazhab dan jangan pula sampai kedengaran tuduhan Wahabi dan macam2…

Bagi penulis..untuk berhati-hati dan ihtiyath, penulis lebih cenderung kepada Mazhab Syafie..Wallahu A’lam…


Kullu 'am wa antum bikhair..
Read more >>

Rabu, 25 November 2009

SITI HASNAH @ BANGGARMA???




Wallahu a'lam..hakikat sebenarnya tentulah hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Yg jelas adalah, kita memerlukan justifikasi yang berasaskan fakta & bukti. Itulah penilaian untuk menghukum sesuatu di dunia ini. Isu yang berlaku ke atas wanita India bernama Islam Siti Hasnah Vangarama Abdullah, semestinya menjadi satu pengajaran bagi pihak berkuasa agama berkenaan.


JKM mendakwa Siti Hasnah telah menganut agama Islam sebelum dimasukkan ke sebuah rumah kebajikan di Kepala Batas kira-kira dua dekad lalu. Beliau diislamkan sendiri oleh ibubapanya ketika dia berusia setahun. Bagaimanapun Banggarma mendakwa beliau hanya diislamkan ketika berusia 7 tahun iaitu ketika berada di rumah kebajikan tersebut.


Menurutnya peguamnya, sijil yang ada pada Banggarma menunjukkan dia memeluk Islam pada 28 Disember 1989 di hadapan pegawai-pegawai jabatan agama Islam. Hal ini menjadi satu tanda tanya kepada pihak Banggarma yang menganggap rumah kebajikan telah melanggar undang-undang kerana telah menukarkan agama seorang kanak-kanak sebelum mencapai umur 18 tahun. Penulis menjangkakan isu ini akan menjadi semakin panas apabila Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) turut membuat kenyataan menggesa S Banggarma dibenarkan menganut Hindu, dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Campur tangan pihak-pihak yg tidak berkenaan ini sudah tentulah akan mengeruhkan lagi suasana.

Perlu diingat, penubuhan MCCBCHST bukanlah hanya untuk mempromosikan kesefahaman dan perasaan hormat menghormati di kalangan penganut berbagai agama, tetapi matlamat utamanya ialah menjadikan badan itu sebagai forum atau jambatan bagi menyatakan hasrat dan kesangsian berkait dengan hal-ehwal kehidupan beragama kaum bukan Islam kepada pihak Kerajaan yang pada waktu itu telah melancarkan dasar penerapan nilai-nilai Islam (Islamisasi).



Pada tahun 2002 satu deklarasi telah dibuat oleh MCCBCHS yang dinamakan dengan Declaration on the Freedom of Religion or Belief and the Elimination of ALL Forms of Intolerance and of Discrimination based on Religion or Belief, dipetik sebahagiannya seperti berikut:


ARTICLE I (1)


"Everyone shall have the right to freedom of thought, conscience suara hati and religion. This right shall include freedom to have or to adopt or to change one's religion or belief of one's choice, and freedom, either individually or in community with others and in public or private, to manifest mnyatakan one's religion or belief in worship, observance, practice and teaching".

Oleh yang demikian..penulis amat bimbang sekiranya kes Siti Hasnah berpenghujung dengan apa yang terjadi kepada kes Fatimah Tan, iaitu mahkamah membenarkan beliau keluar daripada Islam tanpa sebarang hukuman & tindakan. Yg lebih membimbangkan, akan wujud generasi akan datang mula memahami..ohhh..rupa-rupanya Islam itu bebas terbuka..sesiapapun boleh masuk & keluar Islam bak menukar baju...Wallahul musta'an... 
Read more >>

Rabu, 18 November 2009

TAMADUN YANG MENUMBANGKAN TAMADUN?

Bagi merehatkan sedikit fikiran yang telah 'dihenyak' dengan pelbagai perkara baru tentang internet dan ICT, penulis mengambil peluang berada di Terengganu untuk melawat Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man. Maklumlah, kalau dah terlalu lama sgt berada dalam bilik mesyuarat yg sejuk, ditambah pula dengan bahan2 yg berat...bilik hotel pun sejuk..mau stress dibuatnya kepala ni..Jadinya sekali-sekala kena juga buat rombongan macam zaman budak-budak sekolah dulu. Dipanggil lawatan sambil belajar.. bukan makan angin...

Memang tempat ini cukup menarik kerana kita dapat melihat banyak replika-replika masjid tersohor sepanjang tamadun Islam ini terbina. Tetapi penulis tidak pasti adakah 'membina replika dengan harga ratusan juta ini juga termasuk salah satu cara untuk membangunkan tamadun Islam?' Yg itu...pembaca perlu menilai dan menjawabnya sendiri..

Menurut maklumat wikipedia, taman ini dibina dengan kos keseluruhan mencecah RM249.3 juta..bagaimanapun ada sumber lain yang mempertikaikan dan mengatakan ia hanya bernilai RM143 juta..jadi ke mana pergi lebihan lagi RM100 juta itu? Wallahu 'Alam...Apa pun, bagi penulis pembinaan taman ini tidak mengubah dan menyumbang apa-apa buat rakyat dan agama Islam di Terengganu..tetapi ia hanya sekadar hiburan untuk menambah lagi tempat-tempat pelancongan di negeri itu. Itu je..


Replika Masjid al-Aqsa


Replika 'batu' tempat Rasulullah SAW berpijak dlm al-Aqsa pun ada jugak!!

Masjid Kristal yang bernilai RM30 juta..

Tiada solat Jumaat dibuat di sini, kalau ada pun siapa yang nak solat di sini? Pulau Wan Man ini sebenarnya tidak berpenghuni sebelum wujudnya projek Tamadun Islam ni kerana ia asalnya adalah kawasan Hutan Nipah..Wallahulmusta'an... 
Read more >>

Sabtu, 14 November 2009

MURTAD : ANTARA HUKUM & HAK ASASI

Itu adalah tajuk ceramah yang penulis sampaikan atas permintaan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETHHA) baru-baru ini. Penulis sebenarnya tak sempat untuk menyediakan PowerPoint bagi ceramah ini kerana terlalu sibuk dengan tugasan di pejabat dan di luar. Nasib baik isu ini penulis pernah tulis dan diterbitkan dalam laman web JAKIM. Alhamdulillah dalam ceramah ini, banyak persoalan yang diajukan oleh audien. Penulis lega kerana nampaknya masyarakat Islam masih sensitif terhadap isu ini. Malah ada yang bertanyakan bilakah akan wujudnya hukum murtad? Penulis hanya menjawab berdoalah semoga Allah bukakan pintu hati para pemimpin Islam untuk komited bagi menlaksanankan segala hukum-hakam Islam. Apa pun, untuk memudahkan rujukan, penulis bentangkan artikel asal penulis bertajuk 'Murtad bukan hak asasi'...


Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya”. Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka. Fasal (4) menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.


Ini bermakna Islam di Malaysia bukan seperti Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat. Ia berbeza dengan Islam di Malaysia yang telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam. Dalam bab lain, kebebasan hak asasi manusia juga dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian Dua. Namun ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.

Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi menjadi suatu agenda suci. Malah sudah menjadi lebih suci daripada kesucian agama anutan pendokongnya sendiri. Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS 1948). Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia. Antara komuniti dunia terkuat yang mendokong perjuangan hak asasi ialah masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Keghairahan dunia Barat dalam memperjuangkan hak asasi menyebabkan mereka lupa bahawa di sana ada hak yang dicabuli. Umat Islam adalah antaranya. Beberapa perkara di dalam PHAMS 1948 ditolak oleh umat Islam kerana hak asasi mereka untuk mengamalkan agama digugat. Antaranya Perkara 16 (1) yang berbunyi, “Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”. Bagi penganut Islam perkara ini sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukum- hakam berkaitan perkahwinan. Begitu juga Perkara 18 berbunyi, “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.

Bagi Islam, Perkara 18 tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam beragama. Islam menetapkan tujuan (maqsad) syariah yang pertama iaitu memelihara agama. Sekiranya umat Islam dibenarkan keluar dan masuk agama sesuka hati, ini bermakna hak umat Islam untuk memelihara agamanya telah dicabuli. Hukum Islam juga menetapkan bahawa keluar agama atau murtad merupakan suatu jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ini kerana,perbuatan keluar agama melibatkan kepentingan umum iaitu maruah agama dan umat Islam sendiri. Ia bukan sekadar hak individu.


Jangan pula ada pihak yang mendakwa Islam telah menyanggah hak kebebasan individu untuk memilih agama. Bukankah PHAMS 1948 itu juga diasaskan atas dasar menjaga kepentingan umum melebihi hak individu? Jika hak individu dibiarkan bermaharajalela, apa gunanya lagi kerajaan-kerajaan di dunia menggubal undang- undang. Bukankah undang-undang itu dibentuk untuk menyekat kebebasan individu yang ditafsirkan oleh undang-undang sebagai salah? Malah terdapat satu klausa khas di dalam PHAMS 1948 iaitu Perkara 29 yang menyebut bahawa, “setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik”.

Begitu juga Islam. Perundangan Islam telah menetapkan bahawa murtad adalah suatu kesalahan dan ia tidak boleh disenaraikan di bawah hak asasi individu! Ia adalah soal doktrin agama yang suci. Tidakkah penganut agama lain juga akan tersinggung apabila terdapat di kalangan mereka yang melanggar kepercayaan agama sendiri?

Fenomena ini tidak sukar sekiranya semua pihak sama ada umat Islam atau bukan Islam saling memahami antara satu sama lain. Jika tidak, mereka akan saling menyalahkan agama lain atas dasar melanggar prinsip hak asasi manusia. Dalam konteks Malaysia, Seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada PHAMS 1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menentukan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, disokong pula dengan Perkara 121(1A) yang menyebut, “Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) –mahkamah Sivil- tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”, haruslah dihormati dan difahami oleh semua pihak.


Justeru itu amat menghairankan apabila masih kelihatan individu atau pertubuhan yang mendesak supaya diberi kebebasan untuk keluar daripada Islam kononnya ia diberi kebebasan oleh Perlembagaan Negara. Sedangkan mereka telah memahami bahawa ‘murtad’ adalah satu kesalahan jenayah menurut syariat Islam. Sememangnya menurut Perkara 18, PHAMS 1948 menetapkan bahawa manusia bebas memilih dan menukar agamanya pada bila-bila masa. Bagaimanapun ini bercanggah dengan syariat Islam yang telah diberi kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Bagi Islam soal pemeliharaan agama amat penting bagi menjamin keharmonian negara dan masyarakat. Orang yang meninggalkan Islam dianggap meruntuhkan negara dan masyarakat Islam secara kolektif.

Seperkara lagi yang perlu difahami, tidak timbul isu pelanggaran hak asasi sekiranya hukuman Islam dikenakan terhadap orang Islam yang murtad. Ini kerana perilaku murtad yang dikenakan hukuman hanyalah murtad yang diisytiharkan dan diketahui oleh khalayak. Menurut al-Buti andaikata kemurtadannya didiamkan atau tidak didedahkan kepada orang lain, maka hukuman di dunia tidak boleh dikenakan kerana kaedah umum yang diamalkan oleh pemerintah Islam ialah bertindak berdasarkan pandangan zahir, manakala urusan batin diserahkan kepada Allah SWT yang akan membalasnya di akhirat kelak. (al-Buti, Sa`id Ramadhan, Dr. (2004), Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, hal. 85)


Hal seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana fenomena- fenomena murtad boleh berlaku bukan sahaja dalam bentuk lazim difahami orang seperti seseorang menganggap Islam yang dianutinya sudah tidak diyakininya lagi. Malah ia juga berlaku dalam pelbagai bentuk lain seperti yang disebut oleh pemikir- pemikir Islam. Antaranya muslim yang memberikan hak penentuan hukum (al- hakimiyyah) dan perundangan kepada selain Allah. Membenci sesuatu sistem yang ada dalam Islam. Melihat hukum-hukum ciptaan manusia sebagai yang terbaik dan hukum-hukum syariat sebagai ketinggalan zaman. Melebihkan sistem yang lain ke atasnya atau menyamakannya. Mempersendakan sesuatu yang datang daripada al- Qur‘an dan al-Sunnah, atau syiar Islam. Mencela keperibadian Rasulullah SAW. Menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT atau sebaliknya dan lain-lain lagi (`Ulwan, `Abdullah Nasih, Dr.(1988), Hurriyah al-I`tiqad fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Salam, hal. 78-95; Ahmad Rasyad, Dr. (1998), Hurriyah al-`Aqidah fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Itrak li al-Nasyr al-Tawzi`, hal. 334-339)

Bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai yang masih menganut Islam. Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek adanya unsur “hirabah’’, iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula dari proses memberi penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya bertaubat dan berakhir dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar “hirabah’’ (al-qatlu hirabatan) sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah. (al-Buti, 2004:85-87).

Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud: “Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan melakukan fasad (kerosakan) di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang atau dibuang negeri...”. Walaupun ayat ini difahami oleh kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun, tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Maka terdapat ulama Salaf yang berpendapat hukum bunuh si murtad itu juga diambil daripada ayat ini, selain hadith-hadith sahih lain yang bertindak sebagai penghurai. Antara yang berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jami`al-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993), Malamih al- Mujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41)

Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat pula kes-kes murtad yang berpunca daripada perceraian, kejahilan dan lain-lain yang dikatakan bersifat peribadi. Antara yang menggemparkan negara iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 yang membenarkan seorang mualaf iaitu Siti Fatimah Tan Abdullah keluar daripada Islam. Siti Fatimah mendakwa dia memeluk Islam hanya untuk berkahwin dengan seorang rakyat Iran bernama Ferdoun Ashanian. Namun dia tidak pernah sekali-kali mengamalkan ajaran Islam malah masih mengekalkan amalan agama asalnya, Buddha. Peguam bela Siti Fatimah, Ustaz Ahmad Jailani menyifatkan permohonan yang dibuat oleh Siti Fatimah itu, bukan permohonan keluar Islam, tetapi permohonan dalam menentukan status agamanya, adakah Islam atau tidak. Walau apapun hujah yang diputuskan oleh mahkamah, kita tetap menghormati keputusan tersebut atas dasar menjunjung prinsip keadilan. Namun persoalan tetap timbul di kalangan bukan Islam, adakah Islam pada hari ini telah mengiktiraf murtad sebagai satu kebebasan hak asasi manusia?

Dalam hal ini, ada baiknya kita merujukkan kes ini, dengan apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini. Senarionya tidak jauh berbeza. Ia berlaku apabila badan kehakiman Mesir telah meminta fatwa daripada Universiti al-Azhar berkenaan permohonan bekas penganut Kristian Koptik yang masuk Islam hanya untuk kepentingan peribadi, seperti ingin berkahwin buat kali kedua atau menceraikan isteri (yang mana ditegah menurut agama mereka), dan setelah tujuannya tercapai ia murtad dan kembali ke agama asal.

Justeru itu, Universiti al-Azhar melalui Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, Syeikh Abdul Hamid al-Athrash telah mengeluarkan fatwa rasmi bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk kepentingan peribadi, lalu ia murtad setelah kepentingannya tercapai, telah melakukan suatu jenayah besar, yang tidak boleh dibiarkan. Sesiapa yang murtad, maka wajib baginya menerima hukuman syar’i, sesuai dengan batas- batas yang ditetapkan jumhur ulama, setelah yang berkenaan diminta bertaubat. Jika ada yang mengatakan bahawa hal ini bertentangan dengan ‘prinsip kebebasan beragama’, maka pandangan itu tertolak, kerana Islam tidak memaksa sesiapa jua untuk memeluk agama ini.

Syeikh al-Athrash juga memperingatkan bagi sesiapa yang berkeinginan untuk memeluk Islam, dia perlu mempelajari Islam dengan baik dan memiliki tekad yang kuat, kerana setelah menjadi muslim, dia tidak lagi dibenarkan murtad. Fatwa ini juga secara tidak langsung menunjukkan Syeikh al-Azhar telah menarik kembali kenyataannya yang mengatakan tiada hukuman bagi bukan Islam yang masuk Islam lalu murtad kembali. Fatwa Syeikh al-Azhar itu dikaitkan dengan tekanan-tekanan yang diterima beliau ekoran desakan daripada pertubuhan-pertubuhan sivil serta para aktivis hak asasi manusia. Ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Azhar tidak pernah sekali-kali mengorbankan hukum syarak atas apa jua alasan yang diberikan.(http://www.alarabiya.net/articles/2008/01/19/44427.html)

Fatwa al-Azhar ini jelas menunjukkan bahawa para ulama Islam sentiasa konsisten mengatakan bahawa murtad adalah satu jenayah dan si murtad wajib dihukum. Walaupun fatwa tersebut tidak menyebut bentuk hukumannya, apa yang pasti hukuman perlu dikenakan ke atas orang murtad yang memeluk Islam dengan rela hati tanpa sebarang paksaan. Tidak timbul soal mencabuli kebebasan beragama kerana Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agama ini. Oleh itu, kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang tidak boleh dijadikan asas kononnya Islam membenarkan murtad. Atau Islam telah mengiktiraf murtad sebagai hak asasi bagi penganutnya. Ini sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam di negara ini sejurus keputusan dibuat oleh mahkamah. Sedangkan alasan mahkamah membenarkan pemohon keluar Islam ialah kerana pemohon didapati tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak memeluknya pada tahun 1999. Bermakna, bukan atas alasan hak asasi pemohon.

Kesimpulannya, Islam ialah suatu agama yang amat realistik. Islam mengiktiraf kebebasan hak asasi manusia tetapi Islam melihatnya dalam ruang lingkup manusia sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT. Islam mengenali apakah batas-batas kemanusiaan itu. Apa jua yang menepati sifat-sifat kemanusiaan, Islam tidak pernah menafikannya bahkan diperintahkan oleh Islam walaupun tidak diperundangkan sebagai hak asasi. Manakala apa jua yang diluar batas-batas kemanusiaan maka ianya ditegah bahkan diharamkan oleh Islam walaupun pejuang hak asasi mendakwa ia suatu pencabulan terhadap kebebasan manusia. Sebaliknya perjuangan hak asasi rekaan Barat merupakan sesuatu yang relatif. Malah ia hanya menjadi kuda tunggangan golongan sekular dan liberalisme agama di sana.

Oleh kerana itu, Islam tidak sekali-kali dapat menerima kefahaman hak asasi berasaskan world-view Barat. Sesungguhnya hak asasi tidak pernah suci, tetapi manusia yang mendakwa ianya suci. Adapun agama, ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa bagi membimbing hidup manusia. Hampir kesemua agama mengakui hakikat itu. Walaupun agama tidak diagung dan disucikan oleh manusia, agama tetap suci pada esensinya sendiri. Lantaran itu, menjadi hak buat umat Islam untuk mempertahankan kesucian agamanya. Kesucian Islam bakal tercemar dengan perbuatan jenayah penganutnya. Murtad adalah antara jenayah terbesar menurut Islam. Dengan itu murtad bukan hak asasi, ia diharamkan oleh Islam malah si murtad yang tidak bertaubat tetap wajib dihukum.
Read more >>

Selasa, 10 November 2009

BUKAN ISLAM DILARANG MASUK MASJID?


Penulis terkejut apabila membaca berita berikut, "Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. "Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat". (Sila lihat di sini.)


Penulis tidak pasti sama ada ini adalah kenyataan berasaskan hukum atau lebih bersifat politik. Jika ia bersifat hukum, penulis lebih cenderung untuk tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut kecuali ia adalah 'satu fatwa' yang telah dikeluar dan diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor atas maslahat tertentu.


Bagi penulis hukum orang bukan Islam masuk ke dalam masjid adalah perkara khilaf kecuali Masjidil Haram di Makkah. Penulis perturunkan di sini fatwa al-marhum Syeikh 'Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Jami' al-Azhar) seperti berikut:- 

وقد ترجم البخارى فى صحيحه دخول المشرك المسجد، وأورد حادثة ربط ثمامة بن أثال بسارية من سوارى المسجد النبوى ، وكان ثمامة كافرا من بنى حنيفة ، وعلى هذا الرأى أكثر الأئمة ، وقصره الشافعى على الضرورة أو الحاجة ، وليس بصفة مستمرة ، ولعل هذا هو الرأى المناسب للفتوى. قال ابن حجر فى فتح البارى "ج 2 ص 107 " عن هذه المسألة : فيه مذاهب ، فعن الحنفية الجواز مطلقا ، وعن المالكية والمزنى المنع مطلقا ، وعن الشافعية التفصيل بين المسجد الحرام وغيره ، للآية ، وقيل : يؤذن للكتابي خاصة ، وحديث الباب يرد عليه ، فإن ثمامة ليس من أهل الكتاب انتهى. وأرى أنه لا مانع من دخول الزوار الأجانب غير المسلمين لمساجد المسلمين إذا كانوا فى برنامج سياحى ، أو لعمل هام ، ما دام ذلك بإذن المسلمين ، وفى ثورة 1919 م دخل القمص سرجيوس الجامع الأزهر وخطب فيه خطبة سياسية على مشهد من علماء المسلمين. دون إنكار منهم ، وذلك مراعاة للظروف ، واختلاف الآراء فيه رحمة. وننبه إلى وجوب احترامهم للمساجد وعدم التبذل فيها أو عمل شىء لا يوافق عليه الدين.

Kesimpulannya, satu garis panduan perlu dikeluarkan segera untuk menyeragamkan maksud pelarangan  orang bukan Islam masuk ke masjid. Membenarkan mereka masuk tanpa sebarang sekatan juga sesuatu yang tidak wajar...
Read more >>

Jumaat, 6 November 2009

BERDAMAI SUDAH...


DAMAI... Pertemuan tertutup antara bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz; dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip di salah sebuah hotel di ibu negara hari ini berjaya mencapai keputusan positif.


Alhamdulillah...inilah yang kita mahukan. Malah sepatutnya sikap bersemuka, berbincang dan saling mendengar antara satu sama lain dalam suasana harmoni ini telah diamalkan sejak awal lagi. Kadang-kadang prasangka dan dengar-dengar cakap 'org ketiga' boleh menyebabkan hal yang kecil menjadi besar seolah-olah tiada penyelesaian!!


Bagi penulis, isu Wahhabiyyah adalah punca segala-galanya. Sebenarnya isu ini sekiranya ditangani secara berhemah dan berhujah dengan cara beradab dan berhikmah kita akan dapat menanganinya. Tetapi jika menanganinya seperti ajaran sesat atau ajaran pelampau persis Jemaah Islamiyyah, Ma'unah dll inilah padah yang kita akan dapat. Kes JAIS adalah pengajaran terbesar kepada semua agensi agama dan penguatkuasa. Berhati-hatilah supaya Islam tidak difitnah akibat kegopohan dan ketidakbijaksanaan agensi agama bertindak. Pengalaman penulis dalam JAKIM sendiri, kita sentiasa mengadakan pertemuan dari masa ke semasa dengan kumpulan ini bagi menyelesaikan sebarang krisis atau perkara kontroversi yang timbul.

Pendirian JAKIM, aqidah mereka masih dalam kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, walaupun terdapat perbezaan dari segi metod antara Salaf & Khalaf. Apa yang penting, kita mahu mereka juga memahami bahawa isu-isu furu' yang ditimbulkan seperti soal tahlil, talqin dll, walaupun ianya kecil tetapi ia amat sensitif kerana telah diamalkan sejak turun termurun oleh masyakarat Islam di negara ini dan bukanlah isu utama yang perlu dibangkitkan untuk melakukan 'tajdid'. Bukankah masih banyak isu-isu besar yang merupakan prinsip yang perlu ditangani dalam negara ini!

Untuk mengetahui dan mengenali lebih lanjut siapakah sebenarnya Wahhabi..penulis persilakan rakan-rakan untuk membaca pandangan dua tokoh berikut iaitu Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin (klik di sini), Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Prof. Zakaria Stapa, bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM (klik di sini).

Read more >>

Khamis, 5 November 2009

WAHABI TIDAK PERNAH DIFATWA SESAT!!!


Itu kenyataan Timb. Menteri Di JPM...lihat di sini Wahabi tidak pernah difatwa sesat

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim. "Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita. "Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.


Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini. Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara. "Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.


"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. "Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.  "Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat. "Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Ulasan:

Bagi penulis isu ini telah seringkali diperkatakan. Di sini penulis perturunkan Dasar Kerajaan Pusat Berkenaan Fahaman Wahhabiyyah melalui perbincangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM :-

"Mengenai kumpulan Wahhabiyyah, pendirian JAKIM dan kerajaan adalah jelas, Wahhabiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu merupakan hasil daripada perbincangan beberapa kali di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003. Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat".



Read more >>

Ahad, 1 November 2009

KENAPA ISLAM MELARANG MELUKIS WAJAH NABI S.A.W.

Pada 30 September lalu, akhbar Denmark, Jyllands-Posten serta akhbar beberapa Negara Barat telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dengan penyiaran beberapa karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Sebuah akhbar tempatan, Sarawak Tribune yang turut menyiarkan karikatur itu juga telah digantung penerbitannya oleh kerajaan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berikutan isu yang berlaku ini, masyarakat kembali hangat memperkatakan soal hukum menggambarkan wajah atau tubuh Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dalam bentuk lukisan ilustrasi, ukiran patung dan seumpamanya. Di kalangan masyarakat bukan Islam pula, segelintir mereka mempertikaikan soal kerasionalan agama Islam tidak membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka apakah rasionalnya agama Islam menegah umatnya atau orang lain untuk melukis sebarang ilustrasi yang dikaitkan secara langsung kepada Nabi s.a.w.? Adakah agama Islam terlalu bersikap konsorvetif sehingga menghadkan hak kebebasan untuk berfikir dan berkreatif oleh umatnya sendiri? Adakah akidah Islam terlalu rigid sehingga melukis wajah atau jasad Nabi s.a.w. boleh dianggap sebagai sesuatu yang boleh menggelincirkan akidah daripada landasannya yang benar?

Mungkin inilah beberapa kemusykilan dan persoalan yang sering berlegar-legar di minda mereka yang mahukan penjelasan dan kebenaran di sebalik isu yang timbul ini. Golongan bukan beragama Islam di Malaysia boleh jadi bersetuju sekiranya kita mengatakan bahawa karikatur yang menggambarkan wajah dan sifat Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa Negara Barat itu adalah sesuatu yang melanggar etika beragama dan memang sepatutnya diharamkan memandangkan ia menyentuh soal sensitiviti beragama yang merupakan suatu hak yang tidak boleh dipertikai, disentuh atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Sudah menjadi kelaziman setiap bangsa dan Negara di dunia bersepakat untuk mengatakan soal agama adalah sesuatu yang suci dan tidak sekali-kali boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan.

Namun persoalan yang masih wujud, apakah rasionalnya agama Islam tetap tidak membenarkan lakaran gambar Rasulullah s.a.w. dalam apa jua cara dan kaedah? Menjawab pertanyaan ini perkara penting yang harus difahami oleh setiap individu yang ingin melibatkan diri dalam polemik ini iaitu memahami bahawa Islam itu terbahagi kepada dua aspek utama yang saling berkait antara satu dengan lain dan adalah mustahil untuk memisahkan antara kedua-dua aspek ini.

Dua aspek yang dimaksudkan itu ialah akidah dan syariah. Akidah dalam Islam adalah sesuatu yang menjadi pegangan atau kepercayaan umat Islam, secara kasar ia meliputi soal ketuhanan, kenabian dan Hari Akhirat. Manakala syariah pula merupakan suatu sistem perundangan atau cara hidup yang ditetapkan melalui sumber-sumber hukum tertentu yang antara lain bertujuan untuk menjaga kemurnian dan keutuhan akidah umat Islam itu sendiri. Sebagai contoh Islam menetapkan dari sudut akidah bahawa wajib setiap umat Islam mempercayai bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang rasul, manakala syariah pula menetapkan dan mengukuhkan lagi doktrin kepercayaan ini dengan menegaskan bahawa umat Islam yang memungkiri kepercayaan ini dengan sengaja tanpa sebarang takwilan dan keuzuran harus dijatuhi hukuman tertentu sebagai balasan di atas keengkarannya itu.

Dalam perspektif ini, syariah didatangkan oleh Islam dengan membawa pelbagai metod yang bersifat murunah atau fleksibel bertujuan membendung sebarang gejala yang boleh merendahkan, menghina mahupun merosakkan Islam, apatah lagi perkara yang menyangkut soal akidah dan kepercayaan atau disebut juga keimanan. Oleh itu dalam banyak-banyak metod yang digunakan oleh syariah untuk membendung kerosakan adalah kaedah yang dipanggil sadd al-zari'ah yang bermaksud 'menyekat jalan-jalan kerosakan'. Kaedah ini adalah antara yang terbanyak digunakan sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak yang bertujuan untuk menyekat terlebih dahulu sebarang jalan yang dikhuatiri boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah kerosakan dan kemusnahan.

Sebagai contoh, Islam melarang perbuatan zina, larangan ini pula telah diterjemahkan oleh syariah dengan menyediakan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita malah menetapkan etika berpakaian tertentu yang bertujuan secara umumnya untuk menyekat semua jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina. Begitu juga sekiranya kita berbalik kepada soal hukum melukis atau membuat lakaran wajah dan jasad Nabi Muhammad s.a.w., larangan terhadap perbuatan ini mempunyai signifikan tertentu memandangkan ia menyentuh secara langsung terhadap akidah anutan umat Islam itu sendiri dan memberi ruang untuk melakukan perbuatan tersebut ditakuti boleh memudaratkan kepercayaan dan keimanan bahkan melunturkan kesucian akidah Islam.

Pada dasarnya sudah ada hukum yang jelas oleh syariah berkaitan dengan gambar yang dibuat untuk diagung-agungkan atau dikuduskan. Sejarah wathanniyah (keberhalaan) membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap menguduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.

Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah s.w.t. melalui lisan Nabi Nuh a.s., "Dan mereka berkata, "Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa', yaghuts, ya'uq dan nasr" (Nuh: 23), bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya. Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.

Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa syarak menegah daripada menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk lukisan dan sebagainya adalah untuk mengelakkan sebagaimana apa yang terjadi ke atas umat terdahulu sehingga sampai ke peringkat mengagungkan orang-orang suci mereka seumpama beribadah kepada tuhan.

Logika lain pula yang membawa kepada tegahan tersebut adalah dilihat kepada beberapa andaian yang boleh berlaku berdasarkan analisis para ulama Islam seperti berikut:-

a. Mengimaginasikan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dalam bentuk watak lakonan mahupun lukisan atau selainnya sekali-kali tidak akan dapat menyamai peribadi sebenar wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w., oleh itu ia boleh membawa kepada impak pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w. dalam bentuk perbuatan kerana pembohongan tidak semestinya dengan lidah semata-mata. Maka pembohongan ke atas rasul adalah sesuatu yang jelas pengharamannya dengan nas hadith sahih yang menyebut: "Barangsiapa yang membohongi aku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka".

b. Keaiban dan kekurangan yang berlaku disebabkan oleh kelemahan manusia untuk memberikan gambaran sebenar terhadap wajah dan jasad Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang dilihat sendiri dengan mata yang sihat adalah merupakan sesuatu yang mencacatkan keperibadian Rasulullah s.a.w. seterusnya dianggap sebagai perbuatan yang menyakitkan Rasulullah s.a.w. Hukum menyakitkan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah s.w.t.: "Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat serta bagi mereka disediakan azab yang menghinakan". (Surah al-Ahzab: 57)

c. Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan model ikutan umat baginda, oleh itu mengimaginasikan baginda sehingga membawa kepada kecacatan dan keaiban boleh mencetuskan pandangan atau persepsi yang tidak adil atau menyeleweng terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. bagi umat yang mengikutinya. Sedangkan Allah s.w.t. berfirman dalam al-Qur'an: "Mereka (para nabi) itulah yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka (para nabi) itu, ikutilah ia". (Surah al-Ahzab: 21)

d. Gambaran atau lukisan yang tidak bertepatan malah mustahil untuk ia bertepatan dengan keperibadian sebenar Nabi Muhammad s.a.w. yang dipamerkan juga boleh mengundang kesangsian umat Islam terhadap keimanan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau sekurang-kurangnya melahirkan rasa hilang hormat terhadap kekudusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai insan yang sempurna dari sudut akhlak dan kejadiannya. Implikasi yang lebih berat adalah ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai qudwah ikutan serta sumber rujukan umat Islam selepas al-Qur'an.

Selain hujjah-hujjah di atas, keimanan kepada Nabi Muhammad s.a.w. juga merupakan salah satu cabang beriman kepada perkara yang ghaib. Namun ia termasuk dalam kategori ghaib yang tidak mutlak memandangkan Nabi Muhammad s.a.w. hanya ghaib bagi umatnya yang terkemudian dan tidak ghaib bagi para sahabat dan generasi yang sempat hidup dan melihatnya ketika hayat baginda. Oleh itu adalah menjadi sesuatu yang perlu diwaspadai kerana betapa banyak kesesatan yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada keterlaluan di dalam membicarakan persoalan ghaib.

Perkara ghaib dalam masyarakat Melayu pula sering dianggap sebagai sesuatu yang misteri, mistik, keramat dan sebagainya yang dikhuatiri kesemuanya boleh menjurus kepada kepercayaan khurafat. Membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. juga bermakna membuka jalan untuk golongan tertentu melukis serta mengimaginasikan seluruh perkara-perkara ghaib lain yang terdapat di dalam Islam seumpama melukis gambaran Allah, malaikat, syurga, neraka dan selainnya.

Dari sini maka akan timbul pelbagai perkara tahyul dan khurafat yang boleh merosakkan kesucian Islam sedangkan Islam sendiri merupakan agama yang sangat mementingkan fakta, realiti dan kebenaran. Menurut kesimpulan takrifan khurafat yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam buku Garis Panduan, Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual JAKIM, khurafat ialah sesuatu perkara mempesonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut yang menyimpang dari ajaran Islam sedangkan tahyul pula iaitu semua cerita sama ada khayalan atau rekaan yang meliputi cerita-cerita yang mempesonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.

Bertolak dari penjelasan ini kita boleh membuat konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah s.a.w. secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem tathabbut iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadith dan ilmu usul fiqh.

Berasaskan dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang dibentangkan di atas maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa pengharaman menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah s.a.w.. Antaranya adalah fatwa Syeikh Hasnain Makhluf pada bulan Mei 1950 dalam kitab al-Fatawa al-Islamiyyah, jilid 4, mukasurat 1297, Lajnah Fatwa al-Azhar pada bulan Jun 1968, Majlis Majma' Buhuth al-Islamiyyah pada bulan Februari 1972 dan Majlis Majma' al-Fiqh al-Islami Makkah kali ke-8 pada tahun 1405 hijrah.

Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujjah-hujjah naqli (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia. Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujjah-hujjah di atas tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati kepercayaan orang lain ditambah pula dengan ketegaran untuk tidak memahami keutamaan keharmonian beragama di Negara ini.

Read more >>

ISU YOGA YANG BELUM SELESAI...


Sejak fatwa Yoga dikeluarkan pada Oktober 2008, penulis dan rakan-rakan di Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM tak henti-henti dihujani dengan pelbagai persoalan yang inginkan penjelasan. Lebih-lebih lagi penulis adalah penyelidik yang terlibat secara langsung dalam isu Yoga bersama ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM, Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dari UKM.

Terbaru, penulis dijemput menyampaikan taklimat Yoga di Auditorium Parcel E, Putrajaya untuk kakitangan kerajaan sekitar Putrajaya. Bagi penulis, fatwa Yoga bukanlah suatu perkara yang terlalu sukar untuk difahami sekiranya kita terlebih dahulu memahami batas-batas aqidah di dalam Islam. Apa yang menjadi permasalahan apabila ummah tidak memahami agamanya sendiri lalu bertindak mempertikaikan fatwa-fatwa yang dianggap tidak menggugat anutannya terhadap Islam.

Ada pula yang bertanya tentang kedudukan senaman-senaman lain selain Yoga. Dalam hal ini, kaedah hukum mengatakan 'asal setiap sesuatu itu adalah harus'. Oleh itu belum ada sebarang fatwa yang mengatakan senaman-senaman itu haram, maka ia kekal pada hukumnya yang harus. Bagaimanapun bagi rakan-rakan yang mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap senaman tersebut (seperti Tai Chi, Reiki dll) maka penulis menasihatkan supaya mereka meninggalkan senaman-senaman tersebut berdasarkan kaedah 'tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan'. Wallahu a'lam.

Apapun...di sini penulis sertakan kertas kajian serta hujah-hujah kenapa Yoga diharamkan..harapan penulis semoga ada jua manfaatnya buat rakan-rakan di luar sana. Klik di sini Hujah Pengharaman Yoga
Read more >>