Jika
dulu pemegang amanat, kini pula menjadi pengkhianat? Demikianlah luahan yang hampir
terungkap buat segelintir bekas pemegang jawatan tertinggi penjawat awam. Gelagat
seumpama itu tidak hairan jika terlihat pada seorang rakyat marhaen biasa.
Namun
ia luar biasa jika terzahir daripada seorang bekas pegawai tertinggi kerajaan
pusat! Kenapa sampai begitu sekali tindak tanduk kelompok yang dikenali G25
itu?
Bukankah
suatu ketika dahulu, mereka itulah kumpulan tertinggi dalam perkhidmatan awam
yang bertanggungjawab mempertahankan kedudukan istimewa Islam sebagaimana yang
terserlah melalui sumpah jawatan Yang di Pertuan Agong
(YDPA) [Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37
Perlembagaan Persekutuan].
Berdasarkan
peruntukan tersebut, YDPA mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memelihara Islam pada setiap masa di
negara ini. Justeru, tugas dan tanggungjawab ini turut
terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dalam
menjalankan fungsi eksekutifnya. Oleh itu, sekian lama mereka menjadi pelaksana
kepada fungsi eksekutif YDPA, mengapa kini mereka mula beralih arah?
Perlu
diingat, memelihara agama Islam di peringkat pusat bukanlah tanggungjawab
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semata-mata. Di mana pun posisi pegawai
kerajaan pusat itu, Islam wajib sentiasa dijunjung dan dipelihara demi
merealisasikan sumpah jawatan YDPA.
Islam
sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah
agama bagi Persekutuan. Dengan kata lain, Islam adalah agama yang memerintah.
Perlembagaan tidak pernah mengatakan Islam adalah agama rasmi yang membawa erti
sekadar untuk adat istiadat dan upacara rasmi.
Tuduhan
kelompok G25 bahawa Perlembagaan Persekutuan kian tergugat dek kerana
pelaksanaan undang-undang syariah yang semakin menyerlah, persis kacang lupakan
kulit. Adakah G25 sudah lupa asal usul kejadian Perlembagaan Persekutuan itu?
Adakah
di Tanah Amerika ia dihasilkan atau di Tanah UK ianya dilahirkan? Jawapannya
tentu tidak, bahkan di Tanah Melayu ia dimuktamadkan, bumi keramat nenek moyang
bangsa Melayu Islam sejak zaman berzaman.
Seburuk-buruk
bangsa penjajah yang menjajah, mereka masih bertoleransi akan dua kekeramatan
bangsa Melayu. Itulah raja dan agama. Tidak diabaikan sama sekali, ia kekal
termaktub kukuh dalam Perlembagaan Negara. Bukti bahawa bumi ini punya sejarah,
tradisi, budaya dan agamanya yang tersendiri.
Kewujudan
Empayar Melayu Melaka dengan segala kehebatannya amat berkait
rapat dengan pelaksanaan hukum-hakam Islam oleh para pendakwah. Pemerintah Melaka amat menghormati ajaran Islam dan
menjadikan istana sebagai pusat perkembangan Islam.
Malah
peranan Islam begitu penting di zaman itu hingga disyaratkan seseorang yang menjawat
jawatan tertinggi dalam pentadbiran di Melaka,
hendaklah mengetahui dan memahami Hukum Kanun Melaka.
Hukum
Kanun Melaka pula tidak lain mengandungi Undang-undang
Jenayah (meliputi qisas, hudud, ta‘zir dan diyah),
Undang-undang Muamalah, Undang-undang Keluarga,
Undang-undang Keterangan dan Acara, syarat-syarat
menjadi pemerintah serta tanggungjawab terhadap pemerintahan.
Selain
daripada Undang-undang Melaka terdapat beberapa teks undang-undang
Melayu-Islam lama seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Sembilan Puloh Sembilan Perak, Undang-undang
Sungai Ujong dan Undang-undang Johor.
Berdasarkan
kenyataan ini, amat jelas bagaimana kedudukan Islam
dalam masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah. Islam telah menjadi agama yang mentadbir negara dan bukan sekadar diamalkan
secara individu semata-mata.
Inilah
hakikat bumi tempat lahirnya Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan lahir di Amerika,
UK, atau Australia yang beracuan demokrasi liberal Barat. Ia lahir daripada
rahim Tanah Melayu yang telah sekian lama disemai oleh sistem beraja dan
perundangan Islam.
Justeru,
di mana warasnya kenyataan G25 apabila mengatakan Perlembagaan Persekutuan
semakin digugat dengan pelaksanaan undang-undang syariat? Bukankah semakin
meluasnya pelaksanaan syariat, ia indikasi semakin terlerainya belenggu
pemikiran penjajah dalam menafsirkan Perlembagaan? Ia bagaikan sirih pulang ke
gagang!
Menurut
Prof. Ahmad Ibrahim, oleh kerana perkataan “Islam” dan
bukan “ugama Islam” yang digunakan
dalam Perkara 3, bolehlah dihujahkan bahawa apa yang dimaksudkan ialah Islam sebagai cara hidup iaitu Islam
sebagai “al-Din”.
Malangnya
kelompok G25 itu seakan-akan sengaja tidak mahu memahami hal ini. Malah mereka
beralasan undang-undang syariah yang diamalkan di negara ini mencampuri urusan
peribadi seseorang. Ia dikatakan pencabulan terhadap hak asasi manusia yang
juga pencabulan terhadap Perlembagaan.
Dalam
surat terbuka G25 pada 2014, mereka mengatakan, “Pada hemat kami, terdapat
keperluan segera untuk menilai kembali Undang-undang Jenayah Syariah di
Malaysia. Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi”
sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek
substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip
perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh
kehidupan peribadi rakyat.”
Terbaru,
mereka mengusulkan secara terang-terangan agar peruntukan kesalahan khalwat
yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri dibuang.
Lebih
ekstrem lagi, terdapat pandangan dalam kumpulan tersebut yang mahukan JAKIM
dimansuhkan terus. JAKIM dituduh banyak mencampuri hal peribadi keislaman
seseorang yang disifatkan “dosa peribadi.”
Soalnya,
benarkah dakwaan G25 bahawa institusi seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam
Negeri-Negeri (JAIN) mencampuri “dosa peribadi” seseorang?
Bagi
menjawab kekeliruan ini, analogi paling mudah difahami bagi seorang bekas
pegawai tinggi perkhidmatan awam adalah dengan mengambil “Peraturan-peraturan
Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)” sebagai perbandingan.
Bukankah
banyak perkara bersifat “dosa peribadi” yang dilarang dalam peraturan tersebut?
Seseorang penjawat awam wajib berpakaian mengikut etika berpakaian yang
ditetapkan. Adalah suatu “dosa peribadi” jika mereka berpakaian sesuka hati
seperti bersinglet, baju-T lengan pendek tanpa kolar, berseluar atau berskirt
pendek dan sebagainya.
Dalam
peraturan 4(2)(d), seseorang pegawai awam tidak boleh berkelakuan dengan cara
yang boleh memburukkan/mencemar nama baik perkhidmatan awam. Antaranya,
terlibat dalam penyalahgunaan dadah, kesusahan berat kerana hutang, melakukan
gangguan seksual dan menjalankan hubungan sulit dengan isteri/suami orang
walaupun di luar waktu bertugas.
Semua
ini adalah “dosa peribadi” yang dianggap satu kesalahan dalam perkhidmatan
awam. Namun, tidak pula kedengaran semasa dalam kerajaan, ada individu-individu
dalam G25 itu yang menentang peraturan tersebut atas dasar mencampuri kehidupan
peribadi seseorang.
Jika
“dosa peribadi” yang terkandung dalam peraturan perkhidmatan awam itu boleh
diterima, mengapa pula “dosa peribadi” seperti yang terkandung dalam
undang-undang syariah tidak boleh diterima? “Double standard” apakah ini?
Jika
dalam perkhidmatan awam, kita boleh bercakap soal imej, soal memelihara nama
baik jabatan yang diteraju, kenapa pula dalam soal beragama kita tidak boleh
bercakap soal yang sama?
Adakah
agama ini tidak perlu dijaga dan dipelihara? Persetankan sahaja soal agama ini?
Biarkan saja seseorang beragama dengan cara yang dia suka. Menjadi gay,
lesbian, biseksual, atau transeksual. Biarkan mereka berjudi, minum arak atau
berzina. Biarkan mereka masuk Hindu, Buddha atau Kristian. Biarkan. Itu semua “dosa
peribadi”. Jangan dikanunkan “dosa peribadi”.
Jangan
kita menjadi hipokrit semata-mata kerana kejahilan memahami agama yang suci
ini. “Dosa peribadi” yang kita faham itu jangan dinilai dengan akal semata-mata.
Jangan diukur “dosa peribadi” itu dengan ukuran hak asasi manusia pada mata
Barat.
Jika
tidak, maka jadilah “dosa peribadi” itu soal remeh temeh. Urusan individu yang mutlak
tanpa ada kena mengena dengan tanggungjawab pemerintah.
Ketahuilah
betapa banyak kaum dan bangsa di bumi ini yang dihancurkan Allah s.w.t akibat “dosa
peribadi” yang berleluasa. Lihatlah kaum Luth dihancurkan Allah s.w.t atas
perbuatan liwat yang dilakukan. Perhatikan bagaimana kaum ‘Ad, Thamud dan
Madyan dibinasakan Allah s.w.t kerana menentang ajaran para nabi a.s.
Sedangkan
semua itu jika ditimbang dengan neraca hak asasi manusia Barat, ia bukanlah “dosa”
sama sekali. Bahkan hak asasi yang perlu dipertahankan dan ditentang segala
musuh-musuhnya.
Bagaimana
mungkin seseorang yang jelas worldview Islamnya akan memandang perkara
maksiat dengan kaca mata hak asasi Barat. Kecuali jika pemikiran seseorang itu
telah rosak diracun liberalisme Barat atau terjangkit faham sekuralisme dalam
hidup bernegara.
Ingatlah,
Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Antara
tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu, tersebar kejahilan, diminum arak dan
terzahirnya pezinaan.” (HR al-Bukhari
dan Muslim)
Dalam hadis yang
lain Nabi s.a.w menegaskan, “Kelak akan ada di kalangan umatku yang
menghalalkan zina, sutera, arak dan alatan muzik.” (HR al-Bukhari)
Hadis-hadis ini
mengisyaratkan bagaimana parahnya keadaan umat di akhir zaman apabila maksiat
semakin berleluasa.
Dari sinilah datangnya
tanggungjawab pemerintah. Allah s.w.t sendiri yang meletakkan tanggungjawab
menjalankan amar makruf nahi mungkar ke atas pemerintah yang berkuasa.
Firman-Nya,
“Mereka (umat Islam)
yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka
mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan
serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah)
bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)
Bererti
apa yang kita lihat pada hari ini seperti JAKIM, JAIN, enakmen dan akta
berkaitan syariah, semua itu adalah terjemahan kepada melaksanakan perintah
Allah s.w.t tersebut. Jika pun ada kelemahan daripada sudut teknikal
pelaksanaan atau pentadbiran, jangan pula sampai menafikan asas-asas
kewujudannya.
Segelintir
orang sering memandang “allergic” kepada golongan agama. Dikatakan golongan agama itu kolot, jumud dan tidak tahu mengurus. Namun, bila
wujud institusi seperti JAKIM yang bertanggungjawab
mengurus agama secara profesional, disaran pula agar dihapuskan.
Apa
isu sebenarnya, mereka ini anti agama atau anti orang dan institusinya? Jika orang
dan institusinya, maka tiada bezanya dengan sekalian institusi kerajaan yang lain.
Tiada institusi yang sempurna selagi yang mentadbirnya adalah manusia. Tetapi
jika agama yang mereka antikan, maka institusi agama sehebat manapun mereka
pasti akan menentangnya.
Dalam
isu khalwat, biarpun mungkin ada kelemahan dalam kes-kes tertentu. Jangan
sampai menafikan keabsahan kesalahan tersebut dari sudut syarak dan
tanggungjawab kerajaan melaksanakan siyasah syar’iyyah.
Jangan
disamakan tangkapan khalwat dengan mengintip atau mengintai kesalahan orang
lain (tajassus). Jelas termaktub dalam prosedur tangkapan khalwat,
seorang Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan
menyatakan tujuan kehadiran kepada orang yang disyaki atau mana mana orang yang
berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau
waran geledah. Apakah ini dinamakan mengintip?
Bahkan
cara seumpama ini dapat menyekat daripada orang yang belum melakukan maksiat,
membatalkan niatnya, atau yang sedang melakukan maksiat memberhentikan
maksiatnya. Ini disebut mencegah maksiat, bukan mengintip maksiat.
Hal
ini memang dituntut oleh syarak, ia bukan mencari-cari kesalahan, tetapi
bertindak berdasarkan aduan masyarakat sekeliling yang melihat kemungkaran lalu
disampaikan kepada pihak berkuasa. Ia bertepatan dengan konsep siyasah syar’iyyah
dalam pemerintahan negara.
Al-Imam
al-Mawardi menjelaskan dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, “Maksiat yang
sekiranya dibiarkan, akan berlaku satu pencerobohan dan pencemaran terhadap
maruah dan kehormatan yang akan terlepas daripada disekat dan dihalang.
Misalnya, sekiranya seseorang yang dipercayai membuat aduan kepada penguatkuasa
tentang seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita untuk berzina
dengannya atau dengan lelaki lain untuk membunuhnya. Maka penguatkuasa dalam
keadaan ini boleh membuat intipan dan berusaha untuk membongkar, menyiasat dan
menyelidiknya untuk mengelak daripada terluputnya usaha menyekat dan menghalang
pencerobohan terhadap kehormatan dan melakukan perbuatan yang haram. Begitu
juga dengan penguatkuasa yang sukarela (yang tidak dibayar gaji), boleh juga
melakukan pembongkaran dan penyiasatan serta memungkirinya.”
Kesimpulannya,
kelompok G25 itu ibarat orang berjalan yang melangkah ke belakang. Semakin
berjalan semakin menjauh ke destinasi yang dituju. Walhal semakin kuat
pelaksanaan Islam di negara ini, semakin dekat kita dengan seruan Allah s.w.t “Baldatun
toyyibah wa rabbun ghafur” (Negara yang baik, Tuhan Yang Maha Pengampun).
Secara
fitrah, semakin berumur individu muslim itu, semakin lentur hatinya untuk
mendekati Tuhan. Itulah kebijaksanaan yang sebenar. Bukan terus bergelumang dengan
ego kedudukan tinggi dan pangkat besar yang pernah dimiliki.
Ingatlah
sabda Nabi s.a.w, “Orang yang paling bijaksana adalah orang yang sentiasa
memuhasabah dirinya serta beramal untuk bertemu Allah selepas kematiannya. Sedangkan
yang kurang bijak adalah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan
sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (HR al-Tirmizi).
Wallahu
a’lam.