Selasa, 17 Januari 2012

Tiada kompromi dengan kekufuran dan kemaksiatan

Adalah HARAM bagi umat Islam meredai sesuatu perbuatan kufur dan maksiat. Biarpun dirinya sendiri tidak melakukan perbuatan tersebut, namun sikap meredai sesuatu perbuatan kufur atau maksiat adalah dilarang di dalam agama Islam. Reda di sini bermaksud memuji, tidak menentang atau membantah, mendiamkan diri apatah lagi merekemendasi sesuatu perbuatan kufur dan maksiat tersebut.

Kaedah menyebut al-ridha bil kufri kufrun (reda dengan kekufuran adalah kufur), al-ridha bil fisqi fisqun (reda dengan kefasiqan adalah fasiq) dan al-ridha bil ma’siyati ma’siyatun (reda dengan kemaksiatan adalah maksiat). Menurut Imam al-Razi, kaedah ini telah disepakati oleh ijma’ ulama. Ia adalah antara kaedah yang diungkapkan oleh Ibn ‘Abbas ketika mentafsirkan surah al-Taubah ayat 23. (Lihat al-Razi, Fakhr al-Din (2000), al-Tafsir al-Kabir, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j.16, hal. 16 & j.26, hal. 215)

Antara contoh senario meredai perbuatan kufur dan maksiat yang boleh dilihat mutakhir ini adalah seperti berikut:-

Kes pertama: Seorang wanita bertudung berkata, “Walaupun saya bertudung, saya tetap menghormati pendirian golongan wanita yang tidak mahu bertudung, ini kerana bertudung adalah hak peribadi masing-masing”.

Kes kedua: Seorang lelaki yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu berkata, “Saya percaya Islam adalah agama yang terbaik, namun saya percaya tiada tegahan untuk seseorang murtad atau keluar daripada Islam, ini kerana Islam membenarkan kebebasan beragama dan berfikir”.

Kes ketiga: Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita secara sah berkata, “Meskipun saya sendiri tidak berminat kepada nafsu sesama jenis, itu tidak bermakna saya menentang perkahwinan sejenis dengan meletakkan hukuman berat terhadap sesiapa yang melakukannya”.

Ketiga-tiga dialog di atas adalah contoh hakisan aqidah dan syariah yang sedang menjalar ke dalam pemikiran segelintir umat Islam pada hari ini. Ye, mereka sendiri memang tidak melakukan perbuatan kufur dan maksiat tersebut, tetapi apabila ia dilakukan oleh orang lain, mereka tidak pula mengatakan ia satu kesalahan dan dosa yang perlu diawasi dan ditentang. Pertimbangan agama diketepikan sebaliknya ‘akal’ digunakan secara berlebihan untuk menjustifikasikan sikap toleransi dan kompromi terhadap kekufuran dan maksiat.

Mereka terlupa bahawa pertimbangan ‘akal’ itu tidak sempurna seperti yang disangkakan. Kerana ‘akal’ hanya melihat dari sudut implikasi duniawi yang terbatas. Apabila ‘akal’ tidak melihat apa implikasi duniawi yang berlaku, maka ‘akal’ akan memutuskan itu hanya satu ‘pilihan’ yang terserah kepada individu sama ada mahu melakukan atau tidak. Tapi, cuba bayangkan jika ‘akal’ menghukumkan secara songsang sesuatu yang jelas berimplikasi duniawi.

Sebagai contoh, seseorang berkata, “Walaupun saya memakan makanan yang baik, tetapi itu tidak bermakna saya melarang orang lain untuk memakan racun”. Atau seseorang berkata, “Walaupun saya sendiri sentiasa menjaga keselamatan nyawa, tetapi itu tidak bermakna saya menegah orang lain untuk membunuh, ia terserah kepada hak asasi masing-masing”.

Kedua-dua dialog ini jelas membawa jenis ‘akal’ yang songsang. Mustahil ‘akal’ akan biar memilih sesuatu yang membawa implikasi duniawi yang buruk. Sepatutnya ‘akal’ akan mengatakan bahawa makan racun dan membunuh bukanlah satu pilihan, ia adalah satu larangan dan patut ditempelak dengan sekeras-kerasnya kerana implikasi duniawinya jelas. Mudarat kepada jasad dan nyawa!  

Sebaliknya apabila ‘akal’ digunakan untuk menilai ‘implikasi uhkrawi’ memang ia tidak akan menjadi apa-apa, kerana akal tidak mampu mengukur apa ‘implikasinya’? Masakan ‘akal’ dapat melihat murka Allah, dosa dan neraka seperti ‘akal’ boleh melihat orang yang menggelupur akibat menelan racun atau dibunuh? Kerana itu neraca agama (wahyu) penting dalam soal berkaitan hukum hakam dan ‘akal’ tidak boleh menjadi pengukur atau penimbang utama untuk menentukan pendirian.

Berbalik kepada tiga senario yang dibawakan, seseorang yang benar-benar faham kaedah yang dibentang, sepatutnya akan mengatakan seperti ini:-

Kes pertama: Seorang wanita bertudung berkata, “Walaupun saya bertudung, saya merasa sedih kerana masih tidak mampu menarik rakan-rakan yang tidak bertudung untuk mengenakan tudung, ini kerana bertudung adalah perintah Allah SWT yang muktamad di dalam al-Qur’an yang sewajibnya dilaksanakan oleh setiap wanita muslimah, semoga Allah memberi hidayah kepada mereka”.

Kes kedua: Seorang lelaki yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu berkata, “Saya percaya Islam adalah agama yang terbaik, malah hanya Islam satu-satunya agama yang benar. Murtad atau keluar Islam adalah satu jenayah yang ditegah oleh Islam dan kesannya di akhirat kelak, mereka akan diazab di dalam neraka selama-lamanya. Oleh itu, menjadi kewajipan umat Islam untuk menyelamatkan saudara seislam yang terjebak ke dalam kancah murtad untuk mengembalikan mereka kepada Islam”.

Kes ketiga: Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita secara sah berkata, “Meskipun saya sendiri tidak berminat kepada nafsu sesama jenis, itu tidak bermakna saya berkahwin kerana kecenderungan seks semata-mata, tetapi kerana mematuhi perintah Allah SWT yang hanya membenarkan perhubungan antara lelaki dengan wanita yang sah sahaja. Adapun perkahwinan sejenis adalah haram dan mengundang kemurkaan Allah, malah hukum syara’ telah menetapkan hukuman tertentu terhadap pelaku perbuatan tersebut. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada sesiapa yang terjebak ke dalam perbuatan tersebut di kalangan umat Islam”.

Beginilah cara yang sepatutnya dijawab (atau seumpamanya) apabila kita dihadapkan dengan isu-isu yang melibatkan aqidah dan syariah. Jangan sekali-kali menampakkan tanda-tanda toleransi dan kompromi terhadap kekufuran dan kemaksiatan. Hakikatnya, apabila kita sanggup berkompromi dengan kufur dan maksiat, bermakna kita membiarkan orang lain terdedah kepada bahaya implikasi ukhrawi yang tak terlihat dengan mata dan tak tercapai oleh akal. Maka ia tak ubah seperti manusia yang ber ‘akal’ songsang, kerana yang patut ditegah, tidak ditegah.

Wallahu a’lam.
Read more >>

Ahad, 1 Januari 2012

Sambut Tahun Baru dan fenomena sekular

Setiap kali tiba Ambang Tahun Baru, maka bermulalah cerita-cerita yang sama. Esok lusa akan penuh di dada-dada akhbar pelbagai berita tentang kemeriahan sambutan, bagi akhbar-akhbar tabloid, mereka telah bersiap siaga mengerahkan para wartawan untuk bertugas mencari berita di hotel-hotel murah dan tempat-tempat strategik, dengan harapan esok atau lusanya ada berita HOT yang akan dipaparkan pada muka surat hadapan. "Bermukah dalam hotel murah", "Kondom bersepah", "Pasangan muda dicekup" dan macam2 lagi berita yang melariskan. 

Ini antara perkara-perkara "confirm" yang akan berlaku pada malam tahun baru. Pemimpin pula, seperti biasa sibuk dengan retorik mereka kononnya sambutan diadakan sebagai lambang 1Malaysia, perpaduan, kemajuan dan entah apa-apa lagi istilah yang stereotaip dalam ucapan mereka.

Kadang-kadang penulis jadi bosan bila membaca karya-karya akademik berimpak tinggi tentang sekularisme agama. Karya-karya itu sangat baik tetapi tak membawa apa-apa erti kepada umat Islam. Buku-buku, artikel-artikel jurnal dan kertas-kertas kerja cukup banyak ditulis dan dibentang membahaskan tentang bahaya sekularisme agama, tetapi tiada juga kesannya. 

Sama juga dengan liberalisme dan pluralisme agama, ditulis, dibahas dan dibentang berkali-kali dalam pelbagai seminar, namun hanya tinggal teori semata-mata. Bila pergi kepada praktikaliti, seolah-olah sekularisme, liberalisme, pluralisme itu tiada, cuma omong-omong kosong pengkaji, pembentang, pembahas dan penganjur sahaja.

Adakala pula, isu sebegini sekadar dijadikan bahan politik bermusim. Bila ada kesempatan untuk labelkan Parti B sebagai pendukung liberal, maka Parti A pun mencacai ke sana ke mari konon Parti B terkeluar landasan Islam kerana menganut liberal. Soalnya, benarkah Parti A suci dan bersih daripada liberal? Oh tidak, kerana Parti A juga terjebak dalam perbuatan liberal dan sekular, saat itu Parti A dan penyokong-penyokong hanya membisu. 

Hati kecil mereka pun tahu, menghentam parti lawan itu memang KERJA LUMRAH dalam politik, biasalah "kami" orang politik. Jadilah agama modal orang politik bila-bila perlu. Tapi, bila tak perlu dan tak sesuai pada masa, tempat dan keadaan, agama pun dibuat tidak acuh. Institusi yang jaga agama pun tak perlu dirujuk. Katanya, ini tiada kaitan agama, tak perlu rujuk, kalau program Ma'al Hijrah ke, Maulidur Rasul ke, itu memang "kami" rujuk kepada institusi agama.

Inilah bahana sekularisasi agama, dari sekecil-kecil perkara merebak menjadi suatu polisi dalam bernegara. Kita biasa lihat seorang wanita yang tak bertudung akan memakai tudung bila ke Mekah, hadir ke majlis kematian atau bila masuk Ramadan. Rupa-rupanya amalan individu itu juga telah menjadi dasar negara, bila negara sedang menjalani ibadah Ramadan maka segala aktiviti keramaian dan hiburan dihentikan sebagai "menghormati" Ramadan, tetapi bila tiada Ramadan maka bebaslah sebebas-bebasnya seolah-olah Tuhan, titah perintah, halal dan haram hanya ada pada Ramadan, di Mekah/Madinah, majlis kematian dan upacara keagamaan sahaja.

Itu sebab sambutan Merdeka dan Ambang Tahun Baru yang dibuat saban tahun tak perlu rujuk institusi agama, sebab tiada kaitan dengan agama. Selagimana tak berlaku kematian mana-mana pembesar negara atau tidak terkena dengan masa berpantang (bulan Ramadan), maka dihalalkan segala-galanya. Memang pun pada kedua-dua malam tersebut kemuncak kepada segala pesta yang ditunggu-tunggu. Dari sebesar-besar pangkat sampai serendah-rendahnya akan turun meraikan. Segala ongkos akan dikeluarkan biarpun puluhan atau ratusan ribu, janji semua akan gembira dan terhibur sehingga ke tahap paling maksimum!

Penulis buntu dan tak tahu, "sunnah" manakah yang dipakai oleh umat Islam pada hari ini? Penulis juga keliru, adakah kemerdekaan negara dan sambut tahun baru itu lebih mulia dan signifikan jika dibanding dengan kemenangan hijrah Rasulullah SAW dan pembebasan kota Mekah (fathu Makkah)? Adakah hari merdeka dan tahun baru ini lebih utama dari hari raya yang disyariatkan dalam Idul Fithri dan Idul Adha? Penulis juga tidak tahu adakah perayaan yang dibuat ini pernah dibuat oleh Rasulullah SAW, para sahabat, khulafa' al-rasyidin atau mana-mana khilafah Islam terdahulu?

Penulis bimbang kalau umat Islam sebenarnya, benar-benar telah terjebak ke dalam jerangkap samar Yahudi dan Nasrani seperti sabda Rasulullah SAW:

عن أبي سعيد الخدري قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لتتبعن سنن الذين من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا في حجر ضب لاتبعتموهم ، قلنا : يا رسول الله ، اليهود والنصارى؟ قال : فمن؟   

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada semua…wallahu a'lam.

Read more >>