Rabu, 24 Oktober 2012

Haji sebenar Syiah di mana??

Dikatakan ini ka'bah Syiah di Karbala
Berkenaan kefardhuan ibadah haji di sisi Syiah, golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menafikan ia juga adalah ibadah yang diwajibkan menurut ajaran Syiah Imamiyyah Ithna Ashariyyah[1]

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ajaran Syiah benar-benar terlepas daripada sebarang keraguan berkenaan ibadah haji. Jika dirujuk kepada kitab-kitab Syiah dan pandangan para ulama mereka, terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan keraguan dalam pegangan Syiah berkaitan ibadah haji. Antaranya adalah berkenaan status menziarahi makam Sayyidina Husayn r.a yang seolah-olah lebih besar pahalanya berbanding menunaikan ibadah haji dan kedudukan tanah Karbala yang seolah-olah lebih suci daripada tanah Makkah. Antara riwayat-riwayat yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:

Diriwayatkan daripada al-Sadiq, Ja'far bin Muhammad bahawa beliau berkata, "Ziarah Husain bin Ali adalah wajib atas setiap yang mengakui keimaman Husain daripada Allah 'Azza wa Jalla". Lalu beliau berkata lagi, "Menziarahi Husain menyamai seratus haji yang mabrur dan seratus umrah yang diterima"[2].

Selain itu, tanah Karbala yang menjadi tempat persemadian jasad Sayyidina Husain juga dianggap sebagai tanah yang suci sehingga ia dijadikan tempat sujud oleh penganut Syiah. Keutamaan yang seperti ini tidak pula wujud pada tanah-tanah yang lain termasuk tanah Makkah yang merupakan tanah haram serta tanah Madinah yang menjadi tempat pemakaman Rasulullah S.AW. Antaranya ialah riwayat-riwayat seperti berikut:

Syiah sujud di atas batu Karbala
Allah akan menjadikan Karbala sebagai pusat dan tempat berkumpul para malaikat dan orang-orang mukmin. Ia akan memiliki kemulian, akan tersebar padanya berbagai keberkatan. Seandainya seseorang berdoa di sana kepada Rabb-nya, nescaya Allah akan memberikan dengan satu doa sahaja seribu kali lipat kerajaan dunia. Berbagai tempat di bumi saling berbangga, Ka’bah yang di tanah haram berbangga di atas Karbala. Maka Allah wahyukan kepadanya: Wahai Ka’bah tanah haram diamlah engkau! Jangan engkau berbangga diatas Karbala! Sesungguhnya dia bumi yang penuh berkat[3].

Dalam riwayat Syiah yang lain disebutkan, “Allah telah menciptakan padang Karbala sebelum menciptakan bumi Ka’bah (kota suci Makkah) selama dua puluh empat ribu tahun. Ia (Karbala) telah suci dan berkat sebelum penciptan para makhluk. Ia senantiasa demikian sampai Allah jadikan ia sebagai tempat yang paling afdhal (mulia) di dalam surga[4].

Riwayat-riwayat seperti ini sudah tentu akan menimbulkan kesangsian golongan Ahl al-Sunah wa al-Jama‘ah terhadap Syiah kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa Syiah mempunyai tempat yang lebih utama untuk diziarahi selain daripada Bayt Allah di Makkah dan makam Nabi SAW di Madinah. Pandangan melampau Syiah terhadap ziarah kubur Sayyidina Husain dan kesucian tanah Karbala berbanding Makkah ini juga, berkemungkinan menyebabkan timbul persepsi di kalangan sesetengah golongan Sunni bahawa penganut Syiah tidak mewajibkan ibadah haji di Makkah.

Ahli Sunnah wal-Jamaah juga agak sukar untuk melupakan musim haji pada tahun 2009 apabila terdapat hasrat puak Syiah untuk menukarkan ibadah haji di Makkah ke tempat-tempat suci mereka termasuk Karbala. Sila baca laporan di bawah:


Sumber-sumber berita resmi Irak menyatakan bahwa ribuan warga Syi’ah dari Iran dan negara-negara Teluk melaksanakan wuquf di Karbala, sebagai pengganti wuquf di Arafah, Selasa (23/11/2009).

Najah Al-Balaghi, Kepala Administrasi Bandara Nejef, menyampaikan, "Ribuan pengikut Syi’ah datang dari negara-negara Teluk dan Iran untuk berpartisipasi dalam kunjungan Arafah di makam Imam Husain di Karbala, Selatan Baghdad." Ia menambahkan, " Dalam minggu ini jumlah mereka mencapai 6.235 dari Teluk dan sekitar 7.000 orang dari Iran."

Al-Balaghi juga menegaskan bahwa jumlah pengunjung ini akan bertambah, menunggu pesawat yang bisa membawa mereka ke Nejef. Dalam sehari rata-rata ada penerbangan berasal dari Dubai, Bahrain, Lebanon dan Suriah setelah sebelumnya hanya ada dua kali penerbangan dalam seminggu. Penerbangan ke Teheran dan Masyhad (lokasi syahidnya Husain) dari satu sampai empat kali penerbangan dalam seminggu.


Tokoh Referensi Syi’ah, Huda Ahmed, Wakil dari Mursyid Ali Khamenei, dari kota Masyhad menyerukan untuk menjadikan Masyhad itu sebagai kiblat kaum muslimin, menggantikan kota Mekah. Dia juga mengajak untuk meninggalkan rukun Islam kelima yaitu haji ke Baitullah.

Perwakilan Khamenei ini menyatakan bahwa "Makam Imam Ridha berada di Masyhad, maka ia pun menjadi tempat yang tepat bagi seluruh umat Islam. Sementara tempat-tempat lain, telah menjadi tawanan orang-orang yang sombong." Ia menambahkan, "Tanah Hijaz telah menjadi tawanan kelompok Wahabi," .

Huda menunjukkan bahwa Masyhad ini setiap tahun dikunjungi oleh 800 ribu pengunjung dari luar negeri dan dan 20 juta pengunjung dari dalam negeri Iran sepanjang tahun.. Ia mengklaim bahwa Masyhad adalah ibukota spiritual dan keagamaan, bahkan sebelum adanya makam Imam Ridha, imam Syi’ah yang kedelapan, di dalamnya. (Sumber)




[1] Lihat al-Musawi, Sayid Muhammad Rida (1993), Mukhtasar al-Ahkam (terj.), Bangi: Markaz Ahlul Bait UKM, h. 208.
[2] Al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), al-Irshad fi Ma'rifah Hujaj Allah 'ala al-'Ibad, Qom: Mu'tamar al-Shaykh al-Mufid, h. 133-134; al-‘Amili, Muhammad bin Hasan al-Hurr (1409h), Tafsil Wasa’il al-Shi‘ah ila Tahsil Masa’il al-Shari‘ah, j. 14. Qom: Mu’assasah Al al-Bayt, h. 445; al-Irbili, ‘Ali bin ‘Isa (1423h), Kashf al-Ghummah fi Ma‘rifah al-A’immah, j.2. Tabriz: Bani Hashimi, h. 41.   
[3] Al-Majlisi, Muhammad Baqir (1403h), Bihar al-Anwar al-Jami‘ah li Durar al-Akhbar al-Athar, j. 53. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, h. 12; al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), Kitab al-Mazar-Manasik al-Mazar, Qom: Mu‘tamar Alfiyah al-Shaykh al-Mufid, h. 23; al-Tusi, Muhammad bin al-Hasan (1407h), Tahzib al-Ahkam, j.6. Tehran: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, h. 72. 
[4] Ibid., j.54, h. 202.
Read more >>

Ahad, 21 Oktober 2012

Sembang isu hudud

Nampaknya isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.

Bagi penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:

a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur'an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 55 tahun.
b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.
c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.
d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah 'benchmark' untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.
e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?
Sultan Brunei komited laksanakan hudud
f)   Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.
Sebagai penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:

a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap  pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.
b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara'. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah 'hudud Pas' atau 'hudud UMNO'.
c)  Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.
Sultan Brunei bertitah: “Siapakah kita di hadapan Allah untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu sedangkan undang-undang ini bukanlah baru digubal, tetapi telah termaktub di dalam Al-Quran dan Al Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih”
Penulis yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.

Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau "beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبة الشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديد المراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتى تصل المسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: "Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam".

Wallahu a'lam…
Read more >>

Jumaat, 12 Oktober 2012

Produk yang memperdagangkan al-Qur'an

Penulis melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.

Ini kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.  

Dalam hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :

وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208

"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)

Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.

Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan perubatan moden.

Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang  menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan".

Read more >>

Ahad, 23 September 2012

Yang menghina semakin terhina...


Belum pun reda kemarahan umat Islam terhadap penayangan filem anti-Islam Innocence of Muslims seperti yang disebarkan dalam  youtube, kini muncul pula karikatur Nabi Muhammad dalam keadaan tidak wajar dalam majalah Charlie Hebdo di Perancis. Benar pada satu sisi, orang-orang jahil dan bodoh di kalangan musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha memomokkan susuk Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai penghinaan dan penistaan. Namun pada masa yang sama, mereka tidak boleh menafikan bahawa cerdik pandai dan intelektual mereka yang benar-benar mengkaji tentang Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mampu menolak keistimewaan dan kehebatan Nabi Muhammad yang dikeji oleh golongan bodoh itu. Antaranya lihat beberapa kenyataan orientalis tersohor di bawah:

W. Montgomery Watt, MOHAMMAD AT MECCA, Oxford, 1953, p. 52.

"Kesanggupannya menempuh tentangan atas keyakinannya, ketinggian moral para pengikutnya, serta pencapaiannya yang luar biasa “semuanya menunjukkan integritinya. Menganggap Muhammad sebagai seorang penipu hanyalah memberikan masalah dan bukan jawapan. Lebih dari itu, tiada tokoh hebat yang digambarkan begitu buruk di Barat selain Muhammad".

Annie Besant, THE LIFE AND TEACHINGS OF MUHAMMAD, Madras, 1932, p. 4.

"Sangat mustahil bagi seseorang yang mempelajari karakter Nabi Bangsa Arab, yang mengetahui bagaimana ajarannya dan bagaimana hidupnya untuk merasakan selain hormat terhadap beliau, salah seorang utusan-Nya. Dan meskipun dalam semua yang saya gambarkan banyak hal-hal yang terasa biasa, namun setiap kali saya membaca ulang kisah-kisahnya, setiap kali pula saya merasakan kekaguman dan penghormatan kepada sang Guru Bangsa Arab tersebut."

THOMAS CARLYLE in his HEROES AND HEROWORSHIP

"Betapa menakjubkan seorang manusia sendirian dapat mengubah suku-suku yang saling berperang dan kaum nomad (Badwi) menjadi sebuah bangsa yang paling maju dan paling berperadaban hanya dalam waktu kurang dari dua dekad. Kebohongan yang dipropagandakan kaum Barat yang diselimutkan kepada orang ini (Muhammad) hanyalah mempermalukan diri kita sendiri".

James A. Michener, "Islam: The Misunderstood Religion," in READER'S DIGEST (American edition), May 1955, pp. 68-70.

"Muhammad, seorang inspirator yang mendirikan Islam, dilahirkan pada tahun 570 masehi dalam masyarakat Arab penyembah berhala. Yatim semenjak kecil dia secara khusus memberikan perhatian kepada fakir miskin, yatim piatu dan janda, serta hamba sahaya dan kaum lemah. Pada usia 20 tahun, dia sudah menjadi seorang pengusaha yang berjaya, dan menjadi pengelola perniagaan seorang janda kaya. Ketika mencapai usia 25, majikannya melamarnya. Walaupun usia perempuan tersebut 15 tahun lebih tua Muhammad menikahinya dan tetap setia kepadanya sepanjang hayat si isteri.

Seperti halnya para nabi lain, Muhammad memulai tugas kenabiannya dengan sembunyi-sembunyi dan ragu-ragu kerana menyedari kelemahannya. Tapi adalah perintah yang diperolehnya, -dan meskipun sampai saat ini diyakini bahwa Muhammad tidak boleh membaca dan menulis dan keluarlah dari mulutnya satu kalimah yang akan mengubah dunia: Tiada tuhan selain Allah. Dalam setiap hal, Muhammad adalah seorang yang mengedepankan akal. Ketika puteranya, Ibrahim, meninggal dunia disertai gerhana dan menimbulkan anggapan ummatnya bahawa hal tersebut adalah wujud rasa perkabungan Tuhan kepadanya, Muhammad berkata: Gerhana adalah kejadian alam biasa, adalah suatu kebodohan mengaitkannya dengan kematian atau kelahiran seorang manusia. Saat setelah ia meninggal, sebahagian pengikutnya hendak memujanya sebagaimana Tuhan dipuja, akan tetapi penerus kepemimpinannya (Abu Bakar) menepis keinginan ummatnya itu dengan salah satu pidato keagamaan terindah sepanjang masa: Jika ada diantara kalian yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa ia telah meninggal. Tapi jika Tuhan-lah yang hendak kalian sembah, ketahuilah bahwa Ia hidup selamanya".

Lebih mengagumkan lagi bagaimana seorang penulis Barat, Micheal H. Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History boleh meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh sedangkan Nabi Isa sendiri diletakkan pada ranking yang ketiga. Micheal H. Hart menjelaskan alasan pemilihan seperti berikut:

"Jatuhnya pilihan saya kepada Nabi Muhammad dalam urutan pertama daftar Seratus Tokoh yang berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sementara pembaca dan mungkin jadi tanda tanya sebahagian yang lain. Tapi saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berhasil meraih kejayaan-kejayaan luar biasa baik dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi. Berasal-usul dari keluarga sederhana, Muhammad menegakkan dan menyebarkan salah satu dari agama terbesar di dunia, agama Islam. Dan pada saat yang bersamaan tampil sebagai seorang pemimpin tabah, tulen, dan efektif. Kini tiga belas abad sesudah wafatnya, pengaruhnya masih tetap kuat dan mendalam serta berakar".

Tahukah anda apa agama Micheal H. Hart? Dia sebenarnya adalah seorang Yahudi Amerika. Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 146 bermaksud:

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)".

Kesimpulannya, perbuatan bodoh sesetengah pengikut Kristian dan Yahudi yang cuba menghina dan memomokkan keperibadian Baginda Rasulullah SAW pada hari ini sebenarnya hanya akan menampakkan kebodohan dan memakan diri mereka sendiri. Lihatlah, kesannya nanti semakin ramai golongan bukan Islam akan semakin berminat untuk mengambil tahu dan mengkaji siapakah Nabi Islam yang hebat itu, Muhammad SAW.



Read more >>

Rabu, 11 Julai 2012

Membongkar Tembelang Syiah Faisal Tehrani dalam karya "Perempuan Nan Bercinta"

Faisal Tehrani FT secara bacul berselindung di sebalik karya sastera ala novel cinta untuk menyerang dan menghukum Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Dalam tulisannya di malaysiakini dia cuba membayangkan kononnya Syiah tiada masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Kononnya perbalahan antara Sunni dan Syiah itu hanyalah rekaan-rekaan pihak tertentu sahaja. Tetapi anehnya perangai FT dalam novelnya ini saling tak tumpah seperti sikap golongan Syiah Rafidhah yang menolak, menghina dan mempertikaikan para sahabat r.a.h. Walaupun FT bijak bermain bahasa, tetapi itu tidak bermakna dia ‘cerdik’ menyimpan pekung Syiah-nya itu. Dalam banyak-banyak perkara yang disentuh oleh FT dalam karyanya ini, perkara paling besar yang tak boleh dibiarkan adalah kebiadapan FT terhadap para sahabat r.a.h. Dalam artikel ringkas ini penulis akan bongkarkan niat busuk lagi kotor FT terhadap Ahli Sunnah dan para sahabat r.a.h. yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Mempertikaikan Sayyidina Abu Hurairah r.a. dan hadith sahih

Sepertimana golongan Syiah Rafidhah yang lain, antara para sahabat yang paling dibenci oleh mereka adalah Sayyidina Abu Hurairah. Ini kerana Abu Hurairah adalah antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Bahkan telah berlaku ijmak di kalangan ahli hadith bahawa Abu Hurairah adalah sahabat yang paling banyak meriwayat dan menghafaz hadith-hadith Rasulullah SAW.

Dalam Sahih Muslim, Kitab Kelebihan Para Sahabat r.a.h,, terdapat hadith yang menyatakan tentang kelebihan Abu Hurairah r.a. Bahawa Abu Hurairah r.a berkata: “Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan membuktikannya. Sesungguhnya aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam Rasulullah SAW dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika orang-orang Muhajirin berdagang di pasar-pasar dan orang-orang Ansar sibuk mengembangkan harta benda mereka. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang membentangkan pakaiannya beliau tidak akan lupa apa yang beliau dengar dariku. Aku terus membentang pakaianku sehingga Baginda selesai menyampaikan hadithnya. Kemudian aku mengumpulkannya dan tidak lupa apa-apa yang aku dengar dari baginda”.

Berdasarkan kedudukan Abu Hurairah r.a. ini, sungguh lancang sekali si Faisal Tehrani untuk memperlekehkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan menuduhnya sebagai israiliyyat. Di mana dalil dan buktinya ia israiliyyat, seperti yang didakwa pada halaman 36. Sebelumnya, pada halaman 33, FT membawakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari. Hadith ini menyentuh tentang kejadian Hawa/wanita daripada tulang rusuk Adam/lelaki yang dipertikaikan oleh golongan Syiah.

FT berniat buruk dengan cuba menimbulkan keraguan pada hadith yang diwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari tersebut. Hadith itu kononnya dikatakan satu diskriminasi terhadap kaum wanita. Tambahan lagi, FT menuduh ianya bersesuaian dengan tradisi Kristian. Jelas, nawaitu FT adalah untuk meruntuhkan kredibiliti para sahabat dan hadith-hadith  sahih  yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Padahal, FT sendiri dangkal dalam memahami kaedah syar'un man qablana syar'un lana ma lam yakun fi syari'ina ma yukhalifuhu iaitu apa yang terkandung dalam  ajaran agama lain yang menetapi dan tidak menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah maka Islam menerimanya.

Seseorang yang waras sebenarnya tidak perlu untuk mempertikaikan hadith-hadith sebegini kerana ia tidak melibatkan implikasi iman dan amalan, ia hanya satu perkhabaran supaya kita mengagumi tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan-Nya. Apa yang menghairankan FT sibuk untuk mencari 'titik kepalsuan' mazhab Sunni tetapi lupa untuk mengkritisi ajaran sesat Syiah yang dikaguminya sendiri. Mengapa tidak FT mengkaji, kenapa penganut Syiah sanggup menyambut perayaan Nairuz pada 21 Mac setiap tahun? Bukankah ia adalah perayaan memuja api penganut Majusi berbangsa Parsi suatu ketika dahulu? Bagaimana kitab-kitab Syiah seperti Bihar al-Anwar boleh meriwayatkan kononnya Imam Mahdi Syiah akan muncul pada hari raya Majusi? Bukankah isu ini lebih berat kerana ia membabitkan implikasi iman dan amalan? Adakah Syiah meniru Majusi atau Majusi yang meniru Syiah? Dengan otak FT yang bijak itu, tidak logik jika FT tidak mampu untuk mengkaji ajaran kesayangannya sendiri.

Jika FT mahu juga berhujjah dengan perkara-perkara sebegini, sepatutnya FT menyelesaikan terlebih terdahulu ayat-ayat al-Qur'an al-Karim yang pada zahirnya seolah-olah mendiskriminasikan kaum wanita, itu pun jikalau menggunapakai kaedah berfikir singkat ala Faisal Tehrani.  Antaranya seperti dalam surah al-Nisa' ayat 34 tentang kelebihan lelaki ke atas wanita, ayat 11 tentang bahagian lelaki yang lebih banyak daripada wanita dalam faraid dan lain-lain. Sebenarnya tiada pun apa yang didakwa diskriminasi jika dilihat menerusi kaca mata keadilan perbuatan Allah SWT yang Maha Sempurna lagi Bijaksana. Tetapi jika dilihat menerusi persepsi yang penuh dengan dendam kesumat untuk mencari-cari salah sumber Ahli Sunnah, maka pelbagai persepsi negatif akan cuba dibangkitkan demi mempertikaikan mazhab Sunni.

Isu diskriminasi wanita

Sebagai contoh, sikap FT ini terserlah pada halaman 8. FT cuba menggambarkan kononnya terdapat hadith dalam kitab-kitab Ahli Sunnah yang mendiskriminasikan kaum wanita dengan mengatakan kaum wanita adalah golongan yang paling ramai menghuni neraka. Hadith-hadith sebegini juga dianggap menjadi punca al-Qur'an dipandang seperti mentaliti primitif Eropah pada abad pertengahan. Pandangan  ini adalah perspektif  skeptikal  yang  sengaja diberikan oleh FT untuk  memburuk-burukkan  hadith-hadith  yang diriwayatkan   oleh   Ahli Sunnah  Wal-Jamaah walhal  hadith tersebut mempunyai konteks yang tertentu.
Kemyataan ini tertulis pada kulit belakang buku FT
Sebelum menjelaskan maksud sebenar hadith tersebut, perlu diingat keghairahan FT untuk mencari kelemahan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebenarnya telah memakan dirinya sendiri kerana hadith berkenaan majoriti ahli neraka adalah wanita pada hakikatnya bukan sahaja diriwayatkan di dalam hadih-hadith Ahli Sunnah sebaliknya ia juga diriwayatkan di dalam kitab-kitab Syiah malah matannya lebih panjang dan lebih terperinci. Sebagai contoh apa yang dinukilkan oleh al-Majlisi di dalam kitabnya Bihar al-Anwar daripada karangan al-Kulaini di dalam al-Furu’ mi al-Kafi berkenaan beberapa riwayat yang menyebut tentang majoriti penghuni neraka adalah golongan wanita.

Pertama: Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ibn Mahbub daripada Abdullah bin Ghalib daripada Jabir al-Ja’fi daripada Abi Ja’far a.s, beliau berkata: Rasulullah SAW telah keluar…kemudian bersabda: Wahai sekalian wanita, bersedekahlah, taatilah suami-suami kamu, sesungguhnya kebanyakannya kamu di dalam neraka. Ketika mana para wanita mendengar sedemikian, mereka menangis, kemudian bangun seorang wanita daripada mereka lalu berkata: Wahai Rasulullah, di dalam neraka bersama orang kafir? Demi Allah kami bukan orang kafir sehingga menjadi ahli neraka. Lalu Rasulullah berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu semua adalah kafir terhadap hak-hak suami kamu".
                      
Kedua: Daripada Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Ali bin al-Hakam daripada Ali bin Abi Hamzah daripada Abi Basir, beliau berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s. berkata: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada wanita lalu bersabda: “Wahai sekalian wanita, kamu bersedekahlah walaupun dengan perhiasan kamu, walaupun dengan sebiji tamar, walaupun dengan secebis tamar, sesungguhnya kebanyakan kamu adalah kayu api neraka…”  

Sepatutnya FT juga perlu memasukkan riwayat-riwayat Syiah ini untuk dikritik bersama riwayat-riwayat Ahli Sunnah. FT perlu menjawab mengapa di dalam riwayat-riwayat Syiah juga turut mendiskriminasi kaum wanita. Malah di sana terdapat riwayat-riwayat Syiah yang lebih berat dalam mengenepikan kaum wanita, antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh al-Kulaini berbunyi: "Janganlah kamu memberi tempat kepada mereka (wanita) di dalam kamar-kamar dan jangan kamu ajar mereka menulis, tetapi ajarlah mereka bagaimana memintal benang dan surah al-Nur". Hadith ini turut dinukilkan oleh penulis-penulis Syiah terkemudian seperti al-Hurr al-'Amili dalam kitabnya Wasa'il al-Syiah yang meletakkan tajuk "Bab kesunatan mengajar kaum wanita surah al-Nur dan tenunan, tanpa mengajar surah Yusuf dan menulis" dan dalam bab lain dia meletakkannya di bawah tajuk "Bab kemakruhan menyediakan kaum wanita di bilik-bilik, mengajar menulis dan surah Yusuf…". Bagi para ulama Ahli Sunnah, hadith ini tidak sabit dan matannya bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih. Oleh itu, zahir hadith yang mengatakan wanita tidak boleh dibenarkan untuk belajar menulis dan surah Yusuf adalah bertentangan dengan galakan belajar yang diperintahkan dalam agama Islam tanpa mengira jantina. Tetapi mengapa riwayat-riwayat sebegini wujud dalam ajaran sesat Syiah seperti yang didewa-dewakan oleh FT?

Setelah kita membaca riwayat-riwayat Syiah di atas, dapat difahami bahawa tujuan FT memaparkan hadith-hadith Ahli Sunnah hanyalah untuk mengaburi mata pembaca bagi membayangkan seolah-olah disiplin ilmu hadith yang ada di dalam mazhab Ahli Sunnah itu longgar sehingga terhadap hadith-hadith yang dirasakan tidak logik. Namun, kewujudan riwayat-riwayat Syiah yang lebih berat dalam hal mendiskriminasikan wanita tidak pula dijawab atau diulas oleh FT. Terdapat dua kemungkinan, sama ada FT jahil tentang ajaran Syiah kerana dia juga mengikut Syiah secara membuta tuli atau kerana dia sengaja mahu menyembunyikan riwayat-riwayat Syiah yang berbau diskriminasi terhadap kaum wanita tersebut.

Berbalik kepada hadith yang didakwa oleh Faisal Tehrani mendiskriminasikan kaum wanita, ia hanyalah dakwaan kosong daripada seorang yang berniat serong terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Berkenaan hadith  di  atas, ia termasuk dalam jenis hadith al-targhib wa al-tarhib yang bertujuan untuk memberi galakan atau ancaman dalam sesuatu amalan. Ini kerana golongan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagai penghuni neraka tersebut ialah merujuk kepada mereka  yang melakukan  maksiat  kepada  Allah SWT seperti tidak bersyukur dan menghargai pemberian suami (hadith Sahih al-Bukhari) dan berpakaian yang mendedahkan aurat (hadith Sahih Muslim). Ini bermakna  ia bukan sama  sekali  merujuk  kepada   wanita  itu secara fitrah  kejadiannya  maka ia  didiskriminasikan daripada  memasuki syurga. Ia seperti ungkapan Rasulullah SAW yang mengatakan majoriti penghuni syurga adalah golongan miskin, ia bukan bermakna golongan kaya didiskriminasikan tetapi kerana ramainya golongan kaya yang tidak menghiraukan soal halal dan haram dalam mencari rezeki serta tidak menunaikan hak-hak harta yang sepatutnya maka menyebabkan mereka tertahan daripada memasuki syurga.      

Mempertikai kredibiliti Sayyidah ‘Aisyah r.a.

Dalam halaman 205 FT cuba untuk mempertikaikan kredibiliti Sayyidatina ‘Aisyah r.a. bagi menolak hadith yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dengan menuduh kononnya 'Aisyah sendiri belum wujud ketika kisah penurunan wahyu berlaku. Kenyataan sebegini jelas menunjukkan kejahilan pengarang tentang kedudukan 'mursal sahabi' dalam disiplin ilmu hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat tanpa dia menyaksikan sendiri atau mendengar sendiri daripada Rasulullah SAW tetapi memperolehinya daripada sahabat lain. Hadith 'mursal sahabi' tetap dianggap sahih menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah kerana yang meriwayatkannya adalah para sahabat kecuali golongan yang meragukan dan mentohmah kejujuran para sahabat seperti Syiah. Walau bagaimanapun, berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi mengatakan ia didengari sendiri oleh 'Aisyah r.a.h berdasarkan beberapa lafaz yang terkandung di dalamnya.

Menuduh hadith-hadith keutamaan para sahabat hanyalah rekaan Sunni

Penyakit hati FT semakin terserlah pada halaman 179 apabila menuduh dengan biadap bahawa hadith-hadith keutamaan atau fadha'il sahabat direka bagi menutup perseteruan mereka dengan Sayyidina Ali r.a. Ini adalah suatu penghinaan kepada para sahabat Nabi SAW kerana cuba mengaitkan kelebihan atau fadha'il sahabat seperti yang terkandung di dalam hadith-hadith yang sahih itu hanyalah direkayasa demi kepentingan politik. Apakah FT tidak pernah membaca ayat-ayat al-Qur'an tentang pujian Allah SWT kepada para sahabat sehingga mereka diberikan gelaran radhiyallahu 'anhum?

Menghina Khulafa’ al-Rasyidin

Pada halaman 192, FT menghina pula para kibar al-sahabah terdiri daripada Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman dengan menuduh secara membuta tuli kononnya mereka telah melakukan kesilapan dalam berijtihad sambil menyertakan bilangan kesalahannya sekali. Siapakah FT atau Syiah untuk menilai kesilapan para sahabat dalam berijtihad? Sedangkan para sahabat adalah ahli ijtihad dalam nas-nas yang tidak muktamad. Jikapun berlaku kesalahan dalam berijtihad ia tidak menjadikan kedudukan mereka rendah malah dikurniakan pahala oleh Allah SWT kerana ijtihad para sahabat telah pun berlaku dan diakui oleh Rasulullah SAW pada zaman Baginda masih hidup dan Baginda tidak mengingkarinya.

Pada halaman 279-280 FT cuba menimbulkan persepsi seolah-olah para sahabat telah berpaling daripada Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Padahal hadith ini perlu dibaca dengan pelbagai riwayat yang lain kerana terdapat lafaz-lafaz yang berbeza seperti usayhabi dan ummati yang menurut para ulama merujuk kepada segelintir golongan yang telah murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Malah kita sedia maklum bagaimana Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. sendiri telah memerangi golongan yang murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Kalimah 'sahabat' yang digunakan dalam hadith tersebut juga bukanlah merujuk kepada 'sahabat' dengan makna istilah tetapi makna bahasa. Kerana itu apabila Sayyidina Umar al-Khattab ingin membunuh ketua munafiqin, Abdullah bin Ubai bin Salul, ia tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW kerana Baginda bimbang nanti orang akan berkata Muhammad telah membunuh 'sahabat'nya sendiri. Ini bermakna walaupun Nabi SAW menyebut ‘sahabat’ ia bukan bermakna Baginda mengiktiraf semua yang menzahirkan keimanan mereka di hadapannya, tetapi ada di kalangan mereka itu yang munafiq dan ada di kalangan mereka yang murtad selepas kewafatan Baginda SAW dan mereka pada asasnya bukanlah ‘sahabat’ Nabi SAW kecuali pada bahasanya sahaja.  

Menghina mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya’irah-Maturidiyyah)

Daripada kebiadapan FT memperlekeh dan menghina para sahabat r.a.h., dia beralih pula mempertikaikan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi pegangan rasmi umat Islam di Malaysia dan majoriti umat Islam di dunia. Kedangkalan dan kecetekan pengetahuan FT makin terserlah ketika cuba untuk meruntuhkan disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang telah establish. Nampak sangat geran penyelidikan GCPM yang diperoleh dari UKM tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat kajian perbandingan kecuali amat terhad kepada rujukan Syiah semata-mata. Penilaian FT terhadap mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah amat ‘menjelekkan’ kerana FT sendiri tidak mengkaji Ahli Sunnah secara komoprehensif menerusi rujukan-rujukan Ahli Sunnah yang muktabar.

Pada halaman 9, FT menyebut kita mesti berhenti mengkaji Islam daripada mazhab yang 90 peratus tetapi kembali kepada mazhab Syiah yang ‘asli’ yang mewakili 10 peratus umat Islam. Maknanya FT menganggap Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini sekadar mazhab palsu. Begitu juga pada halaman 83, FT mengatakan mazhab Ahli Sunnah itu dasar dan asasnya bergantung kepada kesia-siaan kerana kononnya mazhab Sunni tidak berjaya menyelesaikan permasalahan wanita dan pelbagai tuntutan lain.

Pada halaman 170, FT dengan kajiannya yang ‘mendalam’ itu mengelirukan pembaca dengan mengatakan Ahli Sunnah hanya wujud selepas era Muktazilah dan tidak mampu menandingi sejarah Syiah yang dikatakan telah bermula sejak awal. FT sebenarnya jahil dan tidak memahami latar belakang Ahli Sunnah Wal-Jamaah lalu mendakwa gelaran Ahli Sunnah tidak pernah wujud pada zaman awal Islam. Kalaulah FT menggunakan sedikit akalnya, dia pasti akan dapat membezakan antara istilah dan sejarah, justeru FT tidak akan membuat kesimpulan yang terencat akal itu. FT bukan tak tahu, kewujudan ‘istilah’ tidak semestinya seiring dengan sejarah yang menggambarkan kewujudan ‘istilah’ itu. Misalnya, apabila disebut “Malaysia” ia adalah satu istilah bagi merujuk kepada negara kita, tetapi ia tidak boleh menggambarkan kewujudan sejarah Tanah Melayu yang lebih awal daripada istilah Malaysia itu sendiri. 

Begitu juga istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia hanya satu istilah untuk merujuk kepada manhaj Islam yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika tidak kerana wujudnya golongan ahli bid’ah dan sesat seperti Syiah, sudah tentu tidak perlu wujud istilah tertentu untuk merujuk kepada Islam yang asli. Mungkin cukup sekadar disebut Islam semata-mata sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Qur’an dan hadith. Namun apabila wujudnya golongan yang berpecah keluar daripada gagasan Islam yang sebenar, maka wujudlah istilah untuk membezakan antara Islam yang haq dan Islam yang batil seperti Syiah.

Bertambah-tambah dangkal lagi, apabila FT mengatakan istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah hanya timbul selepas daripada kemunculan dua imam besar Sunni iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Buat makluman FT dan pengkaji Syiah tegar, istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah buat pertama kali telah digunakan oleh Ibn Abbas, seorang sahabat besar yang juga merupakan sepupu Nabi SAW yang wafat pada tahun 68 hijriyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, tafsiran ayat 106 surah Ali Imran) Walau bagaimanapun apabila kita merujuk kepada hadith-hadith Rasulullah SAW begitu banyak sekali ungkapan Baginda supaya berpegang kepada sunnah dan jamaah. Justeru, andaian FT itu sekadar bertujuan untuk mentohmah kedua-dua imam besar Sunni yang menjadi pengasas kepada mazhab Asya’irah dan Maturidiyyah seolah-olah kedua-dua mereka inilah pembuat bid’ah yang merekayasa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Betapa dustanya tangan FT menulis seperti itu!  

Sebagai ahli akademik, sepatutnya apa yang dikaji oleh FT untuk menilai Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah pada manhaj yang dibawa menerusi karya-karya mereka. Barulah boleh disimpulkan maksud di sebalik istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi popular pada zaman mereka. Apakah mereka membina mazhab baru atau ia merupakan suatu kesinambungan daripada golongan salafussoleh sebelum mereka. Apa yang sepatutnya adalah FT mengkaji sejauhmana kesinambungan antara ajaran Syiah dengan Ahlul Bayt? Hakikatnya, tiada langsung kesinambungan antara Syiah dengan imam-imam Ahlul Bayt. Apakah hujjah Syiah untuk mengatakan kepercayaan mereka hari ini benar-benar berdasarkan Ahlul Bayt?

Al-Kulaini dalam al-Kafi menukilkan dari Muhammad bin al-Hasan bahawa, “Dahulunya para masyayikh mereka meriwayatkan dari Ja’far dan Abi Abdillah, ketika itu taqiyyah amat bersangatan lalu mereka menyembunyikan kitab-kitab mereka dan tidak meriwayatkan daripada mereka, lalu apabila mereka meninggal dunia, kitab-kitab mereka sampai kepada kita, lalu (Muhammad bin al-Hasan) berkata: Riwayatkanlah ia, sesungguhnya ia benar”. (al-Kafi 1/53) Bukankah hadith Syiah ini pelik, boleh meriwayatkan daripada Ahlul Bayt tanpa perlu kepada sanad yang sahih dan benar-benar sampai kepada Ahlul Bayt. Oleh sebab itulah, ketika penulis berdialog dengan Syiah Melayu jadian, Kamilzuhairi di Bagan Serai, Kamil mengatakan Syiah tidak memiliki kitab sahih seperti Ahli Sunnah. Hairan sungguh, bagaimana mereka boleh mendakwa berada di atas kebenaran sedangkan tidak memiliki sanad yang sahih daripada Ahlul Bayt? Adakah benar mereka itu syiah (pengikut) Ahlul Bayt atau sebenarnya syiah kepada pendusta dan pembohong agama, Abdullah bin Saba’?

Pada halaman 338-339, FT terus membakar sentimen anti Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan menuduh kononnya Ahli Sunnah hanyalah sebuah pakatan yang rapuh. Keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunnah dituduh FT sebagai saling bercakaran antara satu dengan lain hasil daripada pakatan fiqh yang longgar dan saling bertabrakan. Istilah “pakatan fiqh” sudah cukup menunjukkan FT tidak punya gambaran yang tepat berkenaan mazhab empat. FT mungkin menyangka keempat-empat mazhab itu terdiri daripada kumpulan yang memiliki ideologi berlainan lalu berpakat menjadi satu pakatan persis pakatan politik. Padahal keempat-empat mazhab bahkan lebih dari itu (jika ditambah dengan mazhab salaf yang lain termasuk Imam Ja’far al-Sadiq) hanyalah menifestasi daripada kepelbagaian pandangan dalam mereka memahami nas-nas yang tidak muktamad. Dalam konteks masa kini, kepelbagaian mazhab fiqh itu tidak pernah menjadi bebanan kepada umat Sunni malahan ia menjadi khazanah ilmu Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang begitu kaya dan tidak ternilai terutamanya dalam mengeluarkan fatwa berkenaan isu-isu semasa sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. 

Hakikatnya banyak lagi yang perlu dipelajari oleh FT tentang perkembangan mazhab Ahli Sunnah. Namun begitu ada baiknya FT membuka mindanya dengan mengkaji sejarah Syiah sendiri yang penuh dengan perpecahan dalam masalah prinsip seperti yang terkandung dalam buku Firaq al-Syiah karangan ulama Syiah terawal al-Nawbakhti. Di situ mungkin FT akan terkejut bahawa Syiah bukan sahaja berselisih dalam masalah fiqh bahkan ada pecahan Syiah yang mengatakan Ali itu adalah tuhan!!!

Berdasarkan kajian cetek FT ini, dia kemudiannya membuat kesimpulan pada halaman 341 supaya penganut Islam meninggalkan Ahli Sunnah dan menggantikannya dengan ajaran sesat Syiah. Tidak dapat dipastikan apakah ini suatu bentuk HASUTAN terhadap pihak yang bertanggungjawab menjunjung dan memelihara agama Islam di negara ini termasuk Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam. Jika ia benar, dipohon supaya tindakan dikenakan kepada penghasut ini. Secara akademik, perbezaan yang berlaku antara mazhab, tidak perlu sehingga membuang mazhab yang lain dan menggantikannya dengan yang baru. Ia seperti perbezaan empat mazhab Sunni yang saling bermaaf-maafan dalam perkara yang diperselisihi dan tidak saling dakwah mendakwah antara satu dengan lain. Tetapi niat Faisal Tehrani jelas, untuk menjatuhkan Sunni dan menggantikannya dengan Syiah! Inilah cita-cita puak Syiah dan buktinya jelas kelihatan di Iran, Iraq, Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan, Mesir dan lain-lain. Kesimpulannya, benarlah telahan penulis, Syiah adalah satu ajaran yang hanya akan tertegak di atas keruntuhan Sunni! Pekung Syiah benar-benar terbarai daripada otak pemikiran Mohd Faizal Musa dalam bukunya ini. Semoga pihak berkuasa sedar dan tidak terus tertidur dibuai mimpi…    
Read more >>