Ahad, 20 November 2011

Apa itu aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Klik sini untuk dengar ceramah di atas
Antara punca utama yang menjadi penyebab perpecahan antara aliran Asya'irah dan Salafiyyah adalah apabila kelompok Salafiyyah menafikan bahawa aliran Asya'irah sebagai golongan Ahli Sunnah. Asya'irah dikatakan bukan Ahli Sunnah kerana tidak mengikut golongan Salaf terutama apabila menta'wilkan ayat-ayat mutasyabihat. 

Bagi penulis hal-hal sebeginilah yang menyebabkan berlaku percakaran dalaman sesama umat Islam.Perhatikan apa yang disebut oleh Imam al-Laqqani, bagi setiap nas yang menjurus kepada tasybih (penyerupaan kepada makhluk) maka hendaklah di'ta'wil' atau di'tafwidh'. Ini bermakna mazhab Asya'irah bukan semata-mata menerima kaedah ta'wil seperti dakwaan sesetengah Salafi keras hingga menyamakan Asya'irah dengan Mu'tazilah dan golongan Mu'aththilah, tetapi mereka juga menerima kaedah 'tafwidh' yang menjadi pegangan majoriti ulama Salaf.

Ta'liq Imam al-Kauthari atas kitab 'Tabyin Kazib al-Muftari'
Lihat apa yang dikatakan oleh Imam Abu Hasan al-Asy'ari dalam kitab 'al-Ibanah' seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn 'Asakir dalam 'Tabyin Kazib al-Muftari Fima Nusiba Ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy'ari'. Beliau men'tafwidh'kan ayat-ayat yang mutasyabihat tersebut kepada Allah SWT tanpa memberikan sebarang makna kepadanya seperti yang dipegang oleh mazhab Salaf. Dan kaedah ini memang diakui dalam mazhab Asya'irah sebagaimana ta'liq Imam al-Kauthari dalam 'Tabyin', yang mengatakan bahawa, kitab 'al-Ibanah' membawakan kaedah al-mufawwidhah pada menahan diri daripada menentukan maksud ayat-ayat mutasyabihat.   

Bermakna, jika golongan Salafiyyah @ Wahhabiyyah boleh menerima kaedah tafwidh golongan Salaf seperti yang diterima oleh Asya'irah, walaupun agak berbeza dengan manhaj Ibn Taimiyyah yang mengithbatkan makna haqiqi, mungkin di sini akan terlerailah khilaf yang paling besar antara Asya'irah dan Salafiyyah. Di samping itu, golongan Salafiyyah hendaklah mengakui bahawa segala perbincangan tentang masalah khilafiyyah tidak boleh dikaitkan dengan bid'ah membid'ah. Malah masih banyak lagi perkara bid'ah yang jelas merupakan maksiat dan perlu diberi keutamaan untuk dibanteras. 

Bagi penulis, apa yang penting masih ada ruang yang terbuka luas antara kedua-dua aliran untuk bersatu menghadapi musuh mereka yang sebenar iaitu Syiah dan pelbagai lagi aliran moden seperti liberal, sekular, zionis dan lain-lain. Semoga Allah SWT mengurniakan kesatuan dan perpaduan kepada seluruh Ahli Sunnah. Amin... 

Read more >>

Selasa, 15 November 2011

ِAl-I'tidal adalah manhaj Ahli Sunnah

Sumber di sini
Pada 9 Oktober 2011 yang lalu telah berlakunya persepakatan antara dua institusi pemegang amanah Islam yang mewakili dua blok pemikiran terbesar dalam dunia Islam Sunni iaitu aliran Asya'irah yang diwakili oleh Syeikh al-Azhar al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad Thayyib dan aliran Salafiyyah yang diwakili oleh Menteri Wakaf dan Ehwal Islam Arab Saudi, Dr. Soleh bin Abdul Aziz bin Aali Syaikh.

Laporan akhbar menyebut bahawa Universiti al-Azhar dan Kementerian Wakaf dan Ehwal Islam Arab Saudi telah bersepakat bahawa mereka akan berhadapan dengan apa jua percubaan yang cuba menggugat masyarakat Islam Sunni atas nama apa jua syiar yang bertentangan.

Dr. Soleh bin Abdul Aziz ketika pertemuannya dengan Syeikh al-Azhar menegaskan bahawa, Universiti al-Azhar tetap menjadi rujukan kepada seluruh Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan ia tidak boleh disentuh atau ditawar-menawar pada segi agama dan kedudukan politiknya.

Dr. Hasan al-Syafi'i, Ketua al-Maktab al-Fanni kepada Syeikh al-Azhar mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah sepakat tentang kepentingan untuk berpegang kepada pemikiran 'wasathiy' (sederhana) yang berdiri di atas asas al-i'tidal (pertengahan), tidak menyisihkan yang lain, tidak memungkiri kecuali apa yang diingkari oleh syarak, bersungguh-sungguh dalam hubungan berterusan, saling memahami antara ulama Ahli Sunnah bagi mengukuhkan kedudukan Islam, khususnya antara sesama Ahli Sunnah berdasarkan pemikiran 'wasathiy' yang digesa oleh kedua-dua belah pihak.

Bagi penulis, jika apa yang disepakati oleh kedua-dua ulama besar berlainan aliran Sunni ini dapat diterjemahkan oleh pengikut bawahan, alangkah aman dan kukuhnya aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Tiada lagi tuduh menuduh, label melabel, bid'ah membid'ah, kafir mengkafir, jatuh menjatuh dan perbalahan yang tak berkesudahan. Lebih parah, apabila sesetengah pengikut bawahan yang kurang adab daripada ilmu, sanggup menabur dusta dan pembohongan terhadap lawan atas nama berperang merebut title Sunni.

Lihat bagaimana tajamnya kritikan al-marhum Imam Muhammad Abu Zahrah terhadap Ibn Taimiyyah dalam isu ayat mutasyabihat, namun bahasa yang digunakan penuh adab hinggakan pedasnya tidak terasa. Tetapi pada hari ini, pengikut-pengikut bawahan mengutuk dan mencaci maki kibar al-ulama daripada kedua-dua aliran sama ada Asya'irah mahupun Salafiyyah seolah-olah yang dikata itu telah 'confirm' kafir murtad dan tempatnya di neraka. Wal'iyazu billah.

Kesimpulannya, pada akhir zaman ini, kita amat memerlukan lebih ramai ulama Islam Sunni yang mu'tadil (adil dan sederhana dalam menilai) seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-marhum Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki, al-marhum Imam Muhammad Abu Zahrah, al-Syahid Hasan al-Banna, masyayikh al-Azhar dan lain-lain. Sesungguhnya sebaik-baik manhaj itu adalah yang pertengahan (al-i'tidal) dan itulah yang akan kekal serta mudah diterima fitrah manusia. Adapun yang melampau dan berlebih-lebihan itu akan padam dan luput ditelan masa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd ayat 17:

...فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ...

"...adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi..." 

Wallahu a'lam.
Read more >>

Rabu, 9 November 2011

Pendukung dan pengamal LGBT Muslim : Jangan jahil hukum

Dalam khazanah fiqh Islam, perbuatan homoseksual (gay dan lesbian) sering disebut sebagai al-faahisyah (dosa besar) yang sangat menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah serta tabiat manusia. Oleh kerana itu para ulama sangat mengutuk, mengecam dan mengharamkannya.

Kalau ditelusuri secara gramatikal (bahasa) tidak ada perbezaan penggunaan kata antara homoseksual gay dan lesbian. Dalam bahasa arab kedua-duanya dinamakan al-liwath. Pelakunya dinamakan al-luthiy. Namun Imam al-Mawardi membezakannya. Beliau menyebut homoseksual sesama lelaki dengan liwath dan lesbian dengan sihaq atau musaahaqah. (Lihat : al-Hawi al Kabir karya al-Mawardi, j.13, h. 474-475)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual adalah ijma’ (kesepakatan) ulama, berdasarkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith. (al-Mughni, j.10, h. 155). Imam al-Mawardi berkata, “Penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual menjadi ijma’ dan itu diperkuat oleh nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith.” (Kitab al-Hawi al-Kabir, j.13, h. 475)

Mereka dalam hal ini berbeza pendapat mengenai jenis dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada pelakunya. Ia timbul kerana perbezaan dalam menginterpretasi dalil-dalil yang bersumber dari al-Qur'an, al-Hadith dan athar. Ayat-ayat di dalam surah al-A’raf: 80-84 dan Hud: 77-83 secara jelas mengandungi kutukan dan larangan Allah SWT terhadap pelaku perbuatan homoseksual. Ia juga diperkuat oleh hadith-hadith berikut:

Hadith riwayat Ibn Abbas : “Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya”. (riwayat Abu Dawud 4/158 , Ibn Majah 2/856 , al-Tirmizi 4/57 dan al-Daruquthni 3/124)

Hadith Jabir: “Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth” (riwayat Ibnu Majah : 2563, 1457. Al-Tirmizi berkata : Hadits ini hasan gharib, al-Hakim pula berkata, hadith ini sahih isnadnya)

Hadith Ibn Abbas: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra IV/322 No. 7337)

Perbezaan athar (sama ada dengan kata atau perbuatan) para sahabat adalah dalam menentukan jenis hukuman yang dikenakan kepada pelaku. Antara perbezaannya adalah; membakarnya dengan api, menindihnya dengan dinding, dijatuhkan dari tempat yang tinggi sambil melemparnya dengan batu dan ditahan di tempat yang paling busuk sampai mati.

Para ulama fiqh setelah bersepakat tentang haramnya perbuatan homoseksual (gay dan lesbian), mereka berbeza pendapat mengenai hukuman yang selayaknya dijatuhkan kepada pelaku. Perbezaan bersangkutan dengan dua keadaan; Pertama: perbezaan sahabat dalam menentukan jenis hukuman, sebagaimana tersebut di atas. Kedua: perbezaan ulama dalam mengkategorikan perbuatan tersebut, apakah dikategorikan zina atau tidak? Perbezaan itu memberi implikasi terhadap kadar atau jenis hukuman yang dikenakan. 

Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat: perbuatan homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina dengan alasan, Pertama: kerana tidak adanya unsur (kriteria) kesamaan antara keduanya. Unsur mempersia-siakan anak dan ketidakjelasan nasab (keturunan) tidak didapati dalam perbuatan homoseksual. Kedua: perbezaan jenis hukuman yang dilakukan oleh para sahabat (sebagaimana di atas). Berdasarkan kedua alasan ini, Abu Hanifah berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual adalah ta’zir (diserahkan kepada penguasa atau pemerintah). (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir, j.11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani dan Abu Yusuf (murid Abu Hanifah): perbuatan homoseksual dikategorikan sebagai zina, dengan alasan adanya beberapa unsur kesamaan antara keduanya seperti: Pertama, syahwat pelaku disalurkan. Kedua, tercapainya kenikmatan (kerana penis dimasukkan ke lubang dubur). Ketiga, tidak diharuskan dalam Islam. Keempat, menumpahkan (mempersia-siakan) air mani. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Muhammad Ibn al-Hasan dan Abu Yusuf berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual sama seperti hukuman yang dikenakan kepada penzina, iaitu: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam (dilempari dengan batu sampai mati), kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat dan diasingkan selama satu tahun. (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir j. 11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Imam Malik, perbuatan homoseksual dikategorikan zina dan hukuman yang setimpal untuk pelakunya adalah direjam, sama ada pelakunya muhshan (sudah menikah) atau ghair muhshan (bujang). Beliau sependapat dengan Ishaq bin Rahawaih dan al-Sya’bi. (Minahul Jalil, j. 19 h. 422-423)

Menurut Imam Syafi’i, perbuatan homoseksual merupakan hubungan seksual terlarang dalam Islam. Hukuman untuk pelakunya: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam. Kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. Hal tersebut sama dengan pendapat Sa'id bin al-Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, al-Nakha’i, al-Hasan dan Qatadah. (al-Majmu’ j. 20, h. 22-24 dan al-Hawi al-Kabir, j. 13, h. 474-477)

Menurut Imam Hanbali, perbuatan homoseksual dikategorikan zina. Mengenai jenis hukuman yang dikenakan kepada pelakunya beliau mempunyai dua riwayat (pendapat): Pertama, dihukum sama seperti penzina, kalau pelakunya muhshan (sudah menikah) maka dihukum rejam, jika pelakunya ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. (pendapat inilah yang paling kuat). Kedua, dibunuh dengan direjam, sama ada itu muhshan atau ghair muhshan. [al-Furu’, j. 11 h.  145-147, al-Mughni, j. 10, h. 155-157 dan al-Inshaf j. 10, h. 178)

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa di antara landasan hukum yang mengharamkan perbuatan homoseksual dan lesbian adalah ijma’. Ijma’ merupakan kesepakatan para mujtahid (ahli ijtihad) setelah wafatnya Rasulullah terhadap sesuatu isu hukum dalam sesuatu masa. Jadi yang menentukan sesuatu hukum sudah menjadi ijma’ atau belum adalah para mujtahid (ahli ijtihad) yang berkepakaran dalam bidangnya, bukannya orang-orang sembarangan yang tidak diketahui keilmuannya.

Haramnya homoseksual (gay dan lesbian) ini, sudah menjadi ijma’ (kesepakatan) ulama Islam. Ertinya, tiada seorang di kalangan mereka yang berselisih pendapat. Oleh itu, mustahil kita akan temui mana-mana ulama yang berpendapat tentang kehalalannya. Ia sudah menjadi ketentuan hukum sejak zaman Nabi, para sahabat dan seterusnya sampai ke hari Qiyamah. Justeru, ia tidak boleh dirungkai lagi dengan apa jua alasan dengan sekadar justifikasi rasional atas nama perjuangan hak asasi manusia yang batil. Insaflah wahai pengamal dan pendukung kumpulan ini yang beragama Islam!

Wallahu a'lam.
Read more >>

Jumaat, 4 November 2011

Inilah penangan demokrasi liberal Barat

Festival Seksualiti Merdeka bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ini hanya salah satu agenda daripada ratusan agenda lain yang telah, sedang dan akan menyusul jika prinsip-prinsip pembentukan Civil Society ala Demokrasi Liberal Barat (CSDLB) dibiarkan berleluasa tanpa sebarang ketegasan dan keprihatinan oleh Raja-Raja, kerajaan, parti politik Melayu Islam, golongan pemikir dan para ulama serta NGO's Islam.

Zaman ini zaman orang bercakap tentang hak asasi, demokrasi, anti-diskriminasi, pejuang minoriti, kebebasan berfikir, bersuara dan beragama, kesaksamaan, kesamarataan dll. Asas CSDLB adalah jelas, semua manusia perlu diberi peluang untuk hidup mengikut acuan yang dia mahu. Tanpa mengira sama ada acuannya itu sesuai dengan norma kemasyarakatan, kebudayaan mahupun keagamaan. Yang penting setiap insan punya kebebasan mutlak untuk menentukan cara hidupnya sendiri. Itu ibarat "maqasid syariah" yang paling utama dalam perjuangan CSDLB.

Dalam dunia Islam, kadang-kadang perjuangan CSDLB ini kelihatannya ada persamaan nilai dengan Islam seperti tuntuan terhadap keadilan dan pemeliharaan ke atas hak asasi. Namun perlu diingat, persamaan itu hanya bersifat 'surface' dan bukan 'substance'. Kenapa? Ini kerana sumber inspirasi antara CSDLB dan Islam itu berbeza. CSDLB itu sumbernya adalah rasional manusia yang terhad pada jangkauan akal semata-mata. Manakala agama itu bersumberkan wahyu yang tidak terhad penilaiannya pada akal semata-mata. Rumusnya, jika penilai dan skimanya berbeza, bagaimana mungkin keputusannya akan sama?

Kerana itu, di peringkat 'substance', tetap akan berlaku pertembungan yang 'amat mendasar' antara Islam dan CSDLB. Contoh mudah, kita boleh lihat ramai umat Islam turun bersama-sama pejuang CSDLB untuk menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 2.0 demi menuntut pilihanraya yg bersih dari sebarang penyelewengan demi 'keadilan'. Pada 'surface'nya, ia memang sesuai dengan tuntutan Islam yang juga menganjurkan keadilan. Namun, dalam masa yang sama, CSDLB juga menuntut supaya diberikan hak kepada golongan lesbian, gay, transgender, biseksual dll juga demi keadilan. Soalnya di sini, adakah ini diterima sebagai 'keadilan' oleh Islam? Jika tidak diterima, pada tahap mana? 'Surface' atau 'substance'? Jawabnya, tentu pada tahap 'substance' kerana takrif keadilan menurut Islam dan CSDLB itu sendiri tidak sama.

Bahkan banyak lagi tuntutan-tuntutan CSDLB yang pasti akan menyentuh 'substance' agama Islam. Antaranya seperti menolak sebarang bentuk hukuman yang dianggap dosa peribadi seperti berzina, minum arak, pertukaran agama (murtad), menghalalkan semua bentuk pemikiran keagamaan sama ada sesat atau tidak, menolak agama dalam pemerintahan dll. Pendek kata apa jua unsur-unsur campur tangan agama terhadap urusan individu akan ditentang oleh CSDLB atas alasan ia mencabul hak asasi individu tersebut. Sementelah model yg menjadi kiblat CSDLB adalah negara-negara Barat seperti UK dan USA (atau mungkin Singapura). Dua negara ini kononnya telah menunaikan hak-hak CSDLB yang patut dicontohi oleh semua negara termasuk Malaysia.

Sesetengah orang menjadi serba salah, ada benarnya apa yang berlaku di Barat sana. Mereka sangat liberal dan dengan liberal itulah umat Islam di sana mampu hidup dan menjalankan aktiviti seharian mereka. Memang hak asasi setiap warganya dijaga dan dipelihara tanpa mengira agama. Mereka boleh membina masjid dan hidup tanpa sebarang tekanan dan penindasan pemerintah. Maka amat tidak wajar jika umat Islam di Malaysia bersikap anti-liberal, sedangkan mereka yang beragama lain di Barat mampu bertoleransi dgn segala macam hak asasi manusia, mengapa pula umat Islam di Malaysia bertindak sebaliknya. Adakah agama Islam ini jumud, beku, mundur, menongkah arus, rasis dan ekstrim?

Ini antara persoalan yang kita perlu teliti dan tekuni bersama. Jangan kita terpana dengan amalan demokrasi liberal di Barat seperti yang dituntut oleh pejuang CSDLB di Malaysia. Perlu dipertanyakan dahulu, mengapa Barat menolak kitab agama dalam sistem kehidupan lalu demokrasi liberal dan hak asasi manusia menjadi kitab suci mereka? 

Cuba fikirkan kenyataan PM Britain, David Cameron dalam persidangan CHOGM di Australia baru-baru ini, dia bercakap seperti orang tua nyanyuk mengugut agar setiap negara Commenwealth menghapuskan undang-undang anti-LGBT jika mahu wang bantuan terus disalurkan. Kata Cameron ‘You do this or I withdraw my aid’. Lupakah Cameron bahawa peraturan ini sebenarnya diwarisi ketika zaman penjajahan Inggeris dahulu? Tidak, Cameron tidak lupa, tetapi dia sengaja menolak agamanya sendiri demi satu perjuangan atas nama demokrasi liberal yang meletakkan hak asasi manusia sebagai matlamat tertinggi dalam kehidupan.

Inilah yang berlaku di Barat, mereka menjadi liberal dan sekular akibat agama mereka sendiri. Apa perlunya beragama jika perkara paling asas dalam kehidupan tidak terpenuhi oleh agama. Kita perlu tahu mengapa dominasi gereja di Barat semakin merosot dan akhirnya menjadi rujukan ritual semata-mata, bukan sistem yang memandu kehidupan manusia. Inilah titik 'substance' yg menjadi pemisah antara Islam dan agama lain. 


Oleh itu, mana mungkin kita mengiaskan antara negara Islam dengan Barat? Jika apa yang dipraktiskan di Barat itu ingin diapply jua ke atas sesebuah negara Islam, maka tiadalah gunanya Islam itu wujud sebagai asas pemerintahan. Padamkan sahaja perkataan Islam itu dalam perlembagaan, hapuskan sahaja institusi Islam dalam kerajaan dan seterusnya. Kerana kewujudan semua itu, apabila sampai ke satu tahap 'pasti' akan bertembung dengan pejuang-pejuang CSDLB. Biarkan sahaja negara ini dan negara-negara Islam lain di dunia menjadi liberal, kerana itu lebih aman, sentosa dan memenuhi kehendak hak asasi manusia.


Kesimpulannya, isu-isu yg dibangkitkan pejuang CSDLB seperti Festival Seksualiti Merdeka perlu ditangani pada 'substance' dan bukan pada 'surface', kerana ia tidak akan selesai dan lebih banyak pertembungan akan berlaku pada masa akan datang. Ia bukan seperti khilaf masalah furu' tetapi usul. Ia menuntut dominasi Islam dalam memahamkan penganut agama lain tentang keindahan Islam dalam mengangkat keadilan dan hak asasi manusia. Namun, jika tafsiran Islam dipinggirkan dalam memahami demokrasi, hak asasi dan keadilan atas tuntutan 'political maileage', maka akan semakin dominanlah golongan CSDLB dalam negara ini dan nantikanlah padahnya kelak!


Wallahu a'lam. 
Read more >>

Selasa, 1 November 2011

Zamihan pembohong!


KEPADA YANG BERTANYA SAYA TENTANG BUKU DI ATAS...


DENGAN NAMA ALLAH SWT SAYA BERSUMPAH

WALLAHI WABILLAHI WATALLAHI, KENYATAAN ZAMIHAN BIN MAT ZIN DALAM BUKU DI ATAS TENTANG SAYA 'MENYUSUP MASUK' KE DALAM MESYUARAT MAJLIS KESELAMATAN NEGARA PADA JULAI 2011 DAN BAHAWA SAYA TELAH MENDEDAHKAN MAKLUMAT MESYUARAT ITU KEPADA PIHAK MEDIA (HALAMAN 145), ADALAH SATU FITNAH DAN PEMBOHONGAN. MESYUARAT TERSEBUT SAYA HADIRI ATAS ARAHAN KETUA JABATAN SEBAGAI PEGAWAI BERTANGGUNGJAWAB BERKENAAN ISU-ISU SEMASA AQIDAH (DOKUMEN ARAHAN TERDAPAT DALAM FAIL SAYA DAN JABATAN). 

SAYA MENCABAR PEMBOHONG SEPERTI ZAMIHAN UNTUK MENGEMUKAKAN BUKTI DAN MEMBUAT LAPORAN POLIS TERHADAP TUDUHAN TERSEBUT KERANA IA MEMBABITKAN RAHSIA KERAJAAN YANG TIDAK BOLEH DIBUAT TUDUHAN SECARA MEMBABI BUTA. INGAT! DUIT YANG DIMAKAN MELALUI PENJUALAN BUKU TERSEBUT ADALAH SYUBHAH! 

SAYA HAIRAN KERANA ZAMIHAN BERSIKAP PENGECUT KERANA TIDAK PERNAH BERSEMUKA DENGAN SAYA UNTUK BERBINCANG APA-APA ISU BERKENAAN TUDUHANNYA DALAM BUKU TERSEBUT.


SETAKAT INI SAYA TIDAK BEGITU TERINGIN UNTUK MELAYAN TUDUHAN-TUDUHAN 'SAKIT HATI' ZAMIHAN DAN SEGALA-GALANYA DISERAHKAN KEPADA KETUA JABATAN KERANA IA MEMBABITKAN JABATAN DAN KEDUDUKAN SAYA SEBAGAI PEGAWAI AWAM.



Berkenaan tuduhan Zamihan dalam blognya bahawa saya telah menuduhnya sebagai Syiah juga tidak berasas. Saya pegawai yang bertanggungjawab terhadap isu-isu aqidah termasuk isu Syiah, saya telah bersemuka dan menegur Zamihan supaya mengeluarkan artikel berbau Syiah tulisan wartawan Utusan bertajuk asal 'Cinta Asyura dan Karbala' yg ditukar tajuk oleh Zamihan kpd 'Cinta Agama dan Ahli Bayt'. Zamihan pada mulanya mengatakan bahawa blognya ada masalah teknikal sehingga artikel tersebut tak dapat dibuang. Tetapi keesokan harinya Zamihan menulis dalam ruangan komen mengatakan bahawa hanya Wahabi yang menolak artikel tersebut.


Soalnya, adakah Zamihan tidak mengenali ciri-ciri dan kecenderungan Syiah yang jelas terdapat dalam kandungan artikel tersebut? Isu ini tiada kena mengena dengan Wahabi atau tidak. Para ulama Ahli Sunnah (Asya'irah-Maturidiyah) sememangnya menolak sebarang bentuk propaganda Syiah tanpa mengira apa jua sentimen atau medium yang digunakan. Adakah Zamihan tidak menyedari hakikat ini. Atas rasa bertanggungjawab menegur sesama rakan, saya memohon supaya dia mengeluarkan artikel tersebut dari blognya tetapi tuduhan Wahabi pula dikenakan kepada saya. Adakah begini sikap seorang pejuang Ahli Sunnah?
Sikap Zamihan yang hanya meletakkan artikel tersebut dalam blog beliau tanpa sebarang komen yang kritis dibimbangi boleh membawa impak negatif terhadap kredibiliti beliau sebagai seorang sunni. Ini kerana dalam artikel tersebut menyebut tentang sokongan terhadap amalan puak Syiah (bukan Ahlul Bayt) dalam meratapi peristiwa Karbala sehingga melukakan badan sambil mengambil sumber-sumber daripada Syiah seperti tulisan Jalaluddin Rahmat. 
Malah paling jelas apabila penulis artikel tersebut memberi kredit besar kepada Syiah Imam 12 tajaan Khomeini apabila mengatakan bahawa semua semangat sambutan Asyura golongan Syiah adalah berinspirasi daripada pengiktirafan mereka terhadap Wilayah al-Faqih. 
Jadi, sehingga kini saya masih keliru apa motif sebenar Zamihan meletakkan artikel tersebut dalam blognya dengan tajuk baru tetapi isinya kekal? Apakah aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya'irah-Maturidiyah) telah gagal untuk membangkitkan semangat jihad untuk mempertahankan bumi Palestin sehingga artikel berbau Syiah seperti ini perlu digunakan oleh Zamihan? Apapun saya telah menjawab artikel ini secara ilmiyah dalam laman web Jakim (lihat di sini), dan dipersilakan kepada yang tidak bersetuju untuk menjawabnya kembali secara ilmiyah, bukan dengan kaedah menuduh membuta tuli tanpa memberikan hujah yang konkrit dalam membantah.


Akhirnya, semoga Allah SWT memberi hidayah kepada saya, Zamihan dan seluruh kaum muslimin untuk benar-benar ikhlas dalam menjalankan dakwah Islam ini. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui siapakah antara hamba-Nya yang bercakap benar dan siapakah yang berbohong. Wallahu a'lam.


*Untuk bacaan tambahan klik sini.
Read more >>