Sabtu, 26 Jun 2010

PESANAN BUAT PENDOKONG SALAFIYYAH...

Semalam, kita dikejutkan dengan 40 orang ulama muda berfahaman Salafiyyah yang menyertai UMNO. Menurut mereka, tujuan penyertaan ke dalam UMNO itu adalah untuk berdakwah melalui platform parti tersebut. Bagi penulis soal tujuan dan matlamat itu adalah terlalu sukar untuk diduga kerana hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui tujuan dan agenda sebenar mereka.
 
Umumnya, penulis berpandangan aliran Salafiyyah itu wujud dengan pelbagai corak dan warna. Terpulang kepada individu atau jamaah yang beraliran tersebut untuk menentukan cara pembawaan atau approach yang ingin digunakan. Ia bukan baru, malah tokoh-tokoh gerakan Islam tempatan termasuk Tuan Guru Hj Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri cenderung terhadap aliran Salafiyyah. Begitu juga dengan pendekatan pelopor gerakan Islam tersohor di Mesir, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sehingga terkandung di dalam tulisannya yang mengatakan bahawa Ikhwan Muslimin menyeru kepada ‘dakwah Salafiyyah’.
 
Apapun , penulis perturunkan di sini sedikit pandangan dan nasihat, jika benarlah aliran Salafiyyah itu yang menjadi manhaj perjuangan 40 ulama muda itu:
 
Amat penting kita mengetahui siapakah sebenarnya Salafiyyah itu? Mungkin kita pernah terdengar golongan yang mendakwa Salafiyyah itulah yang lebih benar kerana ia merujuk kepada sebaik-baik generasi selepas zaman Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu, ada antara mereka yang ta’assub telah merendah-rendahkan golongan ulama sedia ada lalu menganggap mereka golongan yang perlu ditajdid atau diperbaharui.
 
Mereka juga mendakwa bahawa Salafiyyah itu ialah golongan yang berpegang kepada dalil al-Qur’an, al-Hadith dan pendapat ulama Salaf semata-mata. Selain daripada sumber itu ia dianggap menyalahi Sunnah dan menghampiri bid’ah. Persoalannya benarkah ini mafhum Salafiyyah yang sebenar?
 
Dalam membincangkan isu ini, penulis tertarik dengan apa yang dibahas oleh Dr. Rajih Abdul Hamid al-Kurdi, Ketua Jabatan Aqidah dan Dakwah, Universiti Jordan yang juga seorang Salafi, dalam bukunya berjudul “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Di dalam buku ini beliau telah membicarakan apakah maksud Salafiyyah yang sebenar. Beliau telah membahagikan Salafiyyah kepada tiga makna. (al-Kurdi, Rajih ‘Abd al-Hamid, al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asalah Wa al-Mu’asarah, ‘Amman: Dar ‘Ammar, 12-17)
 
Pertama, golongan yang dinamakan Salafiyyah Zamaniyyah. Mereka ialah kalangan Sahabah, Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in pada tiga kurun yang pertama. Dalil tentang keutamaan golongan ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih nya, daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka…”. Walau bagaimana pun golongan ini telah pun berakhir dengan berakhirnya tiga kurun pertama sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Kedua, Salafiyyah Manhajiyyah, iaitu golongan yang mengikuti jejak langkah golongan Salaf yang berada dalam tiga kurun pertama secara manhaj. Penyandaran kalimah ‘manhaj’ kepada Salafiyyah jenis ini memandangkan mereka mengekalkan manhaj yang telah dirintis oleh golongan terdahulu dalam menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Mereka berpegang kuat kepada disiplin Qawa’id Usuliyyah dalam memahami segala perintah dan larangan yang termaktub di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Senjata mereka adalah ketaqwaan serta memusuhi perpecahan dan perhambaan hawa nafsu. Mereka adalah golongan usuliyyun (ahli usul) dan manhajiyyun (ahli manhaj) dalam berpegang teguh kepada sumber-sumber hukum dan kaedah-kaedah memahaminya.

Ketiga, iaitu golongan Salafiyyah Madhmuniyyah atau Fikriyyah yang mengambil pendapat dan pendekatan golongan Salafiyyah Manhajiyyah yang terdahulu dan mempratikkannya dalam kehidupan mereka tanpa sebarang penilaian semula atau penyesuaian. Pemahaman Salafiyah jenis ini agak sempit dan rigid berbanding Salafiyyah Manhajiyyah.

Bagi Salafiyyah Manhajiyyah, mereka telah mengekalkan manhaj yang digunakan oleh golongan Salaf terdahulu tetapi melalui pendekatan yang berbeza sesuai dengan situasi semasa, keadaan manusia dan perubahan zaman. Dengan pendekatan yang meraikan keadaan sekeliling maka Salafiyyah Manhajiyyah cenderung untuk menghasilkan suatu pemikiran atau fiqh baru sesuai dengan keadaan semasa tanpa mencabuli asas-asas manhaj golongan Salaf. Salafiyyah jenis yang ketiga inilah akhirnya menjadi metod utama dalam banyak gerakan-gerakan Islam yang wujud di dunia Islam pada hari ini. Salah satu gerakan Islam tersebut adalah Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh tokoh Islam terkenal al-Syahid Hasan al-Banna.

Jika kita menelusuri khazanah pemikiran yang telah ditinggalkan oleh al-Banna, kita akan dapati beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj Salafiyyah Manhajiyyah dalam dakwahnya. Antara bukti jelas kefahaman al-Banna terhadap manhaj ini ialah dengan tercetusnya prinsip al-Usul al-‘Isyrin (usul dua puluh) yang menjadi teras dalam perjuangan dakwah beliau di Mesir. Usul dua puluh ini juga akhirnya telah dijadikan asas rujukan gerakan-gerakan Islam yang lain di seluruh dunia dalam menjalankan visi dan misi dakwah mereka.

Pendekatan Salafiyyah Manhajiyyah yang dibawa oleh al-Banna jauh sekali daripada membawa imej mazhab atau aliran tertentu. Umat Islam yang melihat dan mendengar apa yang dibawa oleh al-Banna, mengetahui keikhlasan beliau hanyalah ingin menyeru umat kembali kepada Islam. Setiap golongan yang menganuti mazhab atau aliran tertentu, senang menerima dakwah yang dibawa oleh al-Banna. Tiada cercaan, tiada penghinaan, tiada sindiran dan tiada label melabel kepada mana-mana kumpulan, individu, mazhab mahupun aliran dalam dakwah yang disampaikan. Hakikatnya beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj golongan Salaf dalam dakwahnya.

Oleh itu, amat baik sekali sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mahu menegakkan dakwah Salafiyyah di Negara ini merujuk dan menghayati apa yang telah diwariskan oleh al-Banna. Tidak setakat itu, penulis juga mahu mengajak para pembaca dan pencinta Salafiyyah agar sama-sama bermuhasabah sambil melihat beberapa pesanan yang disebut oleh Dr. Rajih al-Kurdi dalam bukunya “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Antara saranan beliau di dalam buku tersebut dapat penulis ringkaskan seperti berikut:-

Kewajipan menjauhkan umat daripada membicarakan soal-soal cabang

Sewajarnya gerakan dakwah Salafiyyah Manhajiyyah tidak menghimpit pemikiran umat dengan perkara-perkara cabang fiqh yang asing bagi umat. Antaranya dengan cara memilih pandangan seorang alim atau faqih lalu menyembunyikan pandangan alim atau faqih yang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya perkara yang dibahaskan ini langsung tidak menjadi senarai utama dalam dakwah kepada umat ketika ini. Apatah lagi sekiranya ia hanyalah sesuatu yang berada di penghujung senarai keutamaan.
 
Memerangi ulama fiqh bukan cara untuk mengislah ummah

Dalam usaha mengajak umat supaya membuang rasa ta’assub, mencintai ilmu, mengikuti dalil serta membuka pintu ijtihad buat para ulama, semua ini tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah-rendah atau memperlecehkan ulama sedia ada. Menyifatkan mereka sebagai boneka ummah, menganggap ikutan kepada mereka seperti ikutan Nasrani dan Yahudi kepada pendeta dan paderi mereka berasaskan dalil surah al-Taubah ayat 31, jelas merupakan pendalilan yang tidak menepati manhaj Salaf al-Soleh dalam mengambil hukum. Memaksa orang lain mendengar dan berpuas hati dengan pandangan kita tetapi dengan cara menghentam dan menjatuhkan pandangan ulama yang lain hanya akan menjadi batu penghalang kepada dakwah Salafiyyah.

Pengajaran (dakwah) tidak boleh dengan menjatuhkan maruah para ulama terdahulu

Sekiranya matlamat anda adalah untuk mengajak para ulama kembali kepada dalil atau membuat kajian terhadap dalil-dalil atau berijtihad, maka menjatuhkan maruah mereka bukan cara yang sepatutnya digunakan untuk mendorong mereka berubah. Sekiranya bertujuan untuk mengajar umat secara umum, maka tidak ada sebab untuk anda menjatuhkan kredibiliti para ulama yang lain pada pandangan awam. Ini kerana dengan menjatuhkan kredibiliti ulama lain dan seterusnya memasukkan ijtihad anda ke dalam fikiran mereka, akhirnya membuatkan mereka akan bertaqlid dengan anda pula. Kesimpulannya anda juga menyeru kepada taqlid.

Jangan memaksa orang yang buta syariah untuk menilai dalil syar’i

Sekiranya anda berhajat untuk mempersiapkan golongan awam supaya masing-masing merujuk kepada dalil-dalil syar’i, sedangkan mereka tidak mampu berbuat demikian, tidak mampu untuk mentarjihkan (memilih yang lebih kuat) mana-mana pandangan ulama. Maka ini merupakan salah satu bentuk pengabaian dalam memahami asas-asas Islam, al-Qur’an dan al-Sunnah serta memaksa orang supaya memahaminya sebagaimana yang tidak difahami oleh para ulama Salaf. Ini juga membebankan umat dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Lebih-lebih lagi ia mungkin mendorong kemunculan golongan yang berani berijtihad dengan menggunakan akal sendiri tanpa memahami disiplin ilmu yang sebenar.

Beramal dengan apa yang kita sepakati dan bermaaf-maafan dalam perkara yang kita perselisihi.

Dalam menangani sebarang isu berbangkit, kita perlu kepada nasihat-menasihati dan saling bekerjasama demi memastikan hati-hati umat Islam sentiasa dalam kesatuan. Oleh itu kita perlu saling bekerjasama dalam apa jua perkara yang kita sepakati dan saling memaafkan pada perkara yang kita tidak sehaluan selagimana ia termasuk perkara cabang yang tidak berkaitan asas-asas Islam. Oleh itu sekiranya kita cenderung untuk memilih salah satu pendapat daripada pendapat yang dikemukakan oleh ulama Salaf, itu tidak bermakna yang lain bukan pendapat Salaf, kerana golongan Salaf juga saling berselisihan pendapat sesama mereka. Lebih-lebih lagi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh selain pendapat Salaf sebagai golongan bid’ah yang sesat. Sesungguhnya khilaf sudah lama berlaku di kalangan ulama Salaf sama ada dalam persoalan menentukan keutamaan terhadap sesuatu atau berkaitan hukum-hakam far’iyyah (cabang).

Golongan Salafiyyah terkemudian menyalahi golongan Salafiyyah sebelumnya

Sebagai contoh Syaikh al-Albani berselisih pendapat dengan Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam beberapa masalah. Al-Albani berpandangan bahawa mandi pada hari ‘Arafah itu adalah bid’ah sedangkan Ibn Taimiyyah tidak menganggap ia sabit daripada Rasulullah SAW. Al-Albani melihat bahawa solat jama’ dalam bermusafir itu sabit, Ibn Qayyim pula menganggap itu tidak termasuk petunjuk Nabi SAW. Ibn Taimiyyah mengatakan, berwuduk disebabkan menyentuh zakar itu sunat, al-Albani pula memandangnya sebagai wajib. Oleh itu, sekiranya kita memilih salah satu daripada pendapat ini, kita tidak boleh mengatakan yang dipilih itu sebagai pandangan Salaf dan yang tidak dipilih sebagai bukan Salaf, atau yang dipilih itu Sunnah dan yang tidak dipilih itu bid’ah.

Amaran daripada berpegang kepada zahir nas semata-mata

Di sana wujud kebimbangan apabila muncul segelintir golongan muda yang bersemangat dalam kembali kepada dalil-dalil syar’i tanpa memahami usul. Ini amat berbahaya kerana ia menjurus kepada memahami nusus secara zahir tanpa mendalami fiqh nusus tersebut. Ia sebenarnya lebih bahaya daripada manhaj fiqh zahiri Imam Ibn Hazm sendiri. Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang mengharamkan wanita memakai emas. Mereka beralasan memakaikan wanita dengan rantai atau gelang emas seolah-olah memakaikan mereka dengan belenggu daripada neraka. Ini sangat jelas menunjukkan golongan ini terlalu kuat berpegang kepada zahir hadith tanpa memahami fiqh hadith tersebut. Sebenarnya hadith tersebut menjelaskan tentang tegahan Nabi SAW terhadap adat jahiliyyah yang masih wujud pada zaman Baginda SAW yang memakaikan kanak-kanak mereka dengan gelang-gelang emas, cincin dan hadiah-hadiah berbentuk seperti itu. Semua ini ditakuti boleh menyebabkan jiwa si anak lelaki terbiasa dan terikat dengan emas atau barang-barang sepertinya. Jika ini berlaku sudah tentu apabila mereka dewasa, akan menyukarkan mereka untuk meninggalkan tabiat mencintai perhiasan emas, ini sudah tentu akan menyebabkan mereka terjebak melakukan perkara yang diharamkan.

Menyibukkan ummah dengan apa yang mereka perlu dan dengan apa yang boleh menyatukan hati-hati mereka

Perkara-perkara khilaf berkatan cabang fiqh tidak sepatutnya menjadi agenda utama golongan Salafiyyah sebaliknya banyak lagi agenda umat yang perlu didahulukan. Menyibukkan mereka dengan perkara-perkara khilaf hanya akan memecahbelahkan kesatuan mereka sama ada dengan disedari atau tanpa disedari. Oleh itu keutamaan Salafiyyah ketika ini iaitu mengumpulkan jiwa umat Islam agar boleh bersama bersatu padu.

Terlalu emosional dalam memerangi bid’ah, boleh menjadi punca memerangi Sunnah

Kadang-kadang terdapat orang yang keterlaluan dalam memerangi bid’ah sehingga terjebak pula kepada memerangi Sunnah sendiri. Sebagai contoh, terdapat orang yang mengharamkan azan pertama pada hari Jumaat kerana menganggap ia bid’ah, tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW. Dia sebenarnya lupa bahawa azan ini adalah Sunnah pada zaman Uthman ibn’ Affan. Ketika ia dilakukan Sahabah menyetujuinya kerana ia mengandung hikmah bagi mengumpulkan orang ramai untuk solat. Ia juga mengambil hukum Sunnah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin selepasku, berpeganglah kepadanya dengan teguh (seumpama menggigit dengan geraham)”. Selain itu, bukankah kaedah dua azan ini telah lama diadakan termasuk ia diteruskan oleh ulama Ahli Sunnah dan Salafiyyah di Riyadh dan al-Haramain al-Syarifain (Makkah dan Madinah).

Tidak tergesa-gesa menghukum bid’ah ke atas orang lain

Sesungguhnya tergesa-gesa dalam menghukum orang lain sebagai bid’ah adalah merupakan sesuatu yang tertolak dalam mafhum Salafiyyah Manhajiyyah. Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum ke atas manusia di dunia, apatah lagi kita juga bukan penghukum kepada mereka di akhirat nanti sama ada penghuni neraka mahupun syurga.

Mengumum dalam menghukum bukan daripada sifat Salaf

Ini adalah perbuatan yang amat tidak beradab dalam membuat teguran. Bukan daripada sifat Salaf membuat teguran secara terbuka dalam bentuk ta’mim atau mengumum sesuatu hukum. Lebih-lebih lagi sekiranya ia ditujukan kepada pemegang ijazah dalam bidang agama yang disegani atau dikenali masyarakat. Menuduh mereka dengan jahil, penyebar hadith palsu, penghikayat dan sebagainya merupakan hukum ta’mim yang boleh merendah-rendahkan kredibiliti golongan agama sendiri. Ini kerana hukum ta’mim kepada yang tertuduh hanya akan mendapat reaksi balas secara ta’mim juga oleh ahli masyarakat awam.

Wajib berbaik sangka dengan semua golongan yang menyumbang kepada Islam.

Sesungguhnya dakwah Salafiyyah masakini adalah dakwah yang memerlukan kerja keras daripada semua lapisan masyarakat. Sama ada di peringkat individu, jamaah, swasta mahupun kerajaan, kesemuanya perlu berganding bahu untuk memastikan dakwah Islam sampai kepada golongan sasaran.

Kesimpulannya, apa yang penting menurut mafhum Salafiyyah Manhajiyyah, adalah penyampaian dakwah Islam itu sendiri. Ia melampaui batasan mazhab atau apa jua bentuk aliran pemikiran yang menjadi khilaf dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keutamaan adalah mengembalikan umat kepada Islam yang sebenar dan seterusnya membentuk kembali kesatuan dan kekuatan umat seperti mana suatu ketika dahulu.

Read more >>

Jumaat, 25 Jun 2010

PELIK...TAPI BENAR...

Kadang-kadang bila memikirkan isu yang sedang berlaku sehari dua ini, penulis merasa sedikit lucu. Sebenarnya apa yang timbul adalah 'orang yang bukan ahli' dijemput memberi taklimat berkenaan sesuatu yang dia sendiri tiada autoriti untuk mewakili jabatan. Lebih lawak lagi yang menjemputnya adalah juga agensi kerajaan dan dibentangkan  di hadapan cendekiawan dan cerdik pandai kerajaan. Inilah akibat apabila bekerja tanpa sistem. Yang dijemput mungkin tidak salah kerana dia hanya menerima jemputan. Apa yang penting dia hanya melontarkan pandangan. Sama ada dia mewakili jabatannya atau tidak, bagi dia itu tidak penting!

Hakikatnya isu ini boleh selesai jika agensi kerajaan yang menjemput itu bersikap profesional. Bukankah isu 'Wahhabiyyah' adalah isu agama dan melibatkan isu yang amat sensitif kerana ia bukan hanya melibatkan soal 'local'. Malah isu ini telah dikaitkan pula dengan soal keselamatan negara. Kenapa tidak agensi-agensi berkenaan merujuk terus kepada Ketua Pengarah JAKIM untuk mengetahu pendirian rasmi JAKIM berkenaan isu 'Wahhabiyyah'? Bukankah di bawah JAKIM itu ada bahagian khusus yang menyelidik dan bertanggungjawab memantau isu berkenaan dgn kerjasama SB Bkt Aman? Bukankah di bawah JAKIM ada Panel Kajian Aqidah (PKA) yang terdiri daripada 15 orang profesor dalam bidang pemikiran Islam & Usuluddin dan dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan? Bukankah di bawah JAKIM sudah ada mesyuarat-mesyuarat penting yang melibatkan agensi-agensi keselamatan untuk dibincangkan secara rasmi dan tertutup berkenaan satu-satu isu yang serius? Walhasil, mengapa pulak dipanggil 'orang yang tidak berkenaan' untuk membentangkan isu yang hanya dilontarkan melalui satu pandangan peribadi dan tidak disahkan melalui mana-mana prosedur JAKIM. Tidak melalui PKA, tidak melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan tidak juga melalui mana-mana saluran mesyuarat rasmi di JAKIM???

Lebih melucukan, ada yang mempercayai tuduhan kebudak-budakan yang mengatakan JAKIM dipengaruhi para pegawai pro Wahhabi. Alangkah dangkalnya tuduhan ini. Ia seolah-olah mempermain-mainkan pengurusan tertinggi JAKIM dan para ilmuwan yang menganggotai Panel Aqidah dan Panel Syariah JAKIM (kerana mereka ini terlibat dalam keputusan-keputusan JAKIM berkenaan isu-isu agama). Apapun penulis mohon kepada Allah SWT semoga segala kecelaruan diperbetulkan dan agensi-agensi kerajaan terbabit hendak kembali bersikap profesional dalam bertindak dan tidak termakan dengan tuduhan-tuduhan tak masuk akal yang dibuat oleh yang menuduh. Wallahu a'lam.

Read more >>

Rabu, 23 Jun 2010

SETIAP WAHHABI ADALAH PENGGANAS?

Nampaknya isu Wahhabiyyah kembali timbul. Kali ini Wahhabiyyah dikaitkan secara direct dengan gerakan pengganas. Akibatnya ramai di kalangan para ustaz dan ahli akademik yang menjadi 'pengganas segera' akibat tuduhan melulu pihak-pihak tersebut. Turut dituduh adalah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dan Dato' Dr. Johari Mat, mereka adalah ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM sejak awal mula Panel Kajian Aqidah JAKIM ditubuhkan pada tahun 1993. Tetapi kelancangan mulut pihak-pihak penabur fitnah, mereka menuduh kononnya penulis yang baru berkhidmat di JAKIM pada 2005 yang membawa masuk dua orang tokoh tersebut, sedangkan penulis masih berada di sekolah menengah pada ketika itu.

Penulis juga dituduh kononnya penyebab sehingga ajaran Wahabi tidak disesatkan. Subhanallah!! Siapalah penulis untuk menyesatkan sesuatu kumpulan. Penulis bukan mufti atau pembuat keputusan @ dasar. Malah penulis hanyalah seorang pegawai biasa yang pada hari ini ditempatkan sebagai penyelidik di Cawangan Aqidah, Penyelidikan JAKIM, dan esok lusa mungkin di bahagian lain. Terpulang kepada Ketua Pengarah JAKIM...Lagipun dasar dan keputusan berkenaan Wahhabi telah wujud sebelum penulis sendiri mula berkhidmat dengan JAKIM pada 2005. Perbincangan tentang Wahabi telah dibuat beberapa kali di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003.

Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat". Minit-minit tentang perkara tersebut ada terdapat di dalam fail-fail sulit JAKIM...apakah bila penulis membentangkan isu ajaran sesat dan menyebut fakta dan keputusan rasmi bahawa 'Wahabi tidak sesat tetapi perlu disekat kerana boleh memecahbelahkan ummah', maka penulis pula yang dituduh Wahabi? Terserahlah para penuduh dan pemfitnah sekalian. Kepada Allah SWT sahaja penulis berserah...

Berikut adalah tulisan penulis tentang Wahabi yang pernah disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan JAKIM..sila baca:

Isu Wahhabi kembali muncul apabila ia mula diperkatakan terutamanya di beberapa akhbar arus perdana di negara ini. Ia kembali menjadi topik yang hangat dibincangkan oleh beberapa individu yang merasa terpanggil untuk barangkali mempertahankan fahaman atau ideologi masing-masing. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan terdapat dua kelompok utama yang begitu bersemangat dengan penuh komitmen dalam membawa isu ini ke pentas perdana sebagai paparan kepada masyarakat awam.

Pertama, golongan yang mempertahankan habis-habisan gerakan atau fahaman Wahhabi serta berusaha dengan apa cara sekalipun mengumpul hujjah untuk menyatakan bahawa kebenaran tetap berada di pihaknya tanpa sebarang kompromi. Manakala kumpulan kedua pula berusaha menegakkan hujjah-hujjah untuk menjatuhkan hukuman muktamad bagi menetapkan bahawa Wahhabi adalah kumpulan yang sesat atau dalam bahasa yang lebih lembut menyimpang daripada akidah Islam sebenar yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia iaitu akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Secara kasar, inilah dua kumpulan yang sering diberi ruang di dada-dada akhbar untuk membentangkan ideologi serta pandangan masing-masing terhadap isu ini sehingga ia menjadi panas serta mula heboh diperkatakan semula oleh masyarakat awam bermula daripada mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap oleh umum sebagai intelektual Islam.

Pada hakikatnya isu Wahhabi bukanlah satu isu baru yang kini perlu diterjemah, dikarang, dibahas mahupun dibangkitkan semula. Ini kerana isu ini telah lama bertapak di semenanjung Tanah Melayu dengan kemunculan satu golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda pada awal abad ke-20 yang lalu, kesan daripada pembawaan beberapa orang pelajar Malaysia dan Indonesia yang berkesempatan menceduk ilmu agama di Mekah, Mesir dan India.

Pada waktu itu tempat-tempat tersebut telah dipengaruhi oleh gerakan Wahhabi yang mendukung idea Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, manakala di Mesir timbul gerakan Islah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Keadaan seperti ini juga berlaku di India dengan ajaran Waliyyullah al-Dahlawi.

Di Malaysia gerakan dakwah Salafiyyah yang dibawa oleh Kaum Muda ini akhirnya lebih dikenali oleh masyarakat awam sebagai kumpulan Wahhabi, ia amat sinonim dengan kumpulan tersebut memandangkan cara pergerakan mereka yang agak agresif, tambahan pula gelaran ini merupakan panggilan yang seringkali dicanang oleh musuh-musuh tradisi puak Wahhabi seumpama kumpulan-kumpulan tarekat dan golongan Asya'irah beraliran kesufian.

Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh dipesongkan oleh mana-mana pihak, pertentangan sememangnya pernah berlaku antara Kaum Muda dan Kaum Tua satu masa dahulu, namun setelah beberapa lama isu ini mendiamkan diri, nampaknya ada pihak yang kembali memukul gendang menghingarkan suasana mengajak masyarakat berbicara semula berkisar isu yang kian menyepi ini.

Dalam menangani isu ini, kita perlu jelas tentang apakah isu sebenar yang ingin kita tangani? Adakah kita ingin menangani Wahhabi sebagai satu kumpulan ajaran sesat? Atau sekadar menangani isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan ini seumpama menolak tahlil arwah, menolak talqin mayat, menolak wirid selepas solat fardhu, menolak bacaan Yasiin pada malam Jumaat, bid'ah membid'ah dan sebagainya yang bersifat boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Bertitik tolak dari persoalan inilah maka kita perlu memulakan langkah dalam menangani gerakan Wahhabi. Menjawab kepada persoalan pertama, adakah Wahhabi merupakan satu kumpulan sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Sekiranya ini yang kita pilih maka ia perlu dilihat bukan sahaja dari aspek Wahhabi dalam konteks Malaysia bahkan bermakna kita juga terjebak ke dalam menghukum sebuah negara besar umat Islam sebagai sesat, begitu juga beberapa ulama Islam dahulu dan kini yang tersohor juga sesat seumpama Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, al-Zahabi, Ibnu Kathir, Ibnu Abi al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Uthaimin, Ibnu Baz, Nasir al-Din al-Albani dan selainnya. Adakah benar mereka ini mempunyai kaitan dengan isu Wahhabi yang ingin kita tangani di negara ini?

Merujuk kepada sejarah umat Islam, Wahhabi sering dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang cuba untuk menghidupkan kembali Mazhab Salaf dalam memahami akidah Islam. Mazhab Salaf pula bukanlah sesuatu yang direka-reka seperti dakwaan golongan yang terlalu fanatik dalam menolak fahaman Wahhabi. Sebagai contoh Mazhab Salaf dalam pembicaraan 'nas-nas mutasyabihat' (nas-nas yang zahir lafaznya menyamai sifat makhluk) disifatkan sebagai mengambil pendirian 'al-tawaqquf al-kamil'. Ibnu al-Jauzi menegaskan apa yang dimaksudkan dengan al-tawaqquf al-kamil di sisi Mazhab Salaf itu ialah tidak berpihak kepada 'takwil' (mengambil makna lain dari sudut bahasa) dan tidak terjebak kepada 'tasybih' (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk). (Dirasat fi al-Firaq wa al-'Aqa'id al-Islamiyyah, ms. 196, dinukil daripada kitab Ibnu Jauzi, Daf'u Syubah al-Tasybih)

Sejarah juga menjadi saksi bahawa gerakan menghidupkan semula Mazhab Salaf ini didirikan semula di tengah-tengah zaman keagungan Mazhab Asya'irah yang pada ketika itu telah mendapat kedudukan yang begitu tinggi dan meluas di dalam dunia Islam. Mazhab Asyai'rah bermula apabila Abu al-Hasan al-Asy'ari (332H) mula menulis hujjah-hujjah bangkangan terhadap golongan yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, khususnya golongan Mu'tazilah dengan menggunakan metod pemikiran sehingga menggugat kedudukan Mu'tazilah pada ketika itu. (Tamhid Li Tarikhi al-Falsafah al-Islamiyyah, ms. 289) Hasilnya perjuangan beliau telah melahirkan tokoh-tokoh Ahli Sunnah yang ramai seumpama al-Qadhi al-Baqillani (403H), al-Isfarayini (418H), Abu Mansur al-Baghdadi (429H), Imam al-Haramain al-Juwaini (478H), al-Ghazali (505H) dan selainnya begitu ramai.

Golongan di atas cuba menghidupkan kembali Mazhab Salaf bermetodkan Hanabilah yang berasaskan pengambilan dalil-dalil akidah hanya bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah. Mereka menolak metod memahami akidah berasaskan pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh Mu'tazilah dan Asya'irah terutamanya sebahagian ulama Asya'irah yang melampau dalam merujuk kitab-kitab falsafah sehingga tidak dapat membezakan antara falsafah dan ilmu kalam seumpama yang berlaku kepada al-Baidhawi (661H) dalam kitabnya 'al-Thawali' dan 'Adhud al-Din al-Iji (705H) dalam kitabnya 'al-Mawaqif'. Imam al-Taftazani dalam muqaddimah kitabnya 'Ilm al-Kalam Wa Ba'dh Musykilatih' (ms. Ba) pernah menyebut: "Yang benar, sesungguhnya para mutakallim Islam khususnya golongan yang kebelakangan tidak lagi berhenti pada kadar untuk menjelaskan akidah, tetapi mereka telah melampaui sehingga berbincang tentang perkara-perkara yang hampir kepada falsafah tulin…".

Kesimpulannya, golongan Salafiyyah yang mendokong Mazhab Salaf ini wujud sebagai tindak balas kepada penggunaan Ilmu Kalam yang semakin berleluasa oleh Mazhab Asya'irah pada zaman tersebut. Ia semakin popular pada zaman Ibnu Taimiyyah apabila beliau begitu lantang dan tegas sekali dalam menolak metod pemikiran yang digunakan oleh Asya'irah untuk mensabitkan akidah. Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang paling kuat dalam menentang kebatilan dan kesesatan yang dibawa oleh golongan Syiah dan tarekat sufi. Maka umat Islam pada ketika itu dapat dilihat terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok menjadi pengikut kuat Ibnu Taimiyyah dan mengambil pandangan-pandangannya sehingga mereka menggelarkannya sebagai Syaikh al-Islam. Sementara kelompok kedua pula menentangnya, mengkritik pandangannya bahkan menyesatkannya. Seterusnya aliran Salafiyyah ini dikembangkan dengan lebih keras lagi di bawah bimbingan Muhammad bin Abdul Wahab (1206H) pada kurun ke-12 hijrah sehingga akhirnya aliran ini bertapak kukuh terutamanya di Arab Saudi dan beberapa tempat lain di dunia Islam seumpama di India dan Pakistan.

Hasil daripada ketrampilan dan kewibawaan pengasasnya iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, maka lahirlah satu gerakan dakwah yang teratur dan terancang dalam memerangi bid'ah dan khurafat yang berlaku di zamannya, di samping berusaha dengan gigih mengembalikan metod Mazhab Salaf dalam memahami akidah tambahan pula ia telah mendapat sokongan padu daripada pemimpin setempat iaitu Amir Muhammad bin Saud (1197H) yang akhirnya telah membantu perluasan pengaruh gerakan ini ke seluruh semenanjung Tanah Arab.

Hakikatnya Muhammad bin Abdul Wahab tidaklah bertujuan membawa fahaman baru atau mazhab baru yang terkeluar daripada mazhab empat yang utama, beliau sendiri pernah menegaskan, katanya: "Dan adapun mazhab kami adalah mazhab Imam Ahmad bin Hanbal Imam Ahli Sunnah pada perkara furu' dan kami tidak mengajak berijtihad, tetapi apabila nyata kepada kami Sunnah Sahihah daripada Rasulullah s.a.w. maka kami mengamalkannya, dan kami tidak sekali-kali mendahulukannya (Nabi s.a.w.) dengan sesiapa jua". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Muhammad bin Abdul Wahab juga mengakui bahawa beliau mempunyai qudwah (model) yang menjadi idola ikutannya iaitu Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, namun bukan semua itu diikuti dengan membuta tuli, beliau berkata: "Ibnu Qayyim dan gurunya (Ibnu Taimiyyah)…kitab-kitab mereka di sisi kitab adalah seutama kitab (rujukan penting), melainkan kami tidak bertaqlid dengannya dalam kesemua masalah". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Seterusnya Muhammad bin Abdul Wahab juga menegaskan bahawa beliau berusaha untuk menjadi seorang pengikut Sunnah bukan terkeluar daripada Sunnah, dalam risalah beliau kepada Abdul Rahman bin Abdullah al-Suwaidi, alim ahli Iraq, beliau berkata: "Dan aku memberitahumu sesungguhnya aku dengan penuh kesyukuran seorang pengikut (Sunnah) dan bukan mubtadi' (ahli bid'ah), akidahku dan agamaku yang aku berpandu adalah Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang didokong oleh para imam muslimin, seumpama imam yang empat dan pengikut mereka sehingga ke Hari Kiamat". (Al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asolah Wa al-Mu'asarah, ms. 49)

Namun begitu gerakan Wahhabiyyah tidak sunyi daripada kesalahan dan kesilapan terutama dalam metod mereka berdakwah mengajak manusia kembali kepada Manhaj Salaf yang sebenar. Muhammad Abu Zuhrah menyebut dalam kitabnya beberapa kesilapan metodologi dakwah yang disebar oleh gerakan Wahhabiyyah, antaranya kata beliau: "Mereka (Wahhabiyyah) tidak cukup menjadikan hanya ibadat yang mesti diikuti mengikut Islam sebagaimana dalam al-Qur'an dan Sunnah serta (pandangan) Ibnu Taimiyyah, bahkan juga mengkehendaki adat juga hendaklah tidak terkeluar daripada lingkaran Islam lalu mereka mewajibkan (orang lain) apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka, kerana itu mereka mengharamkan rokok, bahkan bertegas dalam pengharamannya, sehingga golongan awam di kalangan mereka menganggap perokok adalah seumpama orang musyrik, maka mereka seumpama Khawarij yang (satu ketika dahulu) mengkafirkan pelaku dosa besar". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Muhammad Abu Zuhrah seterusnya memberi kesimpulan bahawa punca kesilapan mereka adalah kerana keterlaluan dalam berpegang kepada pandangan Ibnu Taimiyyah, tambahan pula mereka telah melebarkan lagi mafhum bid'ah sehingga menganggap perkara yang langsung tiada hubungkaitnya dengan ibadat juga termasuk ke dalam erti kata bid'ah, sedangkan bid'ah sebenarnya adalah perkara-perkara ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tanpa mempunyai asas dalil agama, contohnya meletakkan kain tirai di atas Raudhah al-Syarifah ia tidak dikatakan oleh sesiapa pun bahawa ia termasuk perkara ibadat tetapi mereka melakukannya dengan maksud menghiasinya supaya kelihatan cantik pada pandangan yang melihat… ". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Walau bagaimanapun Muhammad Abu Zuhrah tidak pernah mengatakan kesalahan ini adalah berpunca rentetan kesalahan tokoh impiannya iaitu Ibnu Taimiyyah dalam memahami akidah, bahkan dalam bukunya, beliau meletakkan satu bab khusus berkenaan Ibnu Taimiyyah menceritakan betapa gigihnya perjuangan Ibnu Taimiyyah dalam menghidupkan kembali aliran Mazhab Salaf dalam memahami akidah sehingga ditimpa dengan pelbagai ujian yang berat dan sampai kepada tahap menggugat keselamatan nyawa dan dirinya sendiri. Inilah contoh sifat amanah ilmiyyah yang dimiliki oleh Muhammad Abu Zuhrah, walaupun beliau seorang yang beraliran Asya'irah dan bersikap kontra dengan pemikiran Wahhabiyyah namun beliau tidak menghukum membabi buta setiap tokoh yang dianggap penyumbang kepada gerakan ini.

Walau apa pun kelemahan yang terdapat pada gerakan Muhammad bin Abdul Wahab namun jasa-jasa yang pernah disumbangkan oleh tokoh ini tetap tidak dilupakan, sekiranya dikaji dengan lebih jauh terdapat komentar-komentar yang berbentuk penghargaan telah dirakamkan oleh ulama-ulama dahulu dan kini terhadap gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Antara para ulama' yang memuji atas jasa gerakan Muhammad bin Abdul Wahab adalah Imam Son'ani (pengarang kitab Subul al-Salam), Imam Syaukani (pengarang kitab Nail al-Authar), Syaikh Muhammad Rasyid Ridha, Abu al-'Ala al-Mawdudi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syaikh Muhammad al-Ghazali, Syaikh Muhammad Qutub dan lain-lain yang kebanyakannya merupakan pendokong gerakan-gerakan Islam semenjak dahulu hingga kini yang berusaha mengembalikan khilafah Islam yang runtuh pada suatu ketika dahulu.

Kita juga boleh merujuk kepada pandangan-pandangan penulis sejarah semasa seumpama Muhammad Kurd (kitab al-Qadim Wal Hadith), Hafiz Wahbah (kitab Jazirah al-Arab fil Qarn al-'Isyrin), al-Zirkili (kitab al-'Alam) dan 'Abbas Mahmud al-'Aqqad (kitab Al-Islam fi al-Qarn al-'Isyrin). Sekiranya pengkajian dilakukan dengan pemikiran yang terbuka maka kitab-kitab ini akan dibaca dengan lapang dada namun sekiranya tidak sudah tentu semua nama-nama yang dinyatakan di atas juga akan dituduh sebagai penganut Wahhabiyyah atau cenderung (bias) Wahhabi walaupun mereka hanya merupakan pemerhati dan pengkaji sejarah yang profesional.

Berbalik kepada isu sebenar kepada persoalan pertama di atas iaitu, adakah Wahhabiyyah merupakan salah sebuah ajaran sesat? Jawapan mudah yang kita boleh berikan ia bukanlah sebuah ajaran sesat bahkan akidah golongan ini adalah masih berada dalam lingkungan kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Justeru itu kita tidak dapati kitab-kitab yang membicarakan persoalan Firaq Islamiyyah (Pecahan Mazhab Akidah Islam) masakini memasukkan mereka sebagai golongan ahli bid'ah, tetapi mereka boleh kita kategorikan sebagai antara golongan yang tasyaddud (keras) dalam mempertahankan alirannya dan sememangnya sudah menjadi lumrah setiap yang berlebih-lebihan itu akan membawa keburukan kepada ahlinya sendiri, maka dengan itu kita akan dapati terdapat golongan yang terlalu berang dengan kewujudan kumpulan ini sehingga ke peringkat menyesatkan mereka bahkan ke peringkat mengkafirkan mereka.

Di negara-negara Islam Timur Tengah pertembungan antara Wahhabiyyah (yang dikatakan mewakili golongan yang mendokong Mazhab Salaf atau aliran Salafiyyah) dengan beberapa individu serta kumpulan tertentu yang mendokong aliran Asya'irah sememangnya berlaku. Banyak kitab-kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh aliran masing-masing untuk mempertahankan ideologi mereka. Di sebelah pihak yang mewakili Wahhabiyyah sudah tentulah tokoh-tokoh tersebut tertumpu kepada ulama-ulama besar serta ahli-ahli akademi yang berasal dari Negara Arab Saudi yang menjadi pusat pertumbuhan aliran ini, mereka hanya meneruskan kesinambungan mempertahankan akidah yang mereka terima semenjak turun temurun sebagaimana yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 hijrah yang lalu.

Manakala di pihak yang menentang pula maka timbul beberapa nama yang cukup terkenal dalam usaha menentang keras aliran Wahhabiyyah, maka lahirlah nama-nama seumpama Muhammad Zahid al-Kauthari (1371H) yang terkenal dengan kitabnya 'Maqalat al-Kauthari', Hasan al-Maliki pengarang kitab 'Muzakkirat al-'Aqa'id' dan yang paling menonjol pada ketika ini iaitu Hassan bin Ali al-Saqqaf yang banyak mengarang kitab-kitab menolak gerakan Wahhabiyyah bahkan sampai kepada tahap cuba menolak kewujudan aliran Mazhab Salaf (yang berlainan pandangan dengan mazhab Asya'irah) serta pendokong-pendokongnya seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah serta selainnya.

Kelantangan al-Saqqaf berdakwah dalam memerangi Wahhabiyyah atau Salafiyyah terutama di Negara Jordan juga didokong dan disokong penuh oleh satu kumpulan beraliran ekstrimis Asya'irah bergelar al-Ahbasy. Al-Ahbasy merupakan satu kumpulan yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habasyi yang berpandangan cukup melampau dalam membangkang golongan Wahhabi dan Salafi sehingga ke peringkat mengkafirkan beberapa ulama Islam tersohor secara terang lagi nyata seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi. Tindakan mereka ini akhirnya telah membawa kepada pengharaman kumpulan ini dengan difatwakan sebagai sesat oleh beberapa ulama besar dan institusi fatwa terkemuka seumpama Prof. Ali Jum'ah, Mufti Mesir, Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar, Institut Kajian Ilmiyyah Arab Saudi dan Majlis Tertingga Fatwa Amerika Selatan.

Pemikiran al-Saqqaf ini juga tidak disenangi oleh para ulama Asya'irah semasa seumpama Syaikh Syuaib al-Arna'uth yang merupakan muhaqqiq hadith tersohor, begitu juga para ahli akademi seumpama Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi, Dekan Kulliyyah al-Dirasat al-Fiqhiyyah Wa al-Qanuniyyah Universiti Al al-Bayt, Jordan yang merupakan pengarang kitab Usul al-Din al-Islami yang menjadi sebahagian silibus pengajian kebanyakan universiti-universiti Timur Tengah pada hari ini. Mereka memberi komentar bahawa kaedah pendekatan yang dibawa oleh al-Saqqaf boleh menimbulkan salah faham di kalangan generasi baru umat Islam terhadap tokoh-tokoh ulama terdahulu serta menggalakkan budaya tuduh-menuduh serta boleh membawa kepada fitnah kafir mengkafir sesama umat Islam.

Di samping itu al-Saqqaf juga dikatakan mempunyai kecenderungan kepada Syiah walaupun beliau bukan seorang Syiah (istilah Arab dipanggil mutasyaiyyi'), ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan beliau yang banyak menyebelahi Syiah seumpama mempertikaikan Mu'awiyah sahabat Rasulullah s.a.w., mentashihkan hadith "ana madinat al'ilmi wa Aliyyu babuha" (aku bandar ilmu sedangkan Ali pintunya), menolak hadith Kitab Allah dan Sunnahku dan mentashihkan hadith Kitab Allah dan Ahli Baytku serta pandangan selainnya yang menyebabkan beliau dituduh sebagai berkecenderungan Syiah. Antara kesan buruk daripada kelantangan golongan ini menentang golongan Salafiyyah, akhirnya ia telah memberi satu kelebihan buat mazhab Syiah untuk memantapkan hujjah-hujjah mereka, sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab Syiah kontemporari kita akan dapati satu metod baru yang dilaksanakan oleh Syiah adalah menggunakan bahasa Ahli Sunnah untuk menolak Ahli Sunnah sendiri. Antaranya ia boleh dirujuk di laman web Syiah beralamat di aqaed.com/shialib/books.

Secara keseluruhan apa yang dibahas, dibincang dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah ini sama ada golongan ekstrimis Asya'irah mahupun ekstrimis Salafiyyah Wahhabiyyah adalah terlalu jauh untuk difahami oleh lapisan masyarakat umat Islam di Malaysia yang setakat mempunyai pengetahuan asas dalam agama. Di dalam kitab-kitab pihak yang bercakaran ini tumpuan perbahasan adalah berkisar perkara-perkara khilaf berhubung masalah ayat-ayat mutasyabihat (yang zahirnya menyerupai makhluk) sama ada ia perlu ditakwil ataupun tidak, soal menentukan Manhaj Salaf yang sebenar antara metod takwil dan tafwidh, mempersoalkan kesahihan dari sudut pendalilan sesuatu hukum, mempersoalkan kedudukan martabat satu-satu hadith yang dijadikan sumber hukum, mempersoalkan kewibawaan tokoh satu-satu aliran malah sehingga ke peringkat mempersoalkan akidah seseorang tokoh dan alirannya seolah-olah mereka bukan dari Ahli Sunnah bahkan mengeluarkan mereka daripada Islam!

Apakah isu yang seumpama ini sesuai untuk dibangkit serta diwar-warkan ke seluruh negara dengan alasan ia perlu untuk menjamin kesejahteraan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sekian lama wujud di negara ini. Jika itu alasannya maka satu persoalan yang perlu dilontarkan adakah sebelum wujudnya aliran Wahhabiyyah maka umat Islam di negara ini sudah benar-benar berpegang teguh kepada Ahli Sunnah yang beraliran Asya'irah tanpa memasukkan ke dalamnya sebarang anasir atau unsur-unsur luar seumpama pengaruh sesetengah tarekat kesufian (tasawwuf teosofi) yang menyimpang dan adat setempat yang bersalutan dengan pelbagai khurafat. Jika jawapannya benar maka memang tepat sekali kita membenamkan terus gerakan Wahhabiyyah ini kerana ia sememangnya mengancam akidah umat Islam, tetapi sekiranya tidak maka kita perlu menilai apakah kesilapan sebenar mereka dan seterusnya menangani mereka mengikut kadar kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan tanpa perlu lebih daripada itu.

Kesimpulannya kita hendaklah bersikap lebih adil dalam menilai pihak yang terlibat dalam isu ini, Wahhabiyyah di Malaysia hendaklah ditangani sebagai satu isu yang timbul hasil daripada sikap kefanatikan sesetengah pendokong dan pengikutnya. Ia tidak wajar dihukumkan sehingga melibatkan mereka yang langsung tiada kena-mengena dalam isu ini seumpama membabitkan pengkafiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim serta pengharaman buku-buku mereka sehinggalah wujud satu tradisi mengajak masyarakat label-melabel tokoh-tokoh ulama besar termasuk menuduh Dr. Yusof al-Qardhawi sebagai Wahhabi bahkan mana-mana ulama yang beraliran kontra dengan Asya'irah adalah termasuk ke dalam golongan Wahhabiyyah.

Lihat bagaimana ketika Dr. Yusof al-Qardhawi ditanya tentang dakwaan bahawa gerakan Ikhwan Muslimun beriktikad dengan aliran Asya'irah. Beliau menjawab: "Tuduhan bahawa Ikhwan Muslimun termasuk ke dalam Asya'irah tidak langsung mengurangkan kedudukan mereka, ini kerana umat Islam sendiri majoriti mereka adalah Asya'irah Maturidiyyah-mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari, Malikiyyah dan Syafi'iyyah beraliran Asya'irah manakala Hanafiyyah beraliran Maturidiyyah. Universiti-universiti agama di dunia Islam juga Asya'irah atau Maturidiyyah: al-Azhar di Mesir, al-Zaitunah di Tunisia, al-Qurawiyyin di Maghrib dan Dioband di India…maka sekiranya kita mengatakan bahawa Asya'irah bukan Ahli Sunnah sudah tentu kita akan menghukum umat Islam keseluruhannya dengan kesesatan…manakala saudara kita Salafiyyun yang mencela Asya'irah secara mutlak, mereka melakukan kesilapan dan melampau, oleh itu Asya'irah (sememangnya) adalah daripada Ahli Sunnah…walaupun pada hakikatnya Ikhwan Muslimun bukanlah pada umumnya beraliran Asya'irah, dan tidak juga memerangi Asya'irah, mereka menyandarkan akidah mereka pertama daripada al-Qur'an dan kedua daripada Sunnah seterusnya melihat daripada pandangan mana-mana pihak yang terbaik buat mereka…". (Islam Online)

Satu lagi contoh yang boleh kita bawa adalah fatwa Muhammad al-Soleh al-Uthaimin (Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dianggap sebagai tonggak Wahhabiyah) ketika beliau ditanya tentang hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan ahli takwil di kalangan umat Islam. Beliau menjawab: "Hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan bukanlah tanggungjawab kita, bahkan ia merupakan hak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, ia termasuk dalam hukum-hakam syara' yang perlu dirujuk kepada Kitab dan Sunnah, maka wajib kita tathabbut (teliti dengan mendalam) benar-benar tathabbut, maka tidak dikafirkan atau difasiqkan sesiapa melainkan orang yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah atas kefasiqannya atau kekafirannya, kerana asal seorang muslim itu kekal Islamnya dan kekal kejujurannya ('adalahnya) sehinggalah ada dalil syara' yang menunjukkan penafiannya". (al-Qawa'id al-Muthla fi Sifat al-Allah Wa Asma'ihi al-Husna, ms. 148)

Dua contoh di atas sudah cukup kepada kita untuk menunjukkan sifat adab dan amanah ilmiyyah yang masih dipegang oleh para ulama Ahli Sunnah walaupun boleh jadi mereka berbeza pandangan dengan sesama mereka namun mereka sedar bahawa kesemuanya masih dalam lingkungan Islam dan Ahli Sunnah. Inilah apa yang cuba diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna ketika beliau cuba menyatukan kembali umat Islam di zamannya di bawah gerakan Ikhwan Muslimun sehingga lahirnya Usul al-Isyrin yang menetapkan beberapa asas penting untuk mengembalikan kesatuan umat Islam pada waktu itu. Antara apa yang ditekankan oleh beliau adalah hakikat perselisihan pendapat yang wujud adalah tidak mungkin dielakkan, namun ia tidak sekali-kali boleh dijadikan alasan punca umat Islam mesti berpecah, malah perselisihan itu berlaku kerana kecintaan kepada Allah (untuk mencari realiti keilmuan yang benar) dan kerjasama untuk sampai kepada kebenaran tanpa sebarang perbalahan yang tercela dan unsur-unsur ketaksuban. (Majmu' al-Rasa'il, ms. 13)

Seorang sufi terkenal al-Harith al-Muhasibi sebagaimana yang disalin oleh Jamaluddin al-Qasimi di bawah bab 'Nasihat li Thalib al-Ilmi' (nasihat kepada penuntut ilmu) menyebut: "Hendaklah kamu wahai murid, memilih jalan yang beradab terhadap para imam yang lalu, dan jangan kamu melihat kepada perkataan (komen negatif) mereka ke atas (imam) yang lain melainkan dengan dalil yang nyata. Kemudian sekiranya kamu mampu mentakwilnya dan bersangka baik dengannya maka hendaklah berbuat demikian, sekiranya tidak maka tinggalkan apa yang berlaku di kalangan mereka, sesungguhnya kamu tidak dijadikan untuk ini (menghukum mereka), maka sibukkan diri dengan apa yang berfaedah kepada kamu dan tinggalkan apa yang tidak berfaedah kepada kamu". (al-Jarh Wa al-Ta'dil, ms. 73)

Setelah memahami kesemua fakta-fakta di atas dengan sebaik-baiknya, kesimpulan yang boleh dibuat ialah hanya satu sahaja masalah yang belum selesai sehingga terus menerus mengekang dan menguasai situasi beragama dan bermazhab di negara ini iaitu masalah kefanatikan atau ketaksuban kepada idelogi atau fahaman yang dipegang dan pelajari. Inilah isu sebenar yang belum selesai sehingga timbulnya isu seumpama ini yang akhirnya tiada berkesudahan. Kedangkalan memahami senario bermazhab di Malaysia yang telah sinonim dengan mazhab fiqh beraliran Syafi'iyyah (mazhab Syafi'e) serta mazhab akidah beraliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menolak semenjak dahulu lagi sebarang fahaman lain selain Ahli Sunnah seumpama Mu'tazilah, Syiah Rafidhah, Murji'ah, Khawarij dan sebagainya adalah punca utama yang menyumbang kepada krisis antara umat Islam di Negara ini semakin kronik.

Menurut Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek aqidah, fahaman Asya’irah adalah sinonim dengan Ahli Sunnah. Sementara aliran lain seperti Salaf Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunnah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati. (Abdul Shukor Husin 1998. Ahli Sunnah Wal-Jamaah Pemahaman Semula, Bangi: UKM)

Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah, mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama sebagaimana sebahagian mereka, untuk itu apa yang perlu ditangani adalah kesilapan dan kesalahan metod dakwah mereka yang menjadi punca timbulnya isu-isu kontroversi di dalam masyarakat dan bukan sehingga memperkatakan dan membesarkan isu-isu lain yang langsung tiada kena mengena dengan fenomena yang sedang berlaku khususnya di kalangan umat Islam Malaysia pada hari ini.

Selaras dengan pendirian tersebut Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM kali ke-14 pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa kumpulan Wahhabiyyah yang disandarkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab itu tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang perlu diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan perselisihan masalah cabang yang cuba dibangkitkan oleh segelintir mereka dari masa ke semasa. Bukannya dengan memperbesar-besarkan isu-isu lain yang tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Islam di Negara ini.
Read more >>

Khamis, 3 Jun 2010

KHUTBAH BAITUL MAQDIS...

Khutbah ini karangan sendiri penulis dan dibaca ketika menjadi khatib di Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya pada tahun 2002 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t…

Baru-baru ini kita telah digemparkan dengan berita Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush menandatangani perundangan penuh kontroversi yang memerlukan pentadbirannya mengiktiraf Baitulmaqdis dan bukannya Tel Aviv sebagai ibu negara haram Israel. Perbuatan Bush ini pada hakikatnya hanyalah untuk menyampaikan hasrat orang-orang Yahudi Israel untuk merampas kembali Baitul Maqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya dan inilah sebenarnya cita-cita yang telah lama diidam-idamkan oleh orang-orang Yahudi iaitu untuk merampas kembali Baitulmaqdis dari tangan umat Islam, meruntuhkan Masjidil Aqsa lalu membina semula tempat ibadah mereka yang dikenali sebagai Haikal Sulaiman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah…

Peristiwa ini sebenarnya mengingatkan khatib kepada tafsiran al-Qur’an yang pernah dibuat oleh Dr. Fadhal Hassan ‘Abbas, seorg pensyarah di University of Jordan di dalam bukunya tentang al-Israk wal Mikraj. Beliau mempunyai tafsiran yang berbeza berbanding tafsiran para ulama klasik di dalam ayat 4 dan 6 daripada surah al-Israk. Di dalam ayat ke-4 yang berbunyi:

وقضينا إلى بني إسرائيل في الكتاب لتفسدن في الأرض مرتين, ولتعلن علوا كبيرا

Bermaksud: Dan kami telah tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab itu: Sesungguhnya kamu (Bani Israel) akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.

Di dalam mentafsirkan ayat ini, Dr. Fadhal mengatakan bahawa orang-orang Yahudi telah ditetapkan oleh Allah s.w.t semenjak di Lauh Mahfuz lagi bahawa mereka akan melakukan kerosakan, kebinasaan dan kehancuran sebanyak dua kali selama mana mereka wujud di atas muka bumi ini. Maka jelas kepada kita bahawa kerosakan yang pertama dilakukan oleh mereka masanya telah pun berlalu iaitu semenjak mereka diutuskan oleh Allah dengan para anbiya sehinggalah perutusan Nabi Isa a.s. Kita dapati di dalam sejarah mereka, dipenuhi dengan kekejaman dan kehancuran…mereka adalah bangsa yang dicop oleh Allah sebagai bangsa yang paling banyak mengkhianati janji, bahkan mereka merupakan bangsa yang paling kejam kerana merekalah bangsa yang paling banyak membunuh para Rasul dan Nabi-nabi utusan Allah s.w.t. Bukannya seorang dua Nabi tetapi lebih daripada seorang bahkan ramai sebagaimana yang digambarkan di dalam al-Qur’an al-Karim di dalam surah al-Baqarah ayat 61:

ذلك بأنهم كانوا يكفرون بآيات الله ويقتلون النبيين بغير الحق ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون

Bermaksud: Mereka itu (org2 Yahudi ) telah kufur dengan ayat2 Allah dan mereka juga membunuh Nabi-nabi utusan Allah tanpa sebab, demikian itu kerana mereka itu selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.

Bahkan hakikatnya tidak ada perbuatan yang lebih kejam dan lebih zalim di dunia daripada perbuatan membunuh para nabi dan rasul-rasul utusan Allah s.w.t. Inilah sebenarnya kebinasaan atau kehancuran pertama yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t yang mana ianya berlaku sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Kemudian di dalam ayat 6 Allah s.w.t menceritakan pula bagaimana Allah s.w.t akan memberikan sekali lagi kepada golongan Yahudi untuk membuat kerosakan di atas muka bumi ini bahkan ianya merupakan kerosakan terakhir buat mereka sebelum Allah s.w.t mengazab mereka di akhir zaman sebelum berlakunya Qiyamat dan yg lebih pedih di akhirat nanti. Allah berfirman di dalam ayat 6 surah al-Israk berbunyi:

ثم رددنا لكم الكرة عليهم وأمددناكم بأموال وبنين وجعلناكم أكثر نفيرا

Bermaksud: Kemudian kami berikan kepadamu giliran sekali lagi (buat kali kedua) untuk mengalahkan mereka kembali (orang-orang Islam) dan kami limpahkan kamu dengan harta kekayaan dan anak pinak dan kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

Kata Dr. Fadhal sewaktu mentafsirkan ayat ini, ini merupakan ayat yang sangat jelas menunjukkan kerosakan dan kebinasaan yang akan dilakukan oleh orang-orang Yahudi buat kali kedua malahan ianya disokong dengan 4 perkara sebagaimana yg tersebut di dalam ayat ini.

Pertama: Perkataan (Karrah) di dalam ayat ini membawa makna Negara. Iaitu di akhir zaman nanti orang-orang Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal mereka, walaupun sepanjang sejarah Yahudi, tidak pernah mempunyai sebuah negara, negara di sini sudah tentulah bermaksud Baitulmaqdis sendiri.
Kedua: Mereka akan mempunyai ekonomi yang kukuh. Sebagaimana diperjelaskan di dalam ayat (wa amdadnaakum bi amwaal) yg bermaksud kami limpahkan kamu dengan harta benda. Jelas kepada kita bahawa pada hari ini ekonomi dunia dikuasai oleh oleh orang-orang Yahudi.

Ketiga: Mereka akan mempunyai keturunan yang ramai. Sebagaimana di dalam ayat ini yang menyebut kalimah (baniin) bermaksud anak pinak. Lihatlah pada hari ini orang-orang Yahudi telah lama mengembangkan keturunannya dengan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka dengan berbagai bangsa dan keturunan yang ada di dunia. Bahkan bangsa mereka telah berjaya menguasai banyak orang-orang besar politik dunia hanya dengan mngahwinkan anak-anak perempuan cantik mereka.

Keempat: Mereka akan mempunyai pasukan tentera yang ramai. Ini jelas di dalam tafsiran ayat (aksara nafiiraa) yang ditafsirkan oleh Dr. Fadhal dengan makna pasukan tentera. Tafsiran ini sebenarnya tepat kerana pada hari ini kita telah melihat bagaimana kelengkapan persenjataan ketenteraan yang terdapat pada askar-askar Yahudi, ditambah pula dengan sokongan ala tentera oleh Barat terutamanya Amerika, Britain dan selainnya. Semuanya ini menunjukkan bahawa mereka sudah mula mempunyai kekuatan ketenteraan berbeza dengan sejarah kaum Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kejatuhan Empayer Islam Turki yang tidak pernah mempunyai sebarang kekuatan dari sudut ketenteraan..

Sidang Jumaat yang dirahmati…

Perhatikanlah baik-baik apa yang dimaksudkan oleh ayat 6 di dalam surah al-Israk ini sekiranya kita mentafsirkannya sebagaimana yang difahami oleh Dr. Fadhal Hassan Abbas, seorang ulama tafsir kontemporari di Jordan. Kita akan dapati ianya benar-benar bertepatan dengan realiti orang-orang Yahudi pada hari ini.

Bayangkan sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, kalau dahulu orang-orang Yahudi mampu berbuat kerosakan tanpa mereka mempunyai sebuah negara, tanpa mempunyai ekonomi yang kukuh, tanpa mempunyai keturunan yang ramai malah tanpa mempunyai bala tentera…tetapi pada hari ini sepertimana ayat yang kita sebutkan tadi…mereka telah mempunyai segala-galanya….itulah sebab pada hari ini mereka tanpa teragak-agak berani mengishtiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi orang-orang Yahudi kerana bagi orang-orang Yahudi dunia adalah milik mereka semata-mata…Dan jangan kita terkejut sekiranya orang-orang Yahudi sewenang-wenangnya membunuh kanak-kanak Palestin tanpa sebarang perasaan belas kasihan….kerana mereka itulah juga pada fasa pertama kerosakan dan kebinasaan mereka dahulu, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul utusan Allah…umpama memancung Nabi Yahya, menggergaji Nabi Zakaria dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s.

Sidang Jumaat yg dirahmati Allah…

Mengingat kembali saat-saat kejatuhan Baitul Maqdis ianya berlaku ketika runtuhnya Empayer Islam Turki, kota Suci akhirnya diletakkan di bawah mandat Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya menjanjikan sebuah negara bagi umat Yahudi di Palestin melalui Perisytiharan Balfour (1917). Ketika itulah imigran Yahudi dari Eropah mulai membanjiri Palestin.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 telah menghasilkan resolusi untuk membahagi Palestin menjadi dua, iaitu 55 peratus wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya untuk Arab. Dan setahun kemudian, pada 1948, diumumkan lahirnya negara Israel dengan Tel Aviv menjadi ibu kotanya.

Walaupun begitu PBB tetap menganggap Baitul Maqdis menjadi milik pihak Arab di Palestin. Wilayah Arab Palestin, termasuk Baitulmaqdis dianggap menjadi sebahagian daripada Jordan. Oleh sebab itu kita mengatakan tidak pernah mana-mana pihak di seluruh dunia mengiktiraf kekuasaan Israel terhadap Baitul Maqdis termasuk PBB, tetapi hari ini Presiden Israel dan Amerika Syarikat telah berani membuat kenyataan membawa maksud bahawa Baitulmaqdis akan menjadi milik Yahudi bahkan tempat peribadatan orang-orang Yahudi.

Sidang Jumaat yg dirahmati…

Apa yang dapat kita katakan, kalau inilah ketetapan Allah s.w.t, sebenarnya Dia ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya, sejauh mana komitmen kita untuk percaya kepada janji-janji Allah yang menetapkan bahawa agamanyalah yang pasti mendapat kemenangan di suatu masa kelak. Marilah kita sama-sama merenung akhir surah al-Israk ayat 108 yang berbunyi:

ويقولون سبحان ربنا إن كان وعد ربنا مفعولا

Bermaksud: Dan orang-orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji-janji Tuhan kami pasti akan terjadi.

Mungkin inilah akidah yang dipegang oleh salah seorang pemimpin pejuang Palestin ketika ditanya wartawan tentang intifadhah dia menjawab; Hakikatnya rakyat Palestin mempunyai dua pilihan: sama ada menyerah atau terus menentang. Wartawan bertanya pula, “Bijakkah membiarkan penduduk Palestin yang lemah menjadi mangsa dengan meneruskan penentangan ini?” Dia menjawab: Saya ingin menjawab dengan menanyakan soalan ini. Bijakkah kami mengangkat tangan dan menerima penjajahan?

Inilah jawapan yg keluar daripada mulut seorang pejuang tulen Islam, seorang yg berjuang atas dasar imannya kepada janji-janji Allah s.w.t, bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah…dia hanya sekadar berusaha dan berjihad, biarpun seketul batu menjadi senjatanya dia tetap mulia di sisi Allah s.w.t berbanding dengan kita yang belum diuji oleh Allah dgn keadaan sedemikian…
Read more >>