Selasa, 3 Ogos 2010

ESQ lagi...

Ketika menyampaikan kuliah Maghrib malam tadi (di Wilayah Persekutuan), kebetulan penulis sampai kepada bab berkenaan ‘Asma dan Sifat Allah SWT’, penulis mengambil kesempatan menjelaskan tentang penyelewengan ESQ dalam mentafsirkan nama-nama Allah SWT yang Maha Baik. Perkara ini bertepatan dengan ayat 74 di dalam surah al—Nahl berbunyi:

فلا تضربوا لله الأمثال

Bermaksud: “Maka janganlah kamu menjadikan perumpamaan-perumpamaan bagi Allah”.

Ayat ini menjadi hujjah kepada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah seperti yang terkandung di dalam Sifat 20 yang mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT itu bersifat ‘al-mukhalafah lil hawadith’ iaitu ‘bersalahan daripada segala yang baharu’. Tetapi ESQ mengajar sebaliknya apabila cuba mengiyaskan semua sifat-sifat makhluk dengan nama-nama Allah. Kesannya, ada di kalangan alumni ESQ yang memahami bahawa gunung itu tinggi kerana Allah itu Maha Tinggi, alam itu luas kerana Allah itu Maha Luas, bunga itu cantik kerana Allah itu Maha Cantik dan pelbagai lagi. Ini adalah hasil daripada ajaran ESQ yang mengatakan bahawa ‘seluruh alam mewakili sifat Allah’. Lihatlah betapa dangkalnya ajaran ini kerana ia tidak berpijak kepada kaedah mantiq yang betul, bagaimana mungkin gunung dan alam yang mempunyai isipadu, had dan mengambil ruang boleh dikatakan menyamai sifat Allah SWT yang qadim? Malah gunung dan alam itu akan hancur apabila tiba masanya manakala bunga pula akan layu. Ini menunjukkan bahawa sifat alam ini ‘hadith’ (baharu) dan tidak kekal (fana’) sedangkan Allah SWT itu bersifat baqa’ (kekal) dan tidak binasa. Juga menjadi persoalan, bagaimana pula dengan makhluq-makhluq seperti iblis, syaitan, haiwan liar, segala jenis penyakit yang kesemuanya adalah perkara-perkara buruk (pada zahirnya)…adakah ia juga mewakili sifat-sifat Allah yang Maha Baik itu? Apakah bentuk aqidah yang diajarkan oleh ESQ ini sebenarnya?

ESQ juga mengajarkan bahawa manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT hasil daripada suara hati yang sedia wujud di dalam fungsi ketiga otak manusia yang dinamakan God Spot. Suara hati ini menurut ESQ adalah fitrah yang telah ditiupkan dengan 99 nama Allah SWT ketika Allah SWT meniupkan roh-Nya ke dalam diri manusia. Menurut ESQ suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun. Oleh kerana itu, ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. Bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut. Akibatnya kesemua nama-nama Allah SWT termasuk yang mempunyai makna-makna khusus bagi-Nya seperti al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Muhyi, al-Mumit diterjemahkan sesuai dengan sifat-sifat manusia. Alasannya kerana manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT.

Kaedah ESQ ini juga amat jelas menyalahi kaedah mantiq yang betul, jika benarlah manusia yang mengikuti suara hati itu dikatakan mengikuti fitrah sifat-sifat Allah SWT, bagaimana pula dengan sifat-sifat manusia seperti makan dan minum, berkahwin, tidur, bernafsu dan lain-lain. Adakah sifat-sifat ini juga mewakili sifat-sifat Allah SWT kerana ia juga fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia. Ia bukan hasil daripada emosi atau fikiran. Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT adalah dangkal kerana ia menyalahi nas dan akal yang sejahtera.

ESQ sebenarnya terperangkap dengan jerangkap ‘spiritual quotient’ yang digagaskan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Ia didokong oleh hipotesis yang dibuat oleh VS Ramachandran kononnya terdapat fungsi ‘pencarian tuhan’ di dalam otak manusia. Padahal al-Qur’an sendiri telah mengatakan bahawa ‘otak manusia yang sejahtera’ jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya. Oleh itu, di dalam al-Qur’an manusia disuruh berfikir dan bertafakkur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini. Hakikatnya, teori ESQ lahir dalam keadaan worldview Barat yang tidak percayakan tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme. Epistemologinya juga jelas hanya berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains. Logiknya bagaimana mungkin ia boleh menjadi tafsiran kepada Islam?

Penulis tidak fikir ESQ akan berjaya diislamkan. Ini kerana ia adalah satu ‘ideologi’ bukan ‘metodologi’. Ia sama dengan usaha sesetengah orang yang cuba untuk mengislamkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain. Jika ada juga yang cuba untuk mengislamkannya maka akan lahirlah muslim sekular, muslim liberal, muslim kapitalis dan lain-lain. Islam adalah Islam. Epistemologinya adalah bersumberkan wahyu bukan akal, falsafah atau dapatan sains. Hal ini berlaku kepada Ary Ginanjar. Dia tidak pernah berjaya mengislamkan ESQ sebaliknya Islam pula yang terpaksa disesuaikan dengan ESQ.

Sebagai contoh, kita tidak pernah mendengar bahawa ihsan itu God Spot atau suara hati atau 99 nama Allah atau tiupan roh Allah. Apa yang kita tahu ‘ihsan’ itu adalah satu martabat tertinggi dalam beribadah. Sama ada seseorang itu mencapai maqam musyahadah atau muraqabah. Syarat ibadah tentulah seseorang itu beriman dan menganut Islam. Ia adalah maqam yang amat eksklusif dan bukan inklusif. Tetapi ESQ telah MEMBARATKAN pengertian ‘ihsan’ dengan mendakwa ia adalah ‘spiritual quotient’ yang berlaku kepada semua manusia tanpa mengira apa jua anutan agama. Ia dianggap sesuatu yang universal dan inklusif hatta kepada mereka yang tidak beragama. Apa yang berbeza hanyalah pada metodologi bagaimana untuk mereka mencapai ‘spiritual quotient’ itu. Ia mungkin dicapai dengan solat, yoga, meditasi, pertapaan atau mendengar muzik kerana ia adalah sesuatu yang ‘built-in’ di dalam diri manusia dan tidak terikat kepada ritual keagamaan untuk memperolehinya. Sebab itulah, Ary telah menyenaraikan peneraju syarikat-syarikat besar seperti Walt-Disney, Starbucks, Body Shop, Visa International, Nokia, Matsushita dan lain-lain sebagai tokoh-tokoh sufi korporat yang telah berjaya mencapai ‘spiritual quotient’ sehingga menepati nama-nama Allah SWT yang telah menjadi fitrah dalam diri mereka. Jenis sufi dan tasawwuf apakah yang diajar oleh Ary Ginanjar ini?

Terus terang penulis katakan, ESQ adalah satu trend halus untuk menerapkan faham ‘perennial philosophy’ ke dalam penganut agama seluruh dunia. Faham ini masuk dengan pelbagai kaedah seperti melalui Global Theology, Global Ethic dan lain-lain. Kesemua faham ini pada zahirnya cuba mencari persamaan nilai yang universal antara semua manusia. Asas kepada ideology ini adalah manusia bersatu pada titik spiritualnya yang disebut sebagai ‘metaphysical unity’ atau kesatuan metafizik (esoteric). Inilah sebenarnya inti pluralisme agama. Amat silap jika sesetengah pihak beranggapan bahawa pluralisme agama itu hanyalah apabila seseorang mengatakan ‘agama itu semuanya sama’. Malah sememangnya ‘perennial philosophy’ itu mengiktiraf agama-agama itu berbeza tetapi hanya pada level eksoteriknya (zahirnya) tetapi kesemuanya menuju atau bertawaf kepada paksi yang sama pada level esoteriknya (batinnya). Lebih daripada itu, ‘perennial philosophy’ juga tidak pernah menyekat penganut mana-mana agama mengamalkan agamanya, apa yang penting penganut agama-agama itu menerima bahawa mereka semua bertemu akhirnya pada titik yang sama. Itulah ‘spiritual quotient’ yang dimaksudkan.

Kesimpulannya, inilah rupa paras ESQ yang sebenar…lihatlah worldview kelahirannya dan epistemology yang mencetuskannya…anda akan kenal apa ESQ yang sebenar! (Baca tulisan penulis tentang http://www.islam.gov.my/ajaransesat/pdf/KECELARUAN%20BERAGAMA.pdf dan Karen Amstrong Falsafah Abadi). 
Read more >>

Jumaat, 23 Julai 2010

KRITIKAN ASHA'IRAH TERHADAP SALAFIYYAH: SATU MUHASABAH

Penulis telah diberi kesempatan oleh jabatan untuk menghadiri Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan: Asha’irah dan Cabaran Mutakhir. Melihat kepada tajuk sahaja, penulis fikir semua sahabat sedia maklum bahawa seminar ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mazhab Asha’irah sebagai aliran majoriti dan arus perdana di negara ini. Hampir kesemua pembentangan berkisar manhaj aqidah Asha’irah dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat, tauhid, tawassul, perkara khilafiyyah, manhaj Salafiyyah/Wahhabiyyah, fenomena takfir dan banyak lagi. Penulis dapat merasakan bahawa sahabat-sahabat daripada aliran Salafiyyah sudah tentu tidak begitu senang dengan seminar seumpama ini kerana ia mengkritik secara langsung pendekatan Salafiyyah yang dikatakan menyeleweng daripada manhaj aqidah yang sebenar.

Cuma, penulis merasakan perbincangan akan menjadi lebih adil jika ahli akademik daripada aliran Salafiyyah (seperti anggota Majlis Ulama Besar Saudi sendiri) juga dijemput untuk memberikan penjelasan mereka terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh Asha’irah dan pandangan mereka terhadap Asha’irah sendiri. Sekurang-kurangnya ada titik-titik pertemuan yang boleh dicari dan disepakati bersama oleh kedua-dua pihak. Jika pada hari ini Ash’ari masih boleh solat di belakang Salafi dan Salafi boleh solat di belakang Ash’ari, sudah tentu di sana ada titik pertemuannya. Wallahulmusta'an...

Walau apa pun, selepas mengikuti seminar ini selama tiga hari (20-22 Julai 2010), penulis dapat simpulkan bahawa tiada perkara baru yang menjadi bahan kritikan ulama Asha’irah terhadap Salafiyyah selain ianya berkaitan perkara-perkara berikut:-

a) Kesilapan manhaj ithbat zahir makna ayat-ayat mutasyabihat dengan kaedah Ibn Taimiyyah yang dikatakan boleh membawa kepada ‘tajsim’ sedangkan menurut Asha’irah golongan Salaf men ‘tafwidh’ ayat-ayat tersebut secara mutlaq atau juga disebut ‘ta’wil ijmali’.

b) Salafiyyah mengeluarkan Asha’irah daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah (sekurang-kurangnya dalam bab mutasyabihat) kerana meta’thilkan ayat-ayat mutasyabihat sedangkan Asha’irah adalah mazhab majoriti umat Islam dan tidak mengambil pandangan lain yang berlawanan dengan mazhab Salaf kerana Salaf juga menta’wil ayat-ayat mutasyabihat dalam sesetengah keadaan.

c) Menjadikan pembahagian kepada tauhid tiga iaitu; tauhid uluhiyyah, tauhid rububiyyah dan tauhid asma’ dan sifat sebagai landasan untuk mengkafirkan umat Islam selain Salafiyyah. Pembahagian ini juga telah membezakan antara makna rububiyyah dan uluhiyyah sedangkan ia merujuk kepada makna yang sama.

d) Menjadikan isu ‘tawassul’ kepada para Nabi dan wali-wali yang telah meninggal dunia sebagai isu pokok aqidah, sehingga mengkafirkan golongan yang melakukannya dengan alasan ia adalah termasuk ‘syirik besar’, sedangkan ia termasuk masalah fiqh yang para ulama berselisih pandangan tentang perkara ini.

e) Memperbesar-besarkan masalah khilafiyyah fiqhiyyah menjadi masalah sunnah dan bid’ah sehingga ke peringkat mentabdi’, mentadhlil dan akhirnya mengkafirkan.

Penulis merasakan ini adalah antara kritikan-kritikan tajam yang telah diulas secara akademik oleh para pembentang kertas kerja. Kritikan-kritikan ini amat wajar sekali dikaji, diteliti dan diperhalusi oleh kalangan sahabat-sahabat daripada aliran Salafiyyah secara berlapang dada, dengan minda akademik dan bukan emosi. Mungkin bukan semuanya tepat tetapi penulis merasakan jika ia diterima baik oleh pihak Salafiyyah, TIADA SEBAB MENGAPA KITA TIDAK BOLEH BERTASAMUH DALAM PERKARA-PERKARA TERSEBUT.

Berikut adalah di antara kertas-kertas kerja yang perlu dibaca secara berlapang dada:






Pembentangan turut menyaksikan kritikan terhadap gerakan 'al-Ahbasy' yang gemar menggunakan kaedah ta'yin dalam menyesat atau mengkafirkan individu yang tidak sependapat dengan mereka. Lihat  Asalib wa Wasa'il Nasyr al-Maudhu'at al-Aqadiyyah li al-Jam'iyyat al-Masyari' al-Khairiyyah Lubnan (al-Ahbasy) 

Penulis juga tertarik dengan pembentangan berkenaan Manhaj Aqidah Menurut Ikhwan al-Muslimin yang memperlihatkan usaha al-Syahid Hasan al-Banna untuk keluar daripada segala bentuk khilaf antara Salaf dan Khalaf malah mencari kata sepakat bagi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Perkara ini juga boleh dalam kertas al-Khitab al-'Aqadi fi Maliziya wa Tahaddiyyat al-'Asr yang cuba mencari titik persamaan antara kedua-dua manhaj khususnya dalam konteks negara kita.

Wallahu a'lam.
Read more >>

Jumaat, 16 Julai 2010

PENJELASAN TENTANG ZIKIR MUNAJAT

Berkenaan persoalan Zikir Munajat. Penulis perturunkan di sini keputusan daripada Panel Kajian Aqidah Bah. Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (sekarang JAKIM) kali ke-7/1996 yang bermesyuarat pada 24 dan 25 Ogos 1996. Mesyuarat telah memutuskan bahawa zikir berkenaan mengandungi kalimah-kalimah yang bertentangan dengan konsep Islam. Di antaranya mengenai konsep Nur Muhammad. Mesyuarat bersetuju zikir berkenaan tidak diamalkan dan tidak disiarkan di media massa. 

Oleh yang demikian mesyuarat bersetuju supaya rangkap zikir berkenaan diubahsuai seperti berikut:-

حسبي ربي جل الله ما في قلبي غير الله 
kepada
حسبي الله لا إله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم

نور محمد صلى الله
kepada
نبي محمد صلى الله

dan dibuang
ليس لها من دون الله كاشفة

Ulasan:

Penulis berpandangan Panel Aqidah berpendapat bahawa terdapat nas yang lebih baik yang ma'thur untuk diamalkan berbanding ucapan yang ada di dalam Zikir Munajat. Oleh kerana itu 'hasbi rabbi..' ditukar kepada 'hasbiyallah...' kerana 'hasbiyallah..' zikir yang dianjurkan oleh al-Qur'an dalam surah al-Taubah ayat 129.

Ucapan 'Nur Muhammad Sallallah' juga didapati tidak jelas kerana menisbahkan salawat kepada 'nur' bukan kepada nabi. Ia dibimbangi mempunyai unsur-unsur doktrin 'Nur Muhammad' yang menyeleweng daripada aqidah Islam. Oleh itu, ditukarkan kepada 'Nabi Muhammad Sallallah'. 

Manakala ucapan 'laisa laha min dunillahi kasyifah' juga meragukan kerana tidak diketahui apa yang dimaksudnya dengan ucapan itu. Sedangkan 'laisa laha min dunillahi kasyifah' adalah ayat al-Qur'an di dalam surah al-Najm ayat 58. Para mufassirin bersepakat bahawa ayat ini membicarakan soal hari Qiyamat yakni "Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu (hari Qiyamah) selain Allah". 

Bagaimanapun, keputusan Panel Aqidah JAKIM ini bukanlah keputusan fatwa yang mengikat mana-mana pihak, tetapi ia adalah nasihat dan penjelasan mereka kepada masyarakat awam berkenaan zikir tersebut. Wallahu a'lam. 
Read more >>

Jumaat, 9 Julai 2010

KOMEN PERIBADI TENTANG FATWA ESQ MUFTI WILAYAH

Beberapa hari kebelakangan ini penulis dihujani banyak pertanyaan berkenaan kedudukan fatwa pengharaman ESQ yang telah diwartakan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan (SSDMWP) pada 17 Jun 2010. Sebagai seorang yang pernah beberapa kali mengikuti kursus ESQ (sebelum ia dibawa ke JK Fatwa Kebangsaan dan mempunyai Panel Syariah sendiri), menonton video-video dan membaca buku-buku ESQ, penulis merasa terpanggil untuk memberi sedikit komentar berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh SSDMWP tersebut. Lebih-lebih lagi penulis teramat sedih apabila timbul fitnah-fitnah lain berikutan pewartaan fatwa berkenaan. Komentar penulis berkenaan isu ini adalah seperti berikut:-

Pertama: SSDMWP telah melaksanakan tugasnya di bawah kuasa yang telah diberikan oleh Yg Di Pertuan Agong (YDPA) kepadanya. Oleh itu, mempertikaikan mana-mana fatwa yang telah diwartakan bermakna mempertikaikan YDPA. Bagi penulis sekurang-kurangnya bagi mereka yang tidak bersetuju pun,janganlah sampai lupa bahawa setiap wilayah @ negeri di Malaysia ini ada pihak yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara kesucian agama Islam. Logiknya, jika seorang ahli agama @ ustaz yang telahpun memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam sendiri pun perlu menghadiri temuduga utk memperoleh tauliah mengajar, apatah lagi 'orang luar' yang bukan dlm bidang agama ingin menyampaikan ajaran agama (walaupun berkonsepkan motivasi) di negara ini.

Kedua: Setakat pengetahuan penulis, tiada lagi fatwa yang dikeluarkan secara semberono oleh mana-mana institusi fatwa di Malaysia. Semuanya sudah tentu berasaskan satu kajian yang konkrit dan menyeluruh serta diputuskan melalui musyawarah oleh golongan yang berkeahlian. Hujjah-hujjah mengapa fatwa itu dikeluarkan jelas disebutkan di dalam kertas pewartaan. Sama ada ia dipersetujui atau tidak, itulah penemuan dan dapatan yang terhasil daripada kajian dan ijtihad yang dilakukan.

Ketiga: Fatwa pengharaman sesuatu perkara tidak semestinya merujuk kepada haramnya sesuatu perkara itu pada zatnya. Kadang-kadang ia lebih bertujuan untuk menyekat jalan-jalan yang mungkin akan membawa kerosakan pada masa-masa akan datang atau disebut sadd al-zara'i'. ESQ tidak boleh menafikan bahawa kini mereka mempunyai dua versi yang berbeza. Versi pertama iaitu sebelum ditegur dan belum mempunyai panel syariah sendiri. Versi kedua iaitu selepas ditegur dan telah melantik Panel syariah. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui adakah ESQ benar-benar telah menerima 'perubahan versi' itu atas dasar ia menyalahi aqidah dan syariah..atau..ESQ hanya mengubahnya kerana itu kehendak 'client' di Malaysia. Wallahu a'lam.

Keempat: Alasan yang mengatakan bahawa "tiada apa-apa keraguan pada ESQ kerana saya sendiri telah mengikuti kursus tersebut" tidak boleh diterima bulat-bulat untuk menjustifikasikan bahawa ESQ itu 100 persen halal. Orang yang mengkaji ESQ hanya dengan mengikuti kursus-kursus ESQ tidak akan menemui 'apa sebenarnya sumber ilmu' ESQ. Apa yang ada di dalam kursus tersebut hanyalah metodologi penyampaian ESQ berserta aspek teknikalnya sahaja. Tetapi ideologi pengasasnya bagaimana? Apa alirannya? Siapa gurunya? Apa sumber ilmu dan rujukannya? Oleh itu, penulis berpandangan SSDMWP bukan hanya menilai ESQ melalui kursus-kursus yang dijalankan tetapi yang lebih penting 'sumber ilmunya' iaitu melalui buku-buku karangannya dan tuan gurunya.

Kelima: ESQ bukan lahir sebagai satu kursus motivasi biasa seperti tanggapan sesetengah pihak. Ia bermula dengan satu teori yang dikarang oleh Ary Ginanjar melalui bukunya 'Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam' pada 2001, diikuti dengan buku 'ESQ Power' dan 'ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual'. Buku-buku ini sepatutnya menjadi kajian utama para pengkaji ESQ kerana di sinilah bermulanya ESQ dan ESQ  tidak akan wujud jika tiada 'ideologi' yang terkandung di dalam buku-buku ini. Ideologi bukan sesuatu yang mudah untuk dikompromi, walaupun isi kandungan ini telah dibincangkan oleh Panel Kajian Aqidah JAKIM & Panel Pemantau JK Fatwa dengan Ary Ginanjar, tetapi ESQ tidak pernah membuat perakuan bahawa ideologi yang wujud dalam buku tersebut adalah menyalahi aqidah sebaliknya hanya bersetuju untuk menukarkannya dengan versi baru yang 'Malaysia compliance'. Penulis tidak pasti adakah modul ESQ di Indonesia atau di tempat-tempat lain telah diubah seperti apa yang wujud di Malaysia? Jika yang diubah hanya ESQ versi Malaysia bermakna ESQ hanya menurut 'Malaysia compliance' bukan 'Syariah compliance'! 

Keenam: Orang yang 'bukan ahli' janganlah terlalu cepat melatah dalam isu agama sehingga ke peringkat memperlekehkan institusi fatwa atau mufti. Alasannya hanya mufti wilayah yang mengeluarkan fatwa tetapi mufti lain tidak. Bagi penulis, tindakan SSDMWP sememangnya tidak popular di kala ESQ diterima baik oleh ramai tokoh agamawan dan pelbagai pihak. Tetapi sejarah telah membuktikan, apabila ia melibatkan isu 'ideologi' yang sukar dilihat oleh zahir mata kecuali oleh mereka 'yang ahli', maka tidak hairan jika ada fatwa yang menongkah arus. Ia tidak berbeza dengan tindakan Imam al-Ghazali yang mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina ketika masyarakat memuji kedua-dua mereka sebagai tokoh matematik, politik dan perubatan. Al-Ghazali mengkafirkan mereka kerana pengaruh pemikiran falsafah yang meresap ke dalam ideologi mereka dalam bab ketuhanan yang menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar (Rujuk kitab al-Munqiz min al-Dhalal atau Tahafut al-Falasifah). Bagi Imam al-Ghazali kesalahan kedua-dua tokoh itu adalah muktamad, bagaimanapun Ibn Rusy menolak pandangan al-Ghazali dalam kitabnya 'Tahafut al-Tahafut' dengan menghujjahkan bahawa kesalahan kedua-dua tokoh itu bukan perkara yang muktamad (qat'iy). Adakah dengan pengkafiran al-Ghazali terhadap al-Farabi dan Ibn Sina boleh menjatuhkan martabat keilmuan al-Ghazali? Penulis tidak fikir mana-mana 'orang berilmu' yang memahami tradisi keilmuan akan mengatakan begitu.

Ketujuh: Bidang perbahasan ESQ bukanlah berfokus kepada isu syariah semata-mata, ia lebih kepada perbahasan ilmu falsafah, usuluddin dan pemikiran Islam. Para ulama yang pakar dalam bidang ini sepatutnya diberi ruang yang seluas-luasnya untuk membongkar segala-galanya tentang ESQ. Mereka lebih berhak untuk memperkatakan tentang ESQ kerana mereka adalah ahli dalam bidang tersebut. Selain memahaminya dari konteks agama Islam, penguasaan terhadap teori dan falsafah Barat juga amat penting bagi memastikan kita tidak tertipu di sebalik pelbagai istilah dan teori yang diketengahkan. Sebagai contoh, penulis tidak fikir semua orang memahami apa itu perrenial philosophy dalam perbahasan Barat. Satu falsafah ketuhanan yang amat halus dan licik dan boleh meresap dengan mudah tanpa disedari oleh penganut agama itu sendiri.     

Kelapan: Seorang ahli ilmu tidak sewajarnya menilai ESQ hanya pada zahirnya. Ia seperti mengatakan, "adakah kita mahu mengharamkan ESQ sedangkan ESQ telah banyak mengubah orang yang tidak solat kepada bersolat, tidak bertudung kepada bertudung...dll". Bagi penulis, kalau ini hujjahnya maka apa salahnya 'Syiah' dan 'al-Arqam', bukankah kumpulan-kumpulan ini amat indah pada zahirnya. Tetapi apabila ideologinya dibongkar, di sana jelas terlihat kedangkalan pegangan mereka. Mungkin ini yang menjadi keutamaan SSDMWP ketika memutuskan fatwa tersebut.

Kesembilan: Bila dibuat perbandingan antara ESQ versi asal dan versi yang diubah, penulis dapati tiada lagi keistimewaan ESQ. Dulunya konsep pencarian, suara hati, asimilasi sifat tuhan, God Spot dan rumus Zero Mind Process menjadi hardcore subject dalam kursus ESQ. Tetapi kini fokus ESQ lebih kepada monolog-monolog yang meruntun hati para peserta untuk menangis. Kelebihan teknikal seperti penggunaan layar besar, kesan bunyi, pencahayaan dan kepakaran berpidato digunakan oleh para trainer untuk mengujudkan suasana sedih hingga menyentuh hati para peserta. Bagi penulis, jika ini yang menjadi kelebihan ESQ, ia bukanlah isu besar yang perlu dipertahankan sangat. Ia tiada beza dengan para pakar motivasi di Malaysia, cuma bezanya hanyalah 'persoalan teknikal dan metodologi penyampaian'.

Kesepuluh: Bagi individu yang was-was sama ada mahu menyertai ESQ atau tidak. Nasihat penulis adalah seperti sabda Baginda SAW: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan". Insya-Allah kita akan selamat dan keluar daripada segala bentuk syubuhat, khilaf atau segala keraguan. 

Sebagai rujukan semua, di sini adalah beberapa keraguan yang pernah ditimbulkan terhadap ESQ berdasarkan kitab rujukan utama mereka (yang akan dibekalkan secara percuma kpd setiap peserta kursus-versi lama):-

Mengiyaskan kurniaan kenabian para Nabi dengan pencarian manusia (Ary Ginanjar)

Mentafsirkan nama-nama Allah sesuai dengan sifat manusia sebagai 'barometer'
Nabi SAW memimpin manusia dengan suara hati (di mana letaknya wahyu?)

Nabi SAW pemimpin yang paling banyak menggunakan logik & suara hati akal bukan mukjizat2

Mengapa berhujjah dengan pejuang 'Global Ethic' yang jelas membawa faham pluralisme agama?

Mengapa berhujjah dengan aliran sesat kod 19 tajaan Rashad Khalifah?

Rumus ZMP boleh menghasilkan 'kekuatan luar bisa' termasuk mukjizat & karamah (spt kisah Kapt Razak)
   
Wallahu a'lam.
Read more >>

Khamis, 1 Julai 2010

SESAT TIDAK SEMESTINYA KAFIR!

Pengalaman penulis dalam menyampaikan siri-siri taklimat berkaitan ajaran sesat dan pemulihan terhadap golongan pelampau agama, penulis dapati antara kesilapan yang berlaku adalah memahami bahawa setiap yang terlibat dengan ajaran sesat itu telah kafir. Ini akhirnya menjadi punca mereka bertindak sendiri mengkafirkan 'yang sesat' malah lebih dari itu sehingga ke peringkat menghalalkan darah mereka. Hakikatnya perkara yang perlu kita fahami, tentang 'level sesat' itu sendiri dan bila 'pengamal ajaran sesat' itu boleh dikatakan terkeluar daripada Islam atau murtad.

Penentuan Hukum Ajaran Sesat

Secara zahirnya pengamal ajaran sesat telah memenuhi ciri-ciri murtad. Persoalannya adakah ia boleh dihukumkan murtad? Hukum bagi menentukan status keislaman sesebuah ajaran sesat adalah bergantung kepada tahap atau jenis kesesatan yang dilakukan oleh pengamalnya. Menurut para ulama jenis kesesatan boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama; kesesatan yang mengkafirkan (bid’ah mukaffirah). Kedua; kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah) . Takrifannya adalah seperti berikut:

a) Kesesatan yang mengkafirkan (bid'ah mukaffirah) iaitu mengingkari sesuatu hukum syara’ yang telah disepakati (ijma’), telah mutawatir (khabarnya) serta sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah) atau orang yang meyakini sebaliknya.

b) Kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah) iaitu kesesatan yang tidak menyebabkan kekafiran tetapi ia dihukumkan sebagai fasiq atau pelaku dosa. Kesesatan jenis ini tidak sampai merosakkan pokok-pokok keimanan (usul al-iman), tidak membatalkan sesuatu hukum yang mutawatir dan sesuatu hukum yang sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah). Akan tetapi ajaran atau amalan ini tetap dikategorikan sebagai sesat dan menyimpang daripada kebenaran (al-haq).

Penentuan Hukum Pengamal Ajaran Sesat

Penentuan bagi menentukan status keislaman seseorang pengamal ajaran sesat adalah tertakluk kepada kategori sesat yang dilakukannya. Sekiranya kesesatan yang dilakukan adalah termasuk dalam jenis bid’ah ghair mukaffirah, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah kekal sebagai seorang Islam. Namun sekiranya kesesatan itu menyentuh persoalan bid’ah mukaffirah, maka menjadi tanggungjawab umat Islam agar berhati-hati serta benar-benar melakukan penelitian kerana ia boleh mengakibatkan seseorang dijatuhkan hukuman terkeluar daripada Islam atau murtad.

Kaedah Takfir Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Para ulama menggariskan dua kaedah dalam mengtakfir:-

a) Takfir Mutlak. Bererti menyatakan bahawa sesiapa berbuat sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan maka ia boleh membawa kepada kekufuran, tanpa memaksudkan pelaku/orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan pelaku/orang secara khusus.

b) Takfir Mu’ayyan. Bererti menyatakan bahawa si fulan bin si fulan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir. Kenyataan seumpama ini ditujukan secara langsung kepada seseorang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan.

Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi). Beliau menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan: Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya” .

Dr. Yusof al-Qaradawi menambah lagi: “Perkara ini pernah disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan pengucapnya. Dikatakan: Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang membukti kufur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas tersebut)” .

Ibnu Taimiyyah menjelaskan hal ini dengan berkata: “Dan yang tepat dan benar dalam masalah ini, bahawa kadang kala perkataan tersebut adalah kekufuran, sebagaimana halnya dengan perkataan orang-orang jahmiyyah, yang mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak berbicara, dan tidak boleh dilihat kelak di akhirat, akan tetapi kadangkala hal itu tidak diketahui oleh sebahagian orang, sehingga diitlakkan ucapan pengkafiran kepada orang yang mengucapkannya, sebagaimana yang dikatakan oleh ulama salaf: Barang siapa yang mengatakan bahawa al-Qur’an adalah mahkluk, maka ia kafir, dan barang siapa yang mengatakan bahwa Allah tidak dapat dilihat di akhirat, maka ia kafir, dan tidaklah dikafirkan orang tertentu, sampai tegak ke atasnya hujjah” .

Oleh kerana itu kita dapati para salaf mengkafirkan firqah-firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidhah, akan tetapi mereka tidak serta merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja’d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan) .

Ibnu Taimiyah berkata: “Sesungguhnya orang yang menyeru kepada perkataan (al-Qur’an makhluk) lebih parah dibandingkan dengan orang yang (hanya sekadar) berpendapat demikian. Dan orang yang menghukum orang yang menyelisihinya lebih parah lagi dibandingkan orang yang hanya sekadar menyeru kepada pendapatnya. Dan yang mengkafirkan orang yang menyelisihinya lebih parah lagi daripada yang (hanya sekadar) menghukum (orang yang menyelisihinya yang tidak mengatakan al-Qur’an mahluk).Begitu mereka di kalangan pemerintah yang berpendapat dengan pandangan Jahmiyah bahawa al-Qur’an adalah makhluk dan bahawa Allah tidak dapat dilihat di akhirat serta yang lainnya. Mereka menyeru rakyat untuk berpendapat sedemikian. Mereka menguji rakyat dan menghukum mereka jika mereka tidak setuju dengannya.

Mereka mengkafirkan orang yang tidak memenuhi (seruan mereka yang mengatakan al-Qur’an itu makhluk). Sehinggakan jika mereka menangkap seseorang tawanan, tidak akan mereka lepaskan sehingga ia mengakui pendapat Jahmiyah bahawa al-Qur’an adalah makhluk serta (pandangan Jahmiyah) yang lain.

Meskipun demikian Imam Ahmad tetap mendoakan kerahmatan bagi mereka dan memohon ampun bagi mereka. Ini kerana beliau beranggapan bahawa mereka belum sampai pada tingkatan mendustakan Rasulullah s.a.w. dan menentang syari’at yang dibawa Baginda. Akan tetapi mereka berta’wil dan mereka tersilap serta hanya sekadar bertaqlid dengan orang lain yang mengajarkan hal itu (aqidah Jahmiyah) kepada mereka” .

Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli sunnah wal-jamaah berbanding golongan selainnya adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir.

Syarat-syarat Takfir Peribadi (Mu'ayyan)

Para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu terhadap sesuatu pendapat atau amalan itu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut :

a. Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa.

b. Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut, dan ketika dijelaskan kepadanya (al-haq) dia tetap berpegang kepadanya.

c. Hendaklah telah ditegakkan hujjah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut.

Di samping itu seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut :

a. Baru memeluk agama Islam.

b. Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang tidak mempunyai ulama selain ulama bid'ah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti.

c. Kehilangan akalnya kerana gila atau kerana yang lain.

d. Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Kitab dan al-Sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut.

e. Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah jelas dalam memahaminya, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk menta'wil, walaupun dia akan berbuat kesalahan. Termasuk kelompok ini adalah mujtahid 'ahli ijtihad' yang salah dalam ijtihadnya. Ini disebabkan Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu.

Kesimpulannya tidak boleh menghukum seseorang itu murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat tersebut dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayat daripada Salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh itu tidak sekali-kali ditetapkan kekufuran pada seseorang Islam secara peribadi kecuali wajib disertai dengan dalil dan bukti.

Keperluan Konsep Siyasah Syar'iyyah Dalam Definisi Ajaran Sesat

Para ulama’ telah sepakat bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum ‘murtad’ kecuali dengan bukti-bukti jelas tanpa sebarang ta’wil atau syubhah. Menurut mazhab Hanafi, jika ada syubhah maka hendaklah ditutup. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bemaksud; “Hendaklah dihindar hukuman hudud daripada orang Islam apa yang termampu, jika ada jalan keluar maka berilah laluan (jalan) kepadanya” .

Oleh itu dalam menangani isu ajaran sesat, sesebuah kerajaan perlu mengambil pendekatan dengan mengisytiharkan sesuatu ajaran sesat itu sebagai menyimpang daripada ajaran Islam sebenar atau ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah iaitu dengan menggunakan kaedah takfir mutlak atau takfir nau’ yang tidak sekali-kali memberi maksud memuktamadkan hukum murtad kepada pengikut atau individu yang terlibat dengan ajaran sesat tersebut.

Dalam konteks ini perlu menggunakan pendekatan Siasah Syar’iyyah yang bertujuan membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan - demi menjaga kepentingan umum (maslahah ‘ammah) dalam menangani sesuatu isu agama dan Negara.

Berdasarkan prinsip Siasah Syar’iyyah, penghukuman murtad secara umum (ta’mim) dan tanpa usul periksa terhadap individu tertentu dapat dielakkan. Ia bertujuan membendung suasana tidak tenteram di dalam Negara khususnya apabila isu murtad diperkatakan dengan meluas oleh pihak tidak berautoriti.

Selain itu sesuatu pertuduhan jenayah adalah tertakluk kepada bidangkuasa dan tatacara undang-undang Islam dan tidak sekali-kali boleh dikeluarkan oleh pihak yang tidak berautoriti.

Menurut hukum syara’, sabitan murtad boleh berlaku hanya melalui dua kaedah berikut:

Pertama: Iqrar di Mahkamah Syariah;

a) Diterima apabila dibuat di hadapan Mahkamah Syariah.

b) Dibuat dengan kerelaan tanpa ada unsur paksaan.

c) Iqrar itu hendaklah menjelaskan secara nyata dan pasti akan perbuatan pihak yang membuat pengakuan tentang kesalahan riddah.

d) Mengetahui akan akibat daripada iqrar itu seperti hukuman bunuh, menghilangkan kehormatan diri, sekatan ke atas harta dan sebagainya.

Kedua: Keterangan saksi;

a) Dua orang yang adil.

b) ‘deed poll’ tidak boleh diterima di sisi syara’ sebagai bukti kes murtad.

c) Keterangan perempuan tidak boleh diterima dalam kes murtad mengikut pendapat jumhur.

Kesimpulannya, hanya setelah segalanya jelas dan tanpa sebarang keraguan, maka hakim akan memutuskan keputusan murtad ke atas individu yang berkenaan.
Read more >>

Sabtu, 26 Jun 2010

PESANAN BUAT PENDOKONG SALAFIYYAH...

Semalam, kita dikejutkan dengan 40 orang ulama muda berfahaman Salafiyyah yang menyertai UMNO. Menurut mereka, tujuan penyertaan ke dalam UMNO itu adalah untuk berdakwah melalui platform parti tersebut. Bagi penulis soal tujuan dan matlamat itu adalah terlalu sukar untuk diduga kerana hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui tujuan dan agenda sebenar mereka.
 
Umumnya, penulis berpandangan aliran Salafiyyah itu wujud dengan pelbagai corak dan warna. Terpulang kepada individu atau jamaah yang beraliran tersebut untuk menentukan cara pembawaan atau approach yang ingin digunakan. Ia bukan baru, malah tokoh-tokoh gerakan Islam tempatan termasuk Tuan Guru Hj Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri cenderung terhadap aliran Salafiyyah. Begitu juga dengan pendekatan pelopor gerakan Islam tersohor di Mesir, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sehingga terkandung di dalam tulisannya yang mengatakan bahawa Ikhwan Muslimin menyeru kepada ‘dakwah Salafiyyah’.
 
Apapun , penulis perturunkan di sini sedikit pandangan dan nasihat, jika benarlah aliran Salafiyyah itu yang menjadi manhaj perjuangan 40 ulama muda itu:
 
Amat penting kita mengetahui siapakah sebenarnya Salafiyyah itu? Mungkin kita pernah terdengar golongan yang mendakwa Salafiyyah itulah yang lebih benar kerana ia merujuk kepada sebaik-baik generasi selepas zaman Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu, ada antara mereka yang ta’assub telah merendah-rendahkan golongan ulama sedia ada lalu menganggap mereka golongan yang perlu ditajdid atau diperbaharui.
 
Mereka juga mendakwa bahawa Salafiyyah itu ialah golongan yang berpegang kepada dalil al-Qur’an, al-Hadith dan pendapat ulama Salaf semata-mata. Selain daripada sumber itu ia dianggap menyalahi Sunnah dan menghampiri bid’ah. Persoalannya benarkah ini mafhum Salafiyyah yang sebenar?
 
Dalam membincangkan isu ini, penulis tertarik dengan apa yang dibahas oleh Dr. Rajih Abdul Hamid al-Kurdi, Ketua Jabatan Aqidah dan Dakwah, Universiti Jordan yang juga seorang Salafi, dalam bukunya berjudul “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Di dalam buku ini beliau telah membicarakan apakah maksud Salafiyyah yang sebenar. Beliau telah membahagikan Salafiyyah kepada tiga makna. (al-Kurdi, Rajih ‘Abd al-Hamid, al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asalah Wa al-Mu’asarah, ‘Amman: Dar ‘Ammar, 12-17)
 
Pertama, golongan yang dinamakan Salafiyyah Zamaniyyah. Mereka ialah kalangan Sahabah, Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in pada tiga kurun yang pertama. Dalil tentang keutamaan golongan ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih nya, daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka…”. Walau bagaimana pun golongan ini telah pun berakhir dengan berakhirnya tiga kurun pertama sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Kedua, Salafiyyah Manhajiyyah, iaitu golongan yang mengikuti jejak langkah golongan Salaf yang berada dalam tiga kurun pertama secara manhaj. Penyandaran kalimah ‘manhaj’ kepada Salafiyyah jenis ini memandangkan mereka mengekalkan manhaj yang telah dirintis oleh golongan terdahulu dalam menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Mereka berpegang kuat kepada disiplin Qawa’id Usuliyyah dalam memahami segala perintah dan larangan yang termaktub di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Senjata mereka adalah ketaqwaan serta memusuhi perpecahan dan perhambaan hawa nafsu. Mereka adalah golongan usuliyyun (ahli usul) dan manhajiyyun (ahli manhaj) dalam berpegang teguh kepada sumber-sumber hukum dan kaedah-kaedah memahaminya.

Ketiga, iaitu golongan Salafiyyah Madhmuniyyah atau Fikriyyah yang mengambil pendapat dan pendekatan golongan Salafiyyah Manhajiyyah yang terdahulu dan mempratikkannya dalam kehidupan mereka tanpa sebarang penilaian semula atau penyesuaian. Pemahaman Salafiyah jenis ini agak sempit dan rigid berbanding Salafiyyah Manhajiyyah.

Bagi Salafiyyah Manhajiyyah, mereka telah mengekalkan manhaj yang digunakan oleh golongan Salaf terdahulu tetapi melalui pendekatan yang berbeza sesuai dengan situasi semasa, keadaan manusia dan perubahan zaman. Dengan pendekatan yang meraikan keadaan sekeliling maka Salafiyyah Manhajiyyah cenderung untuk menghasilkan suatu pemikiran atau fiqh baru sesuai dengan keadaan semasa tanpa mencabuli asas-asas manhaj golongan Salaf. Salafiyyah jenis yang ketiga inilah akhirnya menjadi metod utama dalam banyak gerakan-gerakan Islam yang wujud di dunia Islam pada hari ini. Salah satu gerakan Islam tersebut adalah Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh tokoh Islam terkenal al-Syahid Hasan al-Banna.

Jika kita menelusuri khazanah pemikiran yang telah ditinggalkan oleh al-Banna, kita akan dapati beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj Salafiyyah Manhajiyyah dalam dakwahnya. Antara bukti jelas kefahaman al-Banna terhadap manhaj ini ialah dengan tercetusnya prinsip al-Usul al-‘Isyrin (usul dua puluh) yang menjadi teras dalam perjuangan dakwah beliau di Mesir. Usul dua puluh ini juga akhirnya telah dijadikan asas rujukan gerakan-gerakan Islam yang lain di seluruh dunia dalam menjalankan visi dan misi dakwah mereka.

Pendekatan Salafiyyah Manhajiyyah yang dibawa oleh al-Banna jauh sekali daripada membawa imej mazhab atau aliran tertentu. Umat Islam yang melihat dan mendengar apa yang dibawa oleh al-Banna, mengetahui keikhlasan beliau hanyalah ingin menyeru umat kembali kepada Islam. Setiap golongan yang menganuti mazhab atau aliran tertentu, senang menerima dakwah yang dibawa oleh al-Banna. Tiada cercaan, tiada penghinaan, tiada sindiran dan tiada label melabel kepada mana-mana kumpulan, individu, mazhab mahupun aliran dalam dakwah yang disampaikan. Hakikatnya beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj golongan Salaf dalam dakwahnya.

Oleh itu, amat baik sekali sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mahu menegakkan dakwah Salafiyyah di Negara ini merujuk dan menghayati apa yang telah diwariskan oleh al-Banna. Tidak setakat itu, penulis juga mahu mengajak para pembaca dan pencinta Salafiyyah agar sama-sama bermuhasabah sambil melihat beberapa pesanan yang disebut oleh Dr. Rajih al-Kurdi dalam bukunya “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Antara saranan beliau di dalam buku tersebut dapat penulis ringkaskan seperti berikut:-

Kewajipan menjauhkan umat daripada membicarakan soal-soal cabang

Sewajarnya gerakan dakwah Salafiyyah Manhajiyyah tidak menghimpit pemikiran umat dengan perkara-perkara cabang fiqh yang asing bagi umat. Antaranya dengan cara memilih pandangan seorang alim atau faqih lalu menyembunyikan pandangan alim atau faqih yang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya perkara yang dibahaskan ini langsung tidak menjadi senarai utama dalam dakwah kepada umat ketika ini. Apatah lagi sekiranya ia hanyalah sesuatu yang berada di penghujung senarai keutamaan.
 
Memerangi ulama fiqh bukan cara untuk mengislah ummah

Dalam usaha mengajak umat supaya membuang rasa ta’assub, mencintai ilmu, mengikuti dalil serta membuka pintu ijtihad buat para ulama, semua ini tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah-rendah atau memperlecehkan ulama sedia ada. Menyifatkan mereka sebagai boneka ummah, menganggap ikutan kepada mereka seperti ikutan Nasrani dan Yahudi kepada pendeta dan paderi mereka berasaskan dalil surah al-Taubah ayat 31, jelas merupakan pendalilan yang tidak menepati manhaj Salaf al-Soleh dalam mengambil hukum. Memaksa orang lain mendengar dan berpuas hati dengan pandangan kita tetapi dengan cara menghentam dan menjatuhkan pandangan ulama yang lain hanya akan menjadi batu penghalang kepada dakwah Salafiyyah.

Pengajaran (dakwah) tidak boleh dengan menjatuhkan maruah para ulama terdahulu

Sekiranya matlamat anda adalah untuk mengajak para ulama kembali kepada dalil atau membuat kajian terhadap dalil-dalil atau berijtihad, maka menjatuhkan maruah mereka bukan cara yang sepatutnya digunakan untuk mendorong mereka berubah. Sekiranya bertujuan untuk mengajar umat secara umum, maka tidak ada sebab untuk anda menjatuhkan kredibiliti para ulama yang lain pada pandangan awam. Ini kerana dengan menjatuhkan kredibiliti ulama lain dan seterusnya memasukkan ijtihad anda ke dalam fikiran mereka, akhirnya membuatkan mereka akan bertaqlid dengan anda pula. Kesimpulannya anda juga menyeru kepada taqlid.

Jangan memaksa orang yang buta syariah untuk menilai dalil syar’i

Sekiranya anda berhajat untuk mempersiapkan golongan awam supaya masing-masing merujuk kepada dalil-dalil syar’i, sedangkan mereka tidak mampu berbuat demikian, tidak mampu untuk mentarjihkan (memilih yang lebih kuat) mana-mana pandangan ulama. Maka ini merupakan salah satu bentuk pengabaian dalam memahami asas-asas Islam, al-Qur’an dan al-Sunnah serta memaksa orang supaya memahaminya sebagaimana yang tidak difahami oleh para ulama Salaf. Ini juga membebankan umat dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Lebih-lebih lagi ia mungkin mendorong kemunculan golongan yang berani berijtihad dengan menggunakan akal sendiri tanpa memahami disiplin ilmu yang sebenar.

Beramal dengan apa yang kita sepakati dan bermaaf-maafan dalam perkara yang kita perselisihi.

Dalam menangani sebarang isu berbangkit, kita perlu kepada nasihat-menasihati dan saling bekerjasama demi memastikan hati-hati umat Islam sentiasa dalam kesatuan. Oleh itu kita perlu saling bekerjasama dalam apa jua perkara yang kita sepakati dan saling memaafkan pada perkara yang kita tidak sehaluan selagimana ia termasuk perkara cabang yang tidak berkaitan asas-asas Islam. Oleh itu sekiranya kita cenderung untuk memilih salah satu pendapat daripada pendapat yang dikemukakan oleh ulama Salaf, itu tidak bermakna yang lain bukan pendapat Salaf, kerana golongan Salaf juga saling berselisihan pendapat sesama mereka. Lebih-lebih lagi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh selain pendapat Salaf sebagai golongan bid’ah yang sesat. Sesungguhnya khilaf sudah lama berlaku di kalangan ulama Salaf sama ada dalam persoalan menentukan keutamaan terhadap sesuatu atau berkaitan hukum-hakam far’iyyah (cabang).

Golongan Salafiyyah terkemudian menyalahi golongan Salafiyyah sebelumnya

Sebagai contoh Syaikh al-Albani berselisih pendapat dengan Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam beberapa masalah. Al-Albani berpandangan bahawa mandi pada hari ‘Arafah itu adalah bid’ah sedangkan Ibn Taimiyyah tidak menganggap ia sabit daripada Rasulullah SAW. Al-Albani melihat bahawa solat jama’ dalam bermusafir itu sabit, Ibn Qayyim pula menganggap itu tidak termasuk petunjuk Nabi SAW. Ibn Taimiyyah mengatakan, berwuduk disebabkan menyentuh zakar itu sunat, al-Albani pula memandangnya sebagai wajib. Oleh itu, sekiranya kita memilih salah satu daripada pendapat ini, kita tidak boleh mengatakan yang dipilih itu sebagai pandangan Salaf dan yang tidak dipilih sebagai bukan Salaf, atau yang dipilih itu Sunnah dan yang tidak dipilih itu bid’ah.

Amaran daripada berpegang kepada zahir nas semata-mata

Di sana wujud kebimbangan apabila muncul segelintir golongan muda yang bersemangat dalam kembali kepada dalil-dalil syar’i tanpa memahami usul. Ini amat berbahaya kerana ia menjurus kepada memahami nusus secara zahir tanpa mendalami fiqh nusus tersebut. Ia sebenarnya lebih bahaya daripada manhaj fiqh zahiri Imam Ibn Hazm sendiri. Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang mengharamkan wanita memakai emas. Mereka beralasan memakaikan wanita dengan rantai atau gelang emas seolah-olah memakaikan mereka dengan belenggu daripada neraka. Ini sangat jelas menunjukkan golongan ini terlalu kuat berpegang kepada zahir hadith tanpa memahami fiqh hadith tersebut. Sebenarnya hadith tersebut menjelaskan tentang tegahan Nabi SAW terhadap adat jahiliyyah yang masih wujud pada zaman Baginda SAW yang memakaikan kanak-kanak mereka dengan gelang-gelang emas, cincin dan hadiah-hadiah berbentuk seperti itu. Semua ini ditakuti boleh menyebabkan jiwa si anak lelaki terbiasa dan terikat dengan emas atau barang-barang sepertinya. Jika ini berlaku sudah tentu apabila mereka dewasa, akan menyukarkan mereka untuk meninggalkan tabiat mencintai perhiasan emas, ini sudah tentu akan menyebabkan mereka terjebak melakukan perkara yang diharamkan.

Menyibukkan ummah dengan apa yang mereka perlu dan dengan apa yang boleh menyatukan hati-hati mereka

Perkara-perkara khilaf berkatan cabang fiqh tidak sepatutnya menjadi agenda utama golongan Salafiyyah sebaliknya banyak lagi agenda umat yang perlu didahulukan. Menyibukkan mereka dengan perkara-perkara khilaf hanya akan memecahbelahkan kesatuan mereka sama ada dengan disedari atau tanpa disedari. Oleh itu keutamaan Salafiyyah ketika ini iaitu mengumpulkan jiwa umat Islam agar boleh bersama bersatu padu.

Terlalu emosional dalam memerangi bid’ah, boleh menjadi punca memerangi Sunnah

Kadang-kadang terdapat orang yang keterlaluan dalam memerangi bid’ah sehingga terjebak pula kepada memerangi Sunnah sendiri. Sebagai contoh, terdapat orang yang mengharamkan azan pertama pada hari Jumaat kerana menganggap ia bid’ah, tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW. Dia sebenarnya lupa bahawa azan ini adalah Sunnah pada zaman Uthman ibn’ Affan. Ketika ia dilakukan Sahabah menyetujuinya kerana ia mengandung hikmah bagi mengumpulkan orang ramai untuk solat. Ia juga mengambil hukum Sunnah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin selepasku, berpeganglah kepadanya dengan teguh (seumpama menggigit dengan geraham)”. Selain itu, bukankah kaedah dua azan ini telah lama diadakan termasuk ia diteruskan oleh ulama Ahli Sunnah dan Salafiyyah di Riyadh dan al-Haramain al-Syarifain (Makkah dan Madinah).

Tidak tergesa-gesa menghukum bid’ah ke atas orang lain

Sesungguhnya tergesa-gesa dalam menghukum orang lain sebagai bid’ah adalah merupakan sesuatu yang tertolak dalam mafhum Salafiyyah Manhajiyyah. Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum ke atas manusia di dunia, apatah lagi kita juga bukan penghukum kepada mereka di akhirat nanti sama ada penghuni neraka mahupun syurga.

Mengumum dalam menghukum bukan daripada sifat Salaf

Ini adalah perbuatan yang amat tidak beradab dalam membuat teguran. Bukan daripada sifat Salaf membuat teguran secara terbuka dalam bentuk ta’mim atau mengumum sesuatu hukum. Lebih-lebih lagi sekiranya ia ditujukan kepada pemegang ijazah dalam bidang agama yang disegani atau dikenali masyarakat. Menuduh mereka dengan jahil, penyebar hadith palsu, penghikayat dan sebagainya merupakan hukum ta’mim yang boleh merendah-rendahkan kredibiliti golongan agama sendiri. Ini kerana hukum ta’mim kepada yang tertuduh hanya akan mendapat reaksi balas secara ta’mim juga oleh ahli masyarakat awam.

Wajib berbaik sangka dengan semua golongan yang menyumbang kepada Islam.

Sesungguhnya dakwah Salafiyyah masakini adalah dakwah yang memerlukan kerja keras daripada semua lapisan masyarakat. Sama ada di peringkat individu, jamaah, swasta mahupun kerajaan, kesemuanya perlu berganding bahu untuk memastikan dakwah Islam sampai kepada golongan sasaran.

Kesimpulannya, apa yang penting menurut mafhum Salafiyyah Manhajiyyah, adalah penyampaian dakwah Islam itu sendiri. Ia melampaui batasan mazhab atau apa jua bentuk aliran pemikiran yang menjadi khilaf dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keutamaan adalah mengembalikan umat kepada Islam yang sebenar dan seterusnya membentuk kembali kesatuan dan kekuatan umat seperti mana suatu ketika dahulu.

Read more >>

Jumaat, 25 Jun 2010

PELIK...TAPI BENAR...

Kadang-kadang bila memikirkan isu yang sedang berlaku sehari dua ini, penulis merasa sedikit lucu. Sebenarnya apa yang timbul adalah 'orang yang bukan ahli' dijemput memberi taklimat berkenaan sesuatu yang dia sendiri tiada autoriti untuk mewakili jabatan. Lebih lawak lagi yang menjemputnya adalah juga agensi kerajaan dan dibentangkan  di hadapan cendekiawan dan cerdik pandai kerajaan. Inilah akibat apabila bekerja tanpa sistem. Yang dijemput mungkin tidak salah kerana dia hanya menerima jemputan. Apa yang penting dia hanya melontarkan pandangan. Sama ada dia mewakili jabatannya atau tidak, bagi dia itu tidak penting!

Hakikatnya isu ini boleh selesai jika agensi kerajaan yang menjemput itu bersikap profesional. Bukankah isu 'Wahhabiyyah' adalah isu agama dan melibatkan isu yang amat sensitif kerana ia bukan hanya melibatkan soal 'local'. Malah isu ini telah dikaitkan pula dengan soal keselamatan negara. Kenapa tidak agensi-agensi berkenaan merujuk terus kepada Ketua Pengarah JAKIM untuk mengetahu pendirian rasmi JAKIM berkenaan isu 'Wahhabiyyah'? Bukankah di bawah JAKIM itu ada bahagian khusus yang menyelidik dan bertanggungjawab memantau isu berkenaan dgn kerjasama SB Bkt Aman? Bukankah di bawah JAKIM ada Panel Kajian Aqidah (PKA) yang terdiri daripada 15 orang profesor dalam bidang pemikiran Islam & Usuluddin dan dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan? Bukankah di bawah JAKIM sudah ada mesyuarat-mesyuarat penting yang melibatkan agensi-agensi keselamatan untuk dibincangkan secara rasmi dan tertutup berkenaan satu-satu isu yang serius? Walhasil, mengapa pulak dipanggil 'orang yang tidak berkenaan' untuk membentangkan isu yang hanya dilontarkan melalui satu pandangan peribadi dan tidak disahkan melalui mana-mana prosedur JAKIM. Tidak melalui PKA, tidak melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan tidak juga melalui mana-mana saluran mesyuarat rasmi di JAKIM???

Lebih melucukan, ada yang mempercayai tuduhan kebudak-budakan yang mengatakan JAKIM dipengaruhi para pegawai pro Wahhabi. Alangkah dangkalnya tuduhan ini. Ia seolah-olah mempermain-mainkan pengurusan tertinggi JAKIM dan para ilmuwan yang menganggotai Panel Aqidah dan Panel Syariah JAKIM (kerana mereka ini terlibat dalam keputusan-keputusan JAKIM berkenaan isu-isu agama). Apapun penulis mohon kepada Allah SWT semoga segala kecelaruan diperbetulkan dan agensi-agensi kerajaan terbabit hendak kembali bersikap profesional dalam bertindak dan tidak termakan dengan tuduhan-tuduhan tak masuk akal yang dibuat oleh yang menuduh. Wallahu a'lam.

Read more >>

Rabu, 23 Jun 2010

SETIAP WAHHABI ADALAH PENGGANAS?

Nampaknya isu Wahhabiyyah kembali timbul. Kali ini Wahhabiyyah dikaitkan secara direct dengan gerakan pengganas. Akibatnya ramai di kalangan para ustaz dan ahli akademik yang menjadi 'pengganas segera' akibat tuduhan melulu pihak-pihak tersebut. Turut dituduh adalah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dan Dato' Dr. Johari Mat, mereka adalah ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM sejak awal mula Panel Kajian Aqidah JAKIM ditubuhkan pada tahun 1993. Tetapi kelancangan mulut pihak-pihak penabur fitnah, mereka menuduh kononnya penulis yang baru berkhidmat di JAKIM pada 2005 yang membawa masuk dua orang tokoh tersebut, sedangkan penulis masih berada di sekolah menengah pada ketika itu.

Penulis juga dituduh kononnya penyebab sehingga ajaran Wahabi tidak disesatkan. Subhanallah!! Siapalah penulis untuk menyesatkan sesuatu kumpulan. Penulis bukan mufti atau pembuat keputusan @ dasar. Malah penulis hanyalah seorang pegawai biasa yang pada hari ini ditempatkan sebagai penyelidik di Cawangan Aqidah, Penyelidikan JAKIM, dan esok lusa mungkin di bahagian lain. Terpulang kepada Ketua Pengarah JAKIM...Lagipun dasar dan keputusan berkenaan Wahhabi telah wujud sebelum penulis sendiri mula berkhidmat dengan JAKIM pada 2005. Perbincangan tentang Wahabi telah dibuat beberapa kali di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003.

Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat". Minit-minit tentang perkara tersebut ada terdapat di dalam fail-fail sulit JAKIM...apakah bila penulis membentangkan isu ajaran sesat dan menyebut fakta dan keputusan rasmi bahawa 'Wahabi tidak sesat tetapi perlu disekat kerana boleh memecahbelahkan ummah', maka penulis pula yang dituduh Wahabi? Terserahlah para penuduh dan pemfitnah sekalian. Kepada Allah SWT sahaja penulis berserah...

Berikut adalah tulisan penulis tentang Wahabi yang pernah disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan JAKIM..sila baca:

Isu Wahhabi kembali muncul apabila ia mula diperkatakan terutamanya di beberapa akhbar arus perdana di negara ini. Ia kembali menjadi topik yang hangat dibincangkan oleh beberapa individu yang merasa terpanggil untuk barangkali mempertahankan fahaman atau ideologi masing-masing. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan terdapat dua kelompok utama yang begitu bersemangat dengan penuh komitmen dalam membawa isu ini ke pentas perdana sebagai paparan kepada masyarakat awam.

Pertama, golongan yang mempertahankan habis-habisan gerakan atau fahaman Wahhabi serta berusaha dengan apa cara sekalipun mengumpul hujjah untuk menyatakan bahawa kebenaran tetap berada di pihaknya tanpa sebarang kompromi. Manakala kumpulan kedua pula berusaha menegakkan hujjah-hujjah untuk menjatuhkan hukuman muktamad bagi menetapkan bahawa Wahhabi adalah kumpulan yang sesat atau dalam bahasa yang lebih lembut menyimpang daripada akidah Islam sebenar yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia iaitu akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Secara kasar, inilah dua kumpulan yang sering diberi ruang di dada-dada akhbar untuk membentangkan ideologi serta pandangan masing-masing terhadap isu ini sehingga ia menjadi panas serta mula heboh diperkatakan semula oleh masyarakat awam bermula daripada mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap oleh umum sebagai intelektual Islam.

Pada hakikatnya isu Wahhabi bukanlah satu isu baru yang kini perlu diterjemah, dikarang, dibahas mahupun dibangkitkan semula. Ini kerana isu ini telah lama bertapak di semenanjung Tanah Melayu dengan kemunculan satu golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda pada awal abad ke-20 yang lalu, kesan daripada pembawaan beberapa orang pelajar Malaysia dan Indonesia yang berkesempatan menceduk ilmu agama di Mekah, Mesir dan India.

Pada waktu itu tempat-tempat tersebut telah dipengaruhi oleh gerakan Wahhabi yang mendukung idea Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, manakala di Mesir timbul gerakan Islah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Keadaan seperti ini juga berlaku di India dengan ajaran Waliyyullah al-Dahlawi.

Di Malaysia gerakan dakwah Salafiyyah yang dibawa oleh Kaum Muda ini akhirnya lebih dikenali oleh masyarakat awam sebagai kumpulan Wahhabi, ia amat sinonim dengan kumpulan tersebut memandangkan cara pergerakan mereka yang agak agresif, tambahan pula gelaran ini merupakan panggilan yang seringkali dicanang oleh musuh-musuh tradisi puak Wahhabi seumpama kumpulan-kumpulan tarekat dan golongan Asya'irah beraliran kesufian.

Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh dipesongkan oleh mana-mana pihak, pertentangan sememangnya pernah berlaku antara Kaum Muda dan Kaum Tua satu masa dahulu, namun setelah beberapa lama isu ini mendiamkan diri, nampaknya ada pihak yang kembali memukul gendang menghingarkan suasana mengajak masyarakat berbicara semula berkisar isu yang kian menyepi ini.

Dalam menangani isu ini, kita perlu jelas tentang apakah isu sebenar yang ingin kita tangani? Adakah kita ingin menangani Wahhabi sebagai satu kumpulan ajaran sesat? Atau sekadar menangani isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan ini seumpama menolak tahlil arwah, menolak talqin mayat, menolak wirid selepas solat fardhu, menolak bacaan Yasiin pada malam Jumaat, bid'ah membid'ah dan sebagainya yang bersifat boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Bertitik tolak dari persoalan inilah maka kita perlu memulakan langkah dalam menangani gerakan Wahhabi. Menjawab kepada persoalan pertama, adakah Wahhabi merupakan satu kumpulan sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Sekiranya ini yang kita pilih maka ia perlu dilihat bukan sahaja dari aspek Wahhabi dalam konteks Malaysia bahkan bermakna kita juga terjebak ke dalam menghukum sebuah negara besar umat Islam sebagai sesat, begitu juga beberapa ulama Islam dahulu dan kini yang tersohor juga sesat seumpama Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, al-Zahabi, Ibnu Kathir, Ibnu Abi al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Uthaimin, Ibnu Baz, Nasir al-Din al-Albani dan selainnya. Adakah benar mereka ini mempunyai kaitan dengan isu Wahhabi yang ingin kita tangani di negara ini?

Merujuk kepada sejarah umat Islam, Wahhabi sering dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang cuba untuk menghidupkan kembali Mazhab Salaf dalam memahami akidah Islam. Mazhab Salaf pula bukanlah sesuatu yang direka-reka seperti dakwaan golongan yang terlalu fanatik dalam menolak fahaman Wahhabi. Sebagai contoh Mazhab Salaf dalam pembicaraan 'nas-nas mutasyabihat' (nas-nas yang zahir lafaznya menyamai sifat makhluk) disifatkan sebagai mengambil pendirian 'al-tawaqquf al-kamil'. Ibnu al-Jauzi menegaskan apa yang dimaksudkan dengan al-tawaqquf al-kamil di sisi Mazhab Salaf itu ialah tidak berpihak kepada 'takwil' (mengambil makna lain dari sudut bahasa) dan tidak terjebak kepada 'tasybih' (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk). (Dirasat fi al-Firaq wa al-'Aqa'id al-Islamiyyah, ms. 196, dinukil daripada kitab Ibnu Jauzi, Daf'u Syubah al-Tasybih)

Sejarah juga menjadi saksi bahawa gerakan menghidupkan semula Mazhab Salaf ini didirikan semula di tengah-tengah zaman keagungan Mazhab Asya'irah yang pada ketika itu telah mendapat kedudukan yang begitu tinggi dan meluas di dalam dunia Islam. Mazhab Asyai'rah bermula apabila Abu al-Hasan al-Asy'ari (332H) mula menulis hujjah-hujjah bangkangan terhadap golongan yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, khususnya golongan Mu'tazilah dengan menggunakan metod pemikiran sehingga menggugat kedudukan Mu'tazilah pada ketika itu. (Tamhid Li Tarikhi al-Falsafah al-Islamiyyah, ms. 289) Hasilnya perjuangan beliau telah melahirkan tokoh-tokoh Ahli Sunnah yang ramai seumpama al-Qadhi al-Baqillani (403H), al-Isfarayini (418H), Abu Mansur al-Baghdadi (429H), Imam al-Haramain al-Juwaini (478H), al-Ghazali (505H) dan selainnya begitu ramai.

Golongan di atas cuba menghidupkan kembali Mazhab Salaf bermetodkan Hanabilah yang berasaskan pengambilan dalil-dalil akidah hanya bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah. Mereka menolak metod memahami akidah berasaskan pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh Mu'tazilah dan Asya'irah terutamanya sebahagian ulama Asya'irah yang melampau dalam merujuk kitab-kitab falsafah sehingga tidak dapat membezakan antara falsafah dan ilmu kalam seumpama yang berlaku kepada al-Baidhawi (661H) dalam kitabnya 'al-Thawali' dan 'Adhud al-Din al-Iji (705H) dalam kitabnya 'al-Mawaqif'. Imam al-Taftazani dalam muqaddimah kitabnya 'Ilm al-Kalam Wa Ba'dh Musykilatih' (ms. Ba) pernah menyebut: "Yang benar, sesungguhnya para mutakallim Islam khususnya golongan yang kebelakangan tidak lagi berhenti pada kadar untuk menjelaskan akidah, tetapi mereka telah melampaui sehingga berbincang tentang perkara-perkara yang hampir kepada falsafah tulin…".

Kesimpulannya, golongan Salafiyyah yang mendokong Mazhab Salaf ini wujud sebagai tindak balas kepada penggunaan Ilmu Kalam yang semakin berleluasa oleh Mazhab Asya'irah pada zaman tersebut. Ia semakin popular pada zaman Ibnu Taimiyyah apabila beliau begitu lantang dan tegas sekali dalam menolak metod pemikiran yang digunakan oleh Asya'irah untuk mensabitkan akidah. Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang paling kuat dalam menentang kebatilan dan kesesatan yang dibawa oleh golongan Syiah dan tarekat sufi. Maka umat Islam pada ketika itu dapat dilihat terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok menjadi pengikut kuat Ibnu Taimiyyah dan mengambil pandangan-pandangannya sehingga mereka menggelarkannya sebagai Syaikh al-Islam. Sementara kelompok kedua pula menentangnya, mengkritik pandangannya bahkan menyesatkannya. Seterusnya aliran Salafiyyah ini dikembangkan dengan lebih keras lagi di bawah bimbingan Muhammad bin Abdul Wahab (1206H) pada kurun ke-12 hijrah sehingga akhirnya aliran ini bertapak kukuh terutamanya di Arab Saudi dan beberapa tempat lain di dunia Islam seumpama di India dan Pakistan.

Hasil daripada ketrampilan dan kewibawaan pengasasnya iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, maka lahirlah satu gerakan dakwah yang teratur dan terancang dalam memerangi bid'ah dan khurafat yang berlaku di zamannya, di samping berusaha dengan gigih mengembalikan metod Mazhab Salaf dalam memahami akidah tambahan pula ia telah mendapat sokongan padu daripada pemimpin setempat iaitu Amir Muhammad bin Saud (1197H) yang akhirnya telah membantu perluasan pengaruh gerakan ini ke seluruh semenanjung Tanah Arab.

Hakikatnya Muhammad bin Abdul Wahab tidaklah bertujuan membawa fahaman baru atau mazhab baru yang terkeluar daripada mazhab empat yang utama, beliau sendiri pernah menegaskan, katanya: "Dan adapun mazhab kami adalah mazhab Imam Ahmad bin Hanbal Imam Ahli Sunnah pada perkara furu' dan kami tidak mengajak berijtihad, tetapi apabila nyata kepada kami Sunnah Sahihah daripada Rasulullah s.a.w. maka kami mengamalkannya, dan kami tidak sekali-kali mendahulukannya (Nabi s.a.w.) dengan sesiapa jua". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Muhammad bin Abdul Wahab juga mengakui bahawa beliau mempunyai qudwah (model) yang menjadi idola ikutannya iaitu Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, namun bukan semua itu diikuti dengan membuta tuli, beliau berkata: "Ibnu Qayyim dan gurunya (Ibnu Taimiyyah)…kitab-kitab mereka di sisi kitab adalah seutama kitab (rujukan penting), melainkan kami tidak bertaqlid dengannya dalam kesemua masalah". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Seterusnya Muhammad bin Abdul Wahab juga menegaskan bahawa beliau berusaha untuk menjadi seorang pengikut Sunnah bukan terkeluar daripada Sunnah, dalam risalah beliau kepada Abdul Rahman bin Abdullah al-Suwaidi, alim ahli Iraq, beliau berkata: "Dan aku memberitahumu sesungguhnya aku dengan penuh kesyukuran seorang pengikut (Sunnah) dan bukan mubtadi' (ahli bid'ah), akidahku dan agamaku yang aku berpandu adalah Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang didokong oleh para imam muslimin, seumpama imam yang empat dan pengikut mereka sehingga ke Hari Kiamat". (Al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asolah Wa al-Mu'asarah, ms. 49)

Namun begitu gerakan Wahhabiyyah tidak sunyi daripada kesalahan dan kesilapan terutama dalam metod mereka berdakwah mengajak manusia kembali kepada Manhaj Salaf yang sebenar. Muhammad Abu Zuhrah menyebut dalam kitabnya beberapa kesilapan metodologi dakwah yang disebar oleh gerakan Wahhabiyyah, antaranya kata beliau: "Mereka (Wahhabiyyah) tidak cukup menjadikan hanya ibadat yang mesti diikuti mengikut Islam sebagaimana dalam al-Qur'an dan Sunnah serta (pandangan) Ibnu Taimiyyah, bahkan juga mengkehendaki adat juga hendaklah tidak terkeluar daripada lingkaran Islam lalu mereka mewajibkan (orang lain) apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka, kerana itu mereka mengharamkan rokok, bahkan bertegas dalam pengharamannya, sehingga golongan awam di kalangan mereka menganggap perokok adalah seumpama orang musyrik, maka mereka seumpama Khawarij yang (satu ketika dahulu) mengkafirkan pelaku dosa besar". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Muhammad Abu Zuhrah seterusnya memberi kesimpulan bahawa punca kesilapan mereka adalah kerana keterlaluan dalam berpegang kepada pandangan Ibnu Taimiyyah, tambahan pula mereka telah melebarkan lagi mafhum bid'ah sehingga menganggap perkara yang langsung tiada hubungkaitnya dengan ibadat juga termasuk ke dalam erti kata bid'ah, sedangkan bid'ah sebenarnya adalah perkara-perkara ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tanpa mempunyai asas dalil agama, contohnya meletakkan kain tirai di atas Raudhah al-Syarifah ia tidak dikatakan oleh sesiapa pun bahawa ia termasuk perkara ibadat tetapi mereka melakukannya dengan maksud menghiasinya supaya kelihatan cantik pada pandangan yang melihat… ". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Walau bagaimanapun Muhammad Abu Zuhrah tidak pernah mengatakan kesalahan ini adalah berpunca rentetan kesalahan tokoh impiannya iaitu Ibnu Taimiyyah dalam memahami akidah, bahkan dalam bukunya, beliau meletakkan satu bab khusus berkenaan Ibnu Taimiyyah menceritakan betapa gigihnya perjuangan Ibnu Taimiyyah dalam menghidupkan kembali aliran Mazhab Salaf dalam memahami akidah sehingga ditimpa dengan pelbagai ujian yang berat dan sampai kepada tahap menggugat keselamatan nyawa dan dirinya sendiri. Inilah contoh sifat amanah ilmiyyah yang dimiliki oleh Muhammad Abu Zuhrah, walaupun beliau seorang yang beraliran Asya'irah dan bersikap kontra dengan pemikiran Wahhabiyyah namun beliau tidak menghukum membabi buta setiap tokoh yang dianggap penyumbang kepada gerakan ini.

Walau apa pun kelemahan yang terdapat pada gerakan Muhammad bin Abdul Wahab namun jasa-jasa yang pernah disumbangkan oleh tokoh ini tetap tidak dilupakan, sekiranya dikaji dengan lebih jauh terdapat komentar-komentar yang berbentuk penghargaan telah dirakamkan oleh ulama-ulama dahulu dan kini terhadap gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Antara para ulama' yang memuji atas jasa gerakan Muhammad bin Abdul Wahab adalah Imam Son'ani (pengarang kitab Subul al-Salam), Imam Syaukani (pengarang kitab Nail al-Authar), Syaikh Muhammad Rasyid Ridha, Abu al-'Ala al-Mawdudi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syaikh Muhammad al-Ghazali, Syaikh Muhammad Qutub dan lain-lain yang kebanyakannya merupakan pendokong gerakan-gerakan Islam semenjak dahulu hingga kini yang berusaha mengembalikan khilafah Islam yang runtuh pada suatu ketika dahulu.

Kita juga boleh merujuk kepada pandangan-pandangan penulis sejarah semasa seumpama Muhammad Kurd (kitab al-Qadim Wal Hadith), Hafiz Wahbah (kitab Jazirah al-Arab fil Qarn al-'Isyrin), al-Zirkili (kitab al-'Alam) dan 'Abbas Mahmud al-'Aqqad (kitab Al-Islam fi al-Qarn al-'Isyrin). Sekiranya pengkajian dilakukan dengan pemikiran yang terbuka maka kitab-kitab ini akan dibaca dengan lapang dada namun sekiranya tidak sudah tentu semua nama-nama yang dinyatakan di atas juga akan dituduh sebagai penganut Wahhabiyyah atau cenderung (bias) Wahhabi walaupun mereka hanya merupakan pemerhati dan pengkaji sejarah yang profesional.

Berbalik kepada isu sebenar kepada persoalan pertama di atas iaitu, adakah Wahhabiyyah merupakan salah sebuah ajaran sesat? Jawapan mudah yang kita boleh berikan ia bukanlah sebuah ajaran sesat bahkan akidah golongan ini adalah masih berada dalam lingkungan kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Justeru itu kita tidak dapati kitab-kitab yang membicarakan persoalan Firaq Islamiyyah (Pecahan Mazhab Akidah Islam) masakini memasukkan mereka sebagai golongan ahli bid'ah, tetapi mereka boleh kita kategorikan sebagai antara golongan yang tasyaddud (keras) dalam mempertahankan alirannya dan sememangnya sudah menjadi lumrah setiap yang berlebih-lebihan itu akan membawa keburukan kepada ahlinya sendiri, maka dengan itu kita akan dapati terdapat golongan yang terlalu berang dengan kewujudan kumpulan ini sehingga ke peringkat menyesatkan mereka bahkan ke peringkat mengkafirkan mereka.

Di negara-negara Islam Timur Tengah pertembungan antara Wahhabiyyah (yang dikatakan mewakili golongan yang mendokong Mazhab Salaf atau aliran Salafiyyah) dengan beberapa individu serta kumpulan tertentu yang mendokong aliran Asya'irah sememangnya berlaku. Banyak kitab-kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh aliran masing-masing untuk mempertahankan ideologi mereka. Di sebelah pihak yang mewakili Wahhabiyyah sudah tentulah tokoh-tokoh tersebut tertumpu kepada ulama-ulama besar serta ahli-ahli akademi yang berasal dari Negara Arab Saudi yang menjadi pusat pertumbuhan aliran ini, mereka hanya meneruskan kesinambungan mempertahankan akidah yang mereka terima semenjak turun temurun sebagaimana yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 hijrah yang lalu.

Manakala di pihak yang menentang pula maka timbul beberapa nama yang cukup terkenal dalam usaha menentang keras aliran Wahhabiyyah, maka lahirlah nama-nama seumpama Muhammad Zahid al-Kauthari (1371H) yang terkenal dengan kitabnya 'Maqalat al-Kauthari', Hasan al-Maliki pengarang kitab 'Muzakkirat al-'Aqa'id' dan yang paling menonjol pada ketika ini iaitu Hassan bin Ali al-Saqqaf yang banyak mengarang kitab-kitab menolak gerakan Wahhabiyyah bahkan sampai kepada tahap cuba menolak kewujudan aliran Mazhab Salaf (yang berlainan pandangan dengan mazhab Asya'irah) serta pendokong-pendokongnya seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah serta selainnya.

Kelantangan al-Saqqaf berdakwah dalam memerangi Wahhabiyyah atau Salafiyyah terutama di Negara Jordan juga didokong dan disokong penuh oleh satu kumpulan beraliran ekstrimis Asya'irah bergelar al-Ahbasy. Al-Ahbasy merupakan satu kumpulan yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habasyi yang berpandangan cukup melampau dalam membangkang golongan Wahhabi dan Salafi sehingga ke peringkat mengkafirkan beberapa ulama Islam tersohor secara terang lagi nyata seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi. Tindakan mereka ini akhirnya telah membawa kepada pengharaman kumpulan ini dengan difatwakan sebagai sesat oleh beberapa ulama besar dan institusi fatwa terkemuka seumpama Prof. Ali Jum'ah, Mufti Mesir, Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar, Institut Kajian Ilmiyyah Arab Saudi dan Majlis Tertingga Fatwa Amerika Selatan.

Pemikiran al-Saqqaf ini juga tidak disenangi oleh para ulama Asya'irah semasa seumpama Syaikh Syuaib al-Arna'uth yang merupakan muhaqqiq hadith tersohor, begitu juga para ahli akademi seumpama Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi, Dekan Kulliyyah al-Dirasat al-Fiqhiyyah Wa al-Qanuniyyah Universiti Al al-Bayt, Jordan yang merupakan pengarang kitab Usul al-Din al-Islami yang menjadi sebahagian silibus pengajian kebanyakan universiti-universiti Timur Tengah pada hari ini. Mereka memberi komentar bahawa kaedah pendekatan yang dibawa oleh al-Saqqaf boleh menimbulkan salah faham di kalangan generasi baru umat Islam terhadap tokoh-tokoh ulama terdahulu serta menggalakkan budaya tuduh-menuduh serta boleh membawa kepada fitnah kafir mengkafir sesama umat Islam.

Di samping itu al-Saqqaf juga dikatakan mempunyai kecenderungan kepada Syiah walaupun beliau bukan seorang Syiah (istilah Arab dipanggil mutasyaiyyi'), ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan beliau yang banyak menyebelahi Syiah seumpama mempertikaikan Mu'awiyah sahabat Rasulullah s.a.w., mentashihkan hadith "ana madinat al'ilmi wa Aliyyu babuha" (aku bandar ilmu sedangkan Ali pintunya), menolak hadith Kitab Allah dan Sunnahku dan mentashihkan hadith Kitab Allah dan Ahli Baytku serta pandangan selainnya yang menyebabkan beliau dituduh sebagai berkecenderungan Syiah. Antara kesan buruk daripada kelantangan golongan ini menentang golongan Salafiyyah, akhirnya ia telah memberi satu kelebihan buat mazhab Syiah untuk memantapkan hujjah-hujjah mereka, sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab Syiah kontemporari kita akan dapati satu metod baru yang dilaksanakan oleh Syiah adalah menggunakan bahasa Ahli Sunnah untuk menolak Ahli Sunnah sendiri. Antaranya ia boleh dirujuk di laman web Syiah beralamat di aqaed.com/shialib/books.

Secara keseluruhan apa yang dibahas, dibincang dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah ini sama ada golongan ekstrimis Asya'irah mahupun ekstrimis Salafiyyah Wahhabiyyah adalah terlalu jauh untuk difahami oleh lapisan masyarakat umat Islam di Malaysia yang setakat mempunyai pengetahuan asas dalam agama. Di dalam kitab-kitab pihak yang bercakaran ini tumpuan perbahasan adalah berkisar perkara-perkara khilaf berhubung masalah ayat-ayat mutasyabihat (yang zahirnya menyerupai makhluk) sama ada ia perlu ditakwil ataupun tidak, soal menentukan Manhaj Salaf yang sebenar antara metod takwil dan tafwidh, mempersoalkan kesahihan dari sudut pendalilan sesuatu hukum, mempersoalkan kedudukan martabat satu-satu hadith yang dijadikan sumber hukum, mempersoalkan kewibawaan tokoh satu-satu aliran malah sehingga ke peringkat mempersoalkan akidah seseorang tokoh dan alirannya seolah-olah mereka bukan dari Ahli Sunnah bahkan mengeluarkan mereka daripada Islam!

Apakah isu yang seumpama ini sesuai untuk dibangkit serta diwar-warkan ke seluruh negara dengan alasan ia perlu untuk menjamin kesejahteraan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sekian lama wujud di negara ini. Jika itu alasannya maka satu persoalan yang perlu dilontarkan adakah sebelum wujudnya aliran Wahhabiyyah maka umat Islam di negara ini sudah benar-benar berpegang teguh kepada Ahli Sunnah yang beraliran Asya'irah tanpa memasukkan ke dalamnya sebarang anasir atau unsur-unsur luar seumpama pengaruh sesetengah tarekat kesufian (tasawwuf teosofi) yang menyimpang dan adat setempat yang bersalutan dengan pelbagai khurafat. Jika jawapannya benar maka memang tepat sekali kita membenamkan terus gerakan Wahhabiyyah ini kerana ia sememangnya mengancam akidah umat Islam, tetapi sekiranya tidak maka kita perlu menilai apakah kesilapan sebenar mereka dan seterusnya menangani mereka mengikut kadar kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan tanpa perlu lebih daripada itu.

Kesimpulannya kita hendaklah bersikap lebih adil dalam menilai pihak yang terlibat dalam isu ini, Wahhabiyyah di Malaysia hendaklah ditangani sebagai satu isu yang timbul hasil daripada sikap kefanatikan sesetengah pendokong dan pengikutnya. Ia tidak wajar dihukumkan sehingga melibatkan mereka yang langsung tiada kena-mengena dalam isu ini seumpama membabitkan pengkafiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim serta pengharaman buku-buku mereka sehinggalah wujud satu tradisi mengajak masyarakat label-melabel tokoh-tokoh ulama besar termasuk menuduh Dr. Yusof al-Qardhawi sebagai Wahhabi bahkan mana-mana ulama yang beraliran kontra dengan Asya'irah adalah termasuk ke dalam golongan Wahhabiyyah.

Lihat bagaimana ketika Dr. Yusof al-Qardhawi ditanya tentang dakwaan bahawa gerakan Ikhwan Muslimun beriktikad dengan aliran Asya'irah. Beliau menjawab: "Tuduhan bahawa Ikhwan Muslimun termasuk ke dalam Asya'irah tidak langsung mengurangkan kedudukan mereka, ini kerana umat Islam sendiri majoriti mereka adalah Asya'irah Maturidiyyah-mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari, Malikiyyah dan Syafi'iyyah beraliran Asya'irah manakala Hanafiyyah beraliran Maturidiyyah. Universiti-universiti agama di dunia Islam juga Asya'irah atau Maturidiyyah: al-Azhar di Mesir, al-Zaitunah di Tunisia, al-Qurawiyyin di Maghrib dan Dioband di India…maka sekiranya kita mengatakan bahawa Asya'irah bukan Ahli Sunnah sudah tentu kita akan menghukum umat Islam keseluruhannya dengan kesesatan…manakala saudara kita Salafiyyun yang mencela Asya'irah secara mutlak, mereka melakukan kesilapan dan melampau, oleh itu Asya'irah (sememangnya) adalah daripada Ahli Sunnah…walaupun pada hakikatnya Ikhwan Muslimun bukanlah pada umumnya beraliran Asya'irah, dan tidak juga memerangi Asya'irah, mereka menyandarkan akidah mereka pertama daripada al-Qur'an dan kedua daripada Sunnah seterusnya melihat daripada pandangan mana-mana pihak yang terbaik buat mereka…". (Islam Online)

Satu lagi contoh yang boleh kita bawa adalah fatwa Muhammad al-Soleh al-Uthaimin (Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dianggap sebagai tonggak Wahhabiyah) ketika beliau ditanya tentang hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan ahli takwil di kalangan umat Islam. Beliau menjawab: "Hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan bukanlah tanggungjawab kita, bahkan ia merupakan hak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, ia termasuk dalam hukum-hakam syara' yang perlu dirujuk kepada Kitab dan Sunnah, maka wajib kita tathabbut (teliti dengan mendalam) benar-benar tathabbut, maka tidak dikafirkan atau difasiqkan sesiapa melainkan orang yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah atas kefasiqannya atau kekafirannya, kerana asal seorang muslim itu kekal Islamnya dan kekal kejujurannya ('adalahnya) sehinggalah ada dalil syara' yang menunjukkan penafiannya". (al-Qawa'id al-Muthla fi Sifat al-Allah Wa Asma'ihi al-Husna, ms. 148)

Dua contoh di atas sudah cukup kepada kita untuk menunjukkan sifat adab dan amanah ilmiyyah yang masih dipegang oleh para ulama Ahli Sunnah walaupun boleh jadi mereka berbeza pandangan dengan sesama mereka namun mereka sedar bahawa kesemuanya masih dalam lingkungan Islam dan Ahli Sunnah. Inilah apa yang cuba diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna ketika beliau cuba menyatukan kembali umat Islam di zamannya di bawah gerakan Ikhwan Muslimun sehingga lahirnya Usul al-Isyrin yang menetapkan beberapa asas penting untuk mengembalikan kesatuan umat Islam pada waktu itu. Antara apa yang ditekankan oleh beliau adalah hakikat perselisihan pendapat yang wujud adalah tidak mungkin dielakkan, namun ia tidak sekali-kali boleh dijadikan alasan punca umat Islam mesti berpecah, malah perselisihan itu berlaku kerana kecintaan kepada Allah (untuk mencari realiti keilmuan yang benar) dan kerjasama untuk sampai kepada kebenaran tanpa sebarang perbalahan yang tercela dan unsur-unsur ketaksuban. (Majmu' al-Rasa'il, ms. 13)

Seorang sufi terkenal al-Harith al-Muhasibi sebagaimana yang disalin oleh Jamaluddin al-Qasimi di bawah bab 'Nasihat li Thalib al-Ilmi' (nasihat kepada penuntut ilmu) menyebut: "Hendaklah kamu wahai murid, memilih jalan yang beradab terhadap para imam yang lalu, dan jangan kamu melihat kepada perkataan (komen negatif) mereka ke atas (imam) yang lain melainkan dengan dalil yang nyata. Kemudian sekiranya kamu mampu mentakwilnya dan bersangka baik dengannya maka hendaklah berbuat demikian, sekiranya tidak maka tinggalkan apa yang berlaku di kalangan mereka, sesungguhnya kamu tidak dijadikan untuk ini (menghukum mereka), maka sibukkan diri dengan apa yang berfaedah kepada kamu dan tinggalkan apa yang tidak berfaedah kepada kamu". (al-Jarh Wa al-Ta'dil, ms. 73)

Setelah memahami kesemua fakta-fakta di atas dengan sebaik-baiknya, kesimpulan yang boleh dibuat ialah hanya satu sahaja masalah yang belum selesai sehingga terus menerus mengekang dan menguasai situasi beragama dan bermazhab di negara ini iaitu masalah kefanatikan atau ketaksuban kepada idelogi atau fahaman yang dipegang dan pelajari. Inilah isu sebenar yang belum selesai sehingga timbulnya isu seumpama ini yang akhirnya tiada berkesudahan. Kedangkalan memahami senario bermazhab di Malaysia yang telah sinonim dengan mazhab fiqh beraliran Syafi'iyyah (mazhab Syafi'e) serta mazhab akidah beraliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menolak semenjak dahulu lagi sebarang fahaman lain selain Ahli Sunnah seumpama Mu'tazilah, Syiah Rafidhah, Murji'ah, Khawarij dan sebagainya adalah punca utama yang menyumbang kepada krisis antara umat Islam di Negara ini semakin kronik.

Menurut Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek aqidah, fahaman Asya’irah adalah sinonim dengan Ahli Sunnah. Sementara aliran lain seperti Salaf Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunnah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati. (Abdul Shukor Husin 1998. Ahli Sunnah Wal-Jamaah Pemahaman Semula, Bangi: UKM)

Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah, mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama sebagaimana sebahagian mereka, untuk itu apa yang perlu ditangani adalah kesilapan dan kesalahan metod dakwah mereka yang menjadi punca timbulnya isu-isu kontroversi di dalam masyarakat dan bukan sehingga memperkatakan dan membesarkan isu-isu lain yang langsung tiada kena mengena dengan fenomena yang sedang berlaku khususnya di kalangan umat Islam Malaysia pada hari ini.

Selaras dengan pendirian tersebut Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM kali ke-14 pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa kumpulan Wahhabiyyah yang disandarkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab itu tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang perlu diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan perselisihan masalah cabang yang cuba dibangkitkan oleh segelintir mereka dari masa ke semasa. Bukannya dengan memperbesar-besarkan isu-isu lain yang tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Islam di Negara ini.
Read more >>