Memaparkan catatan dengan label Isu Liberal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Liberal. Papar semua catatan

Khamis, 24 Mei 2012

Komentar terhadap buku Irshad Manji

Klik di sini untuk membaca komentar penuh saya.
Read more >>

Sabtu, 12 Mei 2012

Buku sampah Irshad Manji

Irshad dalam rangka lawatan ke Indonesi dan Malaysia untuk mempromosikan 'buku sampah' terbarunya yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu berjudul Allah, Liberty and Love: Satu keberanian mendamaikan iman dan kebebasan"...

Dalam kerangka worldview Islam, sangat mudah bagi seorang Muslim untuk memahami dan menangani kes Irshad Manji. Irshad Manji adalah lesbian, dan dia begitu bangga dalam mempromosikan kelesbiannya. Manji juga sangat bersahabat bahkan menyokong pandangan dan sikap Salman Rushdie, seorang yang sangat biadab dalam melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Dengan logik sederhana sekali, kita boleh mengatakan bahawa mengundang seorang lesbian seperti Irshad Manji untuk berbicara di universiti atau lain-lain forum ilmiyyah adalah sangat dangkal dan tidak intelek. Kecuali, jika Manji berceramah di komuniti lesbian dan rumah-rumah pelacuran. Mengapa? Di dalam Islam, orang yang melakukan dosa, tapi mengakui perbuatannya dosa, masih jauh lebih baik baik daripada seorang yang menghalalkan, apatah lagi bangga dengan perbuatan dosanya.

Seorang pelacur atau perasuah masih terbuka pintu taubat baginya jika dia sedar bahawa yang dia kerjakan adalah salah dan dia mahu bertaubat secara sungguh-sungguh. Tapi, ini berbeza sama sekali dengan pelacur atau perasuah yang berbangga dengan tindakannya; atas dasar kononnya dia telah menyenangkan dan membantu orang lain.  

Irshad Manji (kiri) bersama idolanya Salman Rushdi penulis novel haram "The Satanic Verses"
Dengan kebanggaan sebagai lesbian, Irshad Manji sebenarnya sama kedudukannya dengan penzina. Bahkan, lebih dari itu, dia bangga berbuat zina. Dalam buku terbaru yang dipromosikan kali ini, dia banyak mengungkapkan kebanggaannya sebagai seorang lesbian. Dia pun tak malu-malu mengatakan siapa pasangan hidupnya (entah sebagai suami atau isteri). Bahkan, kata-kata yang digunakan Manji dalam pelbagai bahagian buku ini sangat lucah, jauh dari nuansa akademik.

Di dalam buku ini, misalnya, Irshad Manji menulis, bahawa dia menerima satu soalan daripada seorang yang tak menyebutkan namanya (tanpa nama): "Mantan-saudari se-Islam, Irshad: Apa agama pasangan lesbian anda? Yahudi?"

Irshad Manji menjawab: "Aku bertemu pasanganku di gereja Anglikan, ketika menghadiri upacara ritual sebagai sebahagian daripada kajianku untuk program TV baru. Berkaitan pertanyaanmu, aku meminta dia berterus terang mengenai agamanya. Aku menuntut kebenaran. Jawapan dia, "Panggil saja aku Shlomo." Aku masih menyesuaikan diri."

Ada lagi soalan seorang yang ditulis identitinya oleh Manji sebagai "Mo". Orang ini bertanya: "Kami pasti menendang pantatmu ke neraka, biar kamu merasakan api neraka membakarmu hidup-hidup. Kau memang sepalsu neraka, jangan muncul lagi dengan buku-buku bodohmu tentang Islam. (Mo). Jawab Irshad Manji: "Biar aku betulkan, Mo. Aku ini sepalsu "neraka," tapi pantatku
harus ditendang "ke neraka"-yang menurut penjelasanmu, adalah tujuan yang "palsu"? Mahu cuba lagi? "

Melalui pelbagai bahagian dalam buku ini, Irshad Manji sangat jelas mempromosikan gagasan lesbiannya. Misalnya, pandangannya tentang pemahaman terhadap kisah kaum Luth dalam al-Qur'an, dia menulis: "Nah sekali lagi, patahkan keyakinan dengan ayat-ayat al-Qur'an sederhana yang mendorongmu untuk tidak terlalu berlebihan dengan ayat-ayat yang tersirat. Kisah Nabi Luth dalam Islam tergolong dalam perkara yang tersirat. Kau merasa yakin kalau surah ini mengenai homoseksual, tapi mungkin saja mengenai lelaki "lurus" dirogol oleh lelaki "lurus" lain sebagai gambaran atas kekuasaan dan kawalan. Tuhan menghukum kaum Nabi Luth kerana memotong jalur perdagangan, mengumpul kekayaan, dan berlaku tidak hormat terhadap orang luar. Perkosaan antara lelaki boleh jadi merupakan dosa sengaja (the sin of choice) untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pengembara. Aku tidak tahu apakah aku benar. Namun demikian, menurut al-Qur'an, kau pun tidak boleh pasti sama ada kau benar. Nah, kalau kau masih beria-ia untuk mengutuk homoseksual, bukankah kau justeru yang mempunyai agenda gay? Dan sementara kau begitu, kau tidak menjawab soalan awalku: "Ada apa dengan hatimu yang sesat?"

Sukar dinafikan, membaca buku Irshad Manji yang terbaru ini, juga buku sebelumnya, memang jauh dari kesan dan bahasa akademik. Apakah ini ada kaitan dengan keadaan kejiwaan seorang lesbian yang banyak mengalami penderitaan di masa kecilnya? Wallahu A'lam. Yang jelas, seorang beridentiti "SR" menulis surat kepada Irshad Manji - yang juga dimuat di dalam buku Manji sendiri:


"Hello Cik Irshad sang Lesbian Feminis Liberal. Aku seorang Muslim moderat yang berpendidikan, dan saya rasa kamu ini berkhayal demi kemasyhuran dan ketamakan. Nah, ini judul yang bagus dan boleh kau pertimbangkan untuk buku-bukumu selanjutnya: "Bagaimana aku boleh memperbodohkan Barat agar berfikir homoseksualiti diterima dalam Islam." Satu lagi, "Bagaimana menjual dirimu pada syaitan."

Membaca buku Irshad Manji, juga sikap dan akhlaknya, nampaknya diperlukan pendekatan - bukan hanya analisis kritis atas isi bukunya tapi juga pendekatan mental dan jiwa atau psikologi! Akhirnya kita berdoa agar tidak ada ORANG MALAYSI YANG BODOH DAN TERIKUT-IKUT UNTUK MEMPROMOSI DAN MENJUAL "BUKU SAMPAH" IRSHAD MANJI…
Read more >>

Selasa, 17 Januari 2012

Tiada kompromi dengan kekufuran dan kemaksiatan

Adalah HARAM bagi umat Islam meredai sesuatu perbuatan kufur dan maksiat. Biarpun dirinya sendiri tidak melakukan perbuatan tersebut, namun sikap meredai sesuatu perbuatan kufur atau maksiat adalah dilarang di dalam agama Islam. Reda di sini bermaksud memuji, tidak menentang atau membantah, mendiamkan diri apatah lagi merekemendasi sesuatu perbuatan kufur dan maksiat tersebut.

Kaedah menyebut al-ridha bil kufri kufrun (reda dengan kekufuran adalah kufur), al-ridha bil fisqi fisqun (reda dengan kefasiqan adalah fasiq) dan al-ridha bil ma’siyati ma’siyatun (reda dengan kemaksiatan adalah maksiat). Menurut Imam al-Razi, kaedah ini telah disepakati oleh ijma’ ulama. Ia adalah antara kaedah yang diungkapkan oleh Ibn ‘Abbas ketika mentafsirkan surah al-Taubah ayat 23. (Lihat al-Razi, Fakhr al-Din (2000), al-Tafsir al-Kabir, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, j.16, hal. 16 & j.26, hal. 215)

Antara contoh senario meredai perbuatan kufur dan maksiat yang boleh dilihat mutakhir ini adalah seperti berikut:-

Kes pertama: Seorang wanita bertudung berkata, “Walaupun saya bertudung, saya tetap menghormati pendirian golongan wanita yang tidak mahu bertudung, ini kerana bertudung adalah hak peribadi masing-masing”.

Kes kedua: Seorang lelaki yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu berkata, “Saya percaya Islam adalah agama yang terbaik, namun saya percaya tiada tegahan untuk seseorang murtad atau keluar daripada Islam, ini kerana Islam membenarkan kebebasan beragama dan berfikir”.

Kes ketiga: Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita secara sah berkata, “Meskipun saya sendiri tidak berminat kepada nafsu sesama jenis, itu tidak bermakna saya menentang perkahwinan sejenis dengan meletakkan hukuman berat terhadap sesiapa yang melakukannya”.

Ketiga-tiga dialog di atas adalah contoh hakisan aqidah dan syariah yang sedang menjalar ke dalam pemikiran segelintir umat Islam pada hari ini. Ye, mereka sendiri memang tidak melakukan perbuatan kufur dan maksiat tersebut, tetapi apabila ia dilakukan oleh orang lain, mereka tidak pula mengatakan ia satu kesalahan dan dosa yang perlu diawasi dan ditentang. Pertimbangan agama diketepikan sebaliknya ‘akal’ digunakan secara berlebihan untuk menjustifikasikan sikap toleransi dan kompromi terhadap kekufuran dan maksiat.

Mereka terlupa bahawa pertimbangan ‘akal’ itu tidak sempurna seperti yang disangkakan. Kerana ‘akal’ hanya melihat dari sudut implikasi duniawi yang terbatas. Apabila ‘akal’ tidak melihat apa implikasi duniawi yang berlaku, maka ‘akal’ akan memutuskan itu hanya satu ‘pilihan’ yang terserah kepada individu sama ada mahu melakukan atau tidak. Tapi, cuba bayangkan jika ‘akal’ menghukumkan secara songsang sesuatu yang jelas berimplikasi duniawi.

Sebagai contoh, seseorang berkata, “Walaupun saya memakan makanan yang baik, tetapi itu tidak bermakna saya melarang orang lain untuk memakan racun”. Atau seseorang berkata, “Walaupun saya sendiri sentiasa menjaga keselamatan nyawa, tetapi itu tidak bermakna saya menegah orang lain untuk membunuh, ia terserah kepada hak asasi masing-masing”.

Kedua-dua dialog ini jelas membawa jenis ‘akal’ yang songsang. Mustahil ‘akal’ akan biar memilih sesuatu yang membawa implikasi duniawi yang buruk. Sepatutnya ‘akal’ akan mengatakan bahawa makan racun dan membunuh bukanlah satu pilihan, ia adalah satu larangan dan patut ditempelak dengan sekeras-kerasnya kerana implikasi duniawinya jelas. Mudarat kepada jasad dan nyawa!  

Sebaliknya apabila ‘akal’ digunakan untuk menilai ‘implikasi uhkrawi’ memang ia tidak akan menjadi apa-apa, kerana akal tidak mampu mengukur apa ‘implikasinya’? Masakan ‘akal’ dapat melihat murka Allah, dosa dan neraka seperti ‘akal’ boleh melihat orang yang menggelupur akibat menelan racun atau dibunuh? Kerana itu neraca agama (wahyu) penting dalam soal berkaitan hukum hakam dan ‘akal’ tidak boleh menjadi pengukur atau penimbang utama untuk menentukan pendirian.

Berbalik kepada tiga senario yang dibawakan, seseorang yang benar-benar faham kaedah yang dibentang, sepatutnya akan mengatakan seperti ini:-

Kes pertama: Seorang wanita bertudung berkata, “Walaupun saya bertudung, saya merasa sedih kerana masih tidak mampu menarik rakan-rakan yang tidak bertudung untuk mengenakan tudung, ini kerana bertudung adalah perintah Allah SWT yang muktamad di dalam al-Qur’an yang sewajibnya dilaksanakan oleh setiap wanita muslimah, semoga Allah memberi hidayah kepada mereka”.

Kes kedua: Seorang lelaki yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu berkata, “Saya percaya Islam adalah agama yang terbaik, malah hanya Islam satu-satunya agama yang benar. Murtad atau keluar Islam adalah satu jenayah yang ditegah oleh Islam dan kesannya di akhirat kelak, mereka akan diazab di dalam neraka selama-lamanya. Oleh itu, menjadi kewajipan umat Islam untuk menyelamatkan saudara seislam yang terjebak ke dalam kancah murtad untuk mengembalikan mereka kepada Islam”.

Kes ketiga: Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita secara sah berkata, “Meskipun saya sendiri tidak berminat kepada nafsu sesama jenis, itu tidak bermakna saya berkahwin kerana kecenderungan seks semata-mata, tetapi kerana mematuhi perintah Allah SWT yang hanya membenarkan perhubungan antara lelaki dengan wanita yang sah sahaja. Adapun perkahwinan sejenis adalah haram dan mengundang kemurkaan Allah, malah hukum syara’ telah menetapkan hukuman tertentu terhadap pelaku perbuatan tersebut. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada sesiapa yang terjebak ke dalam perbuatan tersebut di kalangan umat Islam”.

Beginilah cara yang sepatutnya dijawab (atau seumpamanya) apabila kita dihadapkan dengan isu-isu yang melibatkan aqidah dan syariah. Jangan sekali-kali menampakkan tanda-tanda toleransi dan kompromi terhadap kekufuran dan kemaksiatan. Hakikatnya, apabila kita sanggup berkompromi dengan kufur dan maksiat, bermakna kita membiarkan orang lain terdedah kepada bahaya implikasi ukhrawi yang tak terlihat dengan mata dan tak tercapai oleh akal. Maka ia tak ubah seperti manusia yang ber ‘akal’ songsang, kerana yang patut ditegah, tidak ditegah.

Wallahu a’lam.
Read more >>

Ahad, 1 Januari 2012

Sambut Tahun Baru dan fenomena sekular

Setiap kali tiba Ambang Tahun Baru, maka bermulalah cerita-cerita yang sama. Esok lusa akan penuh di dada-dada akhbar pelbagai berita tentang kemeriahan sambutan, bagi akhbar-akhbar tabloid, mereka telah bersiap siaga mengerahkan para wartawan untuk bertugas mencari berita di hotel-hotel murah dan tempat-tempat strategik, dengan harapan esok atau lusanya ada berita HOT yang akan dipaparkan pada muka surat hadapan. "Bermukah dalam hotel murah", "Kondom bersepah", "Pasangan muda dicekup" dan macam2 lagi berita yang melariskan. 

Ini antara perkara-perkara "confirm" yang akan berlaku pada malam tahun baru. Pemimpin pula, seperti biasa sibuk dengan retorik mereka kononnya sambutan diadakan sebagai lambang 1Malaysia, perpaduan, kemajuan dan entah apa-apa lagi istilah yang stereotaip dalam ucapan mereka.

Kadang-kadang penulis jadi bosan bila membaca karya-karya akademik berimpak tinggi tentang sekularisme agama. Karya-karya itu sangat baik tetapi tak membawa apa-apa erti kepada umat Islam. Buku-buku, artikel-artikel jurnal dan kertas-kertas kerja cukup banyak ditulis dan dibentang membahaskan tentang bahaya sekularisme agama, tetapi tiada juga kesannya. 

Sama juga dengan liberalisme dan pluralisme agama, ditulis, dibahas dan dibentang berkali-kali dalam pelbagai seminar, namun hanya tinggal teori semata-mata. Bila pergi kepada praktikaliti, seolah-olah sekularisme, liberalisme, pluralisme itu tiada, cuma omong-omong kosong pengkaji, pembentang, pembahas dan penganjur sahaja.

Adakala pula, isu sebegini sekadar dijadikan bahan politik bermusim. Bila ada kesempatan untuk labelkan Parti B sebagai pendukung liberal, maka Parti A pun mencacai ke sana ke mari konon Parti B terkeluar landasan Islam kerana menganut liberal. Soalnya, benarkah Parti A suci dan bersih daripada liberal? Oh tidak, kerana Parti A juga terjebak dalam perbuatan liberal dan sekular, saat itu Parti A dan penyokong-penyokong hanya membisu. 

Hati kecil mereka pun tahu, menghentam parti lawan itu memang KERJA LUMRAH dalam politik, biasalah "kami" orang politik. Jadilah agama modal orang politik bila-bila perlu. Tapi, bila tak perlu dan tak sesuai pada masa, tempat dan keadaan, agama pun dibuat tidak acuh. Institusi yang jaga agama pun tak perlu dirujuk. Katanya, ini tiada kaitan agama, tak perlu rujuk, kalau program Ma'al Hijrah ke, Maulidur Rasul ke, itu memang "kami" rujuk kepada institusi agama.

Inilah bahana sekularisasi agama, dari sekecil-kecil perkara merebak menjadi suatu polisi dalam bernegara. Kita biasa lihat seorang wanita yang tak bertudung akan memakai tudung bila ke Mekah, hadir ke majlis kematian atau bila masuk Ramadan. Rupa-rupanya amalan individu itu juga telah menjadi dasar negara, bila negara sedang menjalani ibadah Ramadan maka segala aktiviti keramaian dan hiburan dihentikan sebagai "menghormati" Ramadan, tetapi bila tiada Ramadan maka bebaslah sebebas-bebasnya seolah-olah Tuhan, titah perintah, halal dan haram hanya ada pada Ramadan, di Mekah/Madinah, majlis kematian dan upacara keagamaan sahaja.

Itu sebab sambutan Merdeka dan Ambang Tahun Baru yang dibuat saban tahun tak perlu rujuk institusi agama, sebab tiada kaitan dengan agama. Selagimana tak berlaku kematian mana-mana pembesar negara atau tidak terkena dengan masa berpantang (bulan Ramadan), maka dihalalkan segala-galanya. Memang pun pada kedua-dua malam tersebut kemuncak kepada segala pesta yang ditunggu-tunggu. Dari sebesar-besar pangkat sampai serendah-rendahnya akan turun meraikan. Segala ongkos akan dikeluarkan biarpun puluhan atau ratusan ribu, janji semua akan gembira dan terhibur sehingga ke tahap paling maksimum!

Penulis buntu dan tak tahu, "sunnah" manakah yang dipakai oleh umat Islam pada hari ini? Penulis juga keliru, adakah kemerdekaan negara dan sambut tahun baru itu lebih mulia dan signifikan jika dibanding dengan kemenangan hijrah Rasulullah SAW dan pembebasan kota Mekah (fathu Makkah)? Adakah hari merdeka dan tahun baru ini lebih utama dari hari raya yang disyariatkan dalam Idul Fithri dan Idul Adha? Penulis juga tidak tahu adakah perayaan yang dibuat ini pernah dibuat oleh Rasulullah SAW, para sahabat, khulafa' al-rasyidin atau mana-mana khilafah Islam terdahulu?

Penulis bimbang kalau umat Islam sebenarnya, benar-benar telah terjebak ke dalam jerangkap samar Yahudi dan Nasrani seperti sabda Rasulullah SAW:

عن أبي سعيد الخدري قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لتتبعن سنن الذين من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا في حجر ضب لاتبعتموهم ، قلنا : يا رسول الله ، اليهود والنصارى؟ قال : فمن؟   

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada semua…wallahu a'lam.

Read more >>

Jumaat, 30 Disember 2011

Pesan Buya Hamka sempena Hari Krismas dan perayaan agama lain

Pada perayaan Krismas tahun 2010, PERSEKUTUAN GEREJA-GEREJA DI INDONESIA (PGI) dan KONFERENSI WALIGEREJA INDONESIA (KWI), mengeluarkan MESEJ KRISMAS BERSAMA, yang mengangkat tema: "Cahaya yang sesungguhnya sedang datang ke dalam dunia." ((Bdk. Yoh. 1 : 9).

Sebahagian Mesej Krismas Bersama itu boleh disemak seperti berikut :

"Pada masa ini kita semua sedang berada di dalam suasana merayakan kedatangan, yang mengatakan:" Akulah terang dunia; barangsiapa mengikut Aku, ia tidak akan berjalan dalam kegelapan, melainkan ia akan mempunyai cahaya hidup "(Yoh. 8:12). Dalam merenungkan peristiwa ini, Rasul Yohanes yang tepat mendedahkan: "Cahaya yang sesungguhnya itu sedang datang ke dalam dunia. Ia telah ada di dalam dunia dan dunia dijadikan oleh-Nya, tetapi dunia tidak mengenal-Nya. Ia datang kepada milik kepunyaan-Nya, tetapi orang-orang kepunyaan-Nya itu tidak menerima-Nya "(Lih. Yoh.1 :9-11). Suasana yang sama juga meliputi perayaan Krismas kita yang terjalin dan dibungkus untuk merenungkan harapan itu dengan tema: "Cahaya yang sesungguhnya sedang datang ke dalam dunia".

Berikutnya, dikatakan dalam Mesej tersebut :

"Cahaya yang sesungguhnya, iaitu Isa Al-Masih yang menjelma menjadi manusia, telah datang ke dalam dunia. Walaupun banyak orang menolak Cahaya itu, namun  Cahaya yang sesung-guhnya ini membawa pengharapan sejati bagi umat manusia. "...

"Krismas adalah tindakan nyata Allah untuk menyatukan kembali di dalam Kristus sebagai Ketua segala sesuatu yang telah diciptakan-Nya (Lih. Ef. 1:10). Semua yang dilihat-Nya baik adanya itu (Lih. Kej. 1:10), yang telah dirosakkan dan dicerai-beraikan oleh kejahatan manusia, mencari dirinya di dalam Cahaya itu. Oleh kerana itu, dengan menyambut dan merayakan Krismas sebaik-baiknya, kita menerima kembali, ─ dan demikian juga menyatukan diri kita dengan ─ karya penyelamatan Allah yang baik bagi semua orang. "

Menyemak Mesej Krismas Bersama PGI dan KWI tersebut, jelaslah bahawa perayaan Krismas adalah peringatan keagamaan bagi kaum Kristian. Krismas bukan sekadar ucapacara sosial dan budaya. Kaum Kristian meyakini Jesus sebagai Tuhan yang menjelma menjadi manusia, suatu keyakinan yang secara diametral bertentangan dengan keyakinan kaum Muslim.

Dalam dokumen Perlembagaan Dogmatik tentang Gereja (Lumen Gentium, 14) yang disahkan pada 21 November 1964, dalam Majlis Vatican II, di Rom, disebutkan: "Kerana satu-satunya Perantara dan jalan keselamatan adalah Kristus, yang hadir di antara kita di dalam Tubuhnya iaitu gereja ... Oleh kerananya tidak dapat diselamatkan orang-orang itu, yang walaupun tahu bahawa Gereja Katolik didirikan oleh Allah dengan perantaraan Jesus Kristus, sebagai sesuatu yang diperlukan, walaupun tidak mahu masuk ke dalamnya atau tidak mahu bertahan di dalamnya. "(Terjemahan by Dr. J. Riberu, Dokpen MAWI, 1983).

Sementara itu, dalam Islam, kepercayaan bahawa Jesus adalah Tuhan atau anak Tuhan dipandang sebagai satu kekeliruan yang amat sangat serius - satu kepercayaan yang dikritik keras oleh al-Quran. (Surah 5:72-73, 157; 19:89-91, dsb). Sebab, Isa A.Ş. adalah Nabi, utusan Allah, bukan Tuhan dan bukan anak Tuhan. Dalam surah Maryam disebutkan, memberikan sifat bahawa Allah punya anak, adalah satu "Jenayah besar". Dan Allah berfirman dalam al-Quran (Terj.): "Hampir-hampir langit runtuh dan bumi terbelah dan gunung-gunung hancur. Bahawa mereka mendakwa bahawa al-Rahman itu mempunyai anak. "(QS 19:90-91).

Kerana itu, Prof. Hamka menyebut tradisi mencampur-baurkan Perayaan Hari Besar Agama Bersama, bukan menyuburkan kerukunan umat beragama atau membina toleransi, tetapi justeru menyuburkan kemunafikan. Pada akhir tahun 1960-an, Hamka menulis tentang cadangan perlunya diadakan perayaan Krismas dan Idul Fithri bersama, kerana waktunya berdekatan :

"Si orang Islam didengarkan dengan penuh khusyuk bahawa Tuhan Allah beranak, dan Isa Al-Masih ialah Allah. Sebagaimana tadi orang-orang Kristian disuruh mendengar tentang Nabi Muhammad SAW dengan tenang, padahal mereka diajarkan oleh pendetanya bahawa Nabi Muhammad bukanlah nabi, melainkan penjahat. Dan al-Qur'an bukanlah kitab suci melainkan buku karangan Muhammad sahaja. Kedua-dua belah pihak, baik orang Kristian yang disuruh tafakur mendengar al-Qur'an, atau orang Islam yang disuruh mendengar bahawa Tuhan Allah itu ialah satu ditambah dua sama dengan satu, semuanya disuruh mendengar hal-hal yang mereka tidak percayai dan tidak dapat mereka terima ... Pada hakikatnya mereka itu tidak ada yang toleransi. Mereka kedua-dua belah pihak hanya menekan perasaan, mendengar ucapan-ucapan yang dimuntahkan oleh telinga mereka. Jiwa, raga, hati, sanubari, dan otak, tidak boleh menerima. Kalau keterangan orang Islam bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi akhir zaman, penutup sekalian Rasul. Jiwa raga orang Kristian akan mengatakan bahawa keterangan orang Islam ini harus ditolak, sebab kalau diterima kita tidak Kristian lagi. Dalam hal kepercayaan tidak ada toleransi. Sementara sang pastor dan pendeta menerangkan bahawa dosa waris Nabi Adam, ditebus oleh Jesus Kristus di atas kayu palang, dan manusia ini dilahirkan dalam dosa, dan jalan selamat hanya percaya dan cinta kepada Jesus. "

Demikian petikan tulisan Prof. Hamka yang ia beri judul: "Toleransi, Sekulerisme, atau Sinkretisme." (Lihat, buku Hamka, Dari Hati ke Hati, (Jakarta: Pustaka Panjimas, 2002).

Saat terjadi pertembungan dengan kerajaan Indonesia dalam soal fatwa "Haram Mengikuti Perayaan Natal Bersama", Hamka menulis artikel berjudul "Bolehkah Suatu Fatwa Dicabut?" Di kolum "Dari Hati ke Hati" Majalah Panji Masyarakat No 324 tahun 1981. Baiklah kita kutip kembali sebahagian isi tulisan Hamka tersebut:

"Bolehkah orang Islam bersama-sama orang Kristian merayakan Hari Krismas? Demi kerukunan hidup beragama? Dan tentu ada orang yang ingin bertanya : Bolehkah orang Kristian-demi kerukunan hidup beragama merayakan pula hari Raya 'Idul Fithri dan Idul' Adha dengan umat Islam?

Kalau direnungi lebih dalam, hari Krismas bagi orang Kristian ialah memperingati dan memuliakan kelahiran Isa Al-Masih yang menurut kepercayaan Kristian Isa itu adalah Tuhan dan anak Tuhan. Dia adalah SATU dari TIGA TUHAN atau Triniti. Bila orang Islam turut sama-sama merayakannya, bukanlah bererti meyakini pula bahawa Isa itu adalah Tuhan, atau satu dalam yang bertiga, atau tiga oknum dalam satu.

Ketika orang merayakan Krismas, dilakukanlah beberapa upacara (ritual) yang di dalam bahasa Islam disebut ibadat. Membakar lilin, memakan roti yang dianggap bahawa ketika itu roti tersebut adalah daging Jesus, dan meminum air yang dianggap sebagai darah Jesus.

Ketika terjadi Munas MUI di Cipayung 1979 utusan MUI dari Kuala Lumpur membawa berita bahawa kaum Kristian di sana menjelaskan kepada pengikut-pengikutnya bahawa perayaan Krismas adalah ibadat bagi mereka. Sudah lama hal ini diperbincangkan dalam kalangan kaum Muslimin. Tidak ada orang yang menyedari kehidupan beragama yang tidak meragukan halalnya orang Islam turut bersama-sama orang Kristian menghadiri hari Krismas, walaupun tidak ada pula orang Islam yang menolak anjuran kerukunan hidup beragama, dan orang Kristian pun belum pernah pergi bersama-sama berhariraya 'Idul Fithri dan 'Idul Adha ke tanah lapang atau masjid. Dengan demikian bukanlah bererti bahawa mereka (orang Kristian) tidak hidup rukun dengan orang Islam.

Sebab itu dapatlah kita fahami bahawa Menteri-menteri Agama sejak Indonesia merdeka menyuruhkan sahaja pegawai-pegawai tinggi yang beragama Kristian menghadiri secara rasmi hari-hari peribadatan Kristian, Krsimasnya, Easternya dan lain-lain, pegawai tinggi Katolik untuk menghadiri hari Ibadat Katolik, dan pegawai tinggi Protestant untuk menghadiri hari ibadat Protestant, dan demikian pula dengan pegawai tinggi dari kalangan yang beragama Buddha. Dan dengan demikian sekali-kali tidak berkurang rukunnya kita hidup beragama.

Sejak Julai 1975 MUI wujud, dianjurkan kerukunan hidup beragama. Pihak Islam menerima anjuran itu dengan baik. Tetapi terus terang kita katakan bahawa bagaimana batas-batas kerukunan itu, belum lagi kita perkatakan secara konkrit!

Maka terjadilah di Jawa Timur, adanya larangan dari Kanwil P dan K menyiarkan satu karangan yang menerangkan aqidah orang Islam, bahawa Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan. Erti ayat "Lam yalid walam yuulad" ini dilarang beredar, dengan alasan bahawa karangan ini mengandungi satu ayat yang bertentangan dengan kerukunan hidup beragama.

Sekarang keluar FATWA dari ulama-ulama, bukan dari Majlis Ulama sahaja, melainkan diluluskan juga oleh wakil-wakil dari Muhammadiyah, Nahdatul Ulama, dan perkumpulan-perkumpulan Islam yang lain, bahkan juga dari Majlis Da'wah Islam (yang bergabung dengan Golkar) dalam pertemuan itu timbul kesatuan pendapat bahawa orang Islam yang turut dalam perayaan Krismas itu adalah mencampuradukkan ibadat, bersetuju aqidah Kristian, menyatakan Nabi Isa Almasih 'alaihissalam sebagai Tuhan.

Dan di dalam logik tentunya sudah dapat difahami, bahawa hadir di sana ialah menyatakan persetujuan pada amalan iu, apatah lagi jika turut pula membakar lilin, sebagaimana yang mereka bakar, atau makan roti yang menurut aqidah Kristian jadi daging Jesus, dan air yang diminum menjadi darah Jesus! Maka orang Islam yang menghadirinya itu termasuk dalam kefahaman ayat: (Barangsiapa menyatakan persetujuan dengan mereka, termasuklah dia dalam golongan mereka) (Al-Maidah: 51).

Apakah konklusi undang-undang dari yang demikian itu, kalau bukan haram?...

Penulis teringat ketika Majlis Ulama Indonesia mulai ditubuhkan (Julai 1975) seorang muballigh muda H. Hasyim Adnan bertanya: "Apa terjadi kalau kerajaan nanti tidak mahu menjalankan sesuatu keputusan dari Majlis Ulama?"

Saya jawab: "Tidak ada hukuman yang boleh kita pergunakan. Kita sebagai ulama hanya berkewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar. Kewajipan kita di hadapan Allah hanya menyampaikan dengan jujur ​​apa yang kita yakini. Ulama menerima waris dari Nabi-nabi.Sebab itu kita warisi juga dari Nabi-nabi itu penderitaan dan penghinaan. Hukuman orang yang menolak kebenaran yang kita ketengahkan bukanlah dari kita. Kita ini hanya manusia yang lemah. Yang memegang hukuman adalah Allah Ta'ala sendiri. "

Demikian cetusan hati dan fikiran Buya Hamka yang kelihatan dituangkan dengan sepenuh hati dalam Majalah yang dipimpinnya tersebut.

Pada tarikh 7 Mei 1981, Prof. Dr. Hamka sebagai ketua umum MUI, membuat surat edaran, yang antara lain menyatakan bahawa fatwa "Haram Ikut Merayakan Krismas Bersama": "dipandang perlu untuk dikeluarkan sebagai tanggung jawab para ulama untuk memberikan pegangan kepada umat Islam dalam kewajipan mereka memelihara kemurnian aqidah Islamiyah, tanpa mengabaikan kerukunan hidup beragama. Dan sebagai Ketua Umum MUI saya menyeru supaya kita sama-sama menjaga ketenangan, kerukunan hidup beragama dan memelihara kemurnian aqidah. "

Rahmatullah 'ala Buya Hamka wa jazaahullah 'anna khairan kathiran wa ghafara lah...
Read more >>

Rabu, 9 November 2011

Pendukung dan pengamal LGBT Muslim : Jangan jahil hukum

Dalam khazanah fiqh Islam, perbuatan homoseksual (gay dan lesbian) sering disebut sebagai al-faahisyah (dosa besar) yang sangat menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah serta tabiat manusia. Oleh kerana itu para ulama sangat mengutuk, mengecam dan mengharamkannya.

Kalau ditelusuri secara gramatikal (bahasa) tidak ada perbezaan penggunaan kata antara homoseksual gay dan lesbian. Dalam bahasa arab kedua-duanya dinamakan al-liwath. Pelakunya dinamakan al-luthiy. Namun Imam al-Mawardi membezakannya. Beliau menyebut homoseksual sesama lelaki dengan liwath dan lesbian dengan sihaq atau musaahaqah. (Lihat : al-Hawi al Kabir karya al-Mawardi, j.13, h. 474-475)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual adalah ijma’ (kesepakatan) ulama, berdasarkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith. (al-Mughni, j.10, h. 155). Imam al-Mawardi berkata, “Penetapan hukum haramnya perbuatan homoseksual menjadi ijma’ dan itu diperkuat oleh nas-nas al-Qur'an dan al-Hadith.” (Kitab al-Hawi al-Kabir, j.13, h. 475)

Mereka dalam hal ini berbeza pendapat mengenai jenis dan bentuk hukuman yang dikenakan kepada pelakunya. Ia timbul kerana perbezaan dalam menginterpretasi dalil-dalil yang bersumber dari al-Qur'an, al-Hadith dan athar. Ayat-ayat di dalam surah al-A’raf: 80-84 dan Hud: 77-83 secara jelas mengandungi kutukan dan larangan Allah SWT terhadap pelaku perbuatan homoseksual. Ia juga diperkuat oleh hadith-hadith berikut:

Hadith riwayat Ibn Abbas : “Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya”. (riwayat Abu Dawud 4/158 , Ibn Majah 2/856 , al-Tirmizi 4/57 dan al-Daruquthni 3/124)

Hadith Jabir: “Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth” (riwayat Ibnu Majah : 2563, 1457. Al-Tirmizi berkata : Hadits ini hasan gharib, al-Hakim pula berkata, hadith ini sahih isnadnya)

Hadith Ibn Abbas: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra IV/322 No. 7337)

Perbezaan athar (sama ada dengan kata atau perbuatan) para sahabat adalah dalam menentukan jenis hukuman yang dikenakan kepada pelaku. Antara perbezaannya adalah; membakarnya dengan api, menindihnya dengan dinding, dijatuhkan dari tempat yang tinggi sambil melemparnya dengan batu dan ditahan di tempat yang paling busuk sampai mati.

Para ulama fiqh setelah bersepakat tentang haramnya perbuatan homoseksual (gay dan lesbian), mereka berbeza pendapat mengenai hukuman yang selayaknya dijatuhkan kepada pelaku. Perbezaan bersangkutan dengan dua keadaan; Pertama: perbezaan sahabat dalam menentukan jenis hukuman, sebagaimana tersebut di atas. Kedua: perbezaan ulama dalam mengkategorikan perbuatan tersebut, apakah dikategorikan zina atau tidak? Perbezaan itu memberi implikasi terhadap kadar atau jenis hukuman yang dikenakan. 

Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat: perbuatan homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina dengan alasan, Pertama: kerana tidak adanya unsur (kriteria) kesamaan antara keduanya. Unsur mempersia-siakan anak dan ketidakjelasan nasab (keturunan) tidak didapati dalam perbuatan homoseksual. Kedua: perbezaan jenis hukuman yang dilakukan oleh para sahabat (sebagaimana di atas). Berdasarkan kedua alasan ini, Abu Hanifah berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual adalah ta’zir (diserahkan kepada penguasa atau pemerintah). (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir, j.11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani dan Abu Yusuf (murid Abu Hanifah): perbuatan homoseksual dikategorikan sebagai zina, dengan alasan adanya beberapa unsur kesamaan antara keduanya seperti: Pertama, syahwat pelaku disalurkan. Kedua, tercapainya kenikmatan (kerana penis dimasukkan ke lubang dubur). Ketiga, tidak diharuskan dalam Islam. Keempat, menumpahkan (mempersia-siakan) air mani. Berdasarkan alasan-alasan tersebut, Muhammad Ibn al-Hasan dan Abu Yusuf berpendapat bahawa hukuman terhadap pelaku homoseksual sama seperti hukuman yang dikenakan kepada penzina, iaitu: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam (dilempari dengan batu sampai mati), kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat dan diasingkan selama satu tahun. (al-Hidayah Syarhul Bidayah 7/194-196, Fathul Qadir j. 11, h. 445-449 dan al-Mabsuth, j.11, h. 78-81)

Menurut Imam Malik, perbuatan homoseksual dikategorikan zina dan hukuman yang setimpal untuk pelakunya adalah direjam, sama ada pelakunya muhshan (sudah menikah) atau ghair muhshan (bujang). Beliau sependapat dengan Ishaq bin Rahawaih dan al-Sya’bi. (Minahul Jalil, j. 19 h. 422-423)

Menurut Imam Syafi’i, perbuatan homoseksual merupakan hubungan seksual terlarang dalam Islam. Hukuman untuk pelakunya: kalau pelakunya muhshan (sudah menikah), maka dihukum rejam. Kalau ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. Hal tersebut sama dengan pendapat Sa'id bin al-Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, al-Nakha’i, al-Hasan dan Qatadah. (al-Majmu’ j. 20, h. 22-24 dan al-Hawi al-Kabir, j. 13, h. 474-477)

Menurut Imam Hanbali, perbuatan homoseksual dikategorikan zina. Mengenai jenis hukuman yang dikenakan kepada pelakunya beliau mempunyai dua riwayat (pendapat): Pertama, dihukum sama seperti penzina, kalau pelakunya muhshan (sudah menikah) maka dihukum rejam, jika pelakunya ghair muhshan (bujang), maka dihukum sebat 100 kali dan diasingkan selama satu tahun. (pendapat inilah yang paling kuat). Kedua, dibunuh dengan direjam, sama ada itu muhshan atau ghair muhshan. [al-Furu’, j. 11 h.  145-147, al-Mughni, j. 10, h. 155-157 dan al-Inshaf j. 10, h. 178)

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa di antara landasan hukum yang mengharamkan perbuatan homoseksual dan lesbian adalah ijma’. Ijma’ merupakan kesepakatan para mujtahid (ahli ijtihad) setelah wafatnya Rasulullah terhadap sesuatu isu hukum dalam sesuatu masa. Jadi yang menentukan sesuatu hukum sudah menjadi ijma’ atau belum adalah para mujtahid (ahli ijtihad) yang berkepakaran dalam bidangnya, bukannya orang-orang sembarangan yang tidak diketahui keilmuannya.

Haramnya homoseksual (gay dan lesbian) ini, sudah menjadi ijma’ (kesepakatan) ulama Islam. Ertinya, tiada seorang di kalangan mereka yang berselisih pendapat. Oleh itu, mustahil kita akan temui mana-mana ulama yang berpendapat tentang kehalalannya. Ia sudah menjadi ketentuan hukum sejak zaman Nabi, para sahabat dan seterusnya sampai ke hari Qiyamah. Justeru, ia tidak boleh dirungkai lagi dengan apa jua alasan dengan sekadar justifikasi rasional atas nama perjuangan hak asasi manusia yang batil. Insaflah wahai pengamal dan pendukung kumpulan ini yang beragama Islam!

Wallahu a'lam.
Read more >>