Khamis, 7 Januari 2010

ISU KALIMAH ALLAH BUKAN ISU TEOLOGI







Antara punca kesilapan golongan yang cuba mempertahankan penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam @ Kristian adalah kerana memandang isu ini adalah isu teologi semata-mata. Hakikatnya ia bukan isu teologi tetapi isu ini lebih kepada kepentingan missionary Kristian. Perlu diingat apa yang dipohon oleh Herald adalah MENTERJEMAH KALIMAH 'GOD' KEPADA 'ALLAH' atas alasan ada kalangan penganut Katolik yang berbahasa Melayu dan BUKAN untuk MEMPERTAHANKAN DOKTRIN GOD MENURUT KRISTIAN!!! Jika ianya isu teologi, pihak Kristian perlu berbahas dan mengemukakan affidavit berupa manuskrip-manuskrip asal kitab suci mereka yang menyebut nama Allah kepada pihak mahkamah.

Isunya di sini adalah TERJEMAHAN semata-mata!!! Jika kita mengkaji Bible, kita akan memahami bahawa agama Kristian membenarkan nama tuhan dipanggil mengikut bahasa kaum masing-masing, jika merujuk kepada Bible berbahasa Cina, mereka menterjemahkan God kepada Shen atau Shang-Ti (bagi Bible Protestan) dan Shangzhu atau Tianzhu (bagi Bible Katolik). Begitu juga dapati sesetengah Bible menyebut nama tuhan dalam bahasa Yunani kuno berbunyi Theos dan bahasa Eropah Barat berbunyi Deus. Kristian Arab pula menterjemahkan Bible mereka daripada bahasa Hebrew berbunyi Eloh, Elohim, Yahuwa dll kepada Allah. Di negara-negara Eropah, Amerika dan Australia yang didominasi oleh penganut Kristian pelbagai mazhab mereka menterjemah nama tuhan mereka sebagai 'God'.

Persoalannya, mengapa apabila mereka mahu menterjemahkan perkataan 'God' di negara ini kepada 'Allah' sedangkan 'Allah' bukan perkataan Melayu. Mengapa mereka tidak mahu menterjemahkannya kepada 'Tuhan'? Sedangkan kamus-kamus berautoriti dan pengamalan budaya masyarakat di Malaysia menterjemahkan istilah God kepada Tuhan. Keengganan mereka itu memberi indikasi bahawa di sana adalah agenda lain yang ingin dilakukan oleh pihak Kristian! MISSIONARY!!! Ia sebagaimana kejayaan mereka melakukannya di Indonesia dan di negara-negara lain. Bermakna implikasi akan datang jika umat Islam di negara ini membenarkan penggunaan tersebut adalah seperti berikut....

Akhirnya akan lahir istilah...'Allah' adalah Tuhan sekalian agama...so, agama apa pun yang dianuti, semuanya menyembah kepada Tuhan Yang Sama walaupun berbeza dari segi kaedah peribadatannya. Inilah faham pluralisme agama yang sesat lagi menyesatkan. Wal'iyazubillah...
Read more >>

Sabtu, 2 Januari 2010

HUJAH MENOLAK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH KRISTIAN

Penulis menerima banyak feedback hasil daripada keputusan mahkamah tentang kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian baru-baru ini. Sebenarnya penulis telah menulis hujah-hujah menjawab alasan mengapa pihak Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah di negara ini. Artikel ini telah diterbitkan dalam Jurnal Penyelidikan JAKIM ke-21/2008. Ia juga penulis senaraikan dalam link 'Artikel di Jurnal Penyelidikan' dalam blog ini. Bagaimanapun para pembaca boleh klik di sini untuk membaca artikel hujah-hujah tersebut. Wallahu a'lam.
Read more >>

Jumaat, 1 Januari 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH BAGI AGAMA LAIN MENURUT WAKIL AL-AZHAR



Penulis bersama Syeikh Abdul Fattah 'Allam di pejabat beliau di Masyiyakhah al-Azhar, Mesir

Penulis sempat mengajukan persoalan ini kepada Wakil al-Azhar @ Naib Syeikh al-Azhar Syeikh Abdul Fattah 'Allam. Beliau menjelaskan bahawa perkara ini sebenarnya telah dibawa ke pengetahuan Syeikh al-Azhar oleh Duta Malaysia ke Mesir. Beliau berpendapat bahawa tindakan kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disamaertikan dengan kalimah Rabb yang membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang tuhan yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Untuk mendengar perbincangan penulis dengan beliau dalam Bahasa Arab, sila download audio di sini. 
Read more >>

Khamis, 31 Disember 2009

COURT: ALLAH NOT EXCLUSIVE TO ISLAM




Keputusan tentang kalimah Allah petang tadi memang amat mengecewakan penulis. Bagi pihak 'yang menang' sudah tentu Tahun Baru 2010 akan disambut dengan lebih meriah kerana di samping meraikan tahun baru, mereka juga berjaya mendapat apa yang dikatakan sebagai hak mereka untuk merujuk 'Allah' sebagai Tuhan Bapa kepada Jesus Christ...

Bagi umat Islam, penulis ingin ingatkan janganlah jadikan hari Tahun Baru 2010 ini sebagai hari kegembiraan. Tiada apa yang ingin digembirakan. Ia bukan perayaan bagi penganut Islam malah ia berasal dari perayaan umat Kristian menyambut kelahiran tuhan mereka Jesus Christ yang disebut sebagai Anni Comini Nostri Jesu Christi. Lagipun tiada nas atau hadith yang menyebut tentang apa-apa kelebihan bulan solar (syamsiyyah) yang dulunya digunapakai oleh Rom bagi perkiraan tahun mereka. 2009 juga tidak melakarkan apa-apa kebanggaan @ kejayaan untuk umat Islam, malah Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa masih dibelenggu oleh Zionis Yahudi. Untuk apa kamu bergembira pada awal tahun masihi wahai umat Islam???

Lihatlah kebijaksanaan Saidina Umar memilih tema hijrah bagi permulaan tahun Islam. Ia bukan bertujuan untuk bergembira @ berhari raya setiap kali tiba 1 Muharram, tetapi ia permulaan bagi satu perjuangan yang tidak kan sudah...jihadun wa niyyah bak sabda Rasululullah SAW. Ia sesuatu konsep yang serius terkandung di dalamnya nilai keazaman dan muhasabah! Wallahulmusta'an...
Read more >>

Selasa, 29 Disember 2009

BILA USTAZ SAMAN USTAZ



Alangkah sedihnya melihat dua orang ustaz yang bertelagah kerana pandangan peribadi dan tuduh menuduh sesama sendiri. A mengatakan B Wahabi. B pula kata A Syiah. Kedua-duanya membawa pandangan peribadi, oleh itu metodologi dalam menangani masalah mereka pun adalah cara peribadi. Saman. Kedua-duanya penjawat awam kerana bekerja di sektor awam tetapi pandangan, sikap dan metodologi mereka tidak mencerminkan identiti mereka sebagai penjawat awam. Mungkin title 'pendakwah bebas' lebih sesuai untuk mereka berdua.

Bagi penulis, agama Islam di negara ini ada penjaganya. Majlis Raja-raja, institusi agama pusat seperti JAKIM, institusi agama negeri seperti JAIN kesemuanya bertanggungjawab menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini. Masing-masing mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan apa jua masalah, mereka memiliki panel-panel dan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dalam memutuskan apa jua masalah sama ada berupa aqidah mahupun syariah. Tak perlu untuk mana-mana individu di negara ini berlagak sebagai 'hero' atau 'jaguh' kononnya sebagai pejuang itu dan ini. Biarkan mereka yang ahli dan berautoriti memutuskan. 

Sesuatu pandangan, jika ia bersifat peribadi tidak akan ke mana jua. Ia hanya akan menjadi polemik yang tak berkesudahan. Jika sesuatu isu itu, sifatnya 'akademik'. Biarkan ia dibincangkan di gelanggang-gelanggang ahli sarjana di universiti. Kita punya ramai profesor-profesor dalam pengajian Islam dengan pelbagai kepakaran. Biarkan mereka berdebat dan berhujjah dalam membahaskan apa jua isu agama yang bersifat akademik. Bukankah hujjah dibalas hujjah.

Tetapi hari ini sebaliknya berlaku. Dua orang ustaz bergaduh. Saman menjadi pertaruhan. Pengikut pula saling bersorak. Mohon kepada Allah SWT, agar jangan sampai agama tergadai...
Read more >>

Ahad, 27 Disember 2009

PEMIKIRAN ARTIS YANG BISA MEROSAKKAN AQIDAH & SYARIAH




Bila terbaca laporan di atas, penulis amat bimbang sekali memikirkan kesannya terhadap generasi baru umat Islam terutamanya kalangan remaja yang semakin ramai tergila-gilakan golongan artis dengan menjadikan mereka sebagai IDOLA dan PEDOMAN mereka dalam kehidupan harian.

Bayangkan dengan sepatah kata dan perbuatan artis tersebut, yang tersebar meluas di media massa arus perdana dan tabloid...wajahnya pula sering terpapar di kaca televisyen kerajaan dan swasta, jutaan remaja yang rapuh pegangan agama hanya akan mengangguk dan mengiyakan sahaja. Ye lah, apa salahnya, dia sekadar mahu mencari makan. Agama jangan sekali-kali dicampuradukkan dengan soal kerjaya. Nanti segala-galanya akan tergendala. Tuhan lebih mengetahui IMAN DI DADA ARTIS tersebut!!!

Ini lah gejala pemikiran sekular dan liberal Barat yang semakin parah menjadi ikutan golongan artis di negara kita. Hanya kerana mahu mencari makan, syariat dipergadaikan. Teori 'MATLAMAT MENGHALALKAN CARA' telah menjadi tradisi sebahagian besar mereka. NIAT IKHLAS dan BERSIKAP PROFESIONAL sering menjadi jawapan dan senjata utama bagi mempertahankan diri apabila mereka terjebak melakukan perkara-perkara yang menyalahi hukum agama dalam lakonan atau aktiviti seni mereka.

Ketahuilah wahai golongan artis, Allah SWT itu menetapkan sesuatu amalan itu diterima dengan dua prasyarat penting. Pertama, IKHLAS dan kedua MENURUT SYARIAT. Kalaulah hanya niat yang menjadi penilaian, tak perlu Allah SWT menurunkan syariat...biarkan segala-gala dengan niat...Kepada masyarakat di luar sana, pelihara diri kamu dan ahli keluargamu daripada api neraka...Jangan biarkan mereka terkeliru dengan kenyataan-kenyataan golongan JAHIL yang bertaburan dalam media bertebaran di sana sini...

Wallahu a'lam.  
Read more >>

Khamis, 24 Disember 2009

SYEIKH AL-QARADAWI KEMBALI, SYEIKH WAHBAH MENYUSUL...




Sebagaimana dirancang, Syeikh al-Qaradawi telah selamat pulang pada masa dan hari yang dirancang. Penulis sempat menyediakan cek RM40k atas nama IIUM Endowment Fund untuk diserah kepada Rektor UIAM Dato' Sri Prof. Dr. Syed Arabi Idid. Nasib baik Prof. pun sudi mengutamakan program penyerahan cek  tersebut, majlis yang serba ringkas di Bilik VIP KLIA  ini sudah pasti akan menjadi kenangan bagi pihak UIAM dan JAKIM sampai bila-bila. Fadhilat al-Syaikh al-Qaradawi telah berbesar hati mendermakan 40% daripada hadiah wang tunai Ma'al Hijrah beliau kepada tabung pelajar UIAM yang memerlukan. Jazakumullah Ya Maulana al-Syaikh..


Sebenarnya pemergian Syeikhuna al-Qaradawi disusul pula dengan ketibaan Syeikhuna Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili. Alhamdulillah, pagi tadi ketika Syeikh Wahbah dijemput oleh Persatuan Ulama Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk menyampaikan ucaptama bagi Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam, penulis sempat bertemu beliau di bilik tamu Dewan Annex Dun, SUK Shah Alam. Penulis tak dapat gambarkan bagaimana gembiranya Syeikh Wahbah ketika dapat bertemu semula 'khadam' beliau ini ketika beliau dijemput sebagai penerima Tokoh Ma'al Hijrah 1430 pada tahun lalu. Setahun sudah berlalu, tetapi penulis bersyukur kerana ingatan beliau terhadap penulis masih kukuh sebagaimana 'kertas usang' yang tertulis nombor telefon bimbit penulis masih tersimpan rapi dalam jubah beliau. Tasyarrafna Ya Syaikhana....


Pada malamnya pula, Syeikh Wahbah telah dijemput oleh pihak penganjur untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Negeri Shah Alam. Walaupun dalam keadaan yang agak kepenatan, penulis menggagahkan diri untuk memandu dari Putrajaya ke Shah Alam bagi mendengar ceramah Syeikh Wahbah. Ilmunya yang menggunung itu pastinya ditagih oleh sesiapa sahaja yang tahu menilainya. Dalam kuliah ringkas antara Maghrib dan Isyak itu, Syeikh Wahbah menghuraikan tentang tiga ciri istimewa agama ini, al-alamiyyah (universal), al-khatamiyyah (penutup segala syariat) dan al-khulud (kekal hingga ke akhir zaman). Beliau turut tidak lupa menjelaskan perbezaan antara alamiyyat al-Islam dengan al-'aulamah (globalisasi) yang sudah pastinya berbeza dengan intipati dan dasar kesejagatan Islam.


Di sini, penulis juga ingin mengingatkan teman-teman yang ingin memohon fatwa kepada mana-mana ulama luar negara. Setiap persoalan perlu didahului dengan latar belakang yang jelas. Kita tidak boleh meminta fatwa dengan hanya bertanya 'soalan sepatah'. Ini terjadi ketika selepas Syeikh Wahbah menyampaikan ucaptama dalam Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam. Salah seorang peserta bertanya soalan hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' bagi penganut bukan Islam, tanpa menyatakan latar belakang perkara itu berlaku dan apa isu sebenarnya di Malaysia.

Pembaca blog boleh mendengar bagaimana penulis mengajukan persoalan ini kepada Syeikh Abdul Fattah 'Allam, Naib Syeikh al-Azhar melalui audio di site sebelah kiri web ini. Kali pertama soalan ini dibangkitkan oleh salah seorang peserta kursus ketika kami bersama Syeikh al-Azhar, tetapi 'soalan sepatah' itu menyebabkan Syeikh al-Azhar naik berang dan penulis telah berusaha sedaya upaya menjelaskan kepada Syeikh al-Azhar tentang kedudukan isu sebenarnya di Malaysia, bagaimanapun Syeikh al-Azhar tetap dengan pendiriannya untuk mengatakan 'boleh' bagi penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Bercanggah dengan fatwa naibnya, Syeikh Fattah yang juga Ketua Lajnah Dialog Antara Agama al-Azhar. (Sila dengar audio di site sebelah kiri) 

Apa pun Syeikh Wahbah dijangka pulang pada Jumaat jam dua pagi ini. Bagi penulis dapat bertemu dan berbual seketika sudah mencukupi. Melepaskan kerinduan kepada seorang ulama besar berumur 77 tahun ini setelah satu tahun tidak ketemu..Semoga Allah SWT memanjangkan umur beliau untuk terus berbakti kepada ummah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir..Amin...
Read more >>

Isnin, 21 Disember 2009

SAAT-SAAT AKHIR SYEIKH AL-QARADAWI DI MALAYSIA

Malam 21 Disember 2009 adalah malam terakhir buat Syeikhuna al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi. Tepat jam 3.00 petang hari ini, Syeikh dijangka akan bertolak meninggalkan Malaysia. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan Y.Bhg. Dato’ Wan selaku Ketua Pengarah JAKIM, beliau telah mengusulkan supaya satu pertemuan ‘Dinner Talk’ diadakan di hotel penginapan Syeikh dengan ahli-ahli panel penasihat syariah bank, Panel Kajian Syariah JAKIM dan Panel Kajian Aqidah JAKIM.

Sebelum daripada pertemuan tersebut, penulis dan guru penulis, Dr. Zulkifli al-Bakri (juga ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM) sempat mengadakan kunjungan hormat terhadap Syeikh di bilik beliau. Dr. Zul ingin bertemu bagi meminta keizinan untuk menerbitkan kitab al-Halal wa al-Haram fil Islam yang telah siap diterjemahkan oleh beliau. Penulis pula mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa kagum penulis terhadap fatwa-fatwa beliau yang bersifat tarjih bayn al-mazahib sebagaimana yang termaktub dalam kitab Fatawa Mu’asirah sambil memohon secoret kata daripada Syeikh sebagai tanda ingatan (autograph). Alhamdulillah selepas itu penulis dihadiahkan senaskhah jilid terbaru kitab ‘Fatawa Muasirah’ ini iaitu jilid yang keempat. Jazakumullah Ya Habibanassyaikh…

Dalam pertemuan ‘Dinner Talk’ malam tadi..banyak perkara dibangkitkan oleh para peserta yang terlibat. Antaranya isu muamalat Islam yang hanya bersifat syakliyyat yang semakin bertambah dalam urusan perbankan Islam, emas adakah ianya sebagai wang atau komoditi, hukum meminta pertolongan dengan bukan Islam, isu al-Ahbasy, isu Wahhabiyyah/Salafiyyah dan lain-lain. Jawapan Syeikh sangat mantap dan bernas serta bersifat objektif tanpa berpihak. Muqaddimah sebelum soal jawab juga sangat menarik perhatian penulis kerana FadhilatusSyaikh juga turut membincangkan tentang amalan bermazhab dan sedikit sebanyak menyentuh kerigidan golongan Syafi’iyyah dalam bab taharah dan implikasinya dalam masyarakat Islam. Ucapan ini banyak persamaannya dengan muqaddimah dalam kitab ‘Fatwa Mu’asirah’ milik beliau..sila rujuk kitab tersebut untuk mengetahui pemikiran beliau tentang mazhab. Yang jelas beliau bukan menolak mazhab tetapi menolak keta’assuban terhadap mazhab!!

Hari ini 21/12/09 Syeikh akan meninggalkan negara kita menuju ke Riyadh, penulis difahamkan untuk menghadiri satu seminar di sana. Subhanallah, begitu lah hebat orang berilmu, ilmunya sentiasa ditagih oleh keseluruhan umat Islam di dunia. Seluruh dirinya diinfaq kepada jalan Allah SWT. Wang ringgit tidak menjadi apa-apa nilai baginya. Dengan kemurahan hatinya, ketika berbincang soal urusan untuk pembayaran baki daripada 100k (Hadiah Ma’al Hijrah) yang diterima oleh Syeikh, beliau dengan rela hati menyatakan hasrat untuk menginfaqkan sahaja wang sebanyak 40k kepada Tabung Siswa Miskin, UIAM. Subhanallah..inilah akhlaq luhur seorang Syeikh yang mengajar ilmu melalui ucapan dan tauladan..Selamat tinggal Syaikhuna wa habibana wa ustazana wa mu’allimana..la la taquuluu wida’an bal quuluu ilalliqa’…
Read more >>

Ahad, 20 Disember 2009

CERAMAH PERDANA SYEIKH AL-QARADAWI DI MASJID NEGERI SHAH ALAM






Penulis sebenarnya agak terkejut, kerana sepanjang menguruskan kedatangan Syeikh al-Qaradawi (SQ) ke Malaysia, penulis tidak pernah diberitahu oleh setiausaha akademik beliau, Syeikh Waleed bahawa SQ akan menghadiri majlis lain selain daripada majlis yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Syeikh Waleed hanya memaklumkan supaya dilanjutkan tempoh penginapan SQ kepada 1 hari lagi supaya SQ mempunyai 1 hari penuh untuk bertemu rakan-rakannya yang ramai di Malaysia. Perkara yang sama juga dinyatakan oleh SQ sendiri dalam surat balasan penerimaannya sebagai tokoh.


Mungkin yang dimaksudkan dengan bertemu rakan itu juga adalah termasuk menghadiri ceramah undangan Kerajaan Negeri Selangor malam tadi. Sebagai orang yang mengagumi keilmuan dan kesarjanaan SQ, penulis berkejar ke Shah Alam untuk mendengar apakah amanat ilmu yang bakal disampaikan oleh SQ. Walaupun sebenarnya penulis baru sahaja sihat daripada demam, kepala masih terasa berat, tetapi kerana merasakan inilah peluang menimba ilmu walapun hanya berbentuk talaqqi sepintas lalu. Yelah, SQ hanya berada sebentar di negara ini.



Pada malam ini (19/12/09), SQ memulakan ucapan tentang hubungan beliau dengan Malaysia yang telah terbina sejak tahun 1974 melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kemudian, beliau mula mengupas ibrah atau pengajaran yang dapat diambil daripada kisah Hijrah Rasulullah SAW. Pertama, nasrun minAllah (pertolongan daripada Allah yang menjelaskan Allah membantu Rasul-Nya menerusi tentera yang tidak dilihat), kedua, afdhal al-takhthith al-basyari (sebaik-baik perancangan manusia) adalah ketika Rasulullah SAW mengatur perancangan untuk melakukan hijrah, keempat, ta'sis al-mujtama' al-muslim (pembinaan masyarakat Islam di Madinah) dan kelima, kefasadan masyarakat Islam yang berpunca daripada golongan munafiqin yang membenci dan memusuhi Islam dari dalam termasuk mereka-reka fitnah dan sebagainya. Ucapan beliau disudahi dengan hadith al-ifki yang berlaku ke atas Sayyidatina A'isyah r.a.h. Kupasan beliau sangat-sangat menarik perhatian penulis dan bersifat 'hidup' dan menghayati zaman semasa, bukan sekadar mengucapkan hujjah dan dalil..


Dalam suasana di dalam masjid yang penuh keberkatan, dimulai dengan solat Maghrib yang dipimpin oleh SQ dan ditutup dengan doa penuh semangat oleh Syeikh al-'Allamah dan solat Isyak...ditambah dengan kehadiran ribuan jama'ah tanpa jemu dan setia mendengar (sehingga penulis sukar dpt parking!), tidak dinafikan majlis pada malam tadi sangat berjaya walaupun ianya tidaklah kelihatan 'exclusive' dan 'grand' pada pandangan sesetengah orang!!

Bagi penulis, ketepikan unsur-unsur politik yang cuba dimasukkan atau dicucukkan oleh orang tertentu kepada SQ..tetapi ambil lah ilmunya yang masak ranum itu..ingatlah 'mujalasatul ulama' itu satu rahmat daripada Allah SWT..semoga dengan ketokohanam Maulana al-Syeikh, dua fahaman politik yang berbeza pun akan dapat disatukan jua...Wallahu a'lam...(Sila lihat site sebelah kiri 'ucapan al-Qaradawi' untuk download doa syeikh dan sedutan ucapan syeikh)
Read more >>

MUHADHARAH PERDANA..MEDAN SYEIKH AL-QARADAWI MEMPROMOSI PEMIKIRANNYA TENTANG FIQH AL-JIHAD




Sebagaimana yang dijanjikan, hari ini 19/12/09 Syeikh al-Qaradawi (SQ) telah diberi ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan buah fikiranya. Tiada syarat, tiada apa-apa sekatan, tiada keperluan memohon tauliah!!! Dengan pangkat 'al-allamah', beliau telah menyampaikan syarahannya dengan begitu bernas sekali. Benar seperti kata peminat-peminat beliau, Allah SWT telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dalam penulisan dan ucapan.



Ketika penulis ditanya oleh Syeikh Waleed tentang tajuk muhadharah SQ nanti, penulis katakan, tiada sebarang tajuk 'dikenakan' tetapi bebas menyentuh isu-isu umat Islam meliputi seluruh dunia kerana semua sedia maklum SQ adalah ulama yang bertaraf dunia sesuai dengan title beliau Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia. Tetapi, ucapan SQ pada hari ini adalah berkisar tentang buku terbaru karangan beliau iaitu Fiqh al-Jihad yang baru sahaja beberapa bulan diterbitkan.


Bila mendengar syarahan SQ, seakan-akan kita sedang membaca kitab karangan beliau itu. Isi-isinya disusun dengan begitu rapi dan sarat dengan hujjah dan dalil daripada al-Qur'an dan al-Hadith. Seolah-olah kitab yang setebal 1400 halaman (kalau yang dicetak oleh Maktabah Wahbah Kaherah) ini dihafal sehelai demi sehelai oleh SQ. Subhanallah, itulah kehebatan Syeikh al-'Allamah. Kitab ini dikarang oleh SQ selepas 36 tahun beliau mengarang kitab Fiqh al-Zakat sehingga membolehkan beliau menerima ijazah kedoktoran al-Azhar pd tahun 1973. Insya Allah penulis akan cuba dapatkan kitab ini secepat mungkin. Antara perkara penting yang ditekankan oleh SQ adalah keperluan 'jihad' di tengah-tengah masyarakat muslim sendiri. Menentang kemungkaran dan kezaliman yang berlaku di hadapan mata hatta yang dilakukan oleh pemerintah sekalipun. Sebagaimana sabda Rasulullah, "Sebaik-baik jihad, adalah kalimah yang haq dihadapan pemerintah yang zalim!". 

Begitulah keberanian dan ketegasan Syeikh al-Qaradawi dalam menyampaikan pandangannya berdasarkan dalil dan hujjah. Sifat-sifat 'la yakhafuna fillahi laumata la'im' jelas terpancar dalam setiap tutur kata dan tindakannya. Mungkin pengaruh beliau terhadap beberapa tokoh seperti al-Syahid Imam Hasan al-Banna dan Ibn Taimiyyah yang telah membentuk jati diri beliau yang tidak gentar kepada sesiapa kecuali ALLAH!. Semoga Allah SWT mengurniakan lebih ramai al-Qaradawi di muka bumi ini..amin..(Untuk mendengar sedutan ucapan al-Qaradawi di PICC sila lihat site sebelah kanan di bawah tajuk ucapan al-Qaradawi)
Read more >>