Ahad, 20 Disember 2009

CERAMAH PERDANA SYEIKH AL-QARADAWI DI MASJID NEGERI SHAH ALAM






Penulis sebenarnya agak terkejut, kerana sepanjang menguruskan kedatangan Syeikh al-Qaradawi (SQ) ke Malaysia, penulis tidak pernah diberitahu oleh setiausaha akademik beliau, Syeikh Waleed bahawa SQ akan menghadiri majlis lain selain daripada majlis yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Syeikh Waleed hanya memaklumkan supaya dilanjutkan tempoh penginapan SQ kepada 1 hari lagi supaya SQ mempunyai 1 hari penuh untuk bertemu rakan-rakannya yang ramai di Malaysia. Perkara yang sama juga dinyatakan oleh SQ sendiri dalam surat balasan penerimaannya sebagai tokoh.


Mungkin yang dimaksudkan dengan bertemu rakan itu juga adalah termasuk menghadiri ceramah undangan Kerajaan Negeri Selangor malam tadi. Sebagai orang yang mengagumi keilmuan dan kesarjanaan SQ, penulis berkejar ke Shah Alam untuk mendengar apakah amanat ilmu yang bakal disampaikan oleh SQ. Walaupun sebenarnya penulis baru sahaja sihat daripada demam, kepala masih terasa berat, tetapi kerana merasakan inilah peluang menimba ilmu walapun hanya berbentuk talaqqi sepintas lalu. Yelah, SQ hanya berada sebentar di negara ini.



Pada malam ini (19/12/09), SQ memulakan ucapan tentang hubungan beliau dengan Malaysia yang telah terbina sejak tahun 1974 melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kemudian, beliau mula mengupas ibrah atau pengajaran yang dapat diambil daripada kisah Hijrah Rasulullah SAW. Pertama, nasrun minAllah (pertolongan daripada Allah yang menjelaskan Allah membantu Rasul-Nya menerusi tentera yang tidak dilihat), kedua, afdhal al-takhthith al-basyari (sebaik-baik perancangan manusia) adalah ketika Rasulullah SAW mengatur perancangan untuk melakukan hijrah, keempat, ta'sis al-mujtama' al-muslim (pembinaan masyarakat Islam di Madinah) dan kelima, kefasadan masyarakat Islam yang berpunca daripada golongan munafiqin yang membenci dan memusuhi Islam dari dalam termasuk mereka-reka fitnah dan sebagainya. Ucapan beliau disudahi dengan hadith al-ifki yang berlaku ke atas Sayyidatina A'isyah r.a.h. Kupasan beliau sangat-sangat menarik perhatian penulis dan bersifat 'hidup' dan menghayati zaman semasa, bukan sekadar mengucapkan hujjah dan dalil..


Dalam suasana di dalam masjid yang penuh keberkatan, dimulai dengan solat Maghrib yang dipimpin oleh SQ dan ditutup dengan doa penuh semangat oleh Syeikh al-'Allamah dan solat Isyak...ditambah dengan kehadiran ribuan jama'ah tanpa jemu dan setia mendengar (sehingga penulis sukar dpt parking!), tidak dinafikan majlis pada malam tadi sangat berjaya walaupun ianya tidaklah kelihatan 'exclusive' dan 'grand' pada pandangan sesetengah orang!!

Bagi penulis, ketepikan unsur-unsur politik yang cuba dimasukkan atau dicucukkan oleh orang tertentu kepada SQ..tetapi ambil lah ilmunya yang masak ranum itu..ingatlah 'mujalasatul ulama' itu satu rahmat daripada Allah SWT..semoga dengan ketokohanam Maulana al-Syeikh, dua fahaman politik yang berbeza pun akan dapat disatukan jua...Wallahu a'lam...(Sila lihat site sebelah kiri 'ucapan al-Qaradawi' untuk download doa syeikh dan sedutan ucapan syeikh)