Ahad, 8 Mei 2011

Mufti Mesir seru Ahli Sunnah bersatu

Syeikh Dr. Ali Jum'ah, Mufti Mesir mengambil langkah baru yang bertujuan untuk menghidari apa yang disebut sebagai bencana akibat konflik antara aliran Islam. Oleh itu, Dar al-Ifta' al-Misriyyah (Lembaga Fatwa Mesir), organisasi yang beliau pimpin, mengundang para tokoh dari pelbagai kumpulan Muslim untuk mengkaji program yang jelas untuk kebangkitan umat dan mengelakkan perkara-perkara khilafiyyah. Melalui program ini diharap akan terbentuk kesatuan kalimah dan maslahah untuk negara dan umat Islam.

Dar al-Ifta' menyeru pentingnya kesepakatan untuk melaksanakan fatwa ulama ummah yang bersepakat bahawa sesiapa sahaja yang mengikuti salah satu daripada mazhab yang diiktiraf dari Ahli Sunnah wal-Jama'ah, maka dia seorang Muslim, yang tidak boleh dikafirkan dan diharamkan darahnya, kehormatannya serta hartanya.

Dar al-Ifta' juga menegaskan bahawa tidak boleh mengkafirkan dan memfasikkan penganut aqidah al-Asy'ariyyah dan sesiapa yang menganut tasawwuf hakiki serta penganut pemikiran Salafi yang sahih. Sebagaimana dilarang untuk mengkafirkan dan memfasikkan kumpulan lain dari umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya SAW, rukun Iman dan rukun Islam serta tidak mengingkari parkara yang lazim diketahui dari agama.

Dr. Ali Jum'ah juga menyebutkan kaedah yang diakui para ulama Muslim sepanjang zaman, bahawa, "Sesunggunya yang diingkari adalah hal yang disepakati (bahawa hal itu mungkar), dan tidak diingkari perkara yang diperselisihkan di dalamnya." Beliau menambah, "Jika kami memilih satu mazhab dari mazhab-mazhab yang ada atau kami bertaklid kepada salah satu imam dari para imam, maka saya tidak akan mengingkari saudara saya yang bertaklid kepada imam lain atau mazhab lain yang berbeza."

Wallahu a'lam.