Isnin, 24 Januari 2011

Islam UMNO perlu transformasi

Apabila MCA-BN mempolitikkan isu salam calon PAS di DUN Tenang. Penulis rasakan sudah sampai masanya Islam UMNO perlu ditransformasikan supaya benar-benar berpegang kepada agama Islam yang tulen. Penulis tidak peduli siapa yang menjadi sasaran kempen BN di Tenang, tetapi pemikiran yang dibawa berkenaan Islam memberikan imej yang salah terhadap agama Islam.

Bagi orang Islam yang rasional, isu sebenar bukan kerana BN mempertikaikan calon muslimat PAS tidak bersalam dengan lelaki bukan mahram atau memakai sarung tangan, tetapi isu sebenar adalah sejauhmana UMNO-BN faham dan berpegang kepada hukum Islam itu sendiri. Timbul juga persoalan, kefahaman Islam yang bagaimana ditanam oleh UMNO-BN terhadap rakan-rakan komponen di dalam BN sehingga mereka dilihat kurang mengerti tentang soal hukum-hakam dalam pergaulan sesama Islam dan bukan Islam.

Kalaupun sesetengah ahli politik UMNO-BN itu tidak begitu mengerti tentang Islam, ia tidak mengapa, tetapi bukankah di sana ada banyak pakar-pakar rujuk tentang Islam dalam kerajaan termasuk Penasihat Agama PM, Menteri (Agama) di JPM, Timb. Menteri (Agama) di JPM, para Mufti, JAKIM, IKIM, Ulama Muda UMNO dan lain-lain. Mungkin dengan arahan ringkas secara lisan atau sms sahaja, jawapan berkenaan apa jua persoalan agama boleh diselesaikan oleh orang-orang agama dalam agensi-agensi tersebut. Jadi, mengapa isu agama tidak dikembalikan kepada mereka yang dilantik oleh kerajaan sendiri?

Berbalik kepada isu salam, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi. Muzakarah telah memutuskan bahawa pada prinsipnya hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi adalah haram. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, ianya dibolehkan tetapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dijadikan budaya dalam masyarakat Islam.

Bagi penulis, isu-isu agama menjangkaui sempadan politik, jika sesuatu isu itu tidak memihak kepada fahaman politik anutan seseorang, maka dia wajib berkata benar dan bukan menyembunyikan yang haq semata-mata kerana mahu menjaga kepentingan politiknya.

Wallahu a'lam.