Khamis, 26 Ogos 2010

HAYATUSSOLEHIIIIN....

al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna mengimamkan solat 

Berkata Syeikh Abdul Hamid Kishk rahimahullah...

“Aku mengenalinya (al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna) seorang pendakwah, terkumpul padanya sifat-sifat orang soleh. Bermula dengan model yang baik (qudwah hasanah). Beliau berjaya melepaskan dirinya daripada dua ujian terbesar kepada pendakwah iaitu harta dan wanita. Ia sebagaimana kata-kata orientalis Noldkh Matt di bawah tajuk ‘Lelaki Rabbani’ (Rajul Rabbani): Beliau meninggal dunia dan tidak pernah kenyang dengan roti gandum, beliau meninggal dunia dengan penuh kemuliaan, beliau syahid ketika menyampaikan ucapan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim, beliau adalah antara Hamzah dan Ja’far.

Beliau seorang yang berani menegakkan kebenaran, tidak sekali-kali gentar dengan celaan yang mencela, seorang alim dan banyak membaca, menulis dan merumus. Seorang yang amat penyabar dan alim serta berhati tulus lagi ikhlas sepanjang masa.

Beliau adalah seorang lelaki al-Qur’an (rajulan Qur’aniyyan), jika kamu mendengarnya berkata-kata, kamu akan menyangka seolah-olah beliau sedang memegang al-Qur’an dengan tangan kanannya dan al-Sunnah dengan tangan kirinya. Seorang pemidato yang fasih dan beramal dengan apa yang dikatakan. Beliau mampu untuk mendidik jutaan bangsa Mesir...

Beliau memulakan dakwahnya tanpa ucapan, sebaliknya memegang mushaf al-Qur’an dengan tangan kanannya sambil berkata dengan upacannya yang masyhur: “Jalan bermula daripada sini”.

Dakwah Ikhwan Muslimun telah meliputi cahayanya ke seluruh Timur dan Barat. Seolah-olah Allah SWT inginkan supaya Islam dilaksanakan oleh penganutnya melalui dakwah ini. Lalu bertebaranlah pendokong dakwahnya ke seluruh Timur dan Barat seumpama air laut yang suci lagi menyucikan bumi daripada segala yang menjijikkan, najis dan kekotoran. Semoga Allah SWT merahmatimu wahai Imam, semoga Allah menyertakan kami denganmu dalam sebaik-baik keadaan”.