Ahad, 25 April 2010

TAWAR PROJEK WAKTU PILIHANRAYA, BUKANKAH IANYA RASUAH?

Wallahu a'lam, penulis bukanlah seorang mufti untuk berkata demikian, tetapi hati penulis cenderung untuk mengatakan ianya satu rasuah. Tiada projek akan ditawarkan pada hari-hari biasa, tetapi apabila menjelang pilihanraya terutamanya pilihanraya kecil, jentera parti kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan atau pembangkang akan turun dan berkempen dalam bentuk menawarkan projek tertentu. Lebih parah lagi, masing-masing akan 'mengugut' rakyat, jika mahu projek tersebut dapat dilaksanakan maka pangkah lah calon parti mereka.

Lihat sahaja pelbagai tawaran dan janji telah ditaburkan kepada rakyat Hulu Selangor. Tapi ingat! Tawaran dan janji itu hanya akan dapat diraih jika calon parti mereka menang. Jika kalah, maknanya tiada apa-apa akan diperoleh oleh rakyat di tempat tersebut kecuali menunggu pilihanraya lain sama ada kecil atau umum. Kadang-kadang ada rakyat yang sengaja mendoakan supaya ada YB mereka yang meninggal dunia supaya segala masalah mereka selama ini, segala tuntutan yang tak diendahkan, segala projek2 yang terbengkalai dan macam-macam lagi dapat ditunaikan atau sekurang-kurangnya diluahkan pada waktu pilihanraya. Al-maklumlah, kalau pilihanrajaya kecil, mana ada menteri kabinet yang tak turun padang...

Ketika berkursus di Mesir pada tahun lepas, penulis tanyakan persoalan ini kepada Profesor Ekonomi al-Azhar yang juga anggota Akadami Fiqh Islam Antarabangsa, beliau berpendapat ahli politik (terutamanya pihak parti pemerintah) yang menawarkan projek-projek pembangunan pada hari-hari menjelang pilihanraya telah mengamalkan rasuah politik yang dipanggil dengan risywah jama'iyyah. Menurut Dr. Muhammad Umar perkara ini juga berlaku kepada parti pemerintah di Mesir, kerana projek-projek tersebut tidak ditawarkan melainkan hanya pada waktu pilihanraya menjelang tiba.

Oleh kerana itulah penulis amat bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man jika sistem pilihanraya kecil seperti yang diadakan sekarang dihentikan kerana ia banyak membuka ruang untuk berlakunya rasuah. Sila baca laporan di bawah:

HENTIKAN SISTEM PILIHANRAYA KECIL-TUAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 16 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berpendapat sistem pilihan raya kecil (PRK) di negara ini wajar dihentikan dan diganti dengan pemilihan terus wakil dari parti yang telah menang pada pilihan raya umum (PRU).

Memberi pandangan melalui blognya, beliau berkata proses PRK yang diamal pada waktu ini sangat bercelaru sehingga menimbulkan kecaman dan kritikan pelbagai pihak.

"Bilamana berlaku sebarang kematian kepada wakil rakyat, maka apakah perlu diadakan pilihanraya semula bagi menggantikannya? Saya berpendapat bahawa parti politik yang memenangi pilihanraya umum berhak menamakan terus pengganti, sebagaimana yang dijalankan di negara jiran tanpa memerlukan pilihanraya kecil.

"Isu undi pos, sistem kawalan penggunaan jentera kerajaan dalam pilihanraya, isu rasuah dan sogokan, pengisytiharan pelbagai projek setelah pembubaran Dewan Rakyat, dan isu penggunaan media rasmi sebagai media kempen oleh parti pemerintah adalah antara pelbagai isu yang memerlukan kesungguhan dan ketegasan SPR bagi melahirkan keadilan dalam sistem pilihanraya di negara ini," tulisnya.

Selain pelanggaran peraturan, pilihan raya kecil juga ujarnya merupakan medan berleluasanya amalan rasuah apabila pelbagai janji ditabur dan jutaan peruntukan diluluskan.

Kesannya menyebabkan pengundi tidak lagi memilih wakil mereka secara tenang dan jujur, bahkan ianya banyak dipengaruhi oleh suasana pada hari pengundian.

"Rakyat digula-gulakan setiap kali PRK; sehingga ada kata-kata sinis “kalau inginkan pembangunan segera, doakan kematian wakil rakyat," tulisnya lanjut.

Selain itu, cadangan lantikan terus dari parti yang menang juga jelasnya mampu menyelesaikan permasalahan wakil rakyat lompat parti kerana kaedah itu memberi lebih kuasa dan hak kepada parti yang telah menang pada PRU.

"Saya berpendapat sebarang tindakan melompat parti, bermakna wakil tersebut telah hilang kalayakan sebagai wakil rakyat, dan kekosongan kerusi hendaklah diisi oleh parti yang memenanginya dalam PRU. Sistem pilihanraya di Malaysia yang menjadikan asas kepada parti bukan individu mesti diiktiraf dan dilayan secara adil," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, kewajaran mengadakan PRK tegasnya perlu dinilai semula atau negara beralih memikirkan kaedah baru yang mampu memnyelesaikan permasalahan tersebut.