Ahad, 9 Oktober 2011

Pandangan Liqa' Asatizah Berkenaan Bajet 2012

Liqa' Khas Asatizah (Ilmuan dan Pendakwah Islam Malaysia) pada 8 Oktober 2011 (Sabtu) telah membincangkan isu Bajet 2012 yg telah dibentangkan oleh YAB PM. Hasil perbincangan merumuskan seperti kenyataan berikut:- 
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang baru dibentangkan Jumaat. Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam bab agama, kami merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu, justeru kami duduk mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012.
Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.
Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.
Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion  bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Juga sabda baginda:-

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan  di antara beberapa peserta pertemuan  ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.

Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-
A) Sokongan sepenuhnya
Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-
  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4.  Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai  pesakit  luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21.  Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

B) Sokongan dan nota perhatian
Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
  1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem ‘tekonologi hijau’, selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran ‘carbon emission’ berlebihan kepada persekitaran.
  2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu  menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
  4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan ‘micro credit’, namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan..
  6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  7. SME ‘revitalization fund’ untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam
  8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak
  10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada) 

C) Komentar umum
Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-
  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang ‘outstanding’ pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
  4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali ‘import tax’ untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  10. ‘Green tax’ sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
  13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan ‘dosa’ ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh ‘membunuh’ kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (An Nisa:58)
Firman Allah juga :
Ertinya : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)
Sabda Rasulullah SAW:
Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad)

Dari kami untuk khidmat masyarakat,

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
Ustaz Dr. Maszlee Malik
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,
Ustaz Ramadhan Fitri Elias,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman
Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta
Dr. Mohd Nizam Barom

Read more >>

Khamis, 22 September 2011

Fatwa al-Azhar tentang isu berebut mayat

Bila baca isu rebut mayat yang terbaru (klik sini), teringat perbincangan penulis dengan Wakil al-Azhar (Timb. Syeikh al-Azhar) Syeikh Abdul Fattah 'Allam pada 2009 tentang isu perebutan mayat Islam dengan keluarganya yang bukan Islam. Kesimpulan daripada jawapan beliau adalah seperti berikut:


"Beliau berpandangan bahawa harus diserahkan mayat orang Islam untuk dikebumikan di perkuburan bukan Islam sebagaimana harus diserahkan mayat orang Islam kepada bukan Islam untuk diadakan ritual bukan Islam sekiranya ditakuti akan berlakunya perbalahan dan persengketaan besar antara umat Islam dan bukan Islam. Bagaimanapun mayat tersebut hendaklah diuruskan secara Islam terlebih dahulu spt dimandi, dikafan dan disolatkan. Beliau berhujah berdasarkan kaedah ‘al-dharar yuzal’ iaitu ‘bahaya dihilangkan’ dalam perkara yang melibatkan kepentingan umum. Namun, sekiranya tidak wujud sebarang masalah, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu wajib dikebumikan di perkuburan orang Islam dan tidak diadakan upacara ritual bukan Islam ke atas mayat orang Islam".

Untuk mendengar sendiri perbincangan antara penulis dengan beliau (dalam Bahasa Arab), sila download di sini
Read more >>

Isnin, 19 September 2011

Puak 'liberal' mula mencanang ideologi inklusif

Klik sini utk baca artikel penuh

Penulis tak pasti adakah ini reaksi terhadap ucapan PM pada malam 16 September 2011 lalu. Tapi penulis ada menulis di ruangan Berita Semasa (lihat scrolling layer sebelah kanan blog ini) sejurus mendengar ucapan PM, "Alhamdulillah pengumuman PM utk memansuhkan ISA dan beberapa akta lain memberi indikasi bhw kerajaan sekarang semakin terbuka @ 'inklusif',diharapkan 'orang-orang agama' dlm kerajaan sama ada Jakim, Jain, Jab. Mufti, pensyarah universiti dll berani menegur kerajaan secara berhikmah. Zaman secara berhikmah. Zaman mengampu, taat membuta tuli & kunci mulut sepatutnya telah berakhir.Jangan pula biarkan gol. non-muslim, puak-puak sekular & liberal shj yang mengambil kesempatan ini!"

Nampaknya ayat terakhir penulis itu benar-benar jadi kenyataan. Pada 18 September 2011, dua hari selepas ucapan PM sempena Hari Malaysia, ia telah mula disambut dengan interpretasi 'inklusif' puak liberal. Ironinya ia diterbitkan pula oleh kumpulan akhbar yang dikatakan lidah rasmi Melayu-Islam di negara ini. Kumpulan akhbar ini jugalah suatu ketika dahulu menghentam ucapan berbau liberalism dan pluralisme agama oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Akhbar itu adalah Kosmo! iaitu tabloid milik Kumpulan Utusan, akhbar Melayu-Islam 'yang dikatakan' paling garang dan paling ulung dalam menjunjung agama Islam dan idealisme Melayu.

Apa yang dimaksudkan ialah satu artikel diterbitkan Kosmo! di ruangan 'Akademi' tulisan Shaharom Tm Sulaiman (STS) bertajuk 'Menuju Islam Inklusif'.

Permulaan artikel ini sudah menggambarkan segala isinya, ia bermula dengan satu gambar jemaah wanita sedang bersolat sambil di bawah gambar tersebut terdapat kapsyen yang menyebut "syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam". Ayat yang diungkapkan ini, jika diungkapkan oleh STS beserta iktikad di dalam hati dan tanpa sebarang keuzuran spt jahil dll, maka ia merupakan kalimah kufur yang boleh membawa kepada murtad!

Dua kesalahan fatal yang dilakukan STS. Pertama, beriman kepada Allah dikatakan 'syarat' sedangkan ia adalah 'rukun'. Tidak mengerti beza antara 'syarat' dan 'rukun' menyebabkan STS membuat kesalahan yang kedua. STS menyimpulkan bhw beriman kpd Allah tidak semestinya ikut cara Islam. STS perlu faham, 'syarat' iaitu adanya sesuatu tidak semesti adanya sesuatu yg lain manakala 'rukun' pula iaitu tiadanya sesuatu menyebabkan tiadanya sesuatu yg lain. Bermakna kalau kita mengatakan beriman kepada Allah itu hanya 'syarat', dengan teori ini mungkin saja kita mengatakan sekadar beriman kepada Allah itu sudah memadai sebagai syarat adanya agama.

Tapi dalam konteks Islam, beriman kepada Allah adalah rukun bukan syarat. Bermakna, tidak beriman kepada Allah maka dikira tidak Islam. Bahkan memang tak dapat nak digambarkan bagaimana seseorang itu beriman kepada Allah (dengan cara yang benar) jika dia bukan seorang muslim. Maknanya, 'rukun' adalah sesuatu yang tidak boleh berpisah-pisah. Jika tiada, tiadalah sesuatu, jika ada maka adalah sesuatu itu. Jadi, sesuatu yang tidak tergambarkan, bagaimana mungkin keimanan kepada Allah boleh dipisahkan daripada Islam?

Seterusnya STS menulis dengan mengambil hujah pemuka-pemuka Islam liberal di seperti Nurcholis Madjid, Alwi Shihab, Fazlur Rahman, di samping turut menyelewengkan idea pemikir-pemikir Islam tersohor seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Ridha yang dikatakan telah berusaha untuk menunjukkan semangat inklusif.

Dakwaan kononnya Muhammad Abduh berpendapat bahawa "syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam" dan selanjutnya diperjuangkan oleh Muhammad Rashid Ridha adalah suatu kesilapan fakta. Mana mungkin seorang imam sehebat Syeikh Muhammad Abduh yang juga bekas Mufti Mesir, akan berpegang kepada fahaman inklusif versi pluralisme agama. Malah jika dibaca kitab terkenal beliau berkenaan aqidah iaitu 'Rilasat al-Tauhid', kita akan dapati bahawa Syeikh Muhammad Abduh memiliki pegangan aqidah Islam yang kukuh dan tulin. Beliau juga pernah menulis kitab 'al-Islam wa al-Nasraniyyah ma'a al-'Ilm wa al-Madaniyyah' yang menghuraikan pertentangan antara Islam dan Kristian serta pertembungan antara tamadun Islam dan Barat.

Sebenarnya apa yang disalahfahami oleh Alwi Shihab dan kumpulannya serta diikuti membuta tuli oleh STS adalah kefahaman terhadap konsep tauhid yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Syeikh Muhammad Abduh memaksudkan bahawa setiap nabi dan rasul dalam ajaran terdahulu membawa konsep tauhid yang sama seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perlu diingat bahawa ajaran terdahulu bukan langsung bermakna ajaran-ajaran agama yang telah diselewengkan sehingga melahirkan Kristian, Yahudi dan agama-agama lain, sebaliknya ia adalah ajaran-ajaran asal berupa wahyu Allah SWT yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Inilah hujjah yang sengaja disalahfahami oleh Alwi Shihab dan golongan liberal lain lalu disandarkan kepada Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain.    

Kesimpulannya, artikel ini WAJIB ditarik balik oleh pihak Kosmo! yang merupakan tabloid di bawah kelolaan Kumpulan Utusan. Ia telah menghina agama Islam yang suci dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan fahaman Islam liberal dan pluralisme agama. Jika tidak, selepas ini Kumpulan Utusan jangan bicara soal mempertahankan agama dan aqidah kerana mereka sendiri terlibat dalam menyebarkan fahaman Islam inklusif versi pluralisme dan liberalisme agama. Wallahu a’lam.

Read more >>

Khamis, 15 September 2011

Isu tokoh kemerdekaan yang kontroversi

Bila merenung perbalahan politik yang sedang berlaku, entah kenapa tiba-tiba penulis teringatkan rancangan “Law Kaana Bainanaa” (Kalaulah Nabi SAW bersama kita) terbitan Ustaz Ahmad al-Syuqairi.

Amat sedih, perbalahan politik yang berlaku, bukan lagi berkait soal dasar dan manifesto perjuangan, tetapi ia soal akhlak Islam yang digadaikan. Begitu mengharukan, orang-orang yang telah meninggal dunia turut dilibatkan oleh politikus yg rakus, hingga mereka menjadi mangsa dikeji, diperleceh, ditohmah, diungkit tanpa apa-apa keperluan darurat. Allahu Akbar! Dimanakah hilangnya akhlak Rasulullah SAW yang mulia itu? Jika diandaikan Rasulullah SAW bersama, bagaimanakah reaksi Baginda SAW terhadap perbuatan sebegini?

Tanpa mahu menyokong mana-mana parti, tanpa mengira daripada parti mana pun orang yang dicaci itu, jika dia telah meninggal dunia dan masyarakat bersaksi bahawa pada zahirnya dia seorang muslim ketika matinya, maka janganlah maruahnya dirobek-robek selepas kematiannya. Malah perkara ini ditegah dan dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda :
لا تسبوا الأموات فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“Janganlah kamu mencaci orang yang telah meninggal dunia, sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”. (Riwayat al-Bukhari)

Lihatlah bagaimana tarbiyah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda SAW mendengar orang yang hidup mencaci-maki orang yang telah meninggal dunia.

Al-Hafiz Imam Jalaluddin al-Sayuti dalam kitab al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith menukilkan daripada Ibn Sa’ad, Imam Ahmad dan al-Hakim yang mensahihkannya daripada Ibn Abbas, satu riwayat mengenai seorang lelaki yang telah mencaci bapa al-Abbas (mengenai kisah lampau). Dalam satu lafaz menyebut : (Lelaki tersebut) berkata kepadanya (al-Abbas), aku telah melihat Abdul Muttalib bin Hashim dan al-Ghaithalah, bomoh perempuan Bani Sahm, semoga Allah menghimpunkan kedua-duanya di dalam neraka. (Akibat sakit hati dengan perkataan itu) al-Abbas telah menamparnya. (Kabilah orang itu tidak berpuas hati lalu) mereka berkata, "Demi Allah, kami akan menamparnya seperti ia menampar saudara kami!" Hal ini diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW mengumpulkan kaum muslimin dan naik ke atas mimbar kemudian bersabda, "Siapa orang yang paling mulia di sisi Allah? Mereka menjawab: Engkau, ya Rasulullah! Lalu Baginda bersabda: "(Tahukah kalian) bahawa al-Abbas itu dariku dan aku darinya. Janganlah kalian mengumpat orang-orang yang sudah mati, lalu dengannya akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup".

Al-Sayuti juga mengeluarkan daripada Ibn Sa’ad dan al-Hakim juga telah mensahihkannya, satu riwayat daripada Ummu Salamah yang berkata : ‘Ikrimah bin Abi Jahal telah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa setiap kali dia melalui (jalan) di Madinah, diseru kepadanya : “Ini adalah anak musuh Allah”. Lalu Baginda SAW bersabda dalam khutbahnya : “Manusia itu ibarat logam, mana yang baik dalam jahiliyah, baik juga dalam Islam sekiranya mereka faham (beragama), maka janganlah kamu menyakiti seorang Islam kerana seorang kafir”.

Jika diteliti, kedua-dua riwayat di atas menunjukkan larangan Rasulullah SAW daripada mencaci orang yang telah meninggal dunia walaupun dia adalah seorang kafir. Baginda SAW menegah kerana perbuatan itu boleh membangkitkan kemarahan kaum keluarganya yang masih hidup. Bayangkan jika yang dicaci itu adalah seorang muslim yang sudah pasti berpeluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Lantaran itu Rasulullah SAW dalam hadith yang lain menyebut:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci maki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya adalah perbuatan kufur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut :

الأصل براءة الذمة

“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan, tanggungan dll)”.

Bagi penulis, memang tidak dinafikan, kemungkinan orang yang dicaci itu ada melakukan kesalahan dan kesilapan ketika hidupnya, tetapi dalam banyak keadaan, kesalahan dan kesilapan itu tidak dapat dipastikan, adakah ia disengajakan atau tidak? Apakah niatnya yang sebenar? Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Hal ini sama dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda SAW:

‏"‏يغزو جيش الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم‏"‏‏.‏قالت‏:‏ قلت‏:‏ يارسول الله، كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم‏!‏‏؟‏ قال‏:‏ ‏"‏يخسف بأولهم وآخرهم، ثم يبعثون على نياتهم‏"‏‏‏‏.‏

"Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi - menghancurkan - Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari tanah lapang lalu dibenamkan (dalam tanah) dengan yang pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya. (Aisyah bertanya): Saya berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, sedang di antara mereka itu ada para pedagang serta ada pula orang yang tidak termasuk golongan mereka tadi (yakni tidak berniat ikut menggempur Ka'bah?) Rasulullah SAW menjawab: Ya, semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka itu akan dibangkitkan mengikut niat masing-masing. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, hadith ini menunjukkan niat memberi kesan utama terhadap segala amalan yang akan ditimbang di hari akhirat kelak.

Bermakna, dalam membahaskan isu tokoh-tokoh kemerdekaan yg kontroversi “antara pejuang dan pengkhianat”, penulis lebih cenderung untuk mengembalikan urusan mereka yang terlibat kepada Allah SWT. Tiada yang mengetahui niat sebenar mereka itu kecuali Allah SWT. Silap jika kita mengatakan sejarah boleh membuktikan segala-galanya, bahkan tidak! Ini kerana sejarah itu catatan manusiawi yang tidak pernah luput dari salah dan silap. Tetapi petunjuk wahyu dan hikmah rasul itulah yang sepatutnya menjadi rujukan setiap muslim.

Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni semua pejuang kemerdekaan beragama Islam tanpa mengira siapa dan apa partinya. Diulangi sekali lagi sabda Rasulullah SAW:

...فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“…sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 118:

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, jika Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”.

Al-Fatihah buat semua mereka.

Wallahu a’lam.
Read more >>

Selasa, 13 September 2011

Haramkan rancangan satanist 'Criss Angel Mindfreak' di NTV7!!

Klik di sini untuk melihat promo Media Prima
Lebih kurang pukul 9 malam tadi, penulis menerima sms tentang sebuah rancangan ala silap mata di channel NTV7 berjudul "Criss Angel Mindfreak". Apa yang mengejutkan rancangan ini bukan cerita silap mata biasa tetapi ia adalah sebuah persembahan ilmu sihir yang menjadi amalan golongan satanism (penyembah syaitan) yang menganut faham illuminati @ freemasonry. Jelas pada tubuhnya menggantung simbol salib dan simbolnya sendiri 'angel' yang berasal usul daripada simbol anarchy yang berasal usul pula daripada simbol pentagram yang merupakan occultic symbol bagi penganut freemason.

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan pula adalah jelas merupakan perbuatan sihir yang diharamkan oleh Islam dan amat tidak wajar sekali ia dipertontonkan dalam sebuah negara Islam. Antaran persembahannya seperti membuat ramalan nombor ekor dgn tepat, mengubah kedudukan sesuatu benda, terbang ke atas, meneka sesuatu dengan tepat dan lain-lain. Semua ini dilakukan dalam keadaan simbol-simbol keagamaan tadi tergantung pada lehernya. Malah Criss Angel sendiri menjadi kontroversi di kalangan penganut Kristian kerana cuba menggambarkan dirinya sebagai Jesus (Nabi Isa). Ini boleh dilihat dalam beberapa percubaan sihir beliau untuk melakukan apa yang dikatakan sebagai perbuatan mencarik adat Jesus. Sila lihat pembongkaran yang dibuat oleh blogger Kristian di ini.

Oleh itu, dengan tegasnya, penulis memohon seluruh umat Islam supaya mendesak Media Prima menarik balik rancangan yang berpaksikan amalan satanism ini. Bahkan ia sewajarnya diharamkan daripada ditayangkan di negara ini sama sekali dan mana-mana media yang menayangkan rancangan seumpama ini, WAJIB dikenakan tindakan yang tegas! Sesungguhnya membiarkan rancangan begini ditayangkan bermakna kita bersikap dayus dalam memelihara Islam dan umatnya khususnya generasi baru spt kanak-kanak dan remaja serta mereka yang lemah pegangan agama.

Wallahu a'lam.
Read more >>