Jumaat, 11 Disember 2015

G25 : ANTARA KEEGOAN DAN KEJAHILAN BERAGAMA

Jika dulu pemegang amanat, kini pula menjadi pengkhianat? Demikianlah luahan yang hampir terungkap buat segelintir bekas pemegang jawatan tertinggi penjawat awam. Gelagat seumpama itu tidak hairan jika terlihat pada seorang rakyat marhaen biasa.

Namun ia luar biasa jika terzahir daripada seorang bekas pegawai tertinggi kerajaan pusat! Kenapa sampai begitu sekali tindak tanduk kelompok yang dikenali G25 itu?

Bukankah suatu ketika dahulu, mereka itulah kumpulan tertinggi dalam perkhidmatan awam yang bertanggungjawab mempertahankan kedudukan istimewa Islam sebagaimana yang terserlah melalui sumpah jawatan Yang di Pertuan Agong (YDPA) [Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan].

Berdasarkan peruntukan tersebut, YDPA mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memelihara Islam pada setiap masa di negara ini. Justeru, tugas dan tanggungjawab ini turut terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dalam menjalankan fungsi eksekutifnya. Oleh itu, sekian lama mereka menjadi pelaksana kepada fungsi eksekutif YDPA, mengapa kini mereka mula beralih arah?

Perlu diingat, memelihara agama Islam di peringkat pusat bukanlah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semata-mata. Di mana pun posisi pegawai kerajaan pusat itu, Islam wajib sentiasa dijunjung dan dipelihara demi merealisasikan sumpah jawatan YDPA.

Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah agama bagi Persekutuan. Dengan kata lain, Islam adalah agama yang memerintah. Perlembagaan tidak pernah mengatakan Islam adalah agama rasmi yang membawa erti sekadar untuk adat istiadat dan upacara rasmi.

Tuduhan kelompok G25 bahawa Perlembagaan Persekutuan kian tergugat dek kerana pelaksanaan undang-undang syariah yang semakin menyerlah, persis kacang lupakan kulit. Adakah G25 sudah lupa asal usul kejadian Perlembagaan Persekutuan itu?

Adakah di Tanah Amerika ia dihasilkan atau di Tanah UK ianya dilahirkan? Jawapannya tentu tidak, bahkan di Tanah Melayu ia dimuktamadkan, bumi keramat nenek moyang bangsa Melayu Islam sejak zaman berzaman.

Seburuk-buruk bangsa penjajah yang menjajah, mereka masih bertoleransi akan dua kekeramatan bangsa Melayu. Itulah raja dan agama. Tidak diabaikan sama sekali, ia kekal termaktub kukuh dalam Perlembagaan Negara. Bukti bahawa bumi ini punya sejarah, tradisi, budaya dan agamanya yang tersendiri.

Kewujudan Empayar Melayu Melaka dengan segala kehebatannya amat berkait rapat dengan pelaksanaan hukum-hakam Islam oleh para pendakwah. Pemerintah Melaka amat menghormati ajaran Islam dan menjadikan istana sebagai pusat perkembangan Islam.

Malah peranan Islam begitu penting di zaman itu hingga disyaratkan seseorang yang menjawat jawatan tertinggi dalam pentadbiran di Melaka, hendaklah mengetahui dan memahami Hukum Kanun Melaka.

Hukum Kanun Melaka pula tidak lain mengandungi Undang-undang Jenayah ‎‎(meliputi qisas, hudud, ta‘zir dan diyah), Undang-undang Muamalah, Undang-undang Keluarga, Undang-undang Keterangan dan Acara, syarat-syarat menjadi pemerintah serta tanggungjawab terhadap pemerintahan.

Selain daripada Undang-undang Melaka terdapat beberapa teks undang-undang Melayu-Islam lama seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Sembilan Puloh Sembilan Perak, Undang-undang Sungai Ujong dan Undang-undang Johor.

Berdasarkan kenyataan ini, amat jelas bagaimana kedudukan Islam dalam masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah. Islam telah menjadi agama yang mentadbir negara dan bukan sekadar diamalkan secara individu semata-mata.

Inilah hakikat bumi tempat lahirnya Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan lahir di Amerika, UK, atau Australia yang beracuan demokrasi liberal Barat. Ia lahir daripada rahim Tanah Melayu yang telah sekian lama disemai oleh sistem beraja dan perundangan Islam.

Justeru, di mana warasnya kenyataan G25 apabila mengatakan Perlembagaan Persekutuan semakin digugat dengan pelaksanaan undang-undang syariat? Bukankah semakin meluasnya pelaksanaan syariat, ia indikasi semakin terlerainya belenggu pemikiran penjajah dalam menafsirkan Perlembagaan? Ia bagaikan sirih pulang ke gagang!

Menurut ‎Prof. Ahmad Ibrahim, oleh kerana perkataan “Islam” dan bukan “ugama Islam” yang digunakan dalam Perkara 3, bolehlah dihujahkan bahawa apa yang dimaksudkan ialah Islam sebagai cara hidup iaitu Islam sebagai “al-Din”.

Malangnya kelompok G25 itu seakan-akan sengaja tidak mahu memahami hal ini. Malah mereka beralasan undang-undang syariah yang diamalkan di negara ini mencampuri urusan peribadi seseorang. Ia dikatakan pencabulan terhadap hak asasi manusia yang juga pencabulan terhadap Perlembagaan.

Dalam surat terbuka G25 pada 2014, mereka mengatakan, “Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia. Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat.

Terbaru, mereka mengusulkan secara terang-terangan agar peruntukan kesalahan khalwat yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri dibuang.

Lebih ekstrem lagi, terdapat pandangan dalam kumpulan tersebut yang mahukan JAKIM dimansuhkan terus. JAKIM dituduh banyak mencampuri hal peribadi keislaman seseorang yang disifatkan “dosa peribadi.”

Soalnya, benarkah dakwaan G25 bahawa institusi seperti JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) mencampuri “dosa peribadi” seseorang?

Bagi menjawab kekeliruan ini, analogi paling mudah difahami bagi seorang bekas pegawai tinggi perkhidmatan awam adalah dengan mengambil “Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)” sebagai perbandingan.

Bukankah banyak perkara bersifat “dosa peribadi” yang dilarang dalam peraturan tersebut? Seseorang penjawat awam wajib berpakaian mengikut etika berpakaian yang ditetapkan. Adalah suatu “dosa peribadi” jika mereka berpakaian sesuka hati seperti bersinglet, baju-T lengan pendek tanpa kolar, berseluar atau berskirt pendek dan sebagainya.

Dalam peraturan 4(2)(d), seseorang pegawai awam tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan/mencemar nama baik perkhidmatan awam. Antaranya, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, kesusahan berat kerana hutang, melakukan gangguan seksual dan menjalankan hubungan sulit dengan isteri/suami orang walaupun di luar waktu bertugas.

Semua ini adalah “dosa peribadi” yang dianggap satu kesalahan dalam perkhidmatan awam. Namun, tidak pula kedengaran semasa dalam kerajaan, ada individu-individu dalam G25 itu yang menentang peraturan tersebut atas dasar mencampuri kehidupan peribadi seseorang.

Jika “dosa peribadi” yang terkandung dalam peraturan perkhidmatan awam itu boleh diterima, mengapa pula “dosa peribadi” seperti yang terkandung dalam undang-undang syariah tidak boleh diterima? “Double standard” apakah ini?

Jika dalam perkhidmatan awam, kita boleh bercakap soal imej, soal memelihara nama baik jabatan yang diteraju, kenapa pula dalam soal beragama kita tidak boleh bercakap soal yang sama?

Adakah agama ini tidak perlu dijaga dan dipelihara? Persetankan sahaja soal agama ini? Biarkan saja seseorang beragama dengan cara yang dia suka. Menjadi gay, lesbian, biseksual, atau transeksual. Biarkan mereka berjudi, minum arak atau berzina. Biarkan mereka masuk Hindu, Buddha atau Kristian. Biarkan. Itu semua “dosa peribadi”. Jangan dikanunkan “dosa peribadi”.

Jangan kita menjadi hipokrit semata-mata kerana kejahilan memahami agama yang suci ini. “Dosa peribadi” yang kita faham itu jangan dinilai dengan akal semata-mata. Jangan diukur “dosa peribadi” itu dengan ukuran hak asasi manusia pada mata Barat.

Jika tidak, maka jadilah “dosa peribadi” itu soal remeh temeh. Urusan individu yang mutlak tanpa ada kena mengena dengan tanggungjawab pemerintah.

Ketahuilah betapa banyak kaum dan bangsa di bumi ini yang dihancurkan Allah s.w.t akibat “dosa peribadi” yang berleluasa. Lihatlah kaum Luth dihancurkan Allah s.w.t atas perbuatan liwat yang dilakukan. Perhatikan bagaimana kaum ‘Ad, Thamud dan Madyan dibinasakan Allah s.w.t kerana menentang ajaran para nabi a.s.

Sedangkan semua itu jika ditimbang dengan neraca hak asasi manusia Barat, ia bukanlah “dosa” sama sekali. Bahkan hak asasi yang perlu dipertahankan dan ditentang segala musuh-musuhnya.

Bagaimana mungkin seseorang yang jelas worldview Islamnya akan memandang perkara maksiat dengan kaca mata hak asasi Barat. Kecuali jika pemikiran seseorang itu telah rosak diracun liberalisme Barat atau terjangkit faham sekuralisme dalam hidup bernegara.

Ingatlah, Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Antara tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu, tersebar kejahilan, diminum arak dan terzahirnya pezinaan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menegaskan, “Kelak akan ada di kalangan umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alatan muzik.” (HR al-Bukhari)

Hadis-hadis ini mengisyaratkan bagaimana parahnya keadaan umat di akhir zaman apabila maksiat semakin berleluasa.

Dari sinilah datangnya tanggungjawab pemerintah. Allah s.w.t sendiri yang meletakkan tanggungjawab menjalankan amar makruf nahi mungkar ke atas pemerintah yang berkuasa. Firman-Nya,

Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Bererti apa yang kita lihat pada hari ini seperti JAKIM, JAIN, enakmen dan akta berkaitan syariah, semua itu adalah terjemahan kepada melaksanakan perintah Allah s.w.t tersebut. Jika pun ada kelemahan daripada sudut teknikal pelaksanaan atau pentadbiran, jangan pula sampai menafikan asas-asas kewujudannya.

Segelintir orang sering memandang “allergic” kepada golongan agama. Dikatakan golongan agama itu kolot, jumud dan tidak tahu mengurus. Namun, bila wujud institusi seperti JAKIM yang bertanggungjawab mengurus agama secara profesional, disaran pula agar dihapuskan.

Apa isu sebenarnya, mereka ini anti agama atau anti orang dan institusinya? Jika orang dan institusinya, maka tiada bezanya dengan sekalian institusi kerajaan yang lain. Tiada institusi yang sempurna selagi yang mentadbirnya adalah manusia. Tetapi jika agama yang mereka antikan, maka institusi agama sehebat manapun mereka pasti akan menentangnya.   

Dalam isu khalwat, biarpun mungkin ada kelemahan dalam kes-kes tertentu. Jangan sampai menafikan keabsahan kesalahan tersebut dari sudut syarak dan tanggungjawab kerajaan melaksanakan siyasah syar’iyyah.

Jangan disamakan tangkapan khalwat dengan mengintip atau mengintai kesalahan orang lain (tajassus). Jelas termaktub dalam prosedur tangkapan khalwat, seorang Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadiran kepada orang yang disyaki atau mana mana orang yang berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau waran geledah. Apakah ini dinamakan mengintip?

Bahkan cara seumpama ini dapat menyekat daripada orang yang belum melakukan maksiat, membatalkan niatnya, atau yang sedang melakukan maksiat memberhentikan maksiatnya. Ini disebut mencegah maksiat, bukan mengintip maksiat.

Hal ini memang dituntut oleh syarak, ia bukan mencari-cari kesalahan, tetapi bertindak berdasarkan aduan masyarakat sekeliling yang melihat kemungkaran lalu disampaikan kepada pihak berkuasa. Ia bertepatan dengan konsep siyasah syar’iyyah dalam pemerintahan negara.

Al-Imam al-Mawardi menjelaskan dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, “Maksiat yang sekiranya dibiarkan, akan berlaku satu pencerobohan dan pencemaran terhadap maruah dan kehormatan yang akan terlepas daripada disekat dan dihalang. Misalnya, sekiranya seseorang yang dipercayai membuat aduan kepada penguatkuasa tentang seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki lain untuk membunuhnya. Maka penguatkuasa dalam keadaan ini boleh membuat intipan dan berusaha untuk membongkar, menyiasat dan menyelidiknya untuk mengelak daripada terluputnya usaha menyekat dan menghalang pencerobohan terhadap kehormatan dan melakukan perbuatan yang haram. Begitu juga dengan penguatkuasa yang sukarela (yang tidak dibayar gaji), boleh juga melakukan pembongkaran dan penyiasatan serta memungkirinya.”

Kesimpulannya, kelompok G25 itu ibarat orang berjalan yang melangkah ke belakang. Semakin berjalan semakin menjauh ke destinasi yang dituju. Walhal semakin kuat pelaksanaan Islam di negara ini, semakin dekat kita dengan seruan Allah s.w.t “Baldatun toyyibah wa rabbun ghafur” (Negara yang baik, Tuhan Yang Maha Pengampun).

Secara fitrah, semakin berumur individu muslim itu, semakin lentur hatinya untuk mendekati Tuhan. Itulah kebijaksanaan yang sebenar. Bukan terus bergelumang dengan ego kedudukan tinggi dan pangkat besar yang pernah dimiliki.

Ingatlah sabda Nabi s.a.w, “Orang yang paling bijaksana adalah orang yang sentiasa memuhasabah dirinya serta beramal untuk bertemu Allah selepas kematiannya. Sedangkan yang kurang bijak adalah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (HR al-Tirmizi).

Wallahu a’lam.



Read more >>

Isnin, 19 Oktober 2015

ONCE UPON A TIME IN IRAN

Setelah sekian lama, baru berkesempatan menulis alkisah ini…

Saya membayangkan bahawa saya tidak mungkin akan sampai ke Iran. Masakan tidak, saya dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar tidak ke sana. Amat dibimbangi jika nama saya telah disenaraihitamkan oleh kerajaan Iran memandangkan kelantangan menolak kehadiran Syiah di Malaysia. 

Bagi saya, tiada apa yang ditakutkan, saya bukannya mencampuri urusan dalaman Iran, sebaliknya isu Syiah adalah urusan dalaman @ domestik negara kita. Tidak sepatutnya negara luar seperti Iran, Iraq atau mana-mana pihak lain campur tangan.  

Sebagai seorang yang pernah bertugas di Bahagian Penyelidikan JAKIM, saya bukan hanya mengkaji Syiah, tetapi juga ajaran-ajaran dan aliran-aliran pemikiran sesat yang lain. Cuma, Syiah adalah salah satu daripada lima ajaran sesat tegar yang disenaraikan oleh pihak JAKIM. Tegar bermaksud sesuatu ajaran yang telah pun difatwa, diwarta dan diambil tindakan, namun ia masih wujud dan menyebarkan ajarannya.

Takdir Allah SWT, saya sampai juga ke Iran. Bukan sebagai "penyelidik" tetapi atas satu tugasan yang lain. Lebih mengujakan, kehadiran saya bersama rombongan negara lain disambut meriah dan diberikan layanan agak istimewa oleh kerajaan Iran. Syukurlah kerana saya “selamat” pergi dan kembali.

Ke memorial Khomeini

Di hadapan perumahan Khomeini
Setelah ditempatkan di dalam sebuah hotel yang agak mewah, saya sempat melabuhkan badan di atas katil. Urusetia kerajaan Iran mengatakan, pada hari pertama kami di sana tiada sebarang program diatur kecuali taklimat program yang hanya akan diadakan pada sebelah malam. Bermakna, kami yang mendarat sejurus masuknya waktu Subuh di Tehran mempunyai masa rehat yang agak panjang sementara menunggu taklimat program pada sebelah malamnya.

Namun, semua itu sekadar janji manis urusetia kerajaan Iran, kira-kira jam 3.00 petang kami dikerah untuk turun ke lobi hotel. Sesampai di lobi, bas-bas telah bersedia untuk bergerak. Semua delegasi dalam keadaan terpinga-pinga. Program apakah ini? Ke manakah ingin dibawa? Mengapa tidak termaktub di dalam jadual program? Sepanjang-panjang perjalanan dalam bas, soalan ini bermain-main di dalam fikiran kami.

Apabila sampai ke destinasi, tahulah kami bahawa rupa-rupanya kami akan dibawa “mengadap” bekas kediaman pencetus dan pemimpin tertinggi Revolusi “Islam” Iran iaitu Khomeini. Di sisi penganut Syiah Iran dan seluruh dunia, ia digelarkan Ayatullah al-‘Uzma al-Imam Ruhullah Musavi al-Khomeini. Maaf, oleh kerana saya bukan penganut Syiah dan membenci ajaran Syiah kerana Allah, maka saya hanya menggelarkan makhluk itu sebagai Khomeini. 

Dlm bilik Khomeini
Memang bagi orang yang hanya menggunakan kaedah, “Judge the book by its cover”, akan mengatakan, “Wah! Hebatnya Khomeini! Seorang ketua negara, tetapi hidup dengan begitu sederhana sekali!”. Malangnya saya bukan jenis seperti itu. Bukan cara saya menilai seseorang hanya pada rupa luarannya. Tetapi saya diajar, lihatlah pada pemikirannya. Kaji sedalam mungkin!

Dan Khomeini, sepanjang saya melawat kediamannya termasuk memorial yang menempatkan segala kisah hidup, perjuangan dan legasi ilmu peninggalannya, ia langsung tidak menjadikan saya tertarik. Mungkin setelah membaca karya-karyanya khususnya apa yang menyentuh akidah Islam dan para sahabat, ia menyebabkan saya benar-benar tawar hati dengan manusia yang bernama Khomeini itu.

Potret besar dlm Dewan Khomeini
Cuma agak menyedihkan, ada ulama sunni yang turut serta dalam delegasi tersebut, apabila diminta menyatakan pandangannya tentang Khomeini, nampaknya puji-pujian beliau terhadap Khomeini tidaklah kurang walau sedikitpun daripada pendewaan yang telah diberikan oleh Mullah Syiah yang menjadi pelayan tetamu di Dewan Khomeini. Saya terfikir, inilah cara Syiah menyebarluaskan dakyahnya ke rantau sunni. Salah satu daripadanya adalah mengujudkan rasa takjub dan kagum terhadap keperibadian dan perjuangan Khomeini.

Kaya dengan qasidah & selawat 

Aspek paling menarik untuk dikongsikan adalah ketika majlis dot dot dot dilangsungkan. Memang kemeriahannya tak dapat dinafikan. Saya masih ingat guru saya mengatakan, kelebihan orang Parsi adalah pada tubuh dan suaranya. Orang Parsi memang "dahsyat". Bukan sahaja rupawan, tetapi suaranya amat mantap sekali. Saya fikir, Majlis Maulid atau Ya Hanana yang sering menampilkan para habib dari Indon dan Yaman itu pun amat jauh sekali untuk menandingi qasidah-qasidah selingan yang disampaikan oleh mereka. 

Selawat Syiah ditemui dlm sebuah surau di Tehran
Sebab itu saya katakan, Syiah adalah firqah No. 1 dalam soal menampilkan aksesori-aksesori atau hiasan-hiasan bersalut Islam. Pantang disebut nama Rasulullah SAW, sudah pasti dewan akan bergema dengan selawat mereka. Cuma setiap selawat pastinya akan disertai dengan doa agar dipercepatkan kemunculan Imam Syiah ke-12 iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari dan para imam yang lain dengan ungkapan “Allahumma ‘ajjil farajahum”. 

Qasidah-qasidah yang ditampilkan semuanya bertema mendewa-dewakan Ahlul Bayt @ ahli keluarga Nabi SAW hingga ke peringkat memaksumkan mereka.

Kononnya “umat Islam dari seluruh dunia”

Paling melucukan, apabila penganjur mengatakan program ini mewakili semua umat Islam daripada seluruh negara di dunia. Namun, apabila disemak dengan setiap delegasi, rupa-rupannya  kebanyakan mereka itu adalah penuntut di Mustafa International University, Qom. Bererti mereka semua adalah penganut Syiah. Malah salah seorang peserta yang sempat disapa oleh saya, apabila ditanya di manakah asalnya? Dia menjawab, “Arab Saudi”. Dalam hati saya mengatakan, "Oh, salafi pun ada join program ni?"

Namun, setelah ditanya dari daerah manakah di Arab Saudi, lantas dia menjawab dari wilayah Qatif. Apabila mendengar Qatif, saya lalu bertanya adakah anda penuntut di Mustafa International University, Qom. Dia mengiyakan jawapan saya. Ini bermakna, peserta dari Arab Saudi ini juga penganut Syiah, kerana Qatif adalah wilayah majoriti Syiah di Arab Saudi. Hal yang sama juga bagi peserta-peserta dari Denmark, Bahrain, Iraq, Amerika, Belgium, Sri Lanka, Afrika Tengah, Australia dll. Semuanya Syiah! Jadi, apalah ertinya jika menjemput wakil umat Islam dari seluruh dunia, sedangkan yang dijemput hanyalah rakan sesyiah mereka!

Perpustakaan Negara, Tehran

Dlm perpustakaan Iran
Antara tempat yang sempat dikunjungi juga adalah Perpustakaan Negara Iran di Tehran. Antara tempat yang dilawati ketika di perpustakaan adalah naskhah al-Quran gergasi yang terdapat di ruang masuk. Kedua, bahagian manuskrip yang menempatkan pelbagai kitab turath dan mashaf al-Quran yang berusia ratusan tahun. 

Ketiga, bahagian majalah, yang menempatkan ribuan jilid majalah terutama yang melaporkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan perjalanan revolusi Iran dari dahulu hingga kini. Keempat, bahagian koleksi pelbagai yang menempatkan gambar-gambar, dokumen tulisan tangan, album, cakera padat dan lain-lain mengenai negara Iran dan kepimpinannya. Sekali lagi, segala dokumen mengenai Revolusi Iran menjadi khazanah paling bernilai dalam perpustakaan ini.

Makam Khomeini, Tehran


Pintu masuk kubur Khomeini
Selama ini saya menyangka hanya 2 tempat sahaja di dalam dunia ini yang disebut sebagai Haram iaitu Haram Makkah dan Haram Madinah, yang mana kedua-duanya dikenali oleh umat Islam sebagai al-Haramayn. Kedua-dua tempat ini dikenali sebagai haram kerana terdapat hadis Rasulullah SAW yang merujuk kepadanya. Namun, apabila tiba sahaja di hadapan pintu masuk ke Makam Khomeini. Saya benar-benar terkejut! Terdapat di pintu masuk Makam Khomeini papan tanda yang menyebut Ila al-Haram al-Syarif atau Entrance of Haram. Rupa-rupanya, perkataan haram di Iran digunakan untuk merujuk kepada makam suci atau shrine dalam Bahasa Inggeris. Di hadapan bangunan pintu masuk makam pula tertulis perkataan Assalamualaika Ya Ruhallah (Salam sejahtera ke atasmu wahai Ruhullah). 

Kubur Khomeini ditabur dgn duit
Di dalam kawasan Makam Khomeini dilihat wang yang bertaburan dipercayai diletakkan oleh para pengunjung berfahaman Syiah bagi tujuan nazar atau memohon hajat. Para jemaah Syiah yang bersolat turut dilihat memberi salam sambil menghadap ke arah makam sejurus selepas menunaikan solat Zuhur. 

Kawasan di luar bangunan makam terdapat kawasan lapang yang amat luas dijadikan seperti taman rekreasi bagi memudahkan pengunjung bersiar-siar atau digunakan secara maksimum ketika ulang tahun hari kematian Khomeini disambut.

Makam Fatimah al-Ma'sumah, Qom

Tempat seterusnya yang saya kunjungi adalah kota suci yang juga pusat pengajian ilmu Syiah di dunia iaitu Qom. Agak menggelikan hati apabila pemandu warga Iran yang membawa kami bergurau dengan mengatakan isterinya bimbang bila mengetahui dia akan membawa tetamu ke Qom. Isterinya berpesan agar dia jangan sesekali melakukan nikah mut’ah di sana! (Nikah mut’ah iaitu pernikahan dengan akad kontrak untuk tempoh tertentu, tanpa perlu wali dan saksi) Rupa-rupanya nikah mut’ah sesuatu yang dibenci oleh warga Iran yang liberal, tetapi ianya leluasa diamalkan oleh para mullah Syiah di Qom. Mmmmm….

Antara tempat yang kami lawati di Qom adalah Makam Fatimah al-Ma'sumah. Fatimah al-Ma'sumah merupakan anak kepada Imam Syiah ketujuh Musa al-Kazim dan adik kepada Imam Syiah kelapan Ali al-Ridha. Makam beliau sentiasa dikelilingi para penganut Syiah yang menangis, meratap, bertafakur, berdoa dan bernazar sambil melemparkan wang ke dalam perkarangan makam. (Untuk makluman pembaca, para imam Alhul Bayt itu sebenarnya tiada kena mengena dengan Syiah)

Dlm Haram Fatimah al-Ma'sumah ini penuh dgn kuburan
ulama Syiah terpilih
Di dalam kawasan makam juga terdapat banyak kubur para ulama Syiah daripada dahulu hingga kini. Hanya kubur para ulama Syiah yang direstui oleh Pemimpin Tertinggi Iran sahaja yang akan dibenarkan untuk dikebumikan di dalam kawasan makam yang juga masjid Syiah ini.

Di dalam kawasan makam ini juga terdapat sudut-sudut yang dijadikan hauzah pengajian ajaran Syiah yang dihadiri oleh para penuntut daripada pelbagai bangsa. Dipercayai mereka ini adalah golongan yang bakal menjadi kader-kader Syiah (mullah) untuk meneruskan legasi ajaran Syiah di Iran dan seluruh dunia.
Seorang warga Indonesia yang belajar di Tehran memaklum bahawa bilangan pelajar Syiah Indonesia di Qom mencecah ribuan orang. Ya Allah, moga engkau selamatkan negara jiran kami, Indonesia daripada bahana kader-kader Syiah ini!!

Makam Musa bin Muhammad al-Jawwad, Qom

Musa bin Muhammad al-Jawwad adalah anak kepada Imam Syiah kesembilan. Dipercayai di sini terdapat lebih kurang 40 kubur ahli keluarga Musa bin Muhammad al-Jawwad yang dikatakan meninggal dunia akibat perbuatan khianat musuh-musuh mereka.

Lantai ini sebenarnya adalah perkuburan yg terletak
di luar perkarangan Makam al-Jawwad
Di luar perkarangan makam ini, kelihatan banyak kubur para penganut Syiah yang disamaratakan dengan lantai marmar sehingga menyebabkan para pengunjung terpaksa berjalan di atasnya untuk masuk ke dalam masjid. Bermakna, pijak kubur bagi Syiah adalah harus sedangkan Rasulullah SAW bukan kata memijak, duduk di atas kubur pun dilarang oleh Baginda.

Masjid Jamkaran, Qom

Masjid Jamkaran
Menurut golongan Syiah, masjid ini dipercayai dibina bagi mempersiapkan kedatangan Imam Mahdi Syiah iaitu Imam Syiah yang keduabelas. Menurut mereka, seorang ulama Syiah bernama Syekh Hasan bin Mitslih Jamkarani  telah bermimpi mendapat arahan daripada Imam Mahdi supaya membina masjid ini.

Setiap pengunjung Syiah yang pergi ke masjid ini dikehendaki untuk mengerjakan solat Imam Zaman sebanyak empat rakaat bagi memuliakan dan mensucikan masjid tersebut serta Imam Mahdi yang dikatakan memberi perhatian istimewa terhadap masjid tersebut.

Dipercayai masjid yang memiliki perkarangan luas ini didanai oleh kerajaan Iran berdasarkan dua potret besar  yang tergantung di luar pintu utama masjid iaitu Khomeini dan Khamanei.

Pengalaman beribadat di Iran

Antara perkara yang sukar untuk dilupakan adalah suasana beribadat di Iran. Apabila berada di Iran, saya merasakan ia jauh sekali berbeza ketika berada di negara-negara Islam Sunni yang lain seperti Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Qatar, Jordan dan sebagainya. Ia boleh dirasakan menjelang masuknya waktu solat. Saya merasakan amat sukar sekali untuk mendengar bunyi azan di sekitar tempat menginap dan ketika dalam perjalanan ke sesuatu tempat. 

Ia berbeza dengan suasana di negara-negara sunni yang amat mudah sekali untuk kita bertemu dengan masjid. Apatah lagi ketika masuknya waktu solat, kita akan mendengar bunyi azan bersahut-sahutan antara satu sama lain. Tapi di Iran, suasana ini amat sukar untuk dirasai, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan masjid di Iran hanya beroperasi pada waktu Zuhur, Maghrib dan Subuh. Kalaupun dibuka, ia mungkin disebabkan untuk memberi ruang orang ramai menziarahi makam tertentu yang terdapat di dalam masjid. 

Kebanyakan masjid pula dibina bukan untuk mendirikan solat jemaah dan Jumaat, tetapi lebih kepada untuk mengagungkan makam yang terdapat di dalam masjid tersebut. Sebab itu, ia lebih dikenali sebagai shrine (haram). Malah ia lebih banyak berbanding masjid yang betul-betul hanya untuk mendirikan solat.

Solat Jumaat hanya pilihan

Paling mengejutkan (walaupun saya sendiri telah mengetahuinya menerusi kajian), apabila pihak urusetia dengan selambanya membawa kami pergi makan tengahari ketika waktu solat Jumaat. Mungkin ia tiada masalah bagi kami yang sedang bermusafir, namun ia pelik bagi warga tempatan yang bermuqim untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Lebih mengejutkan, kaum lelaki Iran seperti tidak menghiraukan hari tersebut adalah hari Jumaat apabila mereka turut kelihatan memenuhi kawasan-kawasan membeli belah seperti kaum wanita.

Saya yang pada awalnya telah berkira-kira untuk menyaksikan sendiri bagaimana solat Jumaat didirikan di Iran, merasa betul-betul kecewa kerana walaupun telah termaktub dalam jadual "Friday prayer", namun rupa-rupanya ia sekadar ditulis sahaja. Seorang student Indonesia yang kami temui memaklumkan, bagi umat Islam Sunni yang bekerja di Iran, mereka terpaksa solat Jumaat sama ada di Kedutaan Indonesia atau Kedutaan Arab Saudi. Ini kerana tiada masjid sunni dibenarkan beroperasi di Tehran.

Bagi warga Iran pula, mereka diberi pilihan sama ada mahu mendirikan solat Jumaat atau tidak. Istilah yang digunakan, solat Jumaat adalah "wajib ikhtiyari" (wajib pilihan). Malah solat Jumaat hanya mula diadakan oleh kerajaan Iran selepas Revolusi 1979. Namun begitu ia didirikan secara terhad. Sebesar-besar Tehran, Jumaat hanya didirikan di Universiti Tehran sahaja dengan imam yang dilantik oleh Pemimpin Tertinggi Iran sekarang.

Kesimpulan

Bila berada di Iran, rasa diri ini benar-benar bertuah kerana ditakdirkan Allah SWT untuk tinggal di sebuah negara Sunni. Sungguh! Amat jauh berbeza pegangan dan amalan hidup kaum Syiah itu. Bahkan jelas kelihatan amalan Islam mereka itu jauh berbeza dengan apa yang terkandung dalam hadis-hadis Rasulullah SAW dan majoriti umat Islam di dunia.  

Azan dan solat berjemaah lima waktu penuh di masjid serta solat Jumaat di seluruh negara adalah SYIAR YANG HILANG di negara Iran. Ia belum lagi membahaskan bagaimana cara solat jemaah itu didirikan oleh mereka. Paling menghairankan, mereka mengajak kaum Sunni bertandang ke negara mereka atas slogan demi penyatuan Sunni & Syiah,  namun ketika solat jemaah didirikan mereka sendiri akan menolak berimamkan sunni sedangkan sunni mengerjakan solat musafir (jamak & qasar). Saya tertanya, jika Syiah itu jujur, apa salahnya mereka yang bermuqim mengikut imam yang bermusafir?

Sekadar perkongsian untuk kita fikir-fikirkan bersama.

Wallahu a'lam.
  













Read more >>

Isnin, 15 Jun 2015

JANGAN SIA-SIAKAN RAMADHAN…

Sempena Ramadhan yang bakal menjelang tiba eloklah kita saling bermuhasabah. Jangan sampai penat lelah kita beribadah di bulan Ramadhan nanti tidak dinilai apa-apa oleh Allah SWT. Ketahuilah bahawa di sana terdapat tiga perkara yang boleh menyekat segala amal ibadah kita. Tiga perkara itu adalah termasuk dosa-dosa besar yang amat penting untuk kita ketahui agar dapat dihindari sekaligus memastikan segala amal ibadah kita diterima dan tidak dinilai ‘zero’ oleh Allah SWT. Tiga perkara itu adalah seperti berikut:-

Pertama: Syirik kepada Allah SWT

Janganlah sekali-kali kita mensyirikkan Allah SWT dalam apa jua hal dan keadaan. Lebih-lebih lagi perbuatan yang kita lakukan tanpa disedari bahawa ia adalah syirik, sama ada ianya berpunca daripada kejahilan, menjadi adat kebiasaan atau desakan hidup. Antaranya seperti memakai tangkal dan azimat, membaca jampi serapah yang tidak diketahui sumber dan maknanya, mempercayai keramat sesuatu perkara, mempercayai ramalan bomoh tentang masa hadapan yang melibatkan untung nasib diri, mentaati tuntutan jin khadam, bernazar dengan selain Allah SWT, bersumpah dengan selain Allah SWT, menghalal apa yang diharamkan Allah dan mengharam apa yang dihalalkan Allah, riya’ dalam melakukan amal ibadah dan banyak lagi. Sesungguhnya kesemua kesyirikan ini boleh membawa kepada terbatalnya segala amal ibadah kita di dunia ini. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu”. (Surah Muhammad: 33)

Ayat ini memerintahkan supaya umat Islam tidak mempersia-siakan segala amalan kebaikannya dengan sengaja membiarkan diri terjebak ke dalam perbuatan syirik. Menurut Imam al-Razi, perkara yang membatalkan amalan di sini ialah melakukan kesyirikan. Ia berdasarkan firman Allah: “Sekiranya kamu melakukan syirik, maka gugurlah amalan kamu” (Surah al-Zumat: 65)

Kedua: Menderhaka kepada ibu bapa

Rasulullah SAW menganggap derhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman dalam ayat 8, surah al-‘Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Ia juga dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Qur’an bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Ibn Hibban dalam sahihnya juga meriwayatkan hadith bahawa, “Ridha Allah pada ridha kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa”.

Oleh itu jangan kita biarkan diri kita beribadah kepada Allah SWT pada bulan Ramadhan ini dalam keadaan kita tidak diredhai oleh Allah SWT. Mohonlah ampun dan maaf kepada kedua ibu bapa terlebih dahulu jika kita ada melakukan sebarang kesilapan sebelum kita memasuki bulan Ramadhan dan semoga kita diberi ‘istiqamah’ untuk terus berbakti dan berbuat baik kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW: “Amat malanglah, orang yang hidup bersama orang tuanya yang sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya, tapi tidak masuk ke dalam surga”. (Muslim)

Ketiga: Memutuskan silaturrahim

Firman Allah SWT, “Maka apabila kiranya kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituikannya telinga mereka dan dibutakannya penglihatan mereka”. (Muhammad: 22-23).

Diriwayatkan dari Jubair bin Muth’in r.a, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk surga seorang pemutus silaturrahim”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk. Setelah Ia selesai menciptakan makhluk, silaturahim berkata, ‘Ini adalah tempat seseorang meminta perlindungan dari-Mu dari perubatan memutus silaturahim (kekeluargaan).’ Allah berfirman, ‘Benar! Apakah kamu ridha Aku menyambung untuk orang yang menyambungmu dan aku memutuskan untuk orang yang memutuskanmu.’ Silaturahim menjawab, ‘Tentu ya Rabb.’ Allah berfirman, ‘Itu untukmu.’ Rasulullah saw. bersabda, ‘Jika kalian mau maka bacalah firman Allah, ‘Maka apabila kiranya kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan’”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, daripada Nabi SAW beliau bersabda, “Tali silaturahim merupakan penghubung-Ku, siapa yang menyambungnya maka Aku akan menyambungnya dan siapa yang memutusnya maka Aku akan memutusnya”. (Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Nabi saw, “Barangsiapa memutus tali kekeluargaan atau bersumpah palsu maka ia akan melihat akibat buruknya sebelum ia meninggal,” (Sahih, Silsilah Ahaadits ash-Shahiihah)

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a, daripada Nabi saw, “Tidak ada satu dosapun yang lebih Allah cepatkan hukumannya di dunia bagi si pelaku disamping siksaan yang menunggunya di akhirat nanti selain dosa berbuat aniaya dan memutuskan tali kekeluargaan” (Bukhari dalam Adabul Mufrad)

Amalan pemutus silaturrahim juga tidak diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Ia berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya segala amalan anak Adam dipersembahkan kepada Allah pada setiap petang Khamis malam Jumaat, maka tidak diterima amalan pemutus silaturrahim”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, semua rijalnya adalah thiqah dan dihasankan oleh al-Albani”.

Dalam hal ini penulis ingin mengambil kesempatan mengajak diri penulis dan semua blogger agar bertaqwa kepada Allah SWT. Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang memutuskan silaturrahim sesama muslim. Semoga percakapan kita, penulisan kita dan apa jua yang kita lontarkan dalam blog-blog kita tidak menjerumuskan kita ke dalam fitnah pemutus silaturrahim. Jangan kerana tuduhan-tuduhan dan label-label yang kita berikan kepada saudara se-Islam kita menyebabkan terputusnya silaturrahim antara mereka dengan saudara se-Islam-nya yang lain. Oleh itu berhati-hatilah dalam menulis atau menukilkan sesuatu. Wallahu a'lam.
Read more >>

Khamis, 23 Mei 2013

Ulasan "A Joint Appeal to Sunnis and Shias"

Sepanjang kami berdialog dengan Syiah Melayu Jadian, muqaddimah puak Syiah tidak pernah lekang dengan hujah-hujah mengajak perpaduan. Pelbagai fakta dikemukakan, fatwa Syeikh Mahmud Syaltut, Amman Message 2005 dan lain-lain. Sedaya upaya Syiah akan cuba mengelak daripada membicarakan hal berkaitan doktrin sesat mereka.

Tanpa semena-mena keluar pula kenyataan media Tun Dr. Mahathir bersama pihak Syiah yang dianjurkan oleh JUST World Movement. Saya yakin, perkara ini berlaku kerana Tun M dan JUST secara tidak sedar telah termakan dengan racun Syiah yang menyeru kepada perpaduan Sunni-Syiah. Inilah satu-satunya cara yang ditawarkan oleh pihak Syiah jika Sunni ingin menghentikan pertumpahan darah yang sedang berlaku antara kedua-dua belah pihak.

Berkenaan Tun M, saya sendiri cenderung untuk mengatakan Tun M bukan di kalangan mereka yang pro-Syiah, apa lagi memperjuangkan penyatuan Sunni dan Syiah. Malah, sebagai pegawai yang bertanggungjawab berkenaan isu-isu aqidah, saya mengetahui dengan jelas kronologi Syiah di Malaysia. Apa yang telah Tun M lakukan untuk menyekat kemaraan Syiah di Malaysia pada tahun 1997, selaku Menteri Dalam Negeri tidak pernah saya lupakan.

Namun begitu, secara politiknya saya tidak pasti apa strategi tersirat Tun M untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan bekas pemimpin Syiah Iran, sedangkan amat dimaklumi bahawa Iran adalah pendukung kuat rejim Basyar al-Asad dalam membantai dan menyembelih umat Islam Sunni di Syria. Saya fikir adalah lebih baik Tun M menasihati rakan Syiahnya itu mengenai isu Syria terlebih dahulu sebelum tergopoh gapah menandatangani kenyataan media yang dikeluarkan itu.

Ketika mengamati dan menganalisa kenyataan media penuh berjudul A JOINT APPEAL TO SUNNIS AND SHIAS yang ditandatangani secara bersama oleh Tun M dan Khatami, saya sudah dapat menghidu strategi licik puak Syiah. Seperti biasa isu penyatuan Sunni-Syiah yang sudah lapuk kembali didendangkan. Kononnya inilah satu-satunya jalan untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak yang didakwa saling bertelagah.

A Joint Appeal to Sunnis and Shias

We, the undersigned, are greatly saddened by the violence and bloodshed which have characterised Sunni-Shia relations over time. Thousands have been killed in feuds between the two, mostly in certain Muslim countries. It is tragic that many innocent women and children have been among the victims.

Sunni-Shia animosity and antagonism have clearly weakened the Muslim ummah. It has made us more vulnerable to the manipulations and machinations of outside elements determined to subvert the unity and integrity of the ummah. It has allowed those who seek to establish their hegemonic power over us to succeed in their objectives.

It is indisputable that Sunni-Shia antagonism and conflicts which have resulted in massacres have tarnished the image and dignity of the ummah in the eyes of the world. Few other occurences in recent times have had such a negative impact.

We appeal to all Sunnis and Shias, bound as we are by the same faith in Allah, guided by the same Noble Quran, honouring the same last Messenger of Allah, and facing the same Kiblah, to desist from massacring and the killing one another immediately.

NO MORE VIOLENCE
NO MORE BLOODSHED
NO MORE KILLINGS

The two of us – a former Prime Minister from a Sunni majority state, and a former President from an overwhelmingly Shia nation – also address this appeal to the Organisation of Islamic Cooperation (OIC) which represents all Muslims of whatever sect or doctrine. The OIC could perhaps set up a task force that will examine the Sunni- Shia divide in depth and submit concrete proposals for the political and religious leaders of the ummah to act upon.

We also appeal to sincere, concerned individuals and civil society groups from all over the world to join in this endeavour to stop the violence and bloodshed and to promote peace and understanding between Sunnis and Shias.

This joint appeal will be widely circulated mainly through the online media. We shall follow up on this appeal with other activities and programmes.

May Allah Subhanahuwataala guide us in all our humble efforts to serve Him.

Terjemahan (yang dikeluarkan oleh web Syiah Iran bahasa Indon)

Kami yang menandatangani di bawah, amat sedih dengan keganasan dan pertumpahan darah yang telah disifatkan sebagai hubungan Sunni dan Syiah dari masa ke semasa. Beribu-ribu telah terbunuh dalam perbalahan antara kedua-duanya dalam beberapa negara-negara Islam. Sungguh tragik apabila ramai wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa.

Perseteruan Sunni-Syiah dan pertentangan telah jelas melemahkan umat Islam. Ia telah menjadikan kita lebih terdedah kepada manipulasi dan elemen komplot asing yang berazam untuk menggulingkan perpaduan dan keutuhan ummah. Ia menyebabkan mereka yang berusaha untuk menubuhkah kuasa hegemoni ke atas kita telah berjaya dalam objektif mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa percanggahan dan konflik Sunni-Sunni telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai, yang telah mencalarkan imej dan maruah umat Islam di mata dunia. Beberapa kejadian kebelangan ini mempunyai impak negatif itu.

Kami merayu kepada semua Sunni dan Syiah, bersatupadu sebagaimana kita mempunyai iman yang sama kepada Allah, menelusuri pedoman dengan al-Quran yang sama, menghormati Rasul terakhir, sama-sama menghadap ke arah kiblat yang sama demi untuk berhenti dari pembunuhan besar-besaran dan saling memerangi antara satu sama lain.

Tiada lagi keganasan
Tiada lagi pertumpahan darah
Tiada lagi pembunuhan

Kedua-dua kami (Bekas Perdana Menteri dari negara majoriti Sunni, dan juga mantan Presiden negara majoriti Syiah) turut mengajukan rayuan ini kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mewakili seluruh muslim walau apa jua mazhab dan doktrin. OIC mungkin boleh menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji perpecahan Sunni - Syiah secara mendalam dan mengemukakan cadangan konkrit untuk para pemimpin politik dan pemimpin agama umat Islam bagi tindakan ke atasnya.

Kami juga meminta dengan ikhlas, individu berkenaan dan kumpulan masyarakat awam dari seluruh dunia untuk menyertai kami dalam usaha ini demi menghentikan kegasanasan dan pertumpahan darah, di samping mempromosi keamanan dan persefahaman antara Sunni dan Syiah.

Rayuan bersama ini akan dikembangkan secara meluas terutama dalam media talian kami. Kami akan ikuti perkembangan susulan rayuan ini dengan aktiviti dan program yang lain.

Semoga Allah membimbing kita dalam semua usaha untuk berkhidmat kepada-Nya.

Berdasarkan kenyataan ini, tiga poin penting yang dicadangkan untuk menghentikan pembunuhan sesama Sunni dan Syiah adalah:

  • Sunni dan Syiah perlu bersatu kerana tuhan mereka sama, al-Qur’an mereka sama, Nabi mereka sama dan kiblat yang sama;
  • Menubuhkan pasukan petugas mengkaji perpecahan Sunni dan Syiah secara mendalam;
  • Mempromosikan keamanan dan persefahaman antara Sunni dan Syiah.


Saya dapati tiada langsung perkara baru yang dinyatakan dalam kenyataan media ini kecuali hanyalah ulangan terhadap slogan-slogan yang pernah dicanangkan sebelum ini. Namun, belum pun 24 jam kenyataan ini dikeluarkan, sekumpulan Syiah Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai Assajjad Movement telah pun menolak mentah-mentah rayuan yang dilontarkan dengan alasan tiada keikhlasan dan menuntut sesuatu yang LEBIH DARIPADA ITU. Antaranya, mereka mengungkit perkara berikut:

1. Di Malaysia penganut ajaran Syiah sering diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah Internal Security Act. Sebagai contoh, Abdullah Hassan, salah seorang pengikut Syiah Imamiyyah ditahan tanpa bicara di bawah ISA (Internal Security Act) antara 2 Oktober 1997 sehingga 31 Disember 1999. Beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada tahun 2001 di mana empat Pesuruhjaya Suhakam pada waktu itu; iaitu Harun Hashim, Zainah Anwar, Mehrun Siraj dan Hamdan Adnan menerima laporan beliau. Laporan Abdullah Hassan kepada Suhakam dilakukan berikutan Malaysia menahan enam lagi pengikut Syiah di bawah ISA antara 20 Oktober 2000 sehingga 5 Januari 2001. Zainah Anwar selaku Pesuruhjaya Suhakam berjanji untuk menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri memandangkan penahanan ahli masyarakat atas alasan kepercayaan dan agama adalah, meminjam ungkapan Zainah, “clear violation of Article 11 of the Federal Constitution which guarantees freedom of religion”. Sejak tahun 2001 sehingga hujung 2012 tiada perkembangan sihat berlaku yang memihak kepada minoriti Syiah di Malaysia.
2. Pemomokan terhadap penganut Syiah berlaku secara meluas dan sedar, serta lebih menggusarkan dilakukan oleh pihak berwajib sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sebagai contoh mengarah masjid-masjid di Trengganu membaca khutbah Jumaat anti Syiah pada 23 September 2011. Hal yang sama terjadi di Selangor, sebagai rekod; khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul “Penyelewengan Syiah Di Malaysia” tersebut menyatakan, antara lain “Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini”. Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang jahat, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961. 
3. Pemomokan terhadap masyarakat Syiah bahkan didokongi media secara besar-besaran. Radio Televisyen Malaysia (RTM), media milik pemerintah pada 9 dan 16 Februari 2012, di stesen TV1 menyiarkan rancangan berjudul “Mazhab atau Agama” bertujuan memomokkan penganut Syiah. Juga, pada 4 Oktober 2012 saluran Bernama TV Saluran 502, dalam rancangan Hello Malaysia, media ini memburuk-burukkan fahaman dan penganut Syiah. Selain media elektronik, media cetak turut melakukan pemomokan seperti yang dapat dibaca di Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2010 dengan judul “Markas Syiah Diserbu” atau Berita Harian bertarikh 28 April 2011 dengan judul “JAIS Pantau Syiah di Selangor”.
Di akhir tulisannya, kumpulan Syiah tersebut mengatakan dengan jelas kenyataan berikut:
Sekiranya Dr Mahathir benar-benar ikhlas dalam rayuan beliau ini, sebagai negarawan yang dikatakan berpengaruh beliau hendaklah menyarankan kepada kerajaan supaya menarik balik fatwa daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Mei 1996 yang memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamah adalah dilarang di negara ini. Hanya dengan itulah keikhlasan beliau tidak dapat diragui lagi”.
Kesimpulannya, saya fikir kita tidak perlu menghabiskan masa untuk melakukan sesuatu yang sia-sia dan hanya menguntungkan puak Syiah. Apa yang patut dilakukan oleh Tun M atau sesiapa sahaja yg prihatin dan punya nama adalah menyatukan seluruh saf kepimpinan Ahli Sunnah Wal-Jemaah di dunia dalam mendepani Syiah. Saya tak fikir 211 juta penganut Syiah berani berhadapan dengan 1.4 bilion penganut Sunni yang bersatu. Bukan sahaja membunuh, menyentuh pun tidak! 

Read more >>