Selasa, 10 November 2009

BUKAN ISLAM DILARANG MASUK MASJID?


Penulis terkejut apabila membaca berita berikut, "Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. "Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat". (Sila lihat di sini.)


Penulis tidak pasti sama ada ini adalah kenyataan berasaskan hukum atau lebih bersifat politik. Jika ia bersifat hukum, penulis lebih cenderung untuk tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut kecuali ia adalah 'satu fatwa' yang telah dikeluar dan diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor atas maslahat tertentu.


Bagi penulis hukum orang bukan Islam masuk ke dalam masjid adalah perkara khilaf kecuali Masjidil Haram di Makkah. Penulis perturunkan di sini fatwa al-marhum Syeikh 'Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Jami' al-Azhar) seperti berikut:- 

وقد ترجم البخارى فى صحيحه دخول المشرك المسجد، وأورد حادثة ربط ثمامة بن أثال بسارية من سوارى المسجد النبوى ، وكان ثمامة كافرا من بنى حنيفة ، وعلى هذا الرأى أكثر الأئمة ، وقصره الشافعى على الضرورة أو الحاجة ، وليس بصفة مستمرة ، ولعل هذا هو الرأى المناسب للفتوى. قال ابن حجر فى فتح البارى "ج 2 ص 107 " عن هذه المسألة : فيه مذاهب ، فعن الحنفية الجواز مطلقا ، وعن المالكية والمزنى المنع مطلقا ، وعن الشافعية التفصيل بين المسجد الحرام وغيره ، للآية ، وقيل : يؤذن للكتابي خاصة ، وحديث الباب يرد عليه ، فإن ثمامة ليس من أهل الكتاب انتهى. وأرى أنه لا مانع من دخول الزوار الأجانب غير المسلمين لمساجد المسلمين إذا كانوا فى برنامج سياحى ، أو لعمل هام ، ما دام ذلك بإذن المسلمين ، وفى ثورة 1919 م دخل القمص سرجيوس الجامع الأزهر وخطب فيه خطبة سياسية على مشهد من علماء المسلمين. دون إنكار منهم ، وذلك مراعاة للظروف ، واختلاف الآراء فيه رحمة. وننبه إلى وجوب احترامهم للمساجد وعدم التبذل فيها أو عمل شىء لا يوافق عليه الدين.

Kesimpulannya, satu garis panduan perlu dikeluarkan segera untuk menyeragamkan maksud pelarangan  orang bukan Islam masuk ke masjid. Membenarkan mereka masuk tanpa sebarang sekatan juga sesuatu yang tidak wajar...
Read more >>

Jumaat, 6 November 2009

BERDAMAI SUDAH...


DAMAI... Pertemuan tertutup antara bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz; dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip di salah sebuah hotel di ibu negara hari ini berjaya mencapai keputusan positif.


Alhamdulillah...inilah yang kita mahukan. Malah sepatutnya sikap bersemuka, berbincang dan saling mendengar antara satu sama lain dalam suasana harmoni ini telah diamalkan sejak awal lagi. Kadang-kadang prasangka dan dengar-dengar cakap 'org ketiga' boleh menyebabkan hal yang kecil menjadi besar seolah-olah tiada penyelesaian!!


Bagi penulis, isu Wahhabiyyah adalah punca segala-galanya. Sebenarnya isu ini sekiranya ditangani secara berhemah dan berhujah dengan cara beradab dan berhikmah kita akan dapat menanganinya. Tetapi jika menanganinya seperti ajaran sesat atau ajaran pelampau persis Jemaah Islamiyyah, Ma'unah dll inilah padah yang kita akan dapat. Kes JAIS adalah pengajaran terbesar kepada semua agensi agama dan penguatkuasa. Berhati-hatilah supaya Islam tidak difitnah akibat kegopohan dan ketidakbijaksanaan agensi agama bertindak. Pengalaman penulis dalam JAKIM sendiri, kita sentiasa mengadakan pertemuan dari masa ke semasa dengan kumpulan ini bagi menyelesaikan sebarang krisis atau perkara kontroversi yang timbul.

Pendirian JAKIM, aqidah mereka masih dalam kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, walaupun terdapat perbezaan dari segi metod antara Salaf & Khalaf. Apa yang penting, kita mahu mereka juga memahami bahawa isu-isu furu' yang ditimbulkan seperti soal tahlil, talqin dll, walaupun ianya kecil tetapi ia amat sensitif kerana telah diamalkan sejak turun termurun oleh masyakarat Islam di negara ini dan bukanlah isu utama yang perlu dibangkitkan untuk melakukan 'tajdid'. Bukankah masih banyak isu-isu besar yang merupakan prinsip yang perlu ditangani dalam negara ini!

Untuk mengetahui dan mengenali lebih lanjut siapakah sebenarnya Wahhabi..penulis persilakan rakan-rakan untuk membaca pandangan dua tokoh berikut iaitu Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin (klik di sini), Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Prof. Zakaria Stapa, bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM (klik di sini).

Read more >>

Khamis, 5 November 2009

WAHABI TIDAK PERNAH DIFATWA SESAT!!!


Itu kenyataan Timb. Menteri Di JPM...lihat di sini Wahabi tidak pernah difatwa sesat

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim. "Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita. "Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.


Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini. Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara. "Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.


"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. "Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.  "Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat. "Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Ulasan:

Bagi penulis isu ini telah seringkali diperkatakan. Di sini penulis perturunkan Dasar Kerajaan Pusat Berkenaan Fahaman Wahhabiyyah melalui perbincangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Panel Kajian Aqidah JAKIM :-

"Mengenai kumpulan Wahhabiyyah, pendirian JAKIM dan kerajaan adalah jelas, Wahhabiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu merupakan hasil daripada perbincangan beberapa kali di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003. Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat".



Read more >>

Ahad, 1 November 2009

KENAPA ISLAM MELARANG MELUKIS WAJAH NABI S.A.W.

Pada 30 September lalu, akhbar Denmark, Jyllands-Posten serta akhbar beberapa Negara Barat telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dengan penyiaran beberapa karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Sebuah akhbar tempatan, Sarawak Tribune yang turut menyiarkan karikatur itu juga telah digantung penerbitannya oleh kerajaan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berikutan isu yang berlaku ini, masyarakat kembali hangat memperkatakan soal hukum menggambarkan wajah atau tubuh Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dalam bentuk lukisan ilustrasi, ukiran patung dan seumpamanya. Di kalangan masyarakat bukan Islam pula, segelintir mereka mempertikaikan soal kerasionalan agama Islam tidak membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka apakah rasionalnya agama Islam menegah umatnya atau orang lain untuk melukis sebarang ilustrasi yang dikaitkan secara langsung kepada Nabi s.a.w.? Adakah agama Islam terlalu bersikap konsorvetif sehingga menghadkan hak kebebasan untuk berfikir dan berkreatif oleh umatnya sendiri? Adakah akidah Islam terlalu rigid sehingga melukis wajah atau jasad Nabi s.a.w. boleh dianggap sebagai sesuatu yang boleh menggelincirkan akidah daripada landasannya yang benar?

Mungkin inilah beberapa kemusykilan dan persoalan yang sering berlegar-legar di minda mereka yang mahukan penjelasan dan kebenaran di sebalik isu yang timbul ini. Golongan bukan beragama Islam di Malaysia boleh jadi bersetuju sekiranya kita mengatakan bahawa karikatur yang menggambarkan wajah dan sifat Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa Negara Barat itu adalah sesuatu yang melanggar etika beragama dan memang sepatutnya diharamkan memandangkan ia menyentuh soal sensitiviti beragama yang merupakan suatu hak yang tidak boleh dipertikai, disentuh atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Sudah menjadi kelaziman setiap bangsa dan Negara di dunia bersepakat untuk mengatakan soal agama adalah sesuatu yang suci dan tidak sekali-kali boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan.

Namun persoalan yang masih wujud, apakah rasionalnya agama Islam tetap tidak membenarkan lakaran gambar Rasulullah s.a.w. dalam apa jua cara dan kaedah? Menjawab pertanyaan ini perkara penting yang harus difahami oleh setiap individu yang ingin melibatkan diri dalam polemik ini iaitu memahami bahawa Islam itu terbahagi kepada dua aspek utama yang saling berkait antara satu dengan lain dan adalah mustahil untuk memisahkan antara kedua-dua aspek ini.

Dua aspek yang dimaksudkan itu ialah akidah dan syariah. Akidah dalam Islam adalah sesuatu yang menjadi pegangan atau kepercayaan umat Islam, secara kasar ia meliputi soal ketuhanan, kenabian dan Hari Akhirat. Manakala syariah pula merupakan suatu sistem perundangan atau cara hidup yang ditetapkan melalui sumber-sumber hukum tertentu yang antara lain bertujuan untuk menjaga kemurnian dan keutuhan akidah umat Islam itu sendiri. Sebagai contoh Islam menetapkan dari sudut akidah bahawa wajib setiap umat Islam mempercayai bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang rasul, manakala syariah pula menetapkan dan mengukuhkan lagi doktrin kepercayaan ini dengan menegaskan bahawa umat Islam yang memungkiri kepercayaan ini dengan sengaja tanpa sebarang takwilan dan keuzuran harus dijatuhi hukuman tertentu sebagai balasan di atas keengkarannya itu.

Dalam perspektif ini, syariah didatangkan oleh Islam dengan membawa pelbagai metod yang bersifat murunah atau fleksibel bertujuan membendung sebarang gejala yang boleh merendahkan, menghina mahupun merosakkan Islam, apatah lagi perkara yang menyangkut soal akidah dan kepercayaan atau disebut juga keimanan. Oleh itu dalam banyak-banyak metod yang digunakan oleh syariah untuk membendung kerosakan adalah kaedah yang dipanggil sadd al-zari'ah yang bermaksud 'menyekat jalan-jalan kerosakan'. Kaedah ini adalah antara yang terbanyak digunakan sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak yang bertujuan untuk menyekat terlebih dahulu sebarang jalan yang dikhuatiri boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah kerosakan dan kemusnahan.

Sebagai contoh, Islam melarang perbuatan zina, larangan ini pula telah diterjemahkan oleh syariah dengan menyediakan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita malah menetapkan etika berpakaian tertentu yang bertujuan secara umumnya untuk menyekat semua jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina. Begitu juga sekiranya kita berbalik kepada soal hukum melukis atau membuat lakaran wajah dan jasad Nabi Muhammad s.a.w., larangan terhadap perbuatan ini mempunyai signifikan tertentu memandangkan ia menyentuh secara langsung terhadap akidah anutan umat Islam itu sendiri dan memberi ruang untuk melakukan perbuatan tersebut ditakuti boleh memudaratkan kepercayaan dan keimanan bahkan melunturkan kesucian akidah Islam.

Pada dasarnya sudah ada hukum yang jelas oleh syariah berkaitan dengan gambar yang dibuat untuk diagung-agungkan atau dikuduskan. Sejarah wathanniyah (keberhalaan) membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap menguduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.

Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah s.w.t. melalui lisan Nabi Nuh a.s., "Dan mereka berkata, "Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa', yaghuts, ya'uq dan nasr" (Nuh: 23), bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya. Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.

Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa syarak menegah daripada menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk lukisan dan sebagainya adalah untuk mengelakkan sebagaimana apa yang terjadi ke atas umat terdahulu sehingga sampai ke peringkat mengagungkan orang-orang suci mereka seumpama beribadah kepada tuhan.

Logika lain pula yang membawa kepada tegahan tersebut adalah dilihat kepada beberapa andaian yang boleh berlaku berdasarkan analisis para ulama Islam seperti berikut:-

a. Mengimaginasikan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dalam bentuk watak lakonan mahupun lukisan atau selainnya sekali-kali tidak akan dapat menyamai peribadi sebenar wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w., oleh itu ia boleh membawa kepada impak pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w. dalam bentuk perbuatan kerana pembohongan tidak semestinya dengan lidah semata-mata. Maka pembohongan ke atas rasul adalah sesuatu yang jelas pengharamannya dengan nas hadith sahih yang menyebut: "Barangsiapa yang membohongi aku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka".

b. Keaiban dan kekurangan yang berlaku disebabkan oleh kelemahan manusia untuk memberikan gambaran sebenar terhadap wajah dan jasad Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang dilihat sendiri dengan mata yang sihat adalah merupakan sesuatu yang mencacatkan keperibadian Rasulullah s.a.w. seterusnya dianggap sebagai perbuatan yang menyakitkan Rasulullah s.a.w. Hukum menyakitkan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah s.w.t.: "Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat serta bagi mereka disediakan azab yang menghinakan". (Surah al-Ahzab: 57)

c. Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan model ikutan umat baginda, oleh itu mengimaginasikan baginda sehingga membawa kepada kecacatan dan keaiban boleh mencetuskan pandangan atau persepsi yang tidak adil atau menyeleweng terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. bagi umat yang mengikutinya. Sedangkan Allah s.w.t. berfirman dalam al-Qur'an: "Mereka (para nabi) itulah yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka (para nabi) itu, ikutilah ia". (Surah al-Ahzab: 21)

d. Gambaran atau lukisan yang tidak bertepatan malah mustahil untuk ia bertepatan dengan keperibadian sebenar Nabi Muhammad s.a.w. yang dipamerkan juga boleh mengundang kesangsian umat Islam terhadap keimanan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau sekurang-kurangnya melahirkan rasa hilang hormat terhadap kekudusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai insan yang sempurna dari sudut akhlak dan kejadiannya. Implikasi yang lebih berat adalah ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai qudwah ikutan serta sumber rujukan umat Islam selepas al-Qur'an.

Selain hujjah-hujjah di atas, keimanan kepada Nabi Muhammad s.a.w. juga merupakan salah satu cabang beriman kepada perkara yang ghaib. Namun ia termasuk dalam kategori ghaib yang tidak mutlak memandangkan Nabi Muhammad s.a.w. hanya ghaib bagi umatnya yang terkemudian dan tidak ghaib bagi para sahabat dan generasi yang sempat hidup dan melihatnya ketika hayat baginda. Oleh itu adalah menjadi sesuatu yang perlu diwaspadai kerana betapa banyak kesesatan yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada keterlaluan di dalam membicarakan persoalan ghaib.

Perkara ghaib dalam masyarakat Melayu pula sering dianggap sebagai sesuatu yang misteri, mistik, keramat dan sebagainya yang dikhuatiri kesemuanya boleh menjurus kepada kepercayaan khurafat. Membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. juga bermakna membuka jalan untuk golongan tertentu melukis serta mengimaginasikan seluruh perkara-perkara ghaib lain yang terdapat di dalam Islam seumpama melukis gambaran Allah, malaikat, syurga, neraka dan selainnya.

Dari sini maka akan timbul pelbagai perkara tahyul dan khurafat yang boleh merosakkan kesucian Islam sedangkan Islam sendiri merupakan agama yang sangat mementingkan fakta, realiti dan kebenaran. Menurut kesimpulan takrifan khurafat yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam buku Garis Panduan, Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual JAKIM, khurafat ialah sesuatu perkara mempesonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut yang menyimpang dari ajaran Islam sedangkan tahyul pula iaitu semua cerita sama ada khayalan atau rekaan yang meliputi cerita-cerita yang mempesonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.

Bertolak dari penjelasan ini kita boleh membuat konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah s.a.w. secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem tathabbut iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadith dan ilmu usul fiqh.

Berasaskan dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang dibentangkan di atas maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa pengharaman menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah s.a.w.. Antaranya adalah fatwa Syeikh Hasnain Makhluf pada bulan Mei 1950 dalam kitab al-Fatawa al-Islamiyyah, jilid 4, mukasurat 1297, Lajnah Fatwa al-Azhar pada bulan Jun 1968, Majlis Majma' Buhuth al-Islamiyyah pada bulan Februari 1972 dan Majlis Majma' al-Fiqh al-Islami Makkah kali ke-8 pada tahun 1405 hijrah.

Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujjah-hujjah naqli (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia. Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujjah-hujjah di atas tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati kepercayaan orang lain ditambah pula dengan ketegaran untuk tidak memahami keutamaan keharmonian beragama di Negara ini.

Read more >>

ISU YOGA YANG BELUM SELESAI...


Sejak fatwa Yoga dikeluarkan pada Oktober 2008, penulis dan rakan-rakan di Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM tak henti-henti dihujani dengan pelbagai persoalan yang inginkan penjelasan. Lebih-lebih lagi penulis adalah penyelidik yang terlibat secara langsung dalam isu Yoga bersama ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM, Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dari UKM.

Terbaru, penulis dijemput menyampaikan taklimat Yoga di Auditorium Parcel E, Putrajaya untuk kakitangan kerajaan sekitar Putrajaya. Bagi penulis, fatwa Yoga bukanlah suatu perkara yang terlalu sukar untuk difahami sekiranya kita terlebih dahulu memahami batas-batas aqidah di dalam Islam. Apa yang menjadi permasalahan apabila ummah tidak memahami agamanya sendiri lalu bertindak mempertikaikan fatwa-fatwa yang dianggap tidak menggugat anutannya terhadap Islam.

Ada pula yang bertanya tentang kedudukan senaman-senaman lain selain Yoga. Dalam hal ini, kaedah hukum mengatakan 'asal setiap sesuatu itu adalah harus'. Oleh itu belum ada sebarang fatwa yang mengatakan senaman-senaman itu haram, maka ia kekal pada hukumnya yang harus. Bagaimanapun bagi rakan-rakan yang mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap senaman tersebut (seperti Tai Chi, Reiki dll) maka penulis menasihatkan supaya mereka meninggalkan senaman-senaman tersebut berdasarkan kaedah 'tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan'. Wallahu a'lam.

Apapun...di sini penulis sertakan kertas kajian serta hujah-hujah kenapa Yoga diharamkan..harapan penulis semoga ada jua manfaatnya buat rakan-rakan di luar sana. Klik di sini Hujah Pengharaman Yoga
Read more >>

Khamis, 22 Oktober 2009

KENAPA MASIH ADA ISTILAH DEEPARAYA???

Bagi penulis isu ini sepatutnya sudah selesai kerana bagi Islam, Idul Fitri dan Deepavali itu perayaan agama! Tetapi mengapa masih ada mereka yang menganjurkan majlis tersebut. Penulis sebutkan hal ini kerana tersentak dengan satu laporan dalam akhbar Berita Harian bertajuk "DeepaRaya Hulu Selangor Serlah Konsep 1Malaysia"..Bagi penulis istilah ini perlu dihapuskan kerana ia tak ada beza dengan kita mencampuradukkan nama agama seperti LamDu (Islam & Hindu)..pasti akan ada yang mengatakan tak mengapa ia hanya sekadar nama. Tapi bukankah daripada nama akhirnya akan melahirkan istilah yang merujuk kepada sesuatu perkara. Apa pula kaitannya kongsi raya - DeepaRaya dengan 1Malaysia? Adakah itu bermaksud nanti semua agama akan menyatukan semua perayaan menjadi 1Raya?

Berikut penulis bentangkan artikel penulis yang pernah diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 30 Jun 2006;

DALAM suasana polemik Kongsi Raya, penulis agak bimbang akan kembalinya satu aliran pemikiran yang pernah wujud pada suatu masa dahulu dikenali dengan fahaman Murji’ah.

Fahaman ini dipelopori oleh Jaham bin Safwan yang beranggapan bahawa iman dan kufur itu letaknya di hati. Tidak sekali-kali boleh dinilai dengan perbuatan mahupun perkataan.

Oleh itu seorang Muslim yang menyembah berhala atau menyembah salib sekalipun, ia tidak boleh dihukum terkeluar Islam jika hatinya masih kekal dengan keimanan.

Sempena namanya, Murji’ah berasal dari kalimah arja’a yang antara lain bermaksud pengharapan. Dari maksud bahasa ini melahirkan makna istilahnya iaitu seseorang yang berdosa adalah tinggi harapannya untuk mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah s.w.t.

Justeru jangan terlalu mudah menghukum mereka dengan perbuatan zahir semata-mata. Atas alasan yang diberikan oleh kumpulan ini, Imam Muhammad Abu Zuhrah pengarang kitab Mazahib Islamiyyah menyifatkan mereka sebenarnya tidak ubah seperti kumpulan ibahiyyah iaitu sebuah kumpulan yang berpegang kepada prinsip segala-galanya adalah harus. Tidak timbul soal haram dalam kamus pemikiran mereka.

Berbalik kepada kenyataan Perdana Menteri, keputusan tersebut bukanlah bermakna beliau menyokong mana-mana pandangan yang cenderung kepada fahaman liberalisme atau pluralisme agama.

Tetapi beliau melihat Kongsi Raya itu hanyalah satu gimik untuk menarik perhatian rakyat bagi mengadakan perhimpunan bersama demi untuk mengeratkan lagi tali perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Namun tidak dinafikan memang berlaku perselisihan (khilaf) di kalangan ulama berkenaan mengucapkan tahniah kepada bukan Islam termasuk menerima hadiah pada hari perayaan mereka.

Menurut fatwa Jawatankuasa Kajian dan Fatwa Eropah para ulama telah bersepakat bahawa menyambut perayaan keagamaan bukan Islam itu adalah ditegah. Ia berbeza sekali dalam masalah memberi ucapan tahniah di atas perayaan mereka kerana ia menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Sebaliknya untuk menyambut perayaan keagamaan bukan Islam seumpama menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, maka di sinilah punca larangan ulama yang sebenar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh ulama; ‘bagi kita perayaan kita dan bagi mereka perayaan mereka.’

Di sinilah persoalan yang sepatutnya kita selesaikan bersama. Adakah istilah Kongsi Raya yang dimaksudkan itu menjurus kepada berkongsi menyambut perayaan keagamaan bukan Islam dalam konteks sebagaimana kita menyambut perayaan-perayaan keagamaan dalam Islam?

Atau hanya sekadar menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka dalam negara ini sebagai umat manusia yang mempunyai tradisi, budaya dan kepercayaan?

Dalam hal ini, amat penting sekali kita memahami apakah sebenarnya kehendak daripada perayaan dalam satu-satu agama itu. Adakah ia hanya sekadar direka-reka atau sememangnya menjadi tuntutan agama tersebut yang mesti dilaksanakan oleh penganutnya.

Jika diteliti, sukar dinafikan bahawa semua agama menganjurkan perayaan dengan falsafah-falsafah tersendiri dan ia sememangnya menjadi syiar atau lambang kepada agama tersebut.

Hampir tiada suatu pun agama yang wujud di dunia ini tanpa mempunyai perayaan keagamaan tertentu. Ini menunjukkan bahawa perayaan keagamaan bagi satu-satu agama amat penting dan ia adalah lambang kepercayaan serta keabsahan agama masing-masing.

Manakala menyambut, merayakan atau dalam bahasa Arab ihtifal membawa maksud mengambil berat, menganjurkan atau membesarkan. Ihtifal inilah yang dilarang oleh para ulama Islam untuk dilakukan oleh umat Islam terhadap perayaan keagamaan bukan Islam.

Inilah sebenarnya punca sebenar masalah sehingga pihak tertentu memohon kerajaan supaya mengkaji semula konsep Kongsi Raya yang diamalkan kini.

Sekilas pandang ungkapan Kongsi Raya seakan-akan seiras dengan ucapan kongsi agama. Jika begitu, sudah tentulah para ulama akan mempersoalkan lantaran itu sememangnya kebatilan yang jelas.

Bagaimanapun ada baiknya jika kerajaan menilai semula istilah tersebut di samping mengkaji semula cara sambutan tersebut diadakan. Istilah Kongsi Raya sememangnya sesuatu yang agak kurang mesra dengan sentimen ahli agama di negara ini kerana ia tetap mengundang seribu kegusaran dan kebimbangan.

Selain itu acara sambutan yang diadakan juga mungkin tidak perlu menggunakan sebarang simbol agama atau atas nama mana-mana agama selain Islam. Bagi Islam ia sesuai dengan status agama rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Oleh itu ungkapan-ungkapan seperti Rumah Terbuka Krismas dan sebagainya elok ditukar kepada Rumah Terbuka Malaysia sahaja.

Acara yang diadakan juga hendaklah tidak memaparkan apa-apa amalan ritual, ucapan-ucapan khusus agama serta lambang atau simbol agama-agama tersebut.

Perlu diingat ini semua menjadi perbahasan hanya kiranya acara itu dianjurkan dengan kehadiran umat Islam. Sekiranya tidak, umat bukan Islam adalah bebas dengan apa-apa acara yang mengikut tradisi kepercayaan mereka.
Read more >>

ALANGKAH SEDIHNYA...




Ini lah fenomena akhir zaman...masjid dibina dengan wang jutaan ringgit...kapasitinya dikatakan boleh menampung 20 ribu org dalam satu-satu masa..tetapi lihatlah gambar di atas...

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « يوشك أن يأتي على الناس زمان لا يبقى من الإسلام إلا اسمه ، ولا يبقى من القرآن إلا رسمه ، مساجدهم عامرة وهي خراب من الهدى". شعب الإيمان للبيهقي

Sabda Rasulullah SAW: Hampir akan tiba kepada manusia satu zaman, tiada yang berbaki pada Islam kecuali namanya, tiada yang berbaki pada al-Qur'an kecuali tulisannya dan masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi kosong daripada petunjuk...".

Wallahu A'lam.

Gambar ini diambil ketika penulis solat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya hari ini. Oleh kerana masjid ini adalah masjid yang terhampir dengan rumah penulis, maka hampir saban Subuh penulis berjamaah di sini. Untuk rekod, Subuh hari ini dihadiri oleh 11 orang jemaah. Wallahul musta'an...
Read more >>

Rabu, 21 Oktober 2009

BERTUDUNG TAPI...

Sementara menunggu hujan berhenti selepas kuliah Maghrib malam tadi, penulis bersembang-sembang dengan 3-4 orang ahli jemaah. Macam-macam perkara dibincangkan termasuk hal berkenaan kedudukan terkini isu Kartika. Tapi itu tidak menjadi topik yang ingin ditulis di sini.

Apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah isu yang dilontarkan oleh salah seorang ahli jemaah. Menurutnya, beliau terbaca satu berita di sebelah negara Afrika yang mengatakan bahawa salah sebuah daerah di negara tersebut telah mengambil tindakan melarang kaum wanita di daerah tersebut daripada memakai bra. Tindakan itu dikatakan bagi mengelakkan tubuh wanita kelihatan seksi kerana pemakaian bra boleh menampakkan bentuk payudara mereka. Bagi penulis ia sememangnya satu kenyataan yang mengejutkan. Penulis menganggap ini satu kenyataan yang cuba diputarbelitkan oleh media Barat.

Bagaimana mungkin seorang wanita muslimah yang berpakaian menutup aurat mengikut kaedah yang memenuhi kehendak hukum syara', dikatakan 'seksi' hanya kerana 'under ware' mereka. Bukankah 'under ware' itu kedudukannya di dalam dan terselindung di sebalik pakaian luar. Tiada isu akan timbul kecuali 'under ware' yang sepatutnya menjadi pakaian yang teselindung sengaja dizahirkan seperti yang berlaku kebanyakannya pada hari ini. Lihat sahaja gambar-gambar ini!!



Kalau beginilah fesyen yang dipakai oleh kaum wanita Islam, ini bermakna benarlah kenyataan yang mengatakan mereka dilarang memakai bra tersebut. Lihat saja, gambar di tengah menunjukkan fesyen bra diluar sambil memakai tudung. Gambar kiri pula berkemban di luar sambil bertudung. Gambar kanan pula, bertudung tetapi berpakaian ketat sehingga menampakkan aurat di dalam.

Apakah ini cara berpakaian yang dipakai oleh wanita-wanita Islam kita pada hari ini? Di sini..penulis perturunkan kaedah pemakaian yang bertepatan dengan hukum Islam...



Read more >>

Khamis, 15 Oktober 2009

Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa di Kaherah Mesir



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berjaya mengadakan Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa Bagi Tahun 2009 selama tiga bulan bermula dari 26 April 2009 hingga 26 Julai 2009, bertempat di Bangunan Masyiyakhah al-Azhar, Kaherah Mesir.

Kursus tersebut telah disertai oleh 13 orang peserta terdiri daripada para pegawai JAKIM, Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Jabatan Mufti Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Perak, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).



Para peserta telah dibentangkan dengan 11 subjek kursus iaitu Aqidah dan Ijtihad, Usul al-Fiqh, Fiqh Muqarin, Qadhaya Mu’asirah, Thaqafah Fiqhiyyah, ‘Ilm al-Mawarith, Iqtisad Islami, Lughah ‘Arabiyyah, al-Balaghah fi al-Qur’an, Tajwid al-Qur’an dan Funun al-Fatwa. Para peserta turut didedahkan dengan praktikal fatwa bersama ahli Lajnah Fatwa bi al-Jami’ al-Azhar di Masjid al-Azhar.

Antara pembentang subjek kursus tersebut adalah Syeikh al-Azhar sendiri, Fadhilat al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Wakil al-Azhar (Timb. Syeikh al-Azhar) Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘Allam dan bekas Rektor al-Azhar merangkap Ketua Lajnah Fiqh di Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar, Prof. Dr. Abdul Fattah al-Syeikh.




Sepanjang kursus berjalan, para peserta telah berpeluang mengadakan perbincangan bagi mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada masyayikh al-Azhar berkenaan isu-isu yang sedang melanda Malaysia khususnya serta dunia Islam amnya. Antara isu-isu yang sempat diutarakan iaitu isu penggunaan kalimah Allah bagi penganut bukan Islam, pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, murtad dalam kalangan mu’allaf, pemboikotan barangan Amerika dan Israel, perebutan mayat orang Islam dengan bukan Islam, khitan wanita, kedudukan anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, menunaikan ibadat haji ketika penyebaran wabak H1N1, pengharaman kumpulan Islam liberal dan pelbagai isu lain yang meliputi bab aqidah, fiqh ibadat, munakahat dan mu’amalat.
Read more >>