Khamis, 22 Oktober 2009

KENAPA MASIH ADA ISTILAH DEEPARAYA???

Bagi penulis isu ini sepatutnya sudah selesai kerana bagi Islam, Idul Fitri dan Deepavali itu perayaan agama! Tetapi mengapa masih ada mereka yang menganjurkan majlis tersebut. Penulis sebutkan hal ini kerana tersentak dengan satu laporan dalam akhbar Berita Harian bertajuk "DeepaRaya Hulu Selangor Serlah Konsep 1Malaysia"..Bagi penulis istilah ini perlu dihapuskan kerana ia tak ada beza dengan kita mencampuradukkan nama agama seperti LamDu (Islam & Hindu)..pasti akan ada yang mengatakan tak mengapa ia hanya sekadar nama. Tapi bukankah daripada nama akhirnya akan melahirkan istilah yang merujuk kepada sesuatu perkara. Apa pula kaitannya kongsi raya - DeepaRaya dengan 1Malaysia? Adakah itu bermaksud nanti semua agama akan menyatukan semua perayaan menjadi 1Raya?

Berikut penulis bentangkan artikel penulis yang pernah diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 30 Jun 2006;

DALAM suasana polemik Kongsi Raya, penulis agak bimbang akan kembalinya satu aliran pemikiran yang pernah wujud pada suatu masa dahulu dikenali dengan fahaman Murji’ah.

Fahaman ini dipelopori oleh Jaham bin Safwan yang beranggapan bahawa iman dan kufur itu letaknya di hati. Tidak sekali-kali boleh dinilai dengan perbuatan mahupun perkataan.

Oleh itu seorang Muslim yang menyembah berhala atau menyembah salib sekalipun, ia tidak boleh dihukum terkeluar Islam jika hatinya masih kekal dengan keimanan.

Sempena namanya, Murji’ah berasal dari kalimah arja’a yang antara lain bermaksud pengharapan. Dari maksud bahasa ini melahirkan makna istilahnya iaitu seseorang yang berdosa adalah tinggi harapannya untuk mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah s.w.t.

Justeru jangan terlalu mudah menghukum mereka dengan perbuatan zahir semata-mata. Atas alasan yang diberikan oleh kumpulan ini, Imam Muhammad Abu Zuhrah pengarang kitab Mazahib Islamiyyah menyifatkan mereka sebenarnya tidak ubah seperti kumpulan ibahiyyah iaitu sebuah kumpulan yang berpegang kepada prinsip segala-galanya adalah harus. Tidak timbul soal haram dalam kamus pemikiran mereka.

Berbalik kepada kenyataan Perdana Menteri, keputusan tersebut bukanlah bermakna beliau menyokong mana-mana pandangan yang cenderung kepada fahaman liberalisme atau pluralisme agama.

Tetapi beliau melihat Kongsi Raya itu hanyalah satu gimik untuk menarik perhatian rakyat bagi mengadakan perhimpunan bersama demi untuk mengeratkan lagi tali perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Namun tidak dinafikan memang berlaku perselisihan (khilaf) di kalangan ulama berkenaan mengucapkan tahniah kepada bukan Islam termasuk menerima hadiah pada hari perayaan mereka.

Menurut fatwa Jawatankuasa Kajian dan Fatwa Eropah para ulama telah bersepakat bahawa menyambut perayaan keagamaan bukan Islam itu adalah ditegah. Ia berbeza sekali dalam masalah memberi ucapan tahniah di atas perayaan mereka kerana ia menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Sebaliknya untuk menyambut perayaan keagamaan bukan Islam seumpama menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, maka di sinilah punca larangan ulama yang sebenar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh ulama; ‘bagi kita perayaan kita dan bagi mereka perayaan mereka.’

Di sinilah persoalan yang sepatutnya kita selesaikan bersama. Adakah istilah Kongsi Raya yang dimaksudkan itu menjurus kepada berkongsi menyambut perayaan keagamaan bukan Islam dalam konteks sebagaimana kita menyambut perayaan-perayaan keagamaan dalam Islam?

Atau hanya sekadar menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka dalam negara ini sebagai umat manusia yang mempunyai tradisi, budaya dan kepercayaan?

Dalam hal ini, amat penting sekali kita memahami apakah sebenarnya kehendak daripada perayaan dalam satu-satu agama itu. Adakah ia hanya sekadar direka-reka atau sememangnya menjadi tuntutan agama tersebut yang mesti dilaksanakan oleh penganutnya.

Jika diteliti, sukar dinafikan bahawa semua agama menganjurkan perayaan dengan falsafah-falsafah tersendiri dan ia sememangnya menjadi syiar atau lambang kepada agama tersebut.

Hampir tiada suatu pun agama yang wujud di dunia ini tanpa mempunyai perayaan keagamaan tertentu. Ini menunjukkan bahawa perayaan keagamaan bagi satu-satu agama amat penting dan ia adalah lambang kepercayaan serta keabsahan agama masing-masing.

Manakala menyambut, merayakan atau dalam bahasa Arab ihtifal membawa maksud mengambil berat, menganjurkan atau membesarkan. Ihtifal inilah yang dilarang oleh para ulama Islam untuk dilakukan oleh umat Islam terhadap perayaan keagamaan bukan Islam.

Inilah sebenarnya punca sebenar masalah sehingga pihak tertentu memohon kerajaan supaya mengkaji semula konsep Kongsi Raya yang diamalkan kini.

Sekilas pandang ungkapan Kongsi Raya seakan-akan seiras dengan ucapan kongsi agama. Jika begitu, sudah tentulah para ulama akan mempersoalkan lantaran itu sememangnya kebatilan yang jelas.

Bagaimanapun ada baiknya jika kerajaan menilai semula istilah tersebut di samping mengkaji semula cara sambutan tersebut diadakan. Istilah Kongsi Raya sememangnya sesuatu yang agak kurang mesra dengan sentimen ahli agama di negara ini kerana ia tetap mengundang seribu kegusaran dan kebimbangan.

Selain itu acara sambutan yang diadakan juga mungkin tidak perlu menggunakan sebarang simbol agama atau atas nama mana-mana agama selain Islam. Bagi Islam ia sesuai dengan status agama rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Oleh itu ungkapan-ungkapan seperti Rumah Terbuka Krismas dan sebagainya elok ditukar kepada Rumah Terbuka Malaysia sahaja.

Acara yang diadakan juga hendaklah tidak memaparkan apa-apa amalan ritual, ucapan-ucapan khusus agama serta lambang atau simbol agama-agama tersebut.

Perlu diingat ini semua menjadi perbahasan hanya kiranya acara itu dianjurkan dengan kehadiran umat Islam. Sekiranya tidak, umat bukan Islam adalah bebas dengan apa-apa acara yang mengikut tradisi kepercayaan mereka.