Ahad, 30 Januari 2011

Malaysia negara ASWJ berdaulat!

Penulis ditanya tentang tindakan pengikut Syiah menggembar-gemburkan isu tangkapan di Selangor. Penulis katakan, kita tak perlu dirisau, walau apa pun usaha Syiah untuk membenarkan ajaran mereka tersebar di negara ini, ia tidak sekali-kali akan berhasil. Di Malaysia, agama terletak di bawah bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu. Ia melangkaui kuasa politik. Ia bukan kuasa Perdana Menteri, Menteri Di JPM, Menteri Besar atau parti pemerintah. Kalaupun ada pihak-pihak tertentu sibuk melobi untuk mendapatkan 'pengiktirafan', insya-Allah ia tidak akan berhasil.

Biarpun wujud orang-orang seperti Faisal Tehrani (FT), ia akan tenggelam begitu sahaja ditelan aliran arus perdana ASWJ. Bagi pengikut Syiah yang dihadapkan ke mahkamah, dapatkan keadilan di sana dan anda tidak perlu terpekik terlolong seolah-olah anda sedang dicampak ke dalam penjara Abu Ghuraib atau dibunuh kejam. Berhujjahlah apabila tiba masanya di mahkamah nanti. Mahkamah dunia adalah sebaik-baik tempat untuk anda berhujjah sebelum anda berhujjah di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Di sana tiada lagi SUHAKAM untuk bergantung.

Bagi kedutaan Iran, penulis rasakan tidak perlulah berlebih-lebihan dalam mencampuri urusan perundangan negara ini. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan anda tidak perlu mengajarkan bagaimana untuk mentadbir urusan dalamannya. Jadikan tindakan Maghribi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran sebagai pengajaran. Ingati juga kebimbangan al-Azhar sebagai institusi Sunni terulung terhadap peranan Iran dalam mengembangkan Syiah di negara-negara Sunni. Iran tidak seharusnya mengeksploitasi 'hubungan diplomatik' dengan negara-negara Sunni untuk melebarkan sayap Syiah. Kita tahu dan semua orang pun tahu peranan Iran itu.

Berkenaan FT, penulis pun tidak tahu apa mazhabnya. Katanya bukan Syiah. Penulis pun tak pernah tuduh dia Syiah, tetapi penulis katakan penulisannya ada unsur-unsur Syiah. Kalau sarjana tulen, dia tahu nak bezakan dua istilah itu. Cuma FT ini, kesunniannya dah terlampau hebat sampai mengatakan fatwa Syiah JAIS itu fatwa lapuk (klik sini ). Maknanya, pemikiran ahli-ahli jawatankuasa fatwa yang bermazhab Sunni  di negeri Selangor itu pun lapuk, bahkan semua mufti di Malaysia yang bermazhab Sunni juga berfikiran lapuk sebab merekalah yang memutuskan bahawa Syiah itu menyeleweng dalam fatwa 1996 (kemudian disusuli oleh negeri-negeri). Oleh itu, eloklah FT dilantik sebagai Mufti Besar Sunni di Malaysia. Tidaklah asyik bagi fatwa guna blog, novel dan cerpen aje. 

Kesimpulannya, dengan timbulnya isu Syiah ini, insya-Allah, ASWJ akan semakin kukuh di Malaysia dan ia satu-satunya pengajaran berharga kepada mereka yang berhajat untuk menyebarkan mana-mana ajaran lain selain ASWJ untuk melupakan niat mereka. Wallahu a'lam. 
Read more >>