Jumaat, 26 Ogos 2011

Salam Idulfitri : Sila cek result Ramadhan anda!


Rasulullah SAW bersabda;
رب صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
"Boleh jadi orang yang berpuasa namun ia tak mendapatkan apa-apa dari puasanya selain lapar dan dahaga." (Musnad al-Syihab)

Ungkapan Nabi SAW di atas merupakan isyarat bahawa wujud kalangan orang yang berpuasa Ramadhan itu, walaupun mereka tidak makan, minum, dan berhubungan badan atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi result puasanya GAGAL.

Untuk menyemak result puasa kita sama ada GAGAL atau tidak, mungkin kita boleh lihat kepada senarai di bawah;

Pertama, ketika seseorang berpuasa tapi gagal memenuhi target walaupun satu kali khatam al-Qur’an di bulan Ramadhan tanpa apa-apa keuzuran yang munasabah. Imam Syafi’i merupakan salah satu contoh tokoh yang berjaya dalam bulan Ramadhan. Bukan satu atau dua kali khatam al-Qur’an, beliau mengkhatamkannya sebanyak enam puluh kali dalam bulan Ramadhan.

Dr. A’id Abdullah al-Qarni menceritakan keadaan rumah para salafussaleh di bulan Ramadhan. Suara lantunan al-Qur’an sentiasa bergema ibarat gema lebah. "Mereka membaca al-Qur’an dengan tartil, memperhatikan keajaiban-keajaiban isinya, menangisi amaran-amaran yang terdapat di dalamnya, berbahagia dengan berita gembiranya, saling menyuruh dengan perintah-perintahnya, dan saling mencegah dengan larangan-larangannya", tulisnya.

Selain dari itu, Ibn Taimiyah pernah mengatakan, "Sesiapa yang tidak membaca al-Qur’an, ia telah meninggalkan al-Qur’an, sesiapa yang membaca al-Qur’an tetapi tidak merenungi kandungan-kandungan maknanya bererti ia juga telah meninggalkan al-Qur’an, dan sesiapa yang membaca al-Qur’an serta merenunginya namun isinya tidak diamalkan, sama sahaja ia telah meninggalkan al-Qur’an".

Jika membaca dan berusaha mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadhan pun gagal dilaksanakan, apatah lagi membacanya pada bulan-bulan lain? Apa lagi untuk mengamalkan isi kandungannya?

Kedua, ketika seseorang berpuasa tetapi gagal memelihara anggota tubuh dan pancainderanya dari maksiat serta penyimpangan. Salah satu hikmah berpuasa seperti yang disebutkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah sebagai tarbiyah (pendidikan) bagi kemahuan, perang terhadap hawa nafsu yang negatif dan hal-hal tabiat buruk yang telah menjadi tradisi, serta melazimkan kesabaran.

Berpuasa perut tanpa puasa anggota tubuh tentunya hanya memperoleh kepayahan fizikal semata namun kosong daripada hikmah dan tarbiyah. Yang terbaik adalah bagaimana puasa yang dilakukan betul-betul mengandungi kebersamaan, antara menahan diri makan, minum, berhubungan badan, dan pada masa yang sama mempuasakan anggota tubuh dari penyimpangan: hati dari penyakit-penyakitnya; lidah dari mengeluarkan kata-kata dusta, fitnah dan biadab; mata dari pandangan yang tak halal; tangan dari merampas hak orang lain; telinga dari mendengar perkataan kotor; nyanyian-nyanyian seronok yang menaikkan nafsu; dan kaki dari melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik.

Jika ketika berpuasa di bulan Ramadhan pun gagal menahan diri daripada maksiat dan kejahatan, maka bagaimana pula ketika tidak berpuasa dan di luar Ramadhan?

Ketiga, saat malam-malamnya tidak dihidupkan dengan ibadah. Malam-malam Ramadhan adalah waku yang sangat tepat untuk meningkatkan volume ibadah. Setelah beribadah menahan diri dari segala hal yang dilarang ketika berpuasa di siang hari, maka di waktu malam dihidupkan dengan pelbagai perbuatan terpuji.

Melepak, berbual kosong dan menonton TV merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh sebahagian kaum Muslim. Mereka menghabiskan malam-malam dengan bicara tanpa manfaat, merokok, bercengkerama hingga larut malam sambil menghabiskan malam tanpa diisi dengan ibadah untuk meningkatkan ketaqwaan.

Jika di dalam Ramadhan pun malam-malamnya dipersia-siakan, maka bagaimana pula malam-malam di luar Ramadhan?

Keempat, ketika berbuka puasa menjadi saat untuk "membalas dendam”. Berbuka puasa sering dijadikan kesempatan "membayar hutang" makan dan minum di siang berpuasa. Semua makanan dan minuman dilahap untuk menggantikan "tunggakan" sebelumnya. Jika ini yang terjadi, lalu di mana letaknya pengajaran menahan diri dari MENURUTI HAWA NAFSU.

Tidak menjadikan buka puasa sebagai balas dendam, membuat jiwa terkawal, hati akan menjadi sibuk memikirkan hal-hal yang baik, dan orang yang berkemampuan akan semakin sedar bahawa dirinya telah diberi nikmat yang begitu banyak berbanding orang fakir, miskin, dan anak yatim piatu yang sering menahan lapar dan dahaga. 

Sebahagian kaum salaf pernah ditanya, "Mengapa puasa itu disyariatkan oleh Allah?" Mereka menjawab, "Puasa disyari’atkan supaya orang yang kaya pun dapat merasakan pedihnya rasa lapar sehingga mereka tidak melupakan orang-orang yang kelaparan".

Jika di bulan puasa pun nafsu makan dan hikmah meraikan orang fakir miskin tidak mampu dihayati, bagaimanalah keadaannya di luar Ramadhan?

Kelima, ketika Ramadhan tidak dioptimumkan dengan infak dan sedekah. Di bulan Ramadhan, dianjurkan untuk lebih memperbanyak sedekah dan infak. Ramadhan sendiri disebut juga sebagai syahrul juud iaitu bulan kedermawanan. Rasulullah mengatakan bahawa, "Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan ramadhan". (Riwayat al-Tirmizi)

Jika di bulan Ramadhan pun payah nak bersedekah, bagaimanalah agaknya di luar Ramadhan?

Keenam, seseorang juga dianggap GAGAL Ramadhan jika lebih sibuk membekalkan keperluan lebaran berbanding memenuhi bekalan amal soleh khususnya di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sedangkan Nabi SAW dan para sahabatnya menjadi semakin aktif dan giat menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf di masjid, melipatgandakan ibadah, berzikir, memburu malam Lailatul Qadar, dan merasakan kesedihan luar biasa kerana sebentar lagi akan berpisah dengan bulan Ramadhan.

Ummul Mukminin, A’isyah r.a menceritakan tentang keadaan Rasulullah SAW ketika sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan: "Adalah Nabi SAW ketika memasuki sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan, maka beliau mengikat kainnya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya." (Riwayat al-Bukhari)

Jika tawaran sehebat malam Lailatul Qadar pun tidak dipedulikan, inikan pula ibadah-ibadah sedia ada yang wujud di luar dan di dalam Ramadhan, sudah tentu tidak pernah dipedulikan.

Ketujuh, ketika Idul Fitri menjelang, ia disambut seolah-olah hari kebebasan dari “penjara”. Ramadhan dianggap sebagai penjara dan penghalang untuk melakukan perkara-perkara yang menyimpang. Sehingga apabila keluar sahaja daripada Ramadhan, terasa seperti seorang 'banduan' yang menghirup udara kebebasan untuk melakukan apa saja yang diinginkannya. Keadaan ini berlaku kerana selama berpuasa, dia tidak mengikuti adab, tata cara dan jahil dengan hikmah dan tawaran hebat yang wujud dalam bulan itu.

Jika Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan pun tidak tahu dihargai malah dibenci, maka bagaimanakah keadaan imannya di bulan-bulan lain?

Kelapan, tiada tindakan susulan setelah keluar dari Ramadhan. Inilah tanda paling nyata akan kegagalan dalam ‘pertandingan’ Ramadhan. Seseorang itu langsung tidak meneruskan dan mempertahankan taqarrubnya dengan Allah. Seolah-oleh tuhan itu hanya ada di bulan Ramadhan, hilang Ramadhan maka hilanglah segala amal kebajikan, amal ibadah, perintah dan larangan, dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Jika ini berlaku, maka tiadalah beza baginya sama ada Ramadhan itu wujud atau tidak kerana keadaan dirinya akan tetap kembali kepada asal kebiasaannya.

Semoga penulis dan anda semua tidak tergolong kalangan mereka yang GAGAL pada Ramadhan kali ini, sebaliknya LULUS walaupun dengan tahap yang beza-beza. Apa yang penting, moga Syawwal benar-benar menjadi hari kemenangan buat kita semua. Banyakkan takbir dan tahmid kehadrat Allah dan jangan lupa ucapkan “TAQABBALALLAAHU MINNAA WA MINKUM” (SEMOGA ALLAH MENERIMA AMAL IBADAH RAMADHAN DARI SAYA DAN KAMU) setiap kali bertemu sesama saudara seislam kita di Idulfitri nanti.

Wallahu a’lam.

Read more >>