Ahad, 17 Februari 2013

Adakah qada' dan qadar memaksa perbuatan kita?


Soalan

Saya sering keliru dengan masalah qada' dan qadar. Apa yang sering bermain di fikiran saya adalah mengapa Allah SWT memerintahkan kita untuk melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya sedang dalam masa yang sama takdir seseorang telah ditentukan sama ada ke syurga mahupun ke neraka. Misalnya , apa lagi perlunya seseorang itu beramal ibadat kerana bukankah jika dia telah ditentukan Allah sebagai ahli neraka, maka dia tetap akan masuk ke neraka. Mohon ustaz berikan pencerahan.

Jawapan

Persoalan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh kejahilan dalam memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Seorang muslim yang berilmu pasti tidak akan mudah terpedaya dengan keraguan-keraguan yang sengaja dibangkitkan untuk meruntuhkan keimanannya. Dalam menjawab persoalan ini terdapat dua perkara yang perlu difahami.

Terlebih dahulu setiap muslim perlu memahami apa erti kita beriman dengan qada' dan qadar. Menurut para ulama aqidah beriman dengan qada' dan qadar atau taqdir bermaksud, beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada' dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang azali atau bersifat qadim. Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12:
  
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata".

Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar. Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Dalam hal ini, tuan guru penulis iaitu Prof. Dr. Qahtan al-Duri sering mengemukakan contoh mudah dengan membuat analogi bahawa ilmu Allah SWT itu adalah seumpama ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa di antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap setiap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka itu adalah disebabkan usaha mereka sendiri.

Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai di kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud (taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya sama ada yang baik atau yang buruk. (Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, j.1, hal. 155)

Seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu". (Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'I, hal. 124)

Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia  mempermudahkan pilihan mereka dan memperkenalkannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari pilihan atau usahanya sendiri, manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba-Nya sama ada mahu memilih perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka. Kesimpulannya, beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini. Sikap gemar melepaskan diri dengan cara menyerahkan segala yang berlaku sebagai suratan taqdir tanpa didahului dengan usaha adalah menyalahi seruan Islam supaya kita sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 15 supaya kita berusaha mencari rezeki dan tidak malas serta bertawakal atau berserah  semata-mata. Begitu juga dengan gesaan Allah SWT supaya kita tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dalam surah al-Baqarah ayat 195. Juga perintah Allah SWT supaya kita berjihad pada jalan-Nya dengan segala macam jalan yang ada dan termampu. Wallahu a'lam.

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)