Sabtu, 26 Jun 2010

PESANAN BUAT PENDOKONG SALAFIYYAH...

Semalam, kita dikejutkan dengan 40 orang ulama muda berfahaman Salafiyyah yang menyertai UMNO. Menurut mereka, tujuan penyertaan ke dalam UMNO itu adalah untuk berdakwah melalui platform parti tersebut. Bagi penulis soal tujuan dan matlamat itu adalah terlalu sukar untuk diduga kerana hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui tujuan dan agenda sebenar mereka.
 
Umumnya, penulis berpandangan aliran Salafiyyah itu wujud dengan pelbagai corak dan warna. Terpulang kepada individu atau jamaah yang beraliran tersebut untuk menentukan cara pembawaan atau approach yang ingin digunakan. Ia bukan baru, malah tokoh-tokoh gerakan Islam tempatan termasuk Tuan Guru Hj Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri cenderung terhadap aliran Salafiyyah. Begitu juga dengan pendekatan pelopor gerakan Islam tersohor di Mesir, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sehingga terkandung di dalam tulisannya yang mengatakan bahawa Ikhwan Muslimin menyeru kepada ‘dakwah Salafiyyah’.
 
Apapun , penulis perturunkan di sini sedikit pandangan dan nasihat, jika benarlah aliran Salafiyyah itu yang menjadi manhaj perjuangan 40 ulama muda itu:
 
Amat penting kita mengetahui siapakah sebenarnya Salafiyyah itu? Mungkin kita pernah terdengar golongan yang mendakwa Salafiyyah itulah yang lebih benar kerana ia merujuk kepada sebaik-baik generasi selepas zaman Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu, ada antara mereka yang ta’assub telah merendah-rendahkan golongan ulama sedia ada lalu menganggap mereka golongan yang perlu ditajdid atau diperbaharui.
 
Mereka juga mendakwa bahawa Salafiyyah itu ialah golongan yang berpegang kepada dalil al-Qur’an, al-Hadith dan pendapat ulama Salaf semata-mata. Selain daripada sumber itu ia dianggap menyalahi Sunnah dan menghampiri bid’ah. Persoalannya benarkah ini mafhum Salafiyyah yang sebenar?
 
Dalam membincangkan isu ini, penulis tertarik dengan apa yang dibahas oleh Dr. Rajih Abdul Hamid al-Kurdi, Ketua Jabatan Aqidah dan Dakwah, Universiti Jordan yang juga seorang Salafi, dalam bukunya berjudul “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Di dalam buku ini beliau telah membicarakan apakah maksud Salafiyyah yang sebenar. Beliau telah membahagikan Salafiyyah kepada tiga makna. (al-Kurdi, Rajih ‘Abd al-Hamid, al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asalah Wa al-Mu’asarah, ‘Amman: Dar ‘Ammar, 12-17)
 
Pertama, golongan yang dinamakan Salafiyyah Zamaniyyah. Mereka ialah kalangan Sahabah, Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in pada tiga kurun yang pertama. Dalil tentang keutamaan golongan ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih nya, daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka…”. Walau bagaimana pun golongan ini telah pun berakhir dengan berakhirnya tiga kurun pertama sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Kedua, Salafiyyah Manhajiyyah, iaitu golongan yang mengikuti jejak langkah golongan Salaf yang berada dalam tiga kurun pertama secara manhaj. Penyandaran kalimah ‘manhaj’ kepada Salafiyyah jenis ini memandangkan mereka mengekalkan manhaj yang telah dirintis oleh golongan terdahulu dalam menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Mereka berpegang kuat kepada disiplin Qawa’id Usuliyyah dalam memahami segala perintah dan larangan yang termaktub di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Senjata mereka adalah ketaqwaan serta memusuhi perpecahan dan perhambaan hawa nafsu. Mereka adalah golongan usuliyyun (ahli usul) dan manhajiyyun (ahli manhaj) dalam berpegang teguh kepada sumber-sumber hukum dan kaedah-kaedah memahaminya.

Ketiga, iaitu golongan Salafiyyah Madhmuniyyah atau Fikriyyah yang mengambil pendapat dan pendekatan golongan Salafiyyah Manhajiyyah yang terdahulu dan mempratikkannya dalam kehidupan mereka tanpa sebarang penilaian semula atau penyesuaian. Pemahaman Salafiyah jenis ini agak sempit dan rigid berbanding Salafiyyah Manhajiyyah.

Bagi Salafiyyah Manhajiyyah, mereka telah mengekalkan manhaj yang digunakan oleh golongan Salaf terdahulu tetapi melalui pendekatan yang berbeza sesuai dengan situasi semasa, keadaan manusia dan perubahan zaman. Dengan pendekatan yang meraikan keadaan sekeliling maka Salafiyyah Manhajiyyah cenderung untuk menghasilkan suatu pemikiran atau fiqh baru sesuai dengan keadaan semasa tanpa mencabuli asas-asas manhaj golongan Salaf. Salafiyyah jenis yang ketiga inilah akhirnya menjadi metod utama dalam banyak gerakan-gerakan Islam yang wujud di dunia Islam pada hari ini. Salah satu gerakan Islam tersebut adalah Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh tokoh Islam terkenal al-Syahid Hasan al-Banna.

Jika kita menelusuri khazanah pemikiran yang telah ditinggalkan oleh al-Banna, kita akan dapati beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj Salafiyyah Manhajiyyah dalam dakwahnya. Antara bukti jelas kefahaman al-Banna terhadap manhaj ini ialah dengan tercetusnya prinsip al-Usul al-‘Isyrin (usul dua puluh) yang menjadi teras dalam perjuangan dakwah beliau di Mesir. Usul dua puluh ini juga akhirnya telah dijadikan asas rujukan gerakan-gerakan Islam yang lain di seluruh dunia dalam menjalankan visi dan misi dakwah mereka.

Pendekatan Salafiyyah Manhajiyyah yang dibawa oleh al-Banna jauh sekali daripada membawa imej mazhab atau aliran tertentu. Umat Islam yang melihat dan mendengar apa yang dibawa oleh al-Banna, mengetahui keikhlasan beliau hanyalah ingin menyeru umat kembali kepada Islam. Setiap golongan yang menganuti mazhab atau aliran tertentu, senang menerima dakwah yang dibawa oleh al-Banna. Tiada cercaan, tiada penghinaan, tiada sindiran dan tiada label melabel kepada mana-mana kumpulan, individu, mazhab mahupun aliran dalam dakwah yang disampaikan. Hakikatnya beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj golongan Salaf dalam dakwahnya.

Oleh itu, amat baik sekali sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mahu menegakkan dakwah Salafiyyah di Negara ini merujuk dan menghayati apa yang telah diwariskan oleh al-Banna. Tidak setakat itu, penulis juga mahu mengajak para pembaca dan pencinta Salafiyyah agar sama-sama bermuhasabah sambil melihat beberapa pesanan yang disebut oleh Dr. Rajih al-Kurdi dalam bukunya “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Antara saranan beliau di dalam buku tersebut dapat penulis ringkaskan seperti berikut:-

Kewajipan menjauhkan umat daripada membicarakan soal-soal cabang

Sewajarnya gerakan dakwah Salafiyyah Manhajiyyah tidak menghimpit pemikiran umat dengan perkara-perkara cabang fiqh yang asing bagi umat. Antaranya dengan cara memilih pandangan seorang alim atau faqih lalu menyembunyikan pandangan alim atau faqih yang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya perkara yang dibahaskan ini langsung tidak menjadi senarai utama dalam dakwah kepada umat ketika ini. Apatah lagi sekiranya ia hanyalah sesuatu yang berada di penghujung senarai keutamaan.
 
Memerangi ulama fiqh bukan cara untuk mengislah ummah

Dalam usaha mengajak umat supaya membuang rasa ta’assub, mencintai ilmu, mengikuti dalil serta membuka pintu ijtihad buat para ulama, semua ini tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah-rendah atau memperlecehkan ulama sedia ada. Menyifatkan mereka sebagai boneka ummah, menganggap ikutan kepada mereka seperti ikutan Nasrani dan Yahudi kepada pendeta dan paderi mereka berasaskan dalil surah al-Taubah ayat 31, jelas merupakan pendalilan yang tidak menepati manhaj Salaf al-Soleh dalam mengambil hukum. Memaksa orang lain mendengar dan berpuas hati dengan pandangan kita tetapi dengan cara menghentam dan menjatuhkan pandangan ulama yang lain hanya akan menjadi batu penghalang kepada dakwah Salafiyyah.

Pengajaran (dakwah) tidak boleh dengan menjatuhkan maruah para ulama terdahulu

Sekiranya matlamat anda adalah untuk mengajak para ulama kembali kepada dalil atau membuat kajian terhadap dalil-dalil atau berijtihad, maka menjatuhkan maruah mereka bukan cara yang sepatutnya digunakan untuk mendorong mereka berubah. Sekiranya bertujuan untuk mengajar umat secara umum, maka tidak ada sebab untuk anda menjatuhkan kredibiliti para ulama yang lain pada pandangan awam. Ini kerana dengan menjatuhkan kredibiliti ulama lain dan seterusnya memasukkan ijtihad anda ke dalam fikiran mereka, akhirnya membuatkan mereka akan bertaqlid dengan anda pula. Kesimpulannya anda juga menyeru kepada taqlid.

Jangan memaksa orang yang buta syariah untuk menilai dalil syar’i

Sekiranya anda berhajat untuk mempersiapkan golongan awam supaya masing-masing merujuk kepada dalil-dalil syar’i, sedangkan mereka tidak mampu berbuat demikian, tidak mampu untuk mentarjihkan (memilih yang lebih kuat) mana-mana pandangan ulama. Maka ini merupakan salah satu bentuk pengabaian dalam memahami asas-asas Islam, al-Qur’an dan al-Sunnah serta memaksa orang supaya memahaminya sebagaimana yang tidak difahami oleh para ulama Salaf. Ini juga membebankan umat dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Lebih-lebih lagi ia mungkin mendorong kemunculan golongan yang berani berijtihad dengan menggunakan akal sendiri tanpa memahami disiplin ilmu yang sebenar.

Beramal dengan apa yang kita sepakati dan bermaaf-maafan dalam perkara yang kita perselisihi.

Dalam menangani sebarang isu berbangkit, kita perlu kepada nasihat-menasihati dan saling bekerjasama demi memastikan hati-hati umat Islam sentiasa dalam kesatuan. Oleh itu kita perlu saling bekerjasama dalam apa jua perkara yang kita sepakati dan saling memaafkan pada perkara yang kita tidak sehaluan selagimana ia termasuk perkara cabang yang tidak berkaitan asas-asas Islam. Oleh itu sekiranya kita cenderung untuk memilih salah satu pendapat daripada pendapat yang dikemukakan oleh ulama Salaf, itu tidak bermakna yang lain bukan pendapat Salaf, kerana golongan Salaf juga saling berselisihan pendapat sesama mereka. Lebih-lebih lagi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh selain pendapat Salaf sebagai golongan bid’ah yang sesat. Sesungguhnya khilaf sudah lama berlaku di kalangan ulama Salaf sama ada dalam persoalan menentukan keutamaan terhadap sesuatu atau berkaitan hukum-hakam far’iyyah (cabang).

Golongan Salafiyyah terkemudian menyalahi golongan Salafiyyah sebelumnya

Sebagai contoh Syaikh al-Albani berselisih pendapat dengan Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam beberapa masalah. Al-Albani berpandangan bahawa mandi pada hari ‘Arafah itu adalah bid’ah sedangkan Ibn Taimiyyah tidak menganggap ia sabit daripada Rasulullah SAW. Al-Albani melihat bahawa solat jama’ dalam bermusafir itu sabit, Ibn Qayyim pula menganggap itu tidak termasuk petunjuk Nabi SAW. Ibn Taimiyyah mengatakan, berwuduk disebabkan menyentuh zakar itu sunat, al-Albani pula memandangnya sebagai wajib. Oleh itu, sekiranya kita memilih salah satu daripada pendapat ini, kita tidak boleh mengatakan yang dipilih itu sebagai pandangan Salaf dan yang tidak dipilih sebagai bukan Salaf, atau yang dipilih itu Sunnah dan yang tidak dipilih itu bid’ah.

Amaran daripada berpegang kepada zahir nas semata-mata

Di sana wujud kebimbangan apabila muncul segelintir golongan muda yang bersemangat dalam kembali kepada dalil-dalil syar’i tanpa memahami usul. Ini amat berbahaya kerana ia menjurus kepada memahami nusus secara zahir tanpa mendalami fiqh nusus tersebut. Ia sebenarnya lebih bahaya daripada manhaj fiqh zahiri Imam Ibn Hazm sendiri. Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang mengharamkan wanita memakai emas. Mereka beralasan memakaikan wanita dengan rantai atau gelang emas seolah-olah memakaikan mereka dengan belenggu daripada neraka. Ini sangat jelas menunjukkan golongan ini terlalu kuat berpegang kepada zahir hadith tanpa memahami fiqh hadith tersebut. Sebenarnya hadith tersebut menjelaskan tentang tegahan Nabi SAW terhadap adat jahiliyyah yang masih wujud pada zaman Baginda SAW yang memakaikan kanak-kanak mereka dengan gelang-gelang emas, cincin dan hadiah-hadiah berbentuk seperti itu. Semua ini ditakuti boleh menyebabkan jiwa si anak lelaki terbiasa dan terikat dengan emas atau barang-barang sepertinya. Jika ini berlaku sudah tentu apabila mereka dewasa, akan menyukarkan mereka untuk meninggalkan tabiat mencintai perhiasan emas, ini sudah tentu akan menyebabkan mereka terjebak melakukan perkara yang diharamkan.

Menyibukkan ummah dengan apa yang mereka perlu dan dengan apa yang boleh menyatukan hati-hati mereka

Perkara-perkara khilaf berkatan cabang fiqh tidak sepatutnya menjadi agenda utama golongan Salafiyyah sebaliknya banyak lagi agenda umat yang perlu didahulukan. Menyibukkan mereka dengan perkara-perkara khilaf hanya akan memecahbelahkan kesatuan mereka sama ada dengan disedari atau tanpa disedari. Oleh itu keutamaan Salafiyyah ketika ini iaitu mengumpulkan jiwa umat Islam agar boleh bersama bersatu padu.

Terlalu emosional dalam memerangi bid’ah, boleh menjadi punca memerangi Sunnah

Kadang-kadang terdapat orang yang keterlaluan dalam memerangi bid’ah sehingga terjebak pula kepada memerangi Sunnah sendiri. Sebagai contoh, terdapat orang yang mengharamkan azan pertama pada hari Jumaat kerana menganggap ia bid’ah, tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW. Dia sebenarnya lupa bahawa azan ini adalah Sunnah pada zaman Uthman ibn’ Affan. Ketika ia dilakukan Sahabah menyetujuinya kerana ia mengandung hikmah bagi mengumpulkan orang ramai untuk solat. Ia juga mengambil hukum Sunnah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin selepasku, berpeganglah kepadanya dengan teguh (seumpama menggigit dengan geraham)”. Selain itu, bukankah kaedah dua azan ini telah lama diadakan termasuk ia diteruskan oleh ulama Ahli Sunnah dan Salafiyyah di Riyadh dan al-Haramain al-Syarifain (Makkah dan Madinah).

Tidak tergesa-gesa menghukum bid’ah ke atas orang lain

Sesungguhnya tergesa-gesa dalam menghukum orang lain sebagai bid’ah adalah merupakan sesuatu yang tertolak dalam mafhum Salafiyyah Manhajiyyah. Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum ke atas manusia di dunia, apatah lagi kita juga bukan penghukum kepada mereka di akhirat nanti sama ada penghuni neraka mahupun syurga.

Mengumum dalam menghukum bukan daripada sifat Salaf

Ini adalah perbuatan yang amat tidak beradab dalam membuat teguran. Bukan daripada sifat Salaf membuat teguran secara terbuka dalam bentuk ta’mim atau mengumum sesuatu hukum. Lebih-lebih lagi sekiranya ia ditujukan kepada pemegang ijazah dalam bidang agama yang disegani atau dikenali masyarakat. Menuduh mereka dengan jahil, penyebar hadith palsu, penghikayat dan sebagainya merupakan hukum ta’mim yang boleh merendah-rendahkan kredibiliti golongan agama sendiri. Ini kerana hukum ta’mim kepada yang tertuduh hanya akan mendapat reaksi balas secara ta’mim juga oleh ahli masyarakat awam.

Wajib berbaik sangka dengan semua golongan yang menyumbang kepada Islam.

Sesungguhnya dakwah Salafiyyah masakini adalah dakwah yang memerlukan kerja keras daripada semua lapisan masyarakat. Sama ada di peringkat individu, jamaah, swasta mahupun kerajaan, kesemuanya perlu berganding bahu untuk memastikan dakwah Islam sampai kepada golongan sasaran.

Kesimpulannya, apa yang penting menurut mafhum Salafiyyah Manhajiyyah, adalah penyampaian dakwah Islam itu sendiri. Ia melampaui batasan mazhab atau apa jua bentuk aliran pemikiran yang menjadi khilaf dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keutamaan adalah mengembalikan umat kepada Islam yang sebenar dan seterusnya membentuk kembali kesatuan dan kekuatan umat seperti mana suatu ketika dahulu.