Selasa, 29 Disember 2009

BILA USTAZ SAMAN USTAZ



Alangkah sedihnya melihat dua orang ustaz yang bertelagah kerana pandangan peribadi dan tuduh menuduh sesama sendiri. A mengatakan B Wahabi. B pula kata A Syiah. Kedua-duanya membawa pandangan peribadi, oleh itu metodologi dalam menangani masalah mereka pun adalah cara peribadi. Saman. Kedua-duanya penjawat awam kerana bekerja di sektor awam tetapi pandangan, sikap dan metodologi mereka tidak mencerminkan identiti mereka sebagai penjawat awam. Mungkin title 'pendakwah bebas' lebih sesuai untuk mereka berdua.

Bagi penulis, agama Islam di negara ini ada penjaganya. Majlis Raja-raja, institusi agama pusat seperti JAKIM, institusi agama negeri seperti JAIN kesemuanya bertanggungjawab menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini. Masing-masing mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan apa jua masalah, mereka memiliki panel-panel dan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dalam memutuskan apa jua masalah sama ada berupa aqidah mahupun syariah. Tak perlu untuk mana-mana individu di negara ini berlagak sebagai 'hero' atau 'jaguh' kononnya sebagai pejuang itu dan ini. Biarkan mereka yang ahli dan berautoriti memutuskan. 

Sesuatu pandangan, jika ia bersifat peribadi tidak akan ke mana jua. Ia hanya akan menjadi polemik yang tak berkesudahan. Jika sesuatu isu itu, sifatnya 'akademik'. Biarkan ia dibincangkan di gelanggang-gelanggang ahli sarjana di universiti. Kita punya ramai profesor-profesor dalam pengajian Islam dengan pelbagai kepakaran. Biarkan mereka berdebat dan berhujjah dalam membahaskan apa jua isu agama yang bersifat akademik. Bukankah hujjah dibalas hujjah.

Tetapi hari ini sebaliknya berlaku. Dua orang ustaz bergaduh. Saman menjadi pertaruhan. Pengikut pula saling bersorak. Mohon kepada Allah SWT, agar jangan sampai agama tergadai...