Jumaat, 25 Jun 2010

PELIK...TAPI BENAR...

Kadang-kadang bila memikirkan isu yang sedang berlaku sehari dua ini, penulis merasa sedikit lucu. Sebenarnya apa yang timbul adalah 'orang yang bukan ahli' dijemput memberi taklimat berkenaan sesuatu yang dia sendiri tiada autoriti untuk mewakili jabatan. Lebih lawak lagi yang menjemputnya adalah juga agensi kerajaan dan dibentangkan  di hadapan cendekiawan dan cerdik pandai kerajaan. Inilah akibat apabila bekerja tanpa sistem. Yang dijemput mungkin tidak salah kerana dia hanya menerima jemputan. Apa yang penting dia hanya melontarkan pandangan. Sama ada dia mewakili jabatannya atau tidak, bagi dia itu tidak penting!

Hakikatnya isu ini boleh selesai jika agensi kerajaan yang menjemput itu bersikap profesional. Bukankah isu 'Wahhabiyyah' adalah isu agama dan melibatkan isu yang amat sensitif kerana ia bukan hanya melibatkan soal 'local'. Malah isu ini telah dikaitkan pula dengan soal keselamatan negara. Kenapa tidak agensi-agensi berkenaan merujuk terus kepada Ketua Pengarah JAKIM untuk mengetahu pendirian rasmi JAKIM berkenaan isu 'Wahhabiyyah'? Bukankah di bawah JAKIM itu ada bahagian khusus yang menyelidik dan bertanggungjawab memantau isu berkenaan dgn kerjasama SB Bkt Aman? Bukankah di bawah JAKIM ada Panel Kajian Aqidah (PKA) yang terdiri daripada 15 orang profesor dalam bidang pemikiran Islam & Usuluddin dan dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan? Bukankah di bawah JAKIM sudah ada mesyuarat-mesyuarat penting yang melibatkan agensi-agensi keselamatan untuk dibincangkan secara rasmi dan tertutup berkenaan satu-satu isu yang serius? Walhasil, mengapa pulak dipanggil 'orang yang tidak berkenaan' untuk membentangkan isu yang hanya dilontarkan melalui satu pandangan peribadi dan tidak disahkan melalui mana-mana prosedur JAKIM. Tidak melalui PKA, tidak melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan tidak juga melalui mana-mana saluran mesyuarat rasmi di JAKIM???

Lebih melucukan, ada yang mempercayai tuduhan kebudak-budakan yang mengatakan JAKIM dipengaruhi para pegawai pro Wahhabi. Alangkah dangkalnya tuduhan ini. Ia seolah-olah mempermain-mainkan pengurusan tertinggi JAKIM dan para ilmuwan yang menganggotai Panel Aqidah dan Panel Syariah JAKIM (kerana mereka ini terlibat dalam keputusan-keputusan JAKIM berkenaan isu-isu agama). Apapun penulis mohon kepada Allah SWT semoga segala kecelaruan diperbetulkan dan agensi-agensi kerajaan terbabit hendak kembali bersikap profesional dalam bertindak dan tidak termakan dengan tuduhan-tuduhan tak masuk akal yang dibuat oleh yang menuduh. Wallahu a'lam.

Read more >>

Rabu, 23 Jun 2010

SETIAP WAHHABI ADALAH PENGGANAS?

Nampaknya isu Wahhabiyyah kembali timbul. Kali ini Wahhabiyyah dikaitkan secara direct dengan gerakan pengganas. Akibatnya ramai di kalangan para ustaz dan ahli akademik yang menjadi 'pengganas segera' akibat tuduhan melulu pihak-pihak tersebut. Turut dituduh adalah Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dan Dato' Dr. Johari Mat, mereka adalah ahli Panel Kajian Aqidah JAKIM sejak awal mula Panel Kajian Aqidah JAKIM ditubuhkan pada tahun 1993. Tetapi kelancangan mulut pihak-pihak penabur fitnah, mereka menuduh kononnya penulis yang baru berkhidmat di JAKIM pada 2005 yang membawa masuk dua orang tokoh tersebut, sedangkan penulis masih berada di sekolah menengah pada ketika itu.

Penulis juga dituduh kononnya penyebab sehingga ajaran Wahabi tidak disesatkan. Subhanallah!! Siapalah penulis untuk menyesatkan sesuatu kumpulan. Penulis bukan mufti atau pembuat keputusan @ dasar. Malah penulis hanyalah seorang pegawai biasa yang pada hari ini ditempatkan sebagai penyelidik di Cawangan Aqidah, Penyelidikan JAKIM, dan esok lusa mungkin di bahagian lain. Terpulang kepada Ketua Pengarah JAKIM...Lagipun dasar dan keputusan berkenaan Wahhabi telah wujud sebelum penulis sendiri mula berkhidmat dengan JAKIM pada 2005. Perbincangan tentang Wahabi telah dibuat beberapa kali di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003.

Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat". Minit-minit tentang perkara tersebut ada terdapat di dalam fail-fail sulit JAKIM...apakah bila penulis membentangkan isu ajaran sesat dan menyebut fakta dan keputusan rasmi bahawa 'Wahabi tidak sesat tetapi perlu disekat kerana boleh memecahbelahkan ummah', maka penulis pula yang dituduh Wahabi? Terserahlah para penuduh dan pemfitnah sekalian. Kepada Allah SWT sahaja penulis berserah...

Berikut adalah tulisan penulis tentang Wahabi yang pernah disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan JAKIM..sila baca:

Isu Wahhabi kembali muncul apabila ia mula diperkatakan terutamanya di beberapa akhbar arus perdana di negara ini. Ia kembali menjadi topik yang hangat dibincangkan oleh beberapa individu yang merasa terpanggil untuk barangkali mempertahankan fahaman atau ideologi masing-masing. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan terdapat dua kelompok utama yang begitu bersemangat dengan penuh komitmen dalam membawa isu ini ke pentas perdana sebagai paparan kepada masyarakat awam.

Pertama, golongan yang mempertahankan habis-habisan gerakan atau fahaman Wahhabi serta berusaha dengan apa cara sekalipun mengumpul hujjah untuk menyatakan bahawa kebenaran tetap berada di pihaknya tanpa sebarang kompromi. Manakala kumpulan kedua pula berusaha menegakkan hujjah-hujjah untuk menjatuhkan hukuman muktamad bagi menetapkan bahawa Wahhabi adalah kumpulan yang sesat atau dalam bahasa yang lebih lembut menyimpang daripada akidah Islam sebenar yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia iaitu akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Secara kasar, inilah dua kumpulan yang sering diberi ruang di dada-dada akhbar untuk membentangkan ideologi serta pandangan masing-masing terhadap isu ini sehingga ia menjadi panas serta mula heboh diperkatakan semula oleh masyarakat awam bermula daripada mereka yang berpengetahuan cetek dalam agama sehinggalah kepada golongan yang dianggap oleh umum sebagai intelektual Islam.

Pada hakikatnya isu Wahhabi bukanlah satu isu baru yang kini perlu diterjemah, dikarang, dibahas mahupun dibangkitkan semula. Ini kerana isu ini telah lama bertapak di semenanjung Tanah Melayu dengan kemunculan satu golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda pada awal abad ke-20 yang lalu, kesan daripada pembawaan beberapa orang pelajar Malaysia dan Indonesia yang berkesempatan menceduk ilmu agama di Mekah, Mesir dan India.

Pada waktu itu tempat-tempat tersebut telah dipengaruhi oleh gerakan Wahhabi yang mendukung idea Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, manakala di Mesir timbul gerakan Islah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Keadaan seperti ini juga berlaku di India dengan ajaran Waliyyullah al-Dahlawi.

Di Malaysia gerakan dakwah Salafiyyah yang dibawa oleh Kaum Muda ini akhirnya lebih dikenali oleh masyarakat awam sebagai kumpulan Wahhabi, ia amat sinonim dengan kumpulan tersebut memandangkan cara pergerakan mereka yang agak agresif, tambahan pula gelaran ini merupakan panggilan yang seringkali dicanang oleh musuh-musuh tradisi puak Wahhabi seumpama kumpulan-kumpulan tarekat dan golongan Asya'irah beraliran kesufian.

Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh dipesongkan oleh mana-mana pihak, pertentangan sememangnya pernah berlaku antara Kaum Muda dan Kaum Tua satu masa dahulu, namun setelah beberapa lama isu ini mendiamkan diri, nampaknya ada pihak yang kembali memukul gendang menghingarkan suasana mengajak masyarakat berbicara semula berkisar isu yang kian menyepi ini.

Dalam menangani isu ini, kita perlu jelas tentang apakah isu sebenar yang ingin kita tangani? Adakah kita ingin menangani Wahhabi sebagai satu kumpulan ajaran sesat? Atau sekadar menangani isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan ini seumpama menolak tahlil arwah, menolak talqin mayat, menolak wirid selepas solat fardhu, menolak bacaan Yasiin pada malam Jumaat, bid'ah membid'ah dan sebagainya yang bersifat boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Bertitik tolak dari persoalan inilah maka kita perlu memulakan langkah dalam menangani gerakan Wahhabi. Menjawab kepada persoalan pertama, adakah Wahhabi merupakan satu kumpulan sesat yang perlu dibanteras sehingga ke akar umbi? Sekiranya ini yang kita pilih maka ia perlu dilihat bukan sahaja dari aspek Wahhabi dalam konteks Malaysia bahkan bermakna kita juga terjebak ke dalam menghukum sebuah negara besar umat Islam sebagai sesat, begitu juga beberapa ulama Islam dahulu dan kini yang tersohor juga sesat seumpama Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, al-Zahabi, Ibnu Kathir, Ibnu Abi al-Izz, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Uthaimin, Ibnu Baz, Nasir al-Din al-Albani dan selainnya. Adakah benar mereka ini mempunyai kaitan dengan isu Wahhabi yang ingin kita tangani di negara ini?

Merujuk kepada sejarah umat Islam, Wahhabi sering dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang cuba untuk menghidupkan kembali Mazhab Salaf dalam memahami akidah Islam. Mazhab Salaf pula bukanlah sesuatu yang direka-reka seperti dakwaan golongan yang terlalu fanatik dalam menolak fahaman Wahhabi. Sebagai contoh Mazhab Salaf dalam pembicaraan 'nas-nas mutasyabihat' (nas-nas yang zahir lafaznya menyamai sifat makhluk) disifatkan sebagai mengambil pendirian 'al-tawaqquf al-kamil'. Ibnu al-Jauzi menegaskan apa yang dimaksudkan dengan al-tawaqquf al-kamil di sisi Mazhab Salaf itu ialah tidak berpihak kepada 'takwil' (mengambil makna lain dari sudut bahasa) dan tidak terjebak kepada 'tasybih' (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk). (Dirasat fi al-Firaq wa al-'Aqa'id al-Islamiyyah, ms. 196, dinukil daripada kitab Ibnu Jauzi, Daf'u Syubah al-Tasybih)

Sejarah juga menjadi saksi bahawa gerakan menghidupkan semula Mazhab Salaf ini didirikan semula di tengah-tengah zaman keagungan Mazhab Asya'irah yang pada ketika itu telah mendapat kedudukan yang begitu tinggi dan meluas di dalam dunia Islam. Mazhab Asyai'rah bermula apabila Abu al-Hasan al-Asy'ari (332H) mula menulis hujjah-hujjah bangkangan terhadap golongan yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, khususnya golongan Mu'tazilah dengan menggunakan metod pemikiran sehingga menggugat kedudukan Mu'tazilah pada ketika itu. (Tamhid Li Tarikhi al-Falsafah al-Islamiyyah, ms. 289) Hasilnya perjuangan beliau telah melahirkan tokoh-tokoh Ahli Sunnah yang ramai seumpama al-Qadhi al-Baqillani (403H), al-Isfarayini (418H), Abu Mansur al-Baghdadi (429H), Imam al-Haramain al-Juwaini (478H), al-Ghazali (505H) dan selainnya begitu ramai.

Golongan di atas cuba menghidupkan kembali Mazhab Salaf bermetodkan Hanabilah yang berasaskan pengambilan dalil-dalil akidah hanya bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah. Mereka menolak metod memahami akidah berasaskan pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh Mu'tazilah dan Asya'irah terutamanya sebahagian ulama Asya'irah yang melampau dalam merujuk kitab-kitab falsafah sehingga tidak dapat membezakan antara falsafah dan ilmu kalam seumpama yang berlaku kepada al-Baidhawi (661H) dalam kitabnya 'al-Thawali' dan 'Adhud al-Din al-Iji (705H) dalam kitabnya 'al-Mawaqif'. Imam al-Taftazani dalam muqaddimah kitabnya 'Ilm al-Kalam Wa Ba'dh Musykilatih' (ms. Ba) pernah menyebut: "Yang benar, sesungguhnya para mutakallim Islam khususnya golongan yang kebelakangan tidak lagi berhenti pada kadar untuk menjelaskan akidah, tetapi mereka telah melampaui sehingga berbincang tentang perkara-perkara yang hampir kepada falsafah tulin…".

Kesimpulannya, golongan Salafiyyah yang mendokong Mazhab Salaf ini wujud sebagai tindak balas kepada penggunaan Ilmu Kalam yang semakin berleluasa oleh Mazhab Asya'irah pada zaman tersebut. Ia semakin popular pada zaman Ibnu Taimiyyah apabila beliau begitu lantang dan tegas sekali dalam menolak metod pemikiran yang digunakan oleh Asya'irah untuk mensabitkan akidah. Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang paling kuat dalam menentang kebatilan dan kesesatan yang dibawa oleh golongan Syiah dan tarekat sufi. Maka umat Islam pada ketika itu dapat dilihat terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok menjadi pengikut kuat Ibnu Taimiyyah dan mengambil pandangan-pandangannya sehingga mereka menggelarkannya sebagai Syaikh al-Islam. Sementara kelompok kedua pula menentangnya, mengkritik pandangannya bahkan menyesatkannya. Seterusnya aliran Salafiyyah ini dikembangkan dengan lebih keras lagi di bawah bimbingan Muhammad bin Abdul Wahab (1206H) pada kurun ke-12 hijrah sehingga akhirnya aliran ini bertapak kukuh terutamanya di Arab Saudi dan beberapa tempat lain di dunia Islam seumpama di India dan Pakistan.

Hasil daripada ketrampilan dan kewibawaan pengasasnya iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, maka lahirlah satu gerakan dakwah yang teratur dan terancang dalam memerangi bid'ah dan khurafat yang berlaku di zamannya, di samping berusaha dengan gigih mengembalikan metod Mazhab Salaf dalam memahami akidah tambahan pula ia telah mendapat sokongan padu daripada pemimpin setempat iaitu Amir Muhammad bin Saud (1197H) yang akhirnya telah membantu perluasan pengaruh gerakan ini ke seluruh semenanjung Tanah Arab.

Hakikatnya Muhammad bin Abdul Wahab tidaklah bertujuan membawa fahaman baru atau mazhab baru yang terkeluar daripada mazhab empat yang utama, beliau sendiri pernah menegaskan, katanya: "Dan adapun mazhab kami adalah mazhab Imam Ahmad bin Hanbal Imam Ahli Sunnah pada perkara furu' dan kami tidak mengajak berijtihad, tetapi apabila nyata kepada kami Sunnah Sahihah daripada Rasulullah s.a.w. maka kami mengamalkannya, dan kami tidak sekali-kali mendahulukannya (Nabi s.a.w.) dengan sesiapa jua". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Muhammad bin Abdul Wahab juga mengakui bahawa beliau mempunyai qudwah (model) yang menjadi idola ikutannya iaitu Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, namun bukan semua itu diikuti dengan membuta tuli, beliau berkata: "Ibnu Qayyim dan gurunya (Ibnu Taimiyyah)…kitab-kitab mereka di sisi kitab adalah seutama kitab (rujukan penting), melainkan kami tidak bertaqlid dengannya dalam kesemua masalah". (Muhammad bin Abdul Wahab, Muslih Mazlum Wa Muftara 'Alaihi, ms. 181)

Seterusnya Muhammad bin Abdul Wahab juga menegaskan bahawa beliau berusaha untuk menjadi seorang pengikut Sunnah bukan terkeluar daripada Sunnah, dalam risalah beliau kepada Abdul Rahman bin Abdullah al-Suwaidi, alim ahli Iraq, beliau berkata: "Dan aku memberitahumu sesungguhnya aku dengan penuh kesyukuran seorang pengikut (Sunnah) dan bukan mubtadi' (ahli bid'ah), akidahku dan agamaku yang aku berpandu adalah Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang didokong oleh para imam muslimin, seumpama imam yang empat dan pengikut mereka sehingga ke Hari Kiamat". (Al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asolah Wa al-Mu'asarah, ms. 49)

Namun begitu gerakan Wahhabiyyah tidak sunyi daripada kesalahan dan kesilapan terutama dalam metod mereka berdakwah mengajak manusia kembali kepada Manhaj Salaf yang sebenar. Muhammad Abu Zuhrah menyebut dalam kitabnya beberapa kesilapan metodologi dakwah yang disebar oleh gerakan Wahhabiyyah, antaranya kata beliau: "Mereka (Wahhabiyyah) tidak cukup menjadikan hanya ibadat yang mesti diikuti mengikut Islam sebagaimana dalam al-Qur'an dan Sunnah serta (pandangan) Ibnu Taimiyyah, bahkan juga mengkehendaki adat juga hendaklah tidak terkeluar daripada lingkaran Islam lalu mereka mewajibkan (orang lain) apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka, kerana itu mereka mengharamkan rokok, bahkan bertegas dalam pengharamannya, sehingga golongan awam di kalangan mereka menganggap perokok adalah seumpama orang musyrik, maka mereka seumpama Khawarij yang (satu ketika dahulu) mengkafirkan pelaku dosa besar". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Muhammad Abu Zuhrah seterusnya memberi kesimpulan bahawa punca kesilapan mereka adalah kerana keterlaluan dalam berpegang kepada pandangan Ibnu Taimiyyah, tambahan pula mereka telah melebarkan lagi mafhum bid'ah sehingga menganggap perkara yang langsung tiada hubungkaitnya dengan ibadat juga termasuk ke dalam erti kata bid'ah, sedangkan bid'ah sebenarnya adalah perkara-perkara ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tanpa mempunyai asas dalil agama, contohnya meletakkan kain tirai di atas Raudhah al-Syarifah ia tidak dikatakan oleh sesiapa pun bahawa ia termasuk perkara ibadat tetapi mereka melakukannya dengan maksud menghiasinya supaya kelihatan cantik pada pandangan yang melihat… ". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 209)

Walau bagaimanapun Muhammad Abu Zuhrah tidak pernah mengatakan kesalahan ini adalah berpunca rentetan kesalahan tokoh impiannya iaitu Ibnu Taimiyyah dalam memahami akidah, bahkan dalam bukunya, beliau meletakkan satu bab khusus berkenaan Ibnu Taimiyyah menceritakan betapa gigihnya perjuangan Ibnu Taimiyyah dalam menghidupkan kembali aliran Mazhab Salaf dalam memahami akidah sehingga ditimpa dengan pelbagai ujian yang berat dan sampai kepada tahap menggugat keselamatan nyawa dan dirinya sendiri. Inilah contoh sifat amanah ilmiyyah yang dimiliki oleh Muhammad Abu Zuhrah, walaupun beliau seorang yang beraliran Asya'irah dan bersikap kontra dengan pemikiran Wahhabiyyah namun beliau tidak menghukum membabi buta setiap tokoh yang dianggap penyumbang kepada gerakan ini.

Walau apa pun kelemahan yang terdapat pada gerakan Muhammad bin Abdul Wahab namun jasa-jasa yang pernah disumbangkan oleh tokoh ini tetap tidak dilupakan, sekiranya dikaji dengan lebih jauh terdapat komentar-komentar yang berbentuk penghargaan telah dirakamkan oleh ulama-ulama dahulu dan kini terhadap gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Antara para ulama' yang memuji atas jasa gerakan Muhammad bin Abdul Wahab adalah Imam Son'ani (pengarang kitab Subul al-Salam), Imam Syaukani (pengarang kitab Nail al-Authar), Syaikh Muhammad Rasyid Ridha, Abu al-'Ala al-Mawdudi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syaikh Muhammad al-Ghazali, Syaikh Muhammad Qutub dan lain-lain yang kebanyakannya merupakan pendokong gerakan-gerakan Islam semenjak dahulu hingga kini yang berusaha mengembalikan khilafah Islam yang runtuh pada suatu ketika dahulu.

Kita juga boleh merujuk kepada pandangan-pandangan penulis sejarah semasa seumpama Muhammad Kurd (kitab al-Qadim Wal Hadith), Hafiz Wahbah (kitab Jazirah al-Arab fil Qarn al-'Isyrin), al-Zirkili (kitab al-'Alam) dan 'Abbas Mahmud al-'Aqqad (kitab Al-Islam fi al-Qarn al-'Isyrin). Sekiranya pengkajian dilakukan dengan pemikiran yang terbuka maka kitab-kitab ini akan dibaca dengan lapang dada namun sekiranya tidak sudah tentu semua nama-nama yang dinyatakan di atas juga akan dituduh sebagai penganut Wahhabiyyah atau cenderung (bias) Wahhabi walaupun mereka hanya merupakan pemerhati dan pengkaji sejarah yang profesional.

Berbalik kepada isu sebenar kepada persoalan pertama di atas iaitu, adakah Wahhabiyyah merupakan salah sebuah ajaran sesat? Jawapan mudah yang kita boleh berikan ia bukanlah sebuah ajaran sesat bahkan akidah golongan ini adalah masih berada dalam lingkungan kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Justeru itu kita tidak dapati kitab-kitab yang membicarakan persoalan Firaq Islamiyyah (Pecahan Mazhab Akidah Islam) masakini memasukkan mereka sebagai golongan ahli bid'ah, tetapi mereka boleh kita kategorikan sebagai antara golongan yang tasyaddud (keras) dalam mempertahankan alirannya dan sememangnya sudah menjadi lumrah setiap yang berlebih-lebihan itu akan membawa keburukan kepada ahlinya sendiri, maka dengan itu kita akan dapati terdapat golongan yang terlalu berang dengan kewujudan kumpulan ini sehingga ke peringkat menyesatkan mereka bahkan ke peringkat mengkafirkan mereka.

Di negara-negara Islam Timur Tengah pertembungan antara Wahhabiyyah (yang dikatakan mewakili golongan yang mendokong Mazhab Salaf atau aliran Salafiyyah) dengan beberapa individu serta kumpulan tertentu yang mendokong aliran Asya'irah sememangnya berlaku. Banyak kitab-kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh aliran masing-masing untuk mempertahankan ideologi mereka. Di sebelah pihak yang mewakili Wahhabiyyah sudah tentulah tokoh-tokoh tersebut tertumpu kepada ulama-ulama besar serta ahli-ahli akademi yang berasal dari Negara Arab Saudi yang menjadi pusat pertumbuhan aliran ini, mereka hanya meneruskan kesinambungan mempertahankan akidah yang mereka terima semenjak turun temurun sebagaimana yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 hijrah yang lalu.

Manakala di pihak yang menentang pula maka timbul beberapa nama yang cukup terkenal dalam usaha menentang keras aliran Wahhabiyyah, maka lahirlah nama-nama seumpama Muhammad Zahid al-Kauthari (1371H) yang terkenal dengan kitabnya 'Maqalat al-Kauthari', Hasan al-Maliki pengarang kitab 'Muzakkirat al-'Aqa'id' dan yang paling menonjol pada ketika ini iaitu Hassan bin Ali al-Saqqaf yang banyak mengarang kitab-kitab menolak gerakan Wahhabiyyah bahkan sampai kepada tahap cuba menolak kewujudan aliran Mazhab Salaf (yang berlainan pandangan dengan mazhab Asya'irah) serta pendokong-pendokongnya seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah serta selainnya.

Kelantangan al-Saqqaf berdakwah dalam memerangi Wahhabiyyah atau Salafiyyah terutama di Negara Jordan juga didokong dan disokong penuh oleh satu kumpulan beraliran ekstrimis Asya'irah bergelar al-Ahbasy. Al-Ahbasy merupakan satu kumpulan yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari al-Habasyi yang berpandangan cukup melampau dalam membangkang golongan Wahhabi dan Salafi sehingga ke peringkat mengkafirkan beberapa ulama Islam tersohor secara terang lagi nyata seumpama Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi. Tindakan mereka ini akhirnya telah membawa kepada pengharaman kumpulan ini dengan difatwakan sebagai sesat oleh beberapa ulama besar dan institusi fatwa terkemuka seumpama Prof. Ali Jum'ah, Mufti Mesir, Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar, Institut Kajian Ilmiyyah Arab Saudi dan Majlis Tertingga Fatwa Amerika Selatan.

Pemikiran al-Saqqaf ini juga tidak disenangi oleh para ulama Asya'irah semasa seumpama Syaikh Syuaib al-Arna'uth yang merupakan muhaqqiq hadith tersohor, begitu juga para ahli akademi seumpama Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi, Dekan Kulliyyah al-Dirasat al-Fiqhiyyah Wa al-Qanuniyyah Universiti Al al-Bayt, Jordan yang merupakan pengarang kitab Usul al-Din al-Islami yang menjadi sebahagian silibus pengajian kebanyakan universiti-universiti Timur Tengah pada hari ini. Mereka memberi komentar bahawa kaedah pendekatan yang dibawa oleh al-Saqqaf boleh menimbulkan salah faham di kalangan generasi baru umat Islam terhadap tokoh-tokoh ulama terdahulu serta menggalakkan budaya tuduh-menuduh serta boleh membawa kepada fitnah kafir mengkafir sesama umat Islam.

Di samping itu al-Saqqaf juga dikatakan mempunyai kecenderungan kepada Syiah walaupun beliau bukan seorang Syiah (istilah Arab dipanggil mutasyaiyyi'), ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan beliau yang banyak menyebelahi Syiah seumpama mempertikaikan Mu'awiyah sahabat Rasulullah s.a.w., mentashihkan hadith "ana madinat al'ilmi wa Aliyyu babuha" (aku bandar ilmu sedangkan Ali pintunya), menolak hadith Kitab Allah dan Sunnahku dan mentashihkan hadith Kitab Allah dan Ahli Baytku serta pandangan selainnya yang menyebabkan beliau dituduh sebagai berkecenderungan Syiah. Antara kesan buruk daripada kelantangan golongan ini menentang golongan Salafiyyah, akhirnya ia telah memberi satu kelebihan buat mazhab Syiah untuk memantapkan hujjah-hujjah mereka, sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab Syiah kontemporari kita akan dapati satu metod baru yang dilaksanakan oleh Syiah adalah menggunakan bahasa Ahli Sunnah untuk menolak Ahli Sunnah sendiri. Antaranya ia boleh dirujuk di laman web Syiah beralamat di aqaed.com/shialib/books.

Secara keseluruhan apa yang dibahas, dibincang dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah ini sama ada golongan ekstrimis Asya'irah mahupun ekstrimis Salafiyyah Wahhabiyyah adalah terlalu jauh untuk difahami oleh lapisan masyarakat umat Islam di Malaysia yang setakat mempunyai pengetahuan asas dalam agama. Di dalam kitab-kitab pihak yang bercakaran ini tumpuan perbahasan adalah berkisar perkara-perkara khilaf berhubung masalah ayat-ayat mutasyabihat (yang zahirnya menyerupai makhluk) sama ada ia perlu ditakwil ataupun tidak, soal menentukan Manhaj Salaf yang sebenar antara metod takwil dan tafwidh, mempersoalkan kesahihan dari sudut pendalilan sesuatu hukum, mempersoalkan kedudukan martabat satu-satu hadith yang dijadikan sumber hukum, mempersoalkan kewibawaan tokoh satu-satu aliran malah sehingga ke peringkat mempersoalkan akidah seseorang tokoh dan alirannya seolah-olah mereka bukan dari Ahli Sunnah bahkan mengeluarkan mereka daripada Islam!

Apakah isu yang seumpama ini sesuai untuk dibangkit serta diwar-warkan ke seluruh negara dengan alasan ia perlu untuk menjamin kesejahteraan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sekian lama wujud di negara ini. Jika itu alasannya maka satu persoalan yang perlu dilontarkan adakah sebelum wujudnya aliran Wahhabiyyah maka umat Islam di negara ini sudah benar-benar berpegang teguh kepada Ahli Sunnah yang beraliran Asya'irah tanpa memasukkan ke dalamnya sebarang anasir atau unsur-unsur luar seumpama pengaruh sesetengah tarekat kesufian (tasawwuf teosofi) yang menyimpang dan adat setempat yang bersalutan dengan pelbagai khurafat. Jika jawapannya benar maka memang tepat sekali kita membenamkan terus gerakan Wahhabiyyah ini kerana ia sememangnya mengancam akidah umat Islam, tetapi sekiranya tidak maka kita perlu menilai apakah kesilapan sebenar mereka dan seterusnya menangani mereka mengikut kadar kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan tanpa perlu lebih daripada itu.

Kesimpulannya kita hendaklah bersikap lebih adil dalam menilai pihak yang terlibat dalam isu ini, Wahhabiyyah di Malaysia hendaklah ditangani sebagai satu isu yang timbul hasil daripada sikap kefanatikan sesetengah pendokong dan pengikutnya. Ia tidak wajar dihukumkan sehingga melibatkan mereka yang langsung tiada kena-mengena dalam isu ini seumpama membabitkan pengkafiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim serta pengharaman buku-buku mereka sehinggalah wujud satu tradisi mengajak masyarakat label-melabel tokoh-tokoh ulama besar termasuk menuduh Dr. Yusof al-Qardhawi sebagai Wahhabi bahkan mana-mana ulama yang beraliran kontra dengan Asya'irah adalah termasuk ke dalam golongan Wahhabiyyah.

Lihat bagaimana ketika Dr. Yusof al-Qardhawi ditanya tentang dakwaan bahawa gerakan Ikhwan Muslimun beriktikad dengan aliran Asya'irah. Beliau menjawab: "Tuduhan bahawa Ikhwan Muslimun termasuk ke dalam Asya'irah tidak langsung mengurangkan kedudukan mereka, ini kerana umat Islam sendiri majoriti mereka adalah Asya'irah Maturidiyyah-mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari, Malikiyyah dan Syafi'iyyah beraliran Asya'irah manakala Hanafiyyah beraliran Maturidiyyah. Universiti-universiti agama di dunia Islam juga Asya'irah atau Maturidiyyah: al-Azhar di Mesir, al-Zaitunah di Tunisia, al-Qurawiyyin di Maghrib dan Dioband di India…maka sekiranya kita mengatakan bahawa Asya'irah bukan Ahli Sunnah sudah tentu kita akan menghukum umat Islam keseluruhannya dengan kesesatan…manakala saudara kita Salafiyyun yang mencela Asya'irah secara mutlak, mereka melakukan kesilapan dan melampau, oleh itu Asya'irah (sememangnya) adalah daripada Ahli Sunnah…walaupun pada hakikatnya Ikhwan Muslimun bukanlah pada umumnya beraliran Asya'irah, dan tidak juga memerangi Asya'irah, mereka menyandarkan akidah mereka pertama daripada al-Qur'an dan kedua daripada Sunnah seterusnya melihat daripada pandangan mana-mana pihak yang terbaik buat mereka…". (Islam Online)

Satu lagi contoh yang boleh kita bawa adalah fatwa Muhammad al-Soleh al-Uthaimin (Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dianggap sebagai tonggak Wahhabiyah) ketika beliau ditanya tentang hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan ahli takwil di kalangan umat Islam. Beliau menjawab: "Hukum mengkafirkan atau mengfasiqkan bukanlah tanggungjawab kita, bahkan ia merupakan hak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, ia termasuk dalam hukum-hakam syara' yang perlu dirujuk kepada Kitab dan Sunnah, maka wajib kita tathabbut (teliti dengan mendalam) benar-benar tathabbut, maka tidak dikafirkan atau difasiqkan sesiapa melainkan orang yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah atas kefasiqannya atau kekafirannya, kerana asal seorang muslim itu kekal Islamnya dan kekal kejujurannya ('adalahnya) sehinggalah ada dalil syara' yang menunjukkan penafiannya". (al-Qawa'id al-Muthla fi Sifat al-Allah Wa Asma'ihi al-Husna, ms. 148)

Dua contoh di atas sudah cukup kepada kita untuk menunjukkan sifat adab dan amanah ilmiyyah yang masih dipegang oleh para ulama Ahli Sunnah walaupun boleh jadi mereka berbeza pandangan dengan sesama mereka namun mereka sedar bahawa kesemuanya masih dalam lingkungan Islam dan Ahli Sunnah. Inilah apa yang cuba diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna ketika beliau cuba menyatukan kembali umat Islam di zamannya di bawah gerakan Ikhwan Muslimun sehingga lahirnya Usul al-Isyrin yang menetapkan beberapa asas penting untuk mengembalikan kesatuan umat Islam pada waktu itu. Antara apa yang ditekankan oleh beliau adalah hakikat perselisihan pendapat yang wujud adalah tidak mungkin dielakkan, namun ia tidak sekali-kali boleh dijadikan alasan punca umat Islam mesti berpecah, malah perselisihan itu berlaku kerana kecintaan kepada Allah (untuk mencari realiti keilmuan yang benar) dan kerjasama untuk sampai kepada kebenaran tanpa sebarang perbalahan yang tercela dan unsur-unsur ketaksuban. (Majmu' al-Rasa'il, ms. 13)

Seorang sufi terkenal al-Harith al-Muhasibi sebagaimana yang disalin oleh Jamaluddin al-Qasimi di bawah bab 'Nasihat li Thalib al-Ilmi' (nasihat kepada penuntut ilmu) menyebut: "Hendaklah kamu wahai murid, memilih jalan yang beradab terhadap para imam yang lalu, dan jangan kamu melihat kepada perkataan (komen negatif) mereka ke atas (imam) yang lain melainkan dengan dalil yang nyata. Kemudian sekiranya kamu mampu mentakwilnya dan bersangka baik dengannya maka hendaklah berbuat demikian, sekiranya tidak maka tinggalkan apa yang berlaku di kalangan mereka, sesungguhnya kamu tidak dijadikan untuk ini (menghukum mereka), maka sibukkan diri dengan apa yang berfaedah kepada kamu dan tinggalkan apa yang tidak berfaedah kepada kamu". (al-Jarh Wa al-Ta'dil, ms. 73)

Setelah memahami kesemua fakta-fakta di atas dengan sebaik-baiknya, kesimpulan yang boleh dibuat ialah hanya satu sahaja masalah yang belum selesai sehingga terus menerus mengekang dan menguasai situasi beragama dan bermazhab di negara ini iaitu masalah kefanatikan atau ketaksuban kepada idelogi atau fahaman yang dipegang dan pelajari. Inilah isu sebenar yang belum selesai sehingga timbulnya isu seumpama ini yang akhirnya tiada berkesudahan. Kedangkalan memahami senario bermazhab di Malaysia yang telah sinonim dengan mazhab fiqh beraliran Syafi'iyyah (mazhab Syafi'e) serta mazhab akidah beraliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menolak semenjak dahulu lagi sebarang fahaman lain selain Ahli Sunnah seumpama Mu'tazilah, Syiah Rafidhah, Murji'ah, Khawarij dan sebagainya adalah punca utama yang menyumbang kepada krisis antara umat Islam di Negara ini semakin kronik.

Menurut Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek aqidah, fahaman Asya’irah adalah sinonim dengan Ahli Sunnah. Sementara aliran lain seperti Salaf Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunnah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati. (Abdul Shukor Husin 1998. Ahli Sunnah Wal-Jamaah Pemahaman Semula, Bangi: UKM)

Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah, mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama sebagaimana sebahagian mereka, untuk itu apa yang perlu ditangani adalah kesilapan dan kesalahan metod dakwah mereka yang menjadi punca timbulnya isu-isu kontroversi di dalam masyarakat dan bukan sehingga memperkatakan dan membesarkan isu-isu lain yang langsung tiada kena mengena dengan fenomena yang sedang berlaku khususnya di kalangan umat Islam Malaysia pada hari ini.

Selaras dengan pendirian tersebut Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM kali ke-14 pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa kumpulan Wahhabiyyah yang disandarkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab itu tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang perlu diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan perselisihan masalah cabang yang cuba dibangkitkan oleh segelintir mereka dari masa ke semasa. Bukannya dengan memperbesar-besarkan isu-isu lain yang tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Islam di Negara ini.
Read more >>

Khamis, 3 Jun 2010

KHUTBAH BAITUL MAQDIS...

Khutbah ini karangan sendiri penulis dan dibaca ketika menjadi khatib di Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya pada tahun 2002 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t…

Baru-baru ini kita telah digemparkan dengan berita Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush menandatangani perundangan penuh kontroversi yang memerlukan pentadbirannya mengiktiraf Baitulmaqdis dan bukannya Tel Aviv sebagai ibu negara haram Israel. Perbuatan Bush ini pada hakikatnya hanyalah untuk menyampaikan hasrat orang-orang Yahudi Israel untuk merampas kembali Baitul Maqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya dan inilah sebenarnya cita-cita yang telah lama diidam-idamkan oleh orang-orang Yahudi iaitu untuk merampas kembali Baitulmaqdis dari tangan umat Islam, meruntuhkan Masjidil Aqsa lalu membina semula tempat ibadah mereka yang dikenali sebagai Haikal Sulaiman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah…

Peristiwa ini sebenarnya mengingatkan khatib kepada tafsiran al-Qur’an yang pernah dibuat oleh Dr. Fadhal Hassan ‘Abbas, seorg pensyarah di University of Jordan di dalam bukunya tentang al-Israk wal Mikraj. Beliau mempunyai tafsiran yang berbeza berbanding tafsiran para ulama klasik di dalam ayat 4 dan 6 daripada surah al-Israk. Di dalam ayat ke-4 yang berbunyi:

وقضينا إلى بني إسرائيل في الكتاب لتفسدن في الأرض مرتين, ولتعلن علوا كبيرا

Bermaksud: Dan kami telah tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab itu: Sesungguhnya kamu (Bani Israel) akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.

Di dalam mentafsirkan ayat ini, Dr. Fadhal mengatakan bahawa orang-orang Yahudi telah ditetapkan oleh Allah s.w.t semenjak di Lauh Mahfuz lagi bahawa mereka akan melakukan kerosakan, kebinasaan dan kehancuran sebanyak dua kali selama mana mereka wujud di atas muka bumi ini. Maka jelas kepada kita bahawa kerosakan yang pertama dilakukan oleh mereka masanya telah pun berlalu iaitu semenjak mereka diutuskan oleh Allah dengan para anbiya sehinggalah perutusan Nabi Isa a.s. Kita dapati di dalam sejarah mereka, dipenuhi dengan kekejaman dan kehancuran…mereka adalah bangsa yang dicop oleh Allah sebagai bangsa yang paling banyak mengkhianati janji, bahkan mereka merupakan bangsa yang paling kejam kerana merekalah bangsa yang paling banyak membunuh para Rasul dan Nabi-nabi utusan Allah s.w.t. Bukannya seorang dua Nabi tetapi lebih daripada seorang bahkan ramai sebagaimana yang digambarkan di dalam al-Qur’an al-Karim di dalam surah al-Baqarah ayat 61:

ذلك بأنهم كانوا يكفرون بآيات الله ويقتلون النبيين بغير الحق ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون

Bermaksud: Mereka itu (org2 Yahudi ) telah kufur dengan ayat2 Allah dan mereka juga membunuh Nabi-nabi utusan Allah tanpa sebab, demikian itu kerana mereka itu selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.

Bahkan hakikatnya tidak ada perbuatan yang lebih kejam dan lebih zalim di dunia daripada perbuatan membunuh para nabi dan rasul-rasul utusan Allah s.w.t. Inilah sebenarnya kebinasaan atau kehancuran pertama yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t yang mana ianya berlaku sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Kemudian di dalam ayat 6 Allah s.w.t menceritakan pula bagaimana Allah s.w.t akan memberikan sekali lagi kepada golongan Yahudi untuk membuat kerosakan di atas muka bumi ini bahkan ianya merupakan kerosakan terakhir buat mereka sebelum Allah s.w.t mengazab mereka di akhir zaman sebelum berlakunya Qiyamat dan yg lebih pedih di akhirat nanti. Allah berfirman di dalam ayat 6 surah al-Israk berbunyi:

ثم رددنا لكم الكرة عليهم وأمددناكم بأموال وبنين وجعلناكم أكثر نفيرا

Bermaksud: Kemudian kami berikan kepadamu giliran sekali lagi (buat kali kedua) untuk mengalahkan mereka kembali (orang-orang Islam) dan kami limpahkan kamu dengan harta kekayaan dan anak pinak dan kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

Kata Dr. Fadhal sewaktu mentafsirkan ayat ini, ini merupakan ayat yang sangat jelas menunjukkan kerosakan dan kebinasaan yang akan dilakukan oleh orang-orang Yahudi buat kali kedua malahan ianya disokong dengan 4 perkara sebagaimana yg tersebut di dalam ayat ini.

Pertama: Perkataan (Karrah) di dalam ayat ini membawa makna Negara. Iaitu di akhir zaman nanti orang-orang Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal mereka, walaupun sepanjang sejarah Yahudi, tidak pernah mempunyai sebuah negara, negara di sini sudah tentulah bermaksud Baitulmaqdis sendiri.
Kedua: Mereka akan mempunyai ekonomi yang kukuh. Sebagaimana diperjelaskan di dalam ayat (wa amdadnaakum bi amwaal) yg bermaksud kami limpahkan kamu dengan harta benda. Jelas kepada kita bahawa pada hari ini ekonomi dunia dikuasai oleh oleh orang-orang Yahudi.

Ketiga: Mereka akan mempunyai keturunan yang ramai. Sebagaimana di dalam ayat ini yang menyebut kalimah (baniin) bermaksud anak pinak. Lihatlah pada hari ini orang-orang Yahudi telah lama mengembangkan keturunannya dengan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka dengan berbagai bangsa dan keturunan yang ada di dunia. Bahkan bangsa mereka telah berjaya menguasai banyak orang-orang besar politik dunia hanya dengan mngahwinkan anak-anak perempuan cantik mereka.

Keempat: Mereka akan mempunyai pasukan tentera yang ramai. Ini jelas di dalam tafsiran ayat (aksara nafiiraa) yang ditafsirkan oleh Dr. Fadhal dengan makna pasukan tentera. Tafsiran ini sebenarnya tepat kerana pada hari ini kita telah melihat bagaimana kelengkapan persenjataan ketenteraan yang terdapat pada askar-askar Yahudi, ditambah pula dengan sokongan ala tentera oleh Barat terutamanya Amerika, Britain dan selainnya. Semuanya ini menunjukkan bahawa mereka sudah mula mempunyai kekuatan ketenteraan berbeza dengan sejarah kaum Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kejatuhan Empayer Islam Turki yang tidak pernah mempunyai sebarang kekuatan dari sudut ketenteraan..

Sidang Jumaat yang dirahmati…

Perhatikanlah baik-baik apa yang dimaksudkan oleh ayat 6 di dalam surah al-Israk ini sekiranya kita mentafsirkannya sebagaimana yang difahami oleh Dr. Fadhal Hassan Abbas, seorang ulama tafsir kontemporari di Jordan. Kita akan dapati ianya benar-benar bertepatan dengan realiti orang-orang Yahudi pada hari ini.

Bayangkan sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, kalau dahulu orang-orang Yahudi mampu berbuat kerosakan tanpa mereka mempunyai sebuah negara, tanpa mempunyai ekonomi yang kukuh, tanpa mempunyai keturunan yang ramai malah tanpa mempunyai bala tentera…tetapi pada hari ini sepertimana ayat yang kita sebutkan tadi…mereka telah mempunyai segala-galanya….itulah sebab pada hari ini mereka tanpa teragak-agak berani mengishtiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi orang-orang Yahudi kerana bagi orang-orang Yahudi dunia adalah milik mereka semata-mata…Dan jangan kita terkejut sekiranya orang-orang Yahudi sewenang-wenangnya membunuh kanak-kanak Palestin tanpa sebarang perasaan belas kasihan….kerana mereka itulah juga pada fasa pertama kerosakan dan kebinasaan mereka dahulu, membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul utusan Allah…umpama memancung Nabi Yahya, menggergaji Nabi Zakaria dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s.

Sidang Jumaat yg dirahmati Allah…

Mengingat kembali saat-saat kejatuhan Baitul Maqdis ianya berlaku ketika runtuhnya Empayer Islam Turki, kota Suci akhirnya diletakkan di bawah mandat Inggeris. Pihak Inggeris kemudiannya menjanjikan sebuah negara bagi umat Yahudi di Palestin melalui Perisytiharan Balfour (1917). Ketika itulah imigran Yahudi dari Eropah mulai membanjiri Palestin.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 telah menghasilkan resolusi untuk membahagi Palestin menjadi dua, iaitu 55 peratus wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya untuk Arab. Dan setahun kemudian, pada 1948, diumumkan lahirnya negara Israel dengan Tel Aviv menjadi ibu kotanya.

Walaupun begitu PBB tetap menganggap Baitul Maqdis menjadi milik pihak Arab di Palestin. Wilayah Arab Palestin, termasuk Baitulmaqdis dianggap menjadi sebahagian daripada Jordan. Oleh sebab itu kita mengatakan tidak pernah mana-mana pihak di seluruh dunia mengiktiraf kekuasaan Israel terhadap Baitul Maqdis termasuk PBB, tetapi hari ini Presiden Israel dan Amerika Syarikat telah berani membuat kenyataan membawa maksud bahawa Baitulmaqdis akan menjadi milik Yahudi bahkan tempat peribadatan orang-orang Yahudi.

Sidang Jumaat yg dirahmati…

Apa yang dapat kita katakan, kalau inilah ketetapan Allah s.w.t, sebenarnya Dia ingin menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya, sejauh mana komitmen kita untuk percaya kepada janji-janji Allah yang menetapkan bahawa agamanyalah yang pasti mendapat kemenangan di suatu masa kelak. Marilah kita sama-sama merenung akhir surah al-Israk ayat 108 yang berbunyi:

ويقولون سبحان ربنا إن كان وعد ربنا مفعولا

Bermaksud: Dan orang-orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji-janji Tuhan kami pasti akan terjadi.

Mungkin inilah akidah yang dipegang oleh salah seorang pemimpin pejuang Palestin ketika ditanya wartawan tentang intifadhah dia menjawab; Hakikatnya rakyat Palestin mempunyai dua pilihan: sama ada menyerah atau terus menentang. Wartawan bertanya pula, “Bijakkah membiarkan penduduk Palestin yang lemah menjadi mangsa dengan meneruskan penentangan ini?” Dia menjawab: Saya ingin menjawab dengan menanyakan soalan ini. Bijakkah kami mengangkat tangan dan menerima penjajahan?

Inilah jawapan yg keluar daripada mulut seorang pejuang tulen Islam, seorang yg berjuang atas dasar imannya kepada janji-janji Allah s.w.t, bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah…dia hanya sekadar berusaha dan berjihad, biarpun seketul batu menjadi senjatanya dia tetap mulia di sisi Allah s.w.t berbanding dengan kita yang belum diuji oleh Allah dgn keadaan sedemikian…
Read more >>

Isnin, 31 Mei 2010

YAHUDI ADALAH YAHUDI!!!


Kita tak perlu terkejut dengan tindakan Yahudi yang menyerang kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Ia hanyalah kapal yang membawa bantun kemanusiaan ke Gaza. Mereka bukan tentera dan tidak memiliki apa-apa senjata yang boleh mengancam Israel. Tujuan mereka hanya satu iaitu demi bantuan kemanusiaan. Malah anggotanya turut melibatkan bukan Islam dari Britain, Sweden dan Itali. Tetapi apa pandangan Yahudi-Israel terhadap kumpulan ini? Nothing. Tiada apa-apa nilai pada kaca mata mereka. Jangankan nilai kemanusiaan, terkadang mereka melangkaui nilai kebinatangan dalam bertindak. Sememangnya ini tidak menghairankan, al-Qur'an sendiri telah merakamkan sikap buruk Yahudi spt yg tersebut dalam surah al-Ma'idah ayat 64, iaitu golongan yang suka menyalakan api peperangan dan melakukan kerosakan di muka bumi. 

Apabila membaca tentang kekejaman-kekejaman Yahudi ini, penulis sentiasa teringat kepada buku karangan Fuad Abdul Rahman al-Rifa'i bertajuk Haqiqatul Yahud (Hakikat Yahudi) yang dibeli penulis ketika berada di tahun satu di Jordan. Buku ini membongkar tentang segala perancangan jahat Yahudi bagi menguasai seluruh dunia. Antara apa yang dijelaskan oleh pengarang buku ini adalah tentang pandangan Yahudi terhadap orang selain Yahudi.

Antaranya adalah:-
  1. Orang lain selain Yahudi adalah seperti anjing-anjing
  2. Umat-umat di luar agama Yahudi, bukan hanya anjing-anjing, bahkan juga keldai
  3. Rumah-rumah selain Yahudi adalah kadang-kadang haiwan
  4. Diharamkan ke atas Yahudi untuk menyelamatkan walaupun seorang 'orang asing' (selain Yahudi)
  5. Orang yang membunuh selain Yahudi akan diganjarkan dengan kekal dalam syurga al-Firdaus
Kesimpulannya, kita tak perlu hairan dengan perangai Yahudi yang menyerang sesiapa sahaja secara membuta tuli kerana inilah AQIDAH YANG DITANAMKAN OLEH MEREKA DI DALAM KITAB TALMUD sejak mereka kecil lagi sedangkan aqidah yang mereka ajarkan itu aqidah yang batil! Lihatlah bagaimana Yahudi boleh bangkit sekalipun dengan aqidah yang batil dan palsu ini?

Bayangkan jika seluruh umat Islam ditanamkan dengan aqidah Islam yang haq, tidak mustahil akan lahirnya Umar al-Khattab, Salahuddin al-Ayyubi, Saifuddin Qutz dll yang berjaya membebaskan Palestin dari cengkaman kuffar. Allahu Akbar.

اللهم اقتل اليهود المحاربين بددا ولا تبق منهم أحدا وأنزل عليهم عذابا أليما بقدرتك وقوتك يا رب العالمين

Read more >>

Khamis, 20 Mei 2010

Menjawab Hujah Dangkal Keghaiban Abuya

Penulis tidak terkejut apabila membaca hujahan daripada pihak al-Arqam yang mengatakan kononnya ada dalil yang menunjukkan bahawa ‘keghaiban’ boleh berlaku berdasarkan dalil-dalil tertentu. Antara dalil-dalil tersebut ialah; keghaiban Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi. Sememangnya menjadi amalan biasa golongan ajaran sesat untuk memutarbelitkan nas-nas agama untuk dijadikan alasan bagi membenarkan kepercayaan dan amalan batil mereka. Secara amnya, kita memahami bahawa golongan al-Arqam cuba untuk menggunakan kaedah qiyas bagi mengharuskan berlakunya ‘keghaiban’ ke atas Ashaari Muhammad. Mereka cuba mengiaskan ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad dengan apa yang dianggap oleh mereka sebagai ‘keghaiban’ Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi.

Bagi sesiapa yang mempelajari disiplin ilmu-ilmu Islam, sudah tentu dengan mudah dapat mematahkan hujahan pihak al-Arqam. Ini kerana sememangnya tidak wujud ‘qiyas’ dalam perkara aqidah dan keimanan. Kaedah ‘qiyas’ hanya boleh digunakan dalam ilmu fiqh bagi menentukan hukum yang lima; wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Oleh kerana itu, ilmu ‘qiyas’ tidak dibahaskan dalam ilmu aqidah sebaliknya dibentangkan dalam perbahasan ilmu usul fiqh. Imam Baidhawi dan majoriti ulama Syafi’iyyah mendefinisikan ‘qiyas’ sebagai: “Membawa (hukum) yang (belum) di ketahui kepada (hukum) yang diketahui dalam rangka menetapkan hukum bagi keduanya, atau meniadakan hukum bagi keduanya, baik hukum mahupun sifat”. Berdasarkan pengertian ini, ‘qiyas’ memerlukan rukun-rukun berikut iaitu; al-asl (nas yang asal seperti al-Qur’an dan al-Hadith), hukum al-asl (hukum yang asal daripada nas seperti wajib, sunat, haram, makruh dan harus), al-far’ (sesuatu yang dikiaskan kepada yang asal) dan al-‘illah (sifat hukum yang terdapat dalam al-asl, dan merupakan benang merah penghubung antara al-asl dengan al-far’, seperti al-iskar atau mabuk dalam arak).

Apa yang perlu difahami, untuk mendapatkan ‘illah’ sesuatu hukum bukanlah mudah kerana ia mempunyai syarat-syarat tertentu. Pertama, sifat ‘illah hendaklah nyata; terjangkau oleh akal dan pancaindera. Kedua, hendaklah pasti, tertentu, terbatas dan dapat dibuktikan bahawa ‘illah itu ada pada far’. Ketiga, ‘illah hendaklah berupa sifat yang sesuai dengan kemungkinan-kemungkinan hikmah hukum, dalam erti bahawa kuat dugaan ‘illah itu sesuai dengan hikmah hukumnya. Keempat, ‘illah tidak hanya terdapat pada al-asl sahaja, tetapi hendaklah berupa sifat yang dapat diterapkan juga pada masalah-masalah lain selain dari asl. Kalau dilihat pada syarat ‘illah yang keempat ini, bagi yang berakal akan faham bahawa perkara-perkara yang khusus dan eksklusif sudah tentu tidak boleh diqiyaskan kepada yang lain sekalipun ia tidak menyangkut soal aqidah seperti pernikahan Nabi SAW lebih daripada empat orang wanita, ini sudah tentu tidak boleh dikiaskan kepada selain Baginda SAW, kerana ianya khusus buat Baginda SAW semata-mata.

Berbalik kepada kaedah ‘qiyas’ batil yang dilakukan oleh para pengikut al-Arqam, kononnya ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad boleh dikiaskan dengan ‘keghaiban’ Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi, hujahan palsu ini dijawab seperti berikut:-

Pertama: Pada dasarnya, tiada penggunaan ‘qiyas’ dalam perkara berkaitan aqidah dan keimanan kerana ‘qiyas’ adalah salah satu kaedah berijtihad bagi mengeluarkan hukum fiqh sedangkan kaedah mengatakan:

الأصل في الاعتقاد والعبادات التوقيف

Maksudnya: “Asal pada perkara aqidah dan ibadah adalah al-tauqif (berdasarkan dalil syar’i)”.

Oleh itu, penggunaan ijtihad dalam perkara aqidah dibimbangi bercanggah dengan nas-nas syara’ dan membuka ruang kepada berlakunya pencemaran terhadap aqidah Islam. Apa yang berlaku kepada al-Arqam mereka cuba menjadikan ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad sebagai satu i’tiqad dan kepercayaan yang wajib diimani oleh ahli-ahlinya sedangkan sumber tentang doktrin ini tidak diketahui melalui wahyu atau jalan syara’. Sebaliknya ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad hanya dimaklumkan oleh orang-orang yang kononnya boleh mendengar suara roh Ashaari secara ghaib.

Kedua: Jika diandaikan kita cuba melakukan ‘qiyas’ antara apa yang didakwa sebagai ‘keghaiban’ Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi dengan ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad. Aplikasinya adalah seperti berikut;

Al-asl: ‘Keghaiban’ Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi (menurut fahaman al-Arqam)

Al-Far’: ‘Keghaiban’ Ashaari Muhammad (persoalannya tiada sesiapa pun yang mampu menilik alam ghaib sehingga mengetahui Ashaari Muhammad benar-benar ghaib dan bukan meninggal dunia)

Hukum al-asal: Harus berlakunya ghaib

Al-‘Illah: Mu’jizat atau karamah

Hasil daripada percubaan ‘qiyas’ ini kita akan dapati berlaku beberapa ‘error’ atau kesalahan yang akan membatalkan penggunaan ‘qiyas’ itu sendiri berdasarkan alasan berikut:-

Berlakunya ‘qiyas ma’al fariq’ antara al-asl dan al-far’ kerana tidak sebanding. ‘Keghaiban’ Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi diketahui dengan jalan wahyu sedangkan ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad hanya dakwaan semata-mata. Malah dakwaan orang tertentu yang mendakwa mengetahui Ashaari Muhammad ghaib bertentangan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 65 yang menegaskan bahawa hanya Dia yang mengetahui perkara ghaib:

Maksdunya: Katakanlah lagi: tiada sesiapapun di langit dan di bumi Yang mengetahui perkara Yang ghaib melainkan Allah!" dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

‘Illah yang dikemukakan juga tidak tepat. Untuk menggunakan ‘illah mu;jizat sudah tentu ia terbatal sama sekali kerana Ashaari Muhammad bukan seorang nabi. Bagi menggunakan ‘illah karamah, ia juga tertolak kerana tidak memenuhi syarat-syarat ‘illah. Sebagaimana yang telah dibentangkan sebelum ini, ‘illah hendaklah sesuatu yang terjangkau oleh akal dan pancaindera serta pasti dan tertentu. Karamah tidak boleh menjadi ‘illah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh akal dan pancaindera serta tidak semestinya berlaku kepada semua wali Allah SWT.

Ketiga: Penyalahtafsiran apa yang berlaku ke atas Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi bagi membenarkan doktrin ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad. Mereka menjadikan peristiwa Nabi Isa a.s. yang diangkat oleh Allah SWT dan penurunannya kelak di akhir zaman sebagai ‘keghaiban Nabi Isa. Nabi Khidir juga dianggap masih hidup dan sedang dighaibkan. Begitu juga dengan Ashabul Kahfi yang ditidurkan oleh Allah SWT dianggap ‘ghaib’ selama 309 tahun. Persoalannya, samakah konsep ‘keghaiban’ yang berlaku kepada ketiga-tiga individu ini dengan ‘keghaiban’ Ashaari Muhammad?

Jawapannya sudah tentu tidak sama sekali kerana ketiga-tiga individu tersebut belum meninggal dunia berdasarkan nas-nas al-Qur’an dan al-Hadith (kecuali tentang Nabi Khidir yang diperselisihkan oleh para ulama sama ada baginda masih hidup atau telah wafat). Sedangkan apa yang berlaku kepada Ashaari Muhammad, dengan bukti yang jelas lagi terang dan nyata, sesiapa sahaja yang waras dan berakal mengetahui bahawa beliau telah meninggal dunia (pengikut-pengikut al-Arqam mengetahuinya kerana mereka sendiri yang menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad). Bermakna roh telah berpisah dari jasad menuju ke alam barzakh sebagaimana nas al-Qur’an dalam surah al-Mu’minun ayat 100:

Maksudnya: "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh Dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Ayat ini dengan jelas menunjukkan tiada lagi istilah untuk kembali ke alam dunia, kerana apabila berlakunya kematian, roh seseorang akan kekal di alam barzakh sehinggalah ke Hari Qiyamah. Bagaimana mungkin al-Arqam boleh mendakwa Ashaari Muhammad hanya ghaib dan akan kembali ke dunia?! Sedangkan apa yang berlaku kepada Nabi Isa, Nabi Khidir (jika menurut pendapat yang mengatakan baginda masih hidup seperti pandangan Imam Nawawi) dan Ashabul Kahfi, kesemua mereka ‘dighaibkan’ dalam keadaan masih bernyawa dan belum meninggal dunia, bermakna belum berlaku perpindahan roh dari alam dunia ke alam barzakh!

Keempat: Mereka juga berhujah menggunakan ayat-ayat berkenaan golongan syuhada’ yang ditegaskan oleh al-Qur’an bahawa hakikatnya para syuhada’ itu hidup di sisi Allah SWT. Antara di dalam surah al-Baqarah ayat 154:

Maksudnya : Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir menukilkan hadith riwayat Imam Muslim yang menjelaskan kedudukan sebenar roh para syuhada’.

"إن أرواح الشهداء في حواصل طير خضر تسرح في الجنة حيث شاءت ثم تأوي إلى قناديل مُعَلَّقة تحت العرش، فاطَّلع عليهم ربك اطِّلاعَة، فقال: ماذا تبغون؟ فقالوا: يا ربنا، وأيّ شيء نبغي، وقد أعطيتنا ما لم تعط أحدًا من خلقك؟ ثم عاد إليهم بمثل هذا، فلما رأوا أنهم لا يُتْرَكُون من أن يسألوا، قالوا: نريد أن تردنا إلى الدار الدنيا، فنقاتل في سبيلك، حتى نقتل فيك مرة أخرى؛ لما يرون من ثواب الشهادة -فيقول الرب جلّ جلاله: إني كتبتُ أنَّهم إليها لا يرجعون".

“Roh orang-orang yang mati syahid berada didalam perut burung hijau yang berlegar di dalam syurga ke mana sahaja mereka ingin, kemudin kembali menetap di lampu-lampu yang tergantung di bawah arasy, maka Allah menjelma kepada mereka seraya bertanya; (Adakah kamu ingin sesuatu yang lain? Mereka menjawab; apakah ada lagi yang kami inginkan, sedangkan kami telah dikurniakan dengan sesuatu yang tidak dikurniakan kepada seorangpun makhlukmu? Allah kembali lagi dengan membawa persoalan yang sama. Maka apabila mereka melihat mereka terus menerus disoal, mereka berkata: Kami ingin supaya pulangkan kami ke dunia supaya kami dapat berjuang di jalan Mu sekali lagi sehingga kami terbunuh sekali lagi (demi besarnya ganjaran syahid). Lalu Allah berfirman kepada mereka: Sesungguhnya aku telah menentukan bahawa mereka tidak akan kembali lagi ke dunia”.

Ayat dan hadith di atas jelas menunjukkan bahawa tiada hujah bagi golongan al-Arqam untuk menyokong dakwaan mereka. Ini kerana apa yang berlaku kepada para syuhada’, mereka benar-benar telah meninggal dunia dan tidak akan kembali lagi ke alam dunia. Bagaimanapun di sisi Allah SWT mereka itu sebenarnya hidup dengan penuh kenikmatan di alam yang lain tanpa disedari dan dapat dirasai oleh manusia di alam dunia. Ini sudah tentu berbeza sama sekali dengan doktrin al-Arqam yang mengatakan Ashaari yang telah meninggal dunia akan kembali semula ke alam dunia. Malah penulis berpandangan, doktrin terbaru yang menjadi pegangan al-Arqam ini lebih hampir kepada doktrin palsu Kristian tentang Jesus. Kristian mengatakan mayat Jesus telah dibangkitkan dari kubur pada hari ketiga kematiannya sebelum beliau diangkat kepada Allah SWT. Wal-‘iyazu billah.

Kesimpulannya, tiada konsep ‘keghaiban imam’ menurut aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Apa yang ada adalah, wajib setiap mu’min beriman kepada perkara-perkara ghaib yang telah dikhabarkan melalui jalan wahyu. Oleh itu, segala yang berkaitan dengan ‘keghaiban’ hendaklah dikembalikan kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. Manakala apa yang berlaku ke atas Nabi Isa, Nabi Khidir dan Ashabul Kahfi, ia adalah termasuk dalam perkara khusus (sama ada sebagai mu’jizat atau karamah) dan tidak boleh diqiyaskan kepada individu lain atau menjadi satu doktrin di dalam agama seperti yang berlaku kepada golongan Syiah. Justeru, menjadikan dakwaan ‘keghaiban’ orang tertentu (tanpa melalui wahyu) sebagai satu aqidah yang wajib diimani adalah suatu bid’ah yang sesat lagi menyesatkan!
Read more >>

Jumaat, 14 Mei 2010

NETANYAHU BIADAP KERANA MENGATAKAN AL-QUDS TIDAK DISEBUT DALAM AL-QUR'AN

Kelmarin ketika Isrel merayakan Hari Jerusalem pada 12 Mei 2010, PMnya si Benjamin Netanyahu laknatullah telah membuat kenyataan yang menyinggung perasaan seluruh umat Islam sedunia apabila mengatakan nama 'al-Quds' tidak pernah disebut walau sekalipun di dalam al-Qur'an. Alangkah bodoh dan dangkal lagi biadap kenyataan Netanyahu ini. Netanyahu juga dengan bongkaknya menegaskan akan meneruskan pembinaan kawasan perumahan Yahudi di sebelah Jerusalem Timur yang berjaya mereka rampas dalam Perang Arab-Israel 1967. Secara perundangan antarabangsa, apa yang dilakukan oleh Yahudi ini sememangnya satu jenayah dan Jerusalem Timur termasuk Masjid al-Aqsa jelas merupakan hak umat Islam.

Harapan penulis agar jangan sekali-kali ada umat Islam yang terpedaya dengan pembohongan Netanyahu yang mengatakan al-Quds tidak disebut walau satu kali pun di dalam al-Qur'an. Sesiapa pun yang membaca al-Qur'an terutamanya surah al-Isra' ayat 1-7 sudah pasti mengetahui apa, siapa, di mana dan latarbelakang al-Quds itu sendiri!! Malah al-Qur'an berkali-kali melakarkan sejarah pengkhianatan Yahudi (Bani Israel) di bumi al-Quds. Sememangnya kita persilakan 'bukan Islam' untuk mengkaji al-Qur'an dan mengenal siapakah Yahudi yang sebenar? Adakah benar-benar penganut agama Yahudi itu penduduk asal al-Quds @ mereka sebenarnya adalah perompak dan penceroboh bumi suci al-Quds yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kpd Nabi-nabi Bani Israel yang kesemuanya beragama Islam (mentauhidkan Allah SWT).

Baca laporan di bawah...

Netanyahu turns to Bible in tussle over Jerusalem

Netanyahu told a parliamentary session commemorating Israel's capture of East Jerusalem from Jordan in the 1967 war that "Jerusalem" and its alternative Hebrew name "Zion" appear 850 times in the Old Testament, Judaism's core canon.

"As to how many times Jerusalem is mentioned in the holy scriptures of other faiths, I recommend you check," he said.

Citing such ancestry, Israel calls all of Jerusalem its "eternal and indivisible" capital -- a designation not recognized abroad, where many powers support Arab claims to East Jerusalem as the capital of a future Palestinian state.

The dispute is further inflamed by the fact East Jerusalem houses al-Aqsa mosque, Islam's third-holiest shrine, on a plaza that Jews revere as the vestige of two biblical Jewish temples.

Heckled by a lawmaker from Israel's Arab minority, Netanyahu offered a lesson in comparative religion from the lectern.

"Because you asked: Jerusalem is mentioned 142 times in the New Testament, and none of the 16 various Arabic names for Jerusalem is mentioned in the Koran. But in an expanded interpretation of the Koran from the 12th century, one passage is said to refer to Jerusalem," he said.

Responding to Netanyahu's citations, Palestinian chief negotiator Saeb Erekat said: "I find it very distasteful, this use of religion to incite hatred and fear. East Jerusalem is an occupied Palestinian town, and East Jerusalem cannot continue to be occupied if there is to be peace."

Read more >>

Isnin, 10 Mei 2010

HUKUM DUDUK SEMEJA DENGAN PEMINUM ARAK

Question:

Is it permissible for a Muslim to have a meal with non-Muslims who drink wine on the same table?

Answer:

In the Name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.
All praise and thanks are due to Allah, and peace and blessings be upon His Messenger.

Brother, we really appreciate your forwarding this question to us, and we commend your keenness on getting yourself well-acquainted with the teachings of Islam. May Allah help us all keep firm on the Right Path, Amen!

We are commanded by Allah to stop and eliminate all forbidden acts and to make our best to get others on the right path. Indeed, many vicious people would not be so if they found a merciful hand to take them out of the darkness of sins.

However, wisdom and gentleness sustained by sound knowledge are utterly required here. Then, if a person is not able to stop someone else's wrongdoing with advice or the like, he or she should leave the place where misdeeds are done. This is for fear that the wrath of Allah may afflict him or her along with those who commit the forbidden acts.

Answering your question, Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid, a renowned Muslim scholar, stated,

It is not permissible to sit to people who drink khamr (i.e., intoxicant beverages), whether they are non-Muslims or Muslims. Almighty Allah says regarding those who sit to people who say words of disbelief, (He [i.e., Allah] has already revealed unto you in the Scripture that, when ye hear the revelations of Allah rejected and derided, [you] sit not with them [who disbelieve and mock] until they engage in some other conversation. Lo! In that case (if you stayed), you would be like them. Lo! Allah will gather hypocrites and disbelievers, all together, into hell) (An-Nisaa' 4:140).

Imam At-Tabari said, "This verse is clear in prohibiting setting to people of falsehood of any kind, when they are indulging in their falsehood." Ibn Kathir said regarding Allah's saying (Lo! In that case (if you stayed), you would be like them.), "[It means] like them in sinning."

Jabir reported that Prophet Muhammad (peace and blessings be upon him) said, "Whoever believes in Allah and the Last Day should not sit at a table on which khamr is circulated" (At-Tirmidhi).

Scholars who explained this hadith said, "[This applies] even if he or she does not drink with them, because this [i.e., setting to them] is the same as a ratification of their wrongness."

Based on this, it is not permissible to sit to those people or to show courtesy to them. It does not matter if one does not drink with them, as one, in this case, is like a dumb Satan who sees abominable acts and does not denounce them.

What is obligatory is to censure their act and if they do not respond, one should leave them. May Allah protect us from all evils!

May Allah guide all of us to what pleases Him!

Read more >>

Jumaat, 7 Mei 2010

Lesen Judi Halal Untuk Piala Dunia 2010?


Penulis amat tersentak apabila terbaca akhbar yang mengatakan bahawa seorang Menteri Melayu Islam sedang menimbang untuk mengeluarkan lesen judi kepada pihak-pihak tertentu sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010. Alasannya adalah untuk mengawal aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tanpa kawalan. Selain itu, hasilnya juga dikatakan boleh digunakan untuk pembangunan sukan di negara ini. Memang kenyataan ini amat menyedihkan penulis, adakah begini bentuk acuan Negara Islam yang kita ingin bina? Adakah duit-duit haram sebegini sengaja kita jana untuk bangunkan negara? Adakah para pemimpin kita memikirkan soal keberkatan dan keridhaan Allah dalam membangunkan negara?

Bagi penulis, yang jelas perjudian telah diharamkan dalam al-Qur'an malah diharamkan oleh semua agama lain kerana mudaratnya yang terang dan nyata. Malah wajib bagi pemerintah Islam di sebuah negara Islam menyekat dan mengharamkan seluruh aktiviti perjudian kerana ianya sabit dengan nas-nas al-Qur'an, al-Hadith dan siyasah syar'iyyah (memelihara kepentingan dan kemaslahatan rakyat). Justeru, penulis memuji tindakan kerajaan negeri Kelantan kerana bermula 23 oktober 1990, penghapusan lesen judi kepada 17 buah kedai SPORT TOTO dan 2 buah kedai Empat Nombor Ekor di Kota Bharu telah dilaksanakan. Ini menunjukkan ketegasan dan komitmen kerajaan Kelantan untuk mematuhi hukum Islam dan menyelamatkan rakyat daripada dosa judi! Malah, bukankah judi termasuk salah satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri?!


Semoga Allah SWT memberi taufiq dan hidayah kepada pemerintah negara ini dan kekuatan kepada alim ulama yang punya kedudukan dan kuasa untuk menegur pemerintah. Amin...

Baca laporan di bawah...

Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan untuk Piala Dunia-Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 Mei – Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
 
"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya. – Bernama
Read more >>

Khamis, 29 April 2010

Dakwa Pelanggan Riba' Di Bawah Jenayah Syariah


Alangkah baik jika pelanggan riba' juga dimasukkan antara pesalah jenayah syariah untuk mendidik umat Islam spy tidak memilih sistem riba'
Minggu lepas, dalam satu majlis muzakarah, penulis amat tertarik dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Agama Jabatan HaL Ehwal Terengganu, Dato' Shaikh Harun bin Shaikh Ismail. Ucapannya bersahaja tetapi 'point'nya amat memberi kesan kepada penulis. Antaranya apabila beliau menyentuh soal keruntuhan iman akhlak di kalangan umat Islam pada masa kini. Menurut beliau, sebahagian besar ia adalah berpunca daripada keterlibatan umat Islam dengan 'rezeki yang haram' hasil daripada mu'amalat yang diharamkan oleh syariat.

Antara mu'amalat yang jelas diharamkan oleh syariat adalah riba' @ bunga @ faedah @ interest @ apa-apa sajalah namanya asalkan konsepnya sama! Paling banyak ia berlaku dalam sistem perbankan dan insurans konvensional seperti kad kredit, overdraft, pinjaman peribadi, rumah, kereta, insurans nyawa dll. Dalam masa yang sama wujud sistem Islam yang dijamin mengamalkan muamalah secara Islam seperti  perbankan Islam dan takaful Islam, tetapi umat Islam masih berdegil memilih sistem konvensional walaupun tahu dengan jelas bahawa di sana ada riba'!

Allah SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. Surah Al-Baqarah (2): 278-279.

Justeru itu, timbul cadangan Dato' Shaikh Harun supaya pelanggan sistem riba' di kalangan umat Islam dikenakan tindakan undang-undang di bawah jenayah syariah. Jika orang berkhalwat boleh dikenakan tindakan undang-undang, mengapa pula pelanggan riba' tidak boleh? Kenakan tindakan hukuman ta'zir ke atas pelanggan riba', sekurang-kurangnya ia dapat memberi peringatan kepada umat Islam betapa seriusnya hukum Islam terhadap jenayah riba'. 

Bagaimanapun beliau tidak menafikan, sewajarnya riba' itu sendiri disekat daripada awal oleh pihak pemerintah kerana ia adalah sesuatu yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada umat manusia melainkan mudarat semata-mata. Tetapi bagi pihak berkuasa agama yang mempunyai bidang kuasa yang terhad, apa salahnya pindaan dibuat dengan menggubal peruntukan baru dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri supaya pelanggan riba' muslim dikenakan tindakan undang-undang. Sekurang-kurangnya ini sebagai satu ikhtiar awal supaya akhirnya dapat membuka mata pemerintah untuk menutup segala punca dan sumber-sumber riba' dalam apa jua bentuk transaksi konvensional. Wallahu a'lam.
Read more >>