Isnin, 18 Februari 2013

Buang perangai takut hantu!

Seram tengok gambar ini? Bermakna anda salah seorang yang takutkan hantu
Soalan:

Adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup.

Jawapan: 

Hantu dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah 'roh kembali' terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama mereka.

Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.

Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”.

Bagaimana Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?

Walaupun, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia

Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal. 19.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka”. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).

Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang sihir daripada kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu”.  Diriwayatkan oleh Muslim (14/217 dengan Syarh al-Nawawi).

Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir. Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan mereka.

Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa ghuula), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.

Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

Perlukah takut kepada hantu?

Seperkara yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.

Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak kembali lagi setelah kejadian itu”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Mujahid berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di antara kalian. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga akan menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian kepadanya, nescaya ia akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi”. Aakaam al-Marjaan, hal. 166.

Menerusi riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian mukmin.    

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara ghaib. Oleh itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahu a’lam.  

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)  

Read more >>

Ahad, 17 Februari 2013

Adakah qada' dan qadar memaksa perbuatan kita?


Soalan

Saya sering keliru dengan masalah qada' dan qadar. Apa yang sering bermain di fikiran saya adalah mengapa Allah SWT memerintahkan kita untuk melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya sedang dalam masa yang sama takdir seseorang telah ditentukan sama ada ke syurga mahupun ke neraka. Misalnya , apa lagi perlunya seseorang itu beramal ibadat kerana bukankah jika dia telah ditentukan Allah sebagai ahli neraka, maka dia tetap akan masuk ke neraka. Mohon ustaz berikan pencerahan.

Jawapan

Persoalan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh kejahilan dalam memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Seorang muslim yang berilmu pasti tidak akan mudah terpedaya dengan keraguan-keraguan yang sengaja dibangkitkan untuk meruntuhkan keimanannya. Dalam menjawab persoalan ini terdapat dua perkara yang perlu difahami.

Terlebih dahulu setiap muslim perlu memahami apa erti kita beriman dengan qada' dan qadar. Menurut para ulama aqidah beriman dengan qada' dan qadar atau taqdir bermaksud, beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada' dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang azali atau bersifat qadim. Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12:
  
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata".

Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar. Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Dalam hal ini, tuan guru penulis iaitu Prof. Dr. Qahtan al-Duri sering mengemukakan contoh mudah dengan membuat analogi bahawa ilmu Allah SWT itu adalah seumpama ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa di antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap setiap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka itu adalah disebabkan usaha mereka sendiri.

Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai di kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud (taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya sama ada yang baik atau yang buruk. (Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, j.1, hal. 155)

Seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu". (Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'I, hal. 124)

Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia  mempermudahkan pilihan mereka dan memperkenalkannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari pilihan atau usahanya sendiri, manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba-Nya sama ada mahu memilih perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka. Kesimpulannya, beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini. Sikap gemar melepaskan diri dengan cara menyerahkan segala yang berlaku sebagai suratan taqdir tanpa didahului dengan usaha adalah menyalahi seruan Islam supaya kita sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 15 supaya kita berusaha mencari rezeki dan tidak malas serta bertawakal atau berserah  semata-mata. Begitu juga dengan gesaan Allah SWT supaya kita tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dalam surah al-Baqarah ayat 195. Juga perintah Allah SWT supaya kita berjihad pada jalan-Nya dengan segala macam jalan yang ada dan termampu. Wallahu a'lam.

(Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)
Read more >>

Rabu, 24 Oktober 2012

Haji sebenar Syiah di mana??

Dikatakan ini ka'bah Syiah di Karbala
Berkenaan kefardhuan ibadah haji di sisi Syiah, golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menafikan ia juga adalah ibadah yang diwajibkan menurut ajaran Syiah Imamiyyah Ithna Ashariyyah[1]

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ajaran Syiah benar-benar terlepas daripada sebarang keraguan berkenaan ibadah haji. Jika dirujuk kepada kitab-kitab Syiah dan pandangan para ulama mereka, terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan keraguan dalam pegangan Syiah berkaitan ibadah haji. Antaranya adalah berkenaan status menziarahi makam Sayyidina Husayn r.a yang seolah-olah lebih besar pahalanya berbanding menunaikan ibadah haji dan kedudukan tanah Karbala yang seolah-olah lebih suci daripada tanah Makkah. Antara riwayat-riwayat yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:

Diriwayatkan daripada al-Sadiq, Ja'far bin Muhammad bahawa beliau berkata, "Ziarah Husain bin Ali adalah wajib atas setiap yang mengakui keimaman Husain daripada Allah 'Azza wa Jalla". Lalu beliau berkata lagi, "Menziarahi Husain menyamai seratus haji yang mabrur dan seratus umrah yang diterima"[2].

Selain itu, tanah Karbala yang menjadi tempat persemadian jasad Sayyidina Husain juga dianggap sebagai tanah yang suci sehingga ia dijadikan tempat sujud oleh penganut Syiah. Keutamaan yang seperti ini tidak pula wujud pada tanah-tanah yang lain termasuk tanah Makkah yang merupakan tanah haram serta tanah Madinah yang menjadi tempat pemakaman Rasulullah S.AW. Antaranya ialah riwayat-riwayat seperti berikut:

Syiah sujud di atas batu Karbala
Allah akan menjadikan Karbala sebagai pusat dan tempat berkumpul para malaikat dan orang-orang mukmin. Ia akan memiliki kemulian, akan tersebar padanya berbagai keberkatan. Seandainya seseorang berdoa di sana kepada Rabb-nya, nescaya Allah akan memberikan dengan satu doa sahaja seribu kali lipat kerajaan dunia. Berbagai tempat di bumi saling berbangga, Ka’bah yang di tanah haram berbangga di atas Karbala. Maka Allah wahyukan kepadanya: Wahai Ka’bah tanah haram diamlah engkau! Jangan engkau berbangga diatas Karbala! Sesungguhnya dia bumi yang penuh berkat[3].

Dalam riwayat Syiah yang lain disebutkan, “Allah telah menciptakan padang Karbala sebelum menciptakan bumi Ka’bah (kota suci Makkah) selama dua puluh empat ribu tahun. Ia (Karbala) telah suci dan berkat sebelum penciptan para makhluk. Ia senantiasa demikian sampai Allah jadikan ia sebagai tempat yang paling afdhal (mulia) di dalam surga[4].

Riwayat-riwayat seperti ini sudah tentu akan menimbulkan kesangsian golongan Ahl al-Sunah wa al-Jama‘ah terhadap Syiah kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa Syiah mempunyai tempat yang lebih utama untuk diziarahi selain daripada Bayt Allah di Makkah dan makam Nabi SAW di Madinah. Pandangan melampau Syiah terhadap ziarah kubur Sayyidina Husain dan kesucian tanah Karbala berbanding Makkah ini juga, berkemungkinan menyebabkan timbul persepsi di kalangan sesetengah golongan Sunni bahawa penganut Syiah tidak mewajibkan ibadah haji di Makkah.

Ahli Sunnah wal-Jamaah juga agak sukar untuk melupakan musim haji pada tahun 2009 apabila terdapat hasrat puak Syiah untuk menukarkan ibadah haji di Makkah ke tempat-tempat suci mereka termasuk Karbala. Sila baca laporan di bawah:


Sumber-sumber berita resmi Irak menyatakan bahwa ribuan warga Syi’ah dari Iran dan negara-negara Teluk melaksanakan wuquf di Karbala, sebagai pengganti wuquf di Arafah, Selasa (23/11/2009).

Najah Al-Balaghi, Kepala Administrasi Bandara Nejef, menyampaikan, "Ribuan pengikut Syi’ah datang dari negara-negara Teluk dan Iran untuk berpartisipasi dalam kunjungan Arafah di makam Imam Husain di Karbala, Selatan Baghdad." Ia menambahkan, " Dalam minggu ini jumlah mereka mencapai 6.235 dari Teluk dan sekitar 7.000 orang dari Iran."

Al-Balaghi juga menegaskan bahwa jumlah pengunjung ini akan bertambah, menunggu pesawat yang bisa membawa mereka ke Nejef. Dalam sehari rata-rata ada penerbangan berasal dari Dubai, Bahrain, Lebanon dan Suriah setelah sebelumnya hanya ada dua kali penerbangan dalam seminggu. Penerbangan ke Teheran dan Masyhad (lokasi syahidnya Husain) dari satu sampai empat kali penerbangan dalam seminggu.


Tokoh Referensi Syi’ah, Huda Ahmed, Wakil dari Mursyid Ali Khamenei, dari kota Masyhad menyerukan untuk menjadikan Masyhad itu sebagai kiblat kaum muslimin, menggantikan kota Mekah. Dia juga mengajak untuk meninggalkan rukun Islam kelima yaitu haji ke Baitullah.

Perwakilan Khamenei ini menyatakan bahwa "Makam Imam Ridha berada di Masyhad, maka ia pun menjadi tempat yang tepat bagi seluruh umat Islam. Sementara tempat-tempat lain, telah menjadi tawanan orang-orang yang sombong." Ia menambahkan, "Tanah Hijaz telah menjadi tawanan kelompok Wahabi," .

Huda menunjukkan bahwa Masyhad ini setiap tahun dikunjungi oleh 800 ribu pengunjung dari luar negeri dan dan 20 juta pengunjung dari dalam negeri Iran sepanjang tahun.. Ia mengklaim bahwa Masyhad adalah ibukota spiritual dan keagamaan, bahkan sebelum adanya makam Imam Ridha, imam Syi’ah yang kedelapan, di dalamnya. (Sumber)




[1] Lihat al-Musawi, Sayid Muhammad Rida (1993), Mukhtasar al-Ahkam (terj.), Bangi: Markaz Ahlul Bait UKM, h. 208.
[2] Al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), al-Irshad fi Ma'rifah Hujaj Allah 'ala al-'Ibad, Qom: Mu'tamar al-Shaykh al-Mufid, h. 133-134; al-‘Amili, Muhammad bin Hasan al-Hurr (1409h), Tafsil Wasa’il al-Shi‘ah ila Tahsil Masa’il al-Shari‘ah, j. 14. Qom: Mu’assasah Al al-Bayt, h. 445; al-Irbili, ‘Ali bin ‘Isa (1423h), Kashf al-Ghummah fi Ma‘rifah al-A’immah, j.2. Tabriz: Bani Hashimi, h. 41.   
[3] Al-Majlisi, Muhammad Baqir (1403h), Bihar al-Anwar al-Jami‘ah li Durar al-Akhbar al-Athar, j. 53. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, h. 12; al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), Kitab al-Mazar-Manasik al-Mazar, Qom: Mu‘tamar Alfiyah al-Shaykh al-Mufid, h. 23; al-Tusi, Muhammad bin al-Hasan (1407h), Tahzib al-Ahkam, j.6. Tehran: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, h. 72. 
[4] Ibid., j.54, h. 202.
Read more >>

Ahad, 21 Oktober 2012

Sembang isu hudud

Nampaknya isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.

Bagi penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:

a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur'an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 55 tahun.
b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.
c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.
d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah 'benchmark' untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.
e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?
Sultan Brunei komited laksanakan hudud
f)   Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.
Sebagai penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:

a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap  pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.
b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara'. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah 'hudud Pas' atau 'hudud UMNO'.
c)  Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.
Sultan Brunei bertitah: “Siapakah kita di hadapan Allah untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu sedangkan undang-undang ini bukanlah baru digubal, tetapi telah termaktub di dalam Al-Quran dan Al Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih”
Penulis yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.

Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau "beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبة الشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديد المراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتى تصل المسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: "Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam".

Wallahu a'lam…
Read more >>

Jumaat, 12 Oktober 2012

Produk yang memperdagangkan al-Qur'an

Penulis melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.

Ini kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.  

Dalam hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :

وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208

"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)

Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.

Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan perubatan moden.

Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang  menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan".

Read more >>

Ahad, 23 September 2012

Yang menghina semakin terhina...


Belum pun reda kemarahan umat Islam terhadap penayangan filem anti-Islam Innocence of Muslims seperti yang disebarkan dalam  youtube, kini muncul pula karikatur Nabi Muhammad dalam keadaan tidak wajar dalam majalah Charlie Hebdo di Perancis. Benar pada satu sisi, orang-orang jahil dan bodoh di kalangan musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha memomokkan susuk Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai penghinaan dan penistaan. Namun pada masa yang sama, mereka tidak boleh menafikan bahawa cerdik pandai dan intelektual mereka yang benar-benar mengkaji tentang Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mampu menolak keistimewaan dan kehebatan Nabi Muhammad yang dikeji oleh golongan bodoh itu. Antaranya lihat beberapa kenyataan orientalis tersohor di bawah:

W. Montgomery Watt, MOHAMMAD AT MECCA, Oxford, 1953, p. 52.

"Kesanggupannya menempuh tentangan atas keyakinannya, ketinggian moral para pengikutnya, serta pencapaiannya yang luar biasa “semuanya menunjukkan integritinya. Menganggap Muhammad sebagai seorang penipu hanyalah memberikan masalah dan bukan jawapan. Lebih dari itu, tiada tokoh hebat yang digambarkan begitu buruk di Barat selain Muhammad".

Annie Besant, THE LIFE AND TEACHINGS OF MUHAMMAD, Madras, 1932, p. 4.

"Sangat mustahil bagi seseorang yang mempelajari karakter Nabi Bangsa Arab, yang mengetahui bagaimana ajarannya dan bagaimana hidupnya untuk merasakan selain hormat terhadap beliau, salah seorang utusan-Nya. Dan meskipun dalam semua yang saya gambarkan banyak hal-hal yang terasa biasa, namun setiap kali saya membaca ulang kisah-kisahnya, setiap kali pula saya merasakan kekaguman dan penghormatan kepada sang Guru Bangsa Arab tersebut."

THOMAS CARLYLE in his HEROES AND HEROWORSHIP

"Betapa menakjubkan seorang manusia sendirian dapat mengubah suku-suku yang saling berperang dan kaum nomad (Badwi) menjadi sebuah bangsa yang paling maju dan paling berperadaban hanya dalam waktu kurang dari dua dekad. Kebohongan yang dipropagandakan kaum Barat yang diselimutkan kepada orang ini (Muhammad) hanyalah mempermalukan diri kita sendiri".

James A. Michener, "Islam: The Misunderstood Religion," in READER'S DIGEST (American edition), May 1955, pp. 68-70.

"Muhammad, seorang inspirator yang mendirikan Islam, dilahirkan pada tahun 570 masehi dalam masyarakat Arab penyembah berhala. Yatim semenjak kecil dia secara khusus memberikan perhatian kepada fakir miskin, yatim piatu dan janda, serta hamba sahaya dan kaum lemah. Pada usia 20 tahun, dia sudah menjadi seorang pengusaha yang berjaya, dan menjadi pengelola perniagaan seorang janda kaya. Ketika mencapai usia 25, majikannya melamarnya. Walaupun usia perempuan tersebut 15 tahun lebih tua Muhammad menikahinya dan tetap setia kepadanya sepanjang hayat si isteri.

Seperti halnya para nabi lain, Muhammad memulai tugas kenabiannya dengan sembunyi-sembunyi dan ragu-ragu kerana menyedari kelemahannya. Tapi adalah perintah yang diperolehnya, -dan meskipun sampai saat ini diyakini bahwa Muhammad tidak boleh membaca dan menulis dan keluarlah dari mulutnya satu kalimah yang akan mengubah dunia: Tiada tuhan selain Allah. Dalam setiap hal, Muhammad adalah seorang yang mengedepankan akal. Ketika puteranya, Ibrahim, meninggal dunia disertai gerhana dan menimbulkan anggapan ummatnya bahawa hal tersebut adalah wujud rasa perkabungan Tuhan kepadanya, Muhammad berkata: Gerhana adalah kejadian alam biasa, adalah suatu kebodohan mengaitkannya dengan kematian atau kelahiran seorang manusia. Saat setelah ia meninggal, sebahagian pengikutnya hendak memujanya sebagaimana Tuhan dipuja, akan tetapi penerus kepemimpinannya (Abu Bakar) menepis keinginan ummatnya itu dengan salah satu pidato keagamaan terindah sepanjang masa: Jika ada diantara kalian yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa ia telah meninggal. Tapi jika Tuhan-lah yang hendak kalian sembah, ketahuilah bahwa Ia hidup selamanya".

Lebih mengagumkan lagi bagaimana seorang penulis Barat, Micheal H. Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History boleh meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh sedangkan Nabi Isa sendiri diletakkan pada ranking yang ketiga. Micheal H. Hart menjelaskan alasan pemilihan seperti berikut:

"Jatuhnya pilihan saya kepada Nabi Muhammad dalam urutan pertama daftar Seratus Tokoh yang berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sementara pembaca dan mungkin jadi tanda tanya sebahagian yang lain. Tapi saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berhasil meraih kejayaan-kejayaan luar biasa baik dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi. Berasal-usul dari keluarga sederhana, Muhammad menegakkan dan menyebarkan salah satu dari agama terbesar di dunia, agama Islam. Dan pada saat yang bersamaan tampil sebagai seorang pemimpin tabah, tulen, dan efektif. Kini tiga belas abad sesudah wafatnya, pengaruhnya masih tetap kuat dan mendalam serta berakar".

Tahukah anda apa agama Micheal H. Hart? Dia sebenarnya adalah seorang Yahudi Amerika. Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 146 bermaksud:

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)".

Kesimpulannya, perbuatan bodoh sesetengah pengikut Kristian dan Yahudi yang cuba menghina dan memomokkan keperibadian Baginda Rasulullah SAW pada hari ini sebenarnya hanya akan menampakkan kebodohan dan memakan diri mereka sendiri. Lihatlah, kesannya nanti semakin ramai golongan bukan Islam akan semakin berminat untuk mengambil tahu dan mengkaji siapakah Nabi Islam yang hebat itu, Muhammad SAW.



Read more >>