Jumaat, 19 Ogos 2011

Pendirian Liqa' Asatizah berkenaan pembedahan batin


Selepas meneliti unsur-unsur yang terdapat dalam pembedahan batin yang diamalkan sesetengah perawat seperti membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, pengubatan jarak jauh dan seumpamanya, dapat disimpulkan seperti berikut :

1) Pembedahan batin adalah suatu hakikat yang kabur kerana tidak boleh dibuktikan dengan naql, aql dan sains. 

2) Pembedahan batin tidak mempunyai sandaran hukum daripada Kitab dan Sunnah Nabi SAW mahupun amalan salafussoleh. 

3) Hujah mengaitkan pembedahan batin dgn pembelahan dada Nabi SAW sebelum diangkat menjadi nabi dan Isra' adalah batil kerana perkara tersebut adalah irhas/mu'jizat yg tidak boleh dikiaskan kepada bukan nabi.

4) Pembedahan batin telah diamalkan dalam agama lain dengan begitu berleluasa seperti Kristian atas nama spiritual healing, psychic surgery @ operation, jirahah gharbiyyah atau jirahah ruhaniyyah. Ini menunjukkan, Islam, iman dan taqwa bukanlah syarat utama pembedahan batin boleh dilakukan seperti dakwaan sesetengah pihak.

5) Tokoh-tokoh awal perubatan alopati Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam (bukan sahaja al-tibb al-nabawi) sekaligus menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat.

6) Pembedahan batin diyakini menggunakan khidmat jin @ qarin yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik berdasarkan nas-nas al-Qur'an dalam surah al-Jin ayat 6 dan surah al-Zukhruf ayat 36.

7) Pembedahan batin termasuk perkara mencarik adat yang mampu dipelajari dan boleh dilakukan secara berterusan, ini menunjukkan ia bukan karamah atau ma'unah sebaliknya lebih dekat kepada unsur-unsur sihir dan sya'wazah.

8) Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin dan kembali kepada al-tibb al-nabawi spt menggunakan ayat-ayat syifa', doa ma'thur dll atau kembali kepada perubatan alopati (moden) yang tidak bercanggah dengan hukum syara'.

21 Julai 2011

Ahli liqa':

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi/ Moderator)
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, (Tidak Hadir)
Ustaz Ramadhan Fitri Elias, (Tidak hadir)
Ustaz Dr. Maszlee Malik,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman

Disahkan dalam liqa' pada 18 Ramadhan 1432
Read more >>

Sabtu, 13 Ogos 2011

Semoga Melayu tak ditipu Kristian Evangelis!

Sedih bila tengok pelbagai komen daripada orang Melayu-Islam tentang isu yang berlaku di Dream Centre DUMC baru-baru ini. Ada yang beri komen tanpa mengetahui hujung pangkal. Ada juga yang komen JAIS lebih untuk jaga 'kepentingan peribadi' kerana 'kes' tertentu. Kadang-kadang bila kita nak menunjukkan kita ini terlalu  toleransi atau kononnya Islam itu agama yang teraaamat 'demokrasi', maka lagak kita lebih dari 'orang putih' yang mengasaskan demokrasi di Barat itu.

Akibatnya adalah amat memalukan apabila ada Melayu-Islam yang menjadi pembela membuta tuli PUSAT PENYEBARAN KRISTIAN di Petaling Jaya yang berselindung di sebalik nama pusat komuniti 'Dream Centre' dan pertubuhan kebajikan 'Harapan Komuniti'. Bagi penulis apabila membaca misi DUMC yang menyebut "TO EVANGELISE THE KLANG VALLEY...", itu sudah cukup menjadi bukti bahawa ini adalah kumpulan Kristian Evanglis yang memang terkenal di seluruh dunia dengan aktiviti-aktiviti penginjilan dan missionary terhadap penganut agama lain. Sama seperti kumpulan evangelist yang lain, matlamat utama mereka adalah untuk menyampaikan ajaran bible kepada seluruh umat manusia. 

Apa yang perlu diketahui, kumpulan evangelist bukanlah sebodoh itu untuk menunjukkan aktiviti penginjilan mereka terhadap agama lain, lebih-lebih lagi penganut Islam! Itu sebab kebanyakan kumpulan evangelist tidak akan meminta mana-mana penganut agama yang berjaya di'baptis'kan atau di'convert'kan semudah itu untuk menukar personaliti atau identiti diri mereka. Bermakna; nama, pakaian, budaya dan cara beragama luaran akan terus nampak kelihatan Islam. Jangan terkejut, mungkin mereka yang sedang sama-sama berpuasa dan bersolat hari raya dengan kita itu sebenarnya bukan muslim lagi, tetapi mereka itu sebenarnya adalah kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Melayu Muslim"! Bahkan memang pun di peringkat dunia sudah wujud konferensi bagi kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Muslim", siap dengan pastor di kalangan mereka sendiri!

Inilah yang telah berjaya dilakukan oleh kumpulan evangelist Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak (yang kini telah tersebar ke seluruh semenanjung). Ketika penulis melakukan kajian di Lawas dan Limbang, dapat dilihat dengan jelas bagaimana penduduk pribumi di sana telah berjaya diubah kepercayaannya tanpa sedikitpun menyentuh budaya mereka. Lihat sahaja nama-nama yang digunakan, masih kekal kelihatan Melayu-Islam-nya (Idris Jala sebagai contoh), pakaian wanitanya seperti berbaju kurung ke gereja dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di gereja termasuk menggunakan kalimah Allah. Apa yang dilakukan oleh gol. evangelist hanyalah mengubah konsep Allah dari ESA kepada Allah sebagai God The Father dan Jesus sebagai anak-Nya. 

Harapan penulis, janganlah ahli-ahli politik dan tokoh tertentu dari kalangan Melayu-Islam terlalu jahil tentang misi dan visi golongan evangelist ini. Al-Qur'an sendiri telah memberi peringatan dan amaran dalam surah al-Baqarah ayat 120 bahawa Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda terhadap Islam hinggalah kita menjadi pengikut agama mereka. Pertahankanlah maruah Islam lebih daripada kita mempertahankan maruah diri dan parti. Janganlah kerana "politik ambil hati orang kafir" yang melampau, parti kita menang tapi akidahnya tergadai...

Wallahu a'lam.

Read more >>

Selasa, 2 Ogos 2011

Isu murahan di bulan Ramadhan

Sempena Ramadhan ini, semoga ia menjadi bulan yang benar-benar  memberikan kita lebih kekuatan beribadah di samping mampu menjaga lidah @ tangan kita daripada melakukan sesuatu yang menyakitkan saudara muslim kita yang lain seperti tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan lain-lain.

Semalam, penulis diberitahu seorang pegawai Jakim di ILIM Bangi telah menulis di laman blognya, cuba membuat assumption untuk mengujudkan persepsi bahawa penulis terlibat dalam komplot untuk membocorkan maklumat sulit dalam Taklimat Keselamatan Isu Wahabi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PDRM. Jawapan penulis mudah sahaja "Subhaanaka haaza buhtaanun 'azim…", Wallahi, ini adalah satu pembohongan yang besar!". 

Dalam ramai-ramai ahli yang hadir penulis dijadikan sasaran? Dipertikaikan pula hadir atas tiket peribadi atau Jakim?  Cukuplah bagi Allah SWT penulis serahkan tuduhan-tuduhan murahan seperti ini. Cuma hairan, apa kena mengena pegawai tersebut dengan isu ini? Apa kaitan dia secara rasminya tentang isu ini? Apa perlunya MKN atau PDRM mendedahkan siapa yg datang mesyuarat dll kepada pegawai ILIM ini? Sehinggakan maklumat penulis 'bergegas pulang' untuk menjemput anak di sekolah pun dimanipulasi kononnya bla bla bla. Subhanallah! Apa ni?

Bagi penulis, sebagai seorang pegawai kerajaan yang telah banyak kali terlibat dengan mesyuarat-mesyuarat kerajaan bersifat sulit dan rahsia, isu ini adalah masalah dalaman MKN, kebocoran maklumat yang berlaku perlu dilaporkan kepada polis dan MKN perlu buat siasatan dalaman. Pelik, kenapa isu ini diceritakan kepada orang yang tiada kena mengena? Sepatutnya hanya pegawai-pegawai agensi berkenaan sahaja yang bercakap, bukan orang yang tiada kena mengena.

Ringkasnya, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, tidak mahu melayan isu-isu murahan ini, penulis tegaskan Wallahi,Wabillahi,Watallahi, penulis tidak pernah membocorkan apa-apa maklumat sulit berkenaan taklimat berkenaan kepada mana-mana pihak atau pun berkomplot dengan sesiapapun untuk tujuan tersebut.

*Teringat, dulu penulis juga pernah dituduh menyebarkan blog esqsesat, alhamdulillah laporan polis telah dibuat dan selesai. So, dipersilakan kepada pegawai ILIM tersebut, MKN dan Bahagian Counter Terrorism PDRM untuk membuat laporan polis berkenaan isu ini dan tak perlu dijaja dalam blog atau ceramah dsb.

WALLAHUL MUSTA'AANU 'ALA MA TASIFUUN…

Mohd Aizam bin Mas'od
Cawangan Aqidah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan
Jakim, Putrajaya
Read more >>

Rabu, 27 Julai 2011

Syeikh al-Azhar peringatkan Syiah!

Kelmarin Syeikh al-Azhar sekali lagi mengingatkan puak Syiah bahawa institusi al-Azhar sentiasa memantau gerakan mensyiahkan (tasyyi') penganut sunni seperti yang berlaku di dunia Islam Sunni pada hari ini termasuk Malaysia. Syeikh al-Azhar menegaskan bahawa jika Syiah ingin menjalinkan hubungan yang baik antara Sunni-Syiah maka jangan sekali-kali melangkaui GARIS MERAH yang sedia wujud dalam Ahli Sunnah iaitu tidak mengutuk dan mengeji para sahabah r.h.m termasuk Ummul Mu'minin A'isyah r.a.h yang memiliki kedudukan tinggi dan dimuliakan oleh Ahli Sunnah. Syeikh al-Azhar juga menyeru supaya ulama Syiah mengeluarkan fatwa dan mewajibkan semua penganut Syiah berpegang kepada pendirian ini. (Klik sini )

Namun, apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya apabila buku-buku Syiah yang diedarkan penuh dengan unsur-unsur yang merendah-rendahkan kedudukan para sahabah termasuk mempertikaikan Sayyidina Abu Bakr sebagai khalifah pertama dan memperlecehkan Ummul Mu'minin A'isyah r.a.h. Amat jelas unsur-unsur untuk mensyiahkan penganut Sunni dalam penyebaran buku-buku tersebut. Ini kembali mengingatkan kita kepada buku-buku Syiah karangan para ulama mereka yang jelas-jelas mengutuk dan mencaci maki para sahabah r.h.m. 

Antaranya kitab al-Toharah karangan Khomeini yang mengatakan A'isyah, Zubair, Talhah dan Mu'awiyah itu lebih kotor daripada anjing dan khinzir.

Begitu juga kenyataan Imam Syiah al-Khau'i dalam Misbah al-Faqahah yang mengatakan telah sabit dalam riwayat, ziyarat, dan doa-doa bahawa keharusan mendoakan laknat bagi yang menyalahi mereka (Ahl- Sunnah), kewajipan berlepas diri daripada mereka, memperbanyakkan kutukan ke atas mereka...bahkan tidak syak lagi tentang kekufuran mereka kerana yang memungkiri wilayah dan para imam itu adalah kafir!

Oleh itu berhati-hatilah wahai para sahabat..semoga Allah memberi hidayah kepada sahabat kita yang bertukar menjadi Syiah jadian kerana kejahilan dan terpedaya.

Wallahu a'lam


Read more >>

Jumaat, 22 Julai 2011

Sunni under attack?!

Nampaknya gerakan Syiah jadian di Malaysia semakin tak keruan. Fatwa dan undang-undang yang jelas berkenaan larangan penyebaran Syiah langsung tak diendah dan dihormati. 

Kali ini dengan menggunakan nama Majlis Syiah Malaysia mereka menghantar memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri merayu supaya fatwa dan undang-undang pengharaman Syiah dibatalkan, mereka turut menghantar buku-buku Syiah ke beberapa lokasi dalam negara.

Paling mengejutkan, apabila di dalam memorandum tersebut, Syiah dengan sikap 'taqiyyah' (berpura-pura) membuat perakuan DUSTA apabila mengatakan merekalah sebenarnya Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ)! Alangkah jijiknya pengakuan Syiah ini! Bagi penulis ini adalah ungkapan paling BIADAP dan berniat jahat untuk mengelirukan penganut ASWJ. Pendek kata tak masuk akal langsung! 

Syiah juga diingatkan untuk tidak perlu mengkambinghitamkan 'salafi wahabi' dalam menyelamatkan diri. Syiah sendiri sedia maklum, golongan Ahli Sunnah tanpa mengira aliran sama ada salaf atau khalaf, Asya'irah-Maturidiyyah atau Salafiyyah, di Malaysia dan dunia Islam sunni yg lain, semuanya sepakat menolak Syiah tanpa terkecuali.

Sehubungan itu, penulis ingin mengingatkan masyarakat Islam supaya jangan sekali-kali terpedaya dengan propaganda jahat Syiah jadian ini. Ketahuilah perbuatan Syiah ini bertentangan dengan fatwa dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa di seluruh negara. Oleh itu sesiapa yang mndapat apa-apa buku atau dimaklumkan apa-apa maklumat berkenaan  dengan Syiah dinasihatkan seperti berikut :-

  1. Laporkan segera kepada pihak polis.
  2. Laporkan segera kepada jabatan agama Islam negeri / daerah.
  3. AJK surah dan masjid meminta ustaz-ustaz untuk menjelaskan penyelewengan Syiah termasuk untuk tazkirah bulan puasa nanti.

Sampaikan mesej ini kepada semua sahabat supaya semua kita sentiasa berhati-hati dengan propaganda Syiah ini!!!
Read more >>

Sabtu, 9 Julai 2011

Jangan bersekongkol dengan kezaliman

عَنْ حُذَيْفَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنَّا وَلَسْتُ مِنْهُمْ وَلَا يَرِدُ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَسَيَرِدُ عَلَيَّ الْحَوْضَ. قال شيخنا الشيخ شعيب الأرناؤوط : إسناده صحيح على شرط الشيخين .

Daripada Huzaifah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda : "Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan bertemuku di haudh". (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya. Kata guru kami, Syeikh Syu'aib al-Arna'uth, sanad hadith ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim)

Ya Allah lindungilah kami daripada fitnah dunia dan akhirat! Amin...

Read more >>

Jumaat, 17 Jun 2011

Utusan Malaysia perlu dita'dibkan


Sekali lalu, karikatur di atas difahami seakan-akan menghina sabitan syarat '4 orang saksi' dalam masalah hudud. Seolahnya hukum manusia itu lebih logik daripada hukum Allah apabila dibuat bandingan. Itulah 'pengajaran' yang dibimbangi akan difahami oleh orang-orang jahil apabila membaca karikatur di atas. Bagi orang yang berilmu, insyaAllah dia faham, yang menulis karikatur ini sendiri jahil dan tak faham bila waktunya '4 orang saksi' itu digunakan. Apapun penulis membantah karikatur di atas, malah akhbar yang menyiarkannya perlu diTA'DIBkan supaya memahami terlebih dahulu hukum-hakam Islam sebelum ingin mengulas mengenai Islam sehingga kesannya memburuk-burukkan agama Islam di mata bukan Islam. Harap Utusan Malaysia rujuk Garis Panduan Jakim di bawah...


Read more >>

Selasa, 14 Jun 2011

Hati-hati dengan karpet sejadah tertentu

 
Gambar Hiasan

Sudah menjadi trend pada hari ini, sesetengah surau dan masjid menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan warna. Cumanya timbul kebimbangan corak-corak karpet sejadah tertentu seperti yang berpetak gerbang masjid. Perkara ini dibimbangi kerana menyebabkan segelintir jemaah menganggap bahawa setiap petak untuk setiap seorang (lihat seperti gambar di atas). Hal ini sudah tentu bertentangan dengan hadith-hadith Baginda SAW yang mengarahkan kita melurus dan merapatkan saf-saf solat. Antaranya seperti hadith-hadith berikut :

وعن أنس قال‏:‏ ‏(‏كان رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم يقبل علينا وجهه قبل أن يكبر فيقول‏:‏ تراصوا واعتدلوا‏)‏‏.‏ متفق عليهما‏

Daripada Anas, ia berkata: Rasulullah SAW biasa menghadapkan wajahnya kepada kami, sebelum ia bertakbir, lalu bersabda : “Rapatkanlah dan luruskanlah”. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

ولأحمد وأبي داود في رواية قال‏:‏ ‏(‏فرأيت الرجل يلزق كعبه بكعب صاحبه وركبته بركبته ومنكبه بمنكبه‏)‏‏.

Dan bagi Ahmad dan Abu Dawud, dalam satu riwayat – dikatakan – (An-Nu’man bin Basyier) berkata: Lalu aku melihat orang-orang itu menyentuhkan mata kakinya pada mata kaki kawannya, dan lututnya pada lutut kawannya, serta bahunya pada bahu kawannya”.

وعن أبي أمامة قال‏:‏ ‏(‏قال رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم‏:‏ سووا صفوفكم وحاذوا بين مناكبكم ولينوا في أيدي إخوانكم وسدوا الخلل فإن الشيطان يدخل فيما بينكم بمنزلة الحذف يعني أولاد الضأن الصغار‏)‏‏.‏ رواه أحمد‏.‏

Dan daripada Abu Umamah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Luruskanlah saf-saf kamu, dan jajarkanlah antara bahu-bahu kamu, dan berlemah-lembutlah dalam (menyentuh) tangan-tangan saudara kamu,dan tutuplah celah-celah, kerana sesungguhnya syaitan akan masuk dalam (celah-celah) di antara kamu itu bagaikan anak kambing. Yakni, anak-anak kambing yang masih kecil”. (HR Ahmad).

وعن جابر بن سمرة قال‏:‏ ‏(‏خرج علينا رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم فقال‏:‏ ألا تصفون كما تصف الملائكة عند ربها فقلنا‏:‏ يا رسول اللَّه كيف تصف الملائكة عند ربها قال‏:‏ يتمون الصف الأول ويتراصون في الصف‏)‏‏.‏ رواه الجماعة إلا البخاري والترمذي‏.‏

Dan daripada Jabir bin Samurah, ia berkata: Rasulullah SAW pernah keluar kepada kami, lalu bersabda: “Apakah kamu tidak berbaris seperti barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya?” Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana barisnya Malaikat di hadapan Tuhannya itu? Ia menjawab:”Iaitu mereka menyempurnakan saf pertama, dan mereka berbaris dengan rapat dalam saf itu.” (HR Jamaah, kecuali Bukhari dan al-Tirmizi)


Karpet begini lebih baik, ringkas dan tidak merosakkan saf

Oleh itu, penulis cadangkan supaya pihak berkuasa agama atau para mufti menasihatkan pihak surau atau masjid berhati-hati dalam menyediakan karpet sejadah yang beraneka corak dan bentuk. Malah terdapat dalam keadaan tertentu, sejadah berasingan pula dihamparkan di atas karpet sedia ada untuk tujuan 'reserved'. Apa yang dibimbangi penulis, perkara-perkara seperti ini akhirnya mencetuskan "bid'ah" di dalam pembentukan saf solat. Kadang-kadang timbul juga persoalan, siapa yang reka karpet sebegini? Ada agendakah di sebaliknya?

Wallahu a'lam.   

Read more >>

Jumaat, 10 Jun 2011

Hapuskan bid'ah hingga ke akar umbi

Penulis hairan mengapa setiap kali kumpulan ini mengeluarkan kenyataan atau melancarkan kelab tertentu seperti Kelab Taat Suami dan sebelumnya Kelab Poligami Ikhwan, para pendakwah, cendekiawan dan tokoh itu dan ini sibuk memberikan komentar. Penulis tegaskan ini bukan cara yang betul dalam kita berhadapan dengan kumpulan bid'ah seperti bekas pengikut al-Arqam. Semua sedia maklum bahkan telah banyak kali Jakim membuat kenyataan bahawa antara ajaran sesat tegar yang masih aktif adalah bekas pengikut al-Arqam yang ketika ini berselindung di sebalik nama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB). Bahkan dalam mesyuarat terkini Jawatankuasa Pemandu Membanteras Ajaran Sesat Kebangsaan (JAPAS) yang dihadiri pengarah-pengarah jabatan agama negeri seluruh Malaysia sepakat mengatakan bekas pengikut al-Arqam masih aktif dan sekarang ini diterajui oleh isteri arwah Asaari Muhammad, Ummu Jah.

Bagi penulis, cara yang betul adalah kumpulan bid'ah dan sesat seperti ini mesti dibanteras hingga ke akar umbi. Apa jua unsur-unsur yang menjadi kekuatan pergerakan mereka perlu dilumpuhkan sama sekali. Dalam al-Arqam, yang kemudiannya menjadi Syarikat Rufaqa' dan kemudiannya GISB, dua senjata utama mereka adalah perkahwinan dan ekonomi. Dengan perkahwinan ia berjaya mengikat ahli-ahli mereka daripada keluar dan meneruskan kelangsungan pergerakan ini dari satu generasi ke satu generasi. Kedua, kegiatan ekonomi yang bertujuan meneruskan kehidupan dalam kelompok mereka. Kedua-dua instrumen ini dieksplotasikan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi bekas al-Arqam untuk terus bertakhta dengan memerah keringat pengikut-pengikut bawahan mereka. Lihat sahaja, Ummu Jah yang ketika ini sedang enak beradu di mahligainya di Arab Saudi sambil memberi arahan jarak jauh. Siapa lagi yang menyalurkan dana kalau bukan para pengikutnya yang bekerja siang dan malam?

Kenyataan terbaru GISB yang mengatakan isteri ibarat pelacur kelas pertama, jelas menunjukkan betapa ghairahnya eksploitasi wanita sebagai simbol seks dalam pertubuhan ini. Malah penulis sendiri pernah mengadakan tinjauan ke markaz utama mereka di Bandar Country Homes, Rawang dan mendapati ramai wanita berdahi licin yang 'amat' muda remaja telah disunting oleh lelaki-lelaki mereka yang tidak diketahui entah isteri nombor ke berapa. Hingga kadang-kadang penulis menjadi 'confuse' adakah wanita ini sedang mendukung adiknya atau anaknya? Bila ditanya, oh…anaknya rupa-rupanya. Tercetus pula di fikiran penulis, berdaftarkah perkahwinan mereka ini? Wallahu a'lam.

Dalam hal ini penulis tegaskan, kumpulan bid'ah seperti ini perlu dihapuskan hingga ke akar umbi. Seperti kata Imam al-Ghazali di dalam Ihya', segala pintu bid'ah wajib disekat dan wajib mengingkari kumpulan bid'ah tersebut walaupun mereka menyangka mereka di pihak yang benar. Malah Imam Ibn al-Qayyim menegaskan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah, hisbah ke atas kumpulan bid'ah lebih utama dan penting berbanding semua kemungkaran-kemungkaran yang lain. Oleh itu, jika kita mahu kumpulan ini benar-benar lenyap, penulis syorkan supaya pendaftaran syarikat kumpulan ini dibatalkan dan diharamkan menjalankan apa-apa kegiatan ekonomi. Kedua, semua perkahwinan kumpulan ini yang diadakan secara poligami perlu disiasat untuk dinilai kesahihannya. Ketiga, pihak berkuasa perlu menyiasat status kanak-kanak mereka yang kelihatannya ramai berkeliaran pada waktu-waktu persekolahan di markaz-markaz mereka.     

Hakikatnya, membanteras ajaran sesat hanya akan berjaya jika semua agensi kerajaan sama ada yang berlabel agama atau tidak serta masyarakat awam memberikan kerjasama penuh. Jika jabatan agama sahaja bertindak tetapi pihak yang mendaftarkan syarikat tidak, maka tiada gunanya. Begitu juga jika jabatan agama bertindak tetapi masyarakat masih simpati dan melanggan di kedai-kedai mereka, bermakna usaha untuk membanteras hanya akan jadi sia-sia. Lebih sedih lagi, jika setiap kali kumpulan ini memanggil wartawan untuk buat pelancaran itu dan ini, maka sibuklah akhbar-akhbar melaporkan kenyataan mereka, maka jadilah usaha membanteras ajaran sesat sesuatu yang sia-sia dan mustahil berlaku. Alangkah indah jika 'siyasah syar'iyyah' benar-benar dilaksanakan sepenuhnya, ketika itu semua kementerian adalah kementerian agama dan semua jabatan adalah jabatan agama…Wallahu a'lam.

Read more >>

Ahad, 5 Jun 2011

Jakim, teguhkan pendirian!

Suatu ketika dalam era kepimpinan Dato' Wan sebagai Ketua Pengarah Jakim, beliau telah menunjukkan keutuhan peribadi dan keteguhan prinsip yang  mengagumkan kawan dan lawan. Semoga ia dilanjutkan oleh kepimpinan Jakim masakini dan seterusnya...


Sekadar tazkirah dari penulis buat kepimpinan baru...


Rasulullah SAW sering menasihati agar kita menjadi seorang yang memiliki pendirian teguh terhadap agama.


Orang mukmin yang sejati mempunyai harga diri, tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang hina. Seorang mukmin yang mempunyai harga diri, dia pasti berani menegakkan kebenaran sekalipun sukar dan pahit. Ia rela mendapat cacian, hinaan atau stigma-stigma buruk sekalipun. Kerana dia tidak memburu habuan jangka pendek dan kenikmatan sesaat (mata'uddunya). Seorang mukmin yang teguh pendiriannya, bagaikan batu karang di tengah lautan. Tegar dari amukan badai dan hempasan gelombang serta pasang surut lautan.


Kekuatan jiwa seorang muslim, terletak pada kuat atau kurangnya keyakinan yang dipegang. Jika aqidahnya teguh, jiwanya akan kukuh. Tetapi jika aqidahnya lemah, lemah pula jiwanya. Ia ada izzah (mulia) kerana sentiasa menghubungkan dirinya dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi. Bukan dengan vip itu vip ini, menteri itu menteri ini.


Orang yang beriman itu adalah keperibadian yang memiliki prinsip hidup yang dipeganginya dengan erat. Ia bekerjasama dengan sesiapapun dalam kebaikan dan ketakwaan. Namun jika sekelilingnya mengajak kepada kemungkaran, ia akan mengambil jarak bahkan akan "keluar" dari lingkungan itu. Bukan sebaliknya, mengikut arus. Seorang mukmin sejati dia akan tetap istiqamah dan amanah.


Rasulullah melarang orang Muslim tak berpendirian. "Saya ikut bersama-sama orang-orang, kalau orang-orang berbuat baik, saya juga berbuat baik, dan kalau orang-orang berbuat jahat saya pun berbuat jahat. Akan tetapi teguhkanlah pendirianmu. Apabila orang-orang berbuat kebajikan, hendaklah engkau juga berbuat kebajikan, dan kalau mereka melakukan kejahatan, hendaknya engkau menjauhi perbuatan jahat itu. " (Riwayat al-Tirmizi).


Oleh itu, baliklah kepada iman. Hanya imanlah yang meneguhkan pendirian. Hanya imanlah yang akan memberikan kekuatan. Iman adalah gelora yang mengalirkan inspirasi kepada akal fikiran, maka lahirlah bashirah (mata hati). Sebuah pandangan yang dilandasi oleh kesempurnaan ilmu dan keutuhan keyakinan. Ia menjadi cahaya yang menerangi dan melapangkan jiwa lalu membuahkan taqwa. Iman adalah bekal yang menjalar di segenap tubuh, maka lahirlah harakah. Sebuah gerakan yang terpimpin untuk memenangi kebenaran atas kebatilan, keadilan atas kezaliman, ketaatan atas kemaksiatan. Hasilnya, tiada lagi kepentingan peribadi, bias parti, takut menteri atau loba duniawi tetapi hanya Allah, Rasul dan Islam menjadi matlamat yg dicari... 


Wallahu a'lam. 
Read more >>