Selasa, 15 Februari 2011

Awas program agama tajaan PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan segala deklarasi yang dikeluarkan berkenaan agama bukanlah badan yang benar-benar berautoriti untuk menentukan polisi beragama. PBB adalah sebuah pertubuhan sekular di peringkat antarabangsa. Mungkin negara-negara Islam boleh memanfaatkan PBB dalam isu-isu kemanusiaan seperti bencana alam, keselamatan, pendidikan, alam sekitar dan lain-lain tetapi  bukan soal keagamaan. 

Terbaru, PBB telah menganjurkan masyarakat dunia supaya menyambut pada setiap minggu pertama bulan Februari apa yang dinamakan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (World Interfaith Harmony Week). Melihat kepada nama program ini  kelihatannya tiada masalah, tetapi apa motif sebenar di sebaliknya? Apa dasar, prinsip dan matlamatnya yang sebenar?

Jika kita melihat sepintas lalu, program PBB ini telah mendapat sambutan yang sangat meriah di kalangan pejuang-pejuang kesamarataan agama terdiri di kalangan golongan liberalist dan pluralist. Macam-macam acara yang mereka anjurkan termasuk acara DOA BERSAMA seperti yang dilakukan di Indonesia dengan penganut Islam  diwakili oleh pemimpin tertinggi salah sebuah NGO Islam terbesar di sana. Sudah lupakah masyarakat Indonesia terhadap fatwa MUI tahun 2005 yang mengatakan doa bersama-sama penganut agama lain adalah haram kerana seolah-olah kita mengiktiraf agama mereka.

Di Malaysia pula, penulis mendapat maklumat pelbagai acara cuba diatur termasuk memeriahkan konsep 'pluralisme agama' melalui penulisan dan aktiviti kemasyarakatan. Antaranya tulisan yang disiarkan di NST pada minggu lalu yang ditulis oleh salah seorang pensyarah muslim liberal berkenaan konsep pluralisme agama yang kononnya didukung oleh agama Islam. Malah penulis juga mendapat khabar bahawa terdapat rancangan untuk mengadakan program anak angkat antara keluarga muslim dan bukan muslim. Maksudnya anak muslim diletakkan dengan keluarga angkat bukan muslim dan sebaliknya. Soalnya, beginikah cara Islam mengharmonikan hubungan antara agama? Atau ini sebenarnya konsep sekular yang digunapakai PBB kononnya untuk keharmonian beragama!

Sekali lagi penulis tegaskan, PBB bukanlah pertubuhan yang berautoriti untuk menyelesaikan isu-isu keagamaan kerana PBB adalah sebuah pertubuhan sekular. Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 PBB telah menjelaskan segala-galanya. Bagaimana umat Islam mahu dibolehkan untuk menukar agama sesuka hati? Mengahwini sesiapapun tanpa mengira agama sesuka hati? Semoga pihak pemerintah sentiasa peka dan tidak menerima apa sahaja yang dianjur oleh PBB. Dengan kedaulatan negara ini, penulis yakin kita berhak untuk menerima atau menolak apa sahaja yang ditaja oleh PBB. Wallahu a'lam.