Sabtu, 20 November 2010

WUJUDKAH KEKELIRUAN TENTANG TARIKH IDUL ADHA?

Jumaat lepas YB Salahuddin Ayub mencadangkan usul tergempar supaya membincangkan kekeliruan tentang tarikh Idul Adha yang berbeza dengan Makkah. Persoalannya benarkah wujudnya kekeliruan? Perlukah sehingga dibawa ke Parlimen? Bukankah lebih baik jika YB bertandang ke JAKIM pada sejurus selepas pengumuman awal bulan Zulhijjah dibuat supaya penjelasan lanjut dapat diberikan kepada beliau? Bukankah JAKIM sendiri menerusi lama webnya dan telah disiarkan di beberapa akhbar arus perdana telah mengemukakan alasan penentuan tarikh Idul Adha tersebut. Sila klik di sini. Bagaimanapun, di sini penulis perturunkan satu artikel yang sangat baik untuk dibaca, tulisan sahabat penulis yang pernah menjadi urusetia Jawatankuasa Falak Kebangsaan, al-Fadhil Ustaz Muhammad Zakuwa bin Rodzali bertajuk 'Kaedah Penentuan Idul Adha di Malaysia dan Isu Puasa Sunat Hari Arafah'.

Penentuan ‘Idul Adha di Malaysia masakini yang berpandukan cerapan hilal Zulhijjah negara sendiri telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992. Hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui penentuan ‘Idul Adha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan muzakarah semula mengenai isu sama pada 23 April 2002 adalah hadith mengenai ibadah korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud, “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.” (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 7, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 118).

Juga hadith mengenai hilal yang mempunyai matla’ tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah menyuruh kami…’.” (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 172).

‘Idul Adha merupakan hari yang kesepuluh dari masuknya awal Zulhijjah seperti yang dijelaskan dalam hadith yang bermaksud, “Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’ (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 7, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 117).

‘Idul Adha negara Malaysia atau jelasnya negara-negara yang jauh dari negara Arab Saudi tidak semestinya disambut pada hari yang sama dengan ‘Idul Adha negara Arab Saudi. Ibn ‘Abidin menyatakan bahawa orang-orang yang berpegang dengan matla’ hilal tidak sahaja menyambut puasa dan ‘Idul Fitri berpandukan cerapan hilal matla’ sendiri tetapi juga ibadah korban mereka, “Maka diganjari ibadah korban yang dilaksana pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telahpun memasuki hari yang keempat belas.” (Ibn ‘Abidin, Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar, j. 3, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 364).

Muhammad Rashid Redha pernah disoal mengenai penentuan puasa, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha di Bangkok (Siam) seterusnya memohon kepada penyoalnya supaya berpandukan cerapan hilal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah di sana, “Kesimpulannya, wajiblah ke atas umat Islam di negara kamu beramal pada mengesahkan kenampakan hilal Ramadhan dan kedua-dua hari raya dengan apa yang menjadi amalan seluruh umat Islam dari kenampakan hilal…” (Muhammad Rashid Redha (1971), Fatawa al-Imam Muhammad Rashid Redha, j. 4, Beirut: Dar al-Kitab al-Jadid, h. 1597-1602).

Muhammad Taqi al-Uthmani, alim Pakistan yang merupakan salah seorang ahli Islamic Fiqh Academy, Jeddah juga memberikan maklumbalas wujudnya matla’ hilal Zulhijjah seperti berikut, “Sememangnya benar ‘Idul Adha di negara Arab Saudi jatuh sehari selepas hari Arafah, walaubagaimanapun bukanlah suatu kemestian kepada umat Islam di setiap negara berpandukan kepada tarikh sama di tempat masing-masing. Ibadah haji tanpa syak terikat (pelaksanaannya) dengan tempat tertentu sementara ‘Idul Adha tidak terbatas kepada tempat tersebut sahaja. Ia disambut di seluruh dunia dan tidak sepatutnya terikat dengan takwim Arab Saudi… Di dalam perbahasan ini, adanya pernyataan yang jelas bahawa sambutan ‘Idul Adha berpandukan kepada takwim Arab Saudi bukan suatu kemestian mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya ia suatu kemestian, sudah tentu umat Islam telah mengerahkan seluruh usaha dalam mengenalpasti tarikh pelaksanaan haji di Arab Saudi. Ia adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa umat Islam di luar Arab Saudi pada masa itu tidak berkemampuan untuk mengenalpasti tarikh pelaksanaan haji memandangkan tarikh tersebut kebiasaannya telah ditentukan pada malam pertama Zulhijjah. Masih ada sembilan hari menjelang sambutan ‘Idul Adha, waktu yang lebih dari mencukupi untuk umat Islam mendapatkan maklumat...”.(http://www.moonsighting.com/articles/tusmani.html, 12 November 2010).

Tradisi silam dunia Islam membuktikan cerapan hilal Zulhijjah tidak sahaja dilaksana sekitar Makkah untuk menentukan hari Wukuf di sana malahan seluruh pelusuk dunia Islam untuk menentukan ‘Idul Adha. Ibn Hajar al-‘Asqalani menceritakan peristiwa yang berlaku pada tahun 848 H seperti berikut, “Bulan Zulhijjah telah bermula pada hari Khamis setelah orang ramai yang merukyah hilal di kebanyakan tempat pada malam Rabu tidak melaporkan kenampakannya melainkan satu laporan jua yang menyalahinya. Salah seorang daripada mereka berkata bahawa dia telah melihat hilal, akan tetapi apabila diminta mengesahkannya dia enggan. Setelah diselidiki, maka didapati sebab keengganannya adalah kerana perkhabaran bahawa Sultan lazimnya akan menyampaikan dua kali khutbah sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Hal ini telah teruji menimbulkan kegusaran kepada Sultan. Selepas beberapa hari berlalu, berita tersebut sampai juga kepada pengetahuan Sultan yang pada mulanya mengingkarinya. Baginda murka terhadap orang yang dikhabarkan telah melihat hilal tersebut. Dikatakan bahawa orang yang dimaksudkan adalah Ahmad bin Nouruz. Beliau dikhabarkan melihat hilal tetapi tidak melaporkan kepada qadi. Beliau kemudiannya dipanggil kerana dikatakan melihat hilal pada malam Rabu bersama satu jemaah. Seterusnya beliau dibawa bersama muhtasib (penguatkuasa) ke hadapan qadi al-Shafi’i dan disahkan penyaksiannya. Orang ramai dari seluruh negeri yang melihat hilal pada malam Rabu turut diseru untuk mengesahkan penyaksian di hadapan qadi. Maka bersegeralah orang-orang yang mendakwa melihat hilal pada malam tersebut turut bersyahadah. Setelah terlaksananya syarat-syarat penyaksian, maka diumumkan bahawa ‘Idul Adha jatuh pada hari Jumaat dan berkekalanlah hal yang demikian itu sehingga tibanya ‘Idul Adha pada hari Jumaat. Pada hari Sabtu 25 Zulhijjah, datanglah penyampai berita memaklumkan selamat sudah orang yang menunaikan rukun haji dan beliau turut memaklumkan bahawa tiada sesiapapun yang menghadiri Arafah dari seluruh tempat melaporkan telah melihat hilal pada malam Rabu. Justeru, bulan Zulkaedah telah disempurnakan tiga puluh hari, awal Zulhijjah bermula pada hari Khamis dan mereka berwukuf di Padang Arafah pada hari Jumaat…” (Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani (1986), Inba’ al-Ghamr, j. 8, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 225-226).

Berkenaan dengan puasa sunat Arafah, terdapat hadith yang jelas mengenai kelebihan puasa pada hari tersebut, “Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “…Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan berikutnya”. (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).

Orang ramai berpuasa sempena hari Arafah dan berhari raya berpandukan cerapan hilal matla’ masing-masing. Al-Subki menceritakan peristiwa berikut, “Orang yang memohon kepada ulasan persoalan telah memaklumkan bahawa pada tahun ini iaitu 748 H orang ramai telah melihat hilal Zulhijjah di Damsyik malam Ahad sekitar Ma’zamiyyah, turut dikatakan telah dilihat sekitar Baisan… Pada tahun sebelumnya juga sedemikian berayanya penduduk Damsyik atas keputusannya hari Jumaat, hari Wukuf jemaah haji…( Abu al-Hasan Taqi al-Din Ali bin Abd al-Kafi al-Subki, Fatawa al-Subki, j. 1, Beirut: Dar al-Makrifah, h. 211-212).

Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada hari yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada hari yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Isnin ini (15 November 2010) maka ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah. Justeru itulah, kita lihat negara-negara seperti Pakistan, Bangladesh, Iran, Malaysia, Indonesia, Singapura, Afrika Selatan dan Australia menyambut awal Zulhijjah pada 8 November 2010 kerana tidak kelihatan hilal juga tidak imkanur-rukyah hilal pada petang cerapan 6 November 2010 dan akan berpuasa sunat sempena Arafah pada hari negara Arab Saudi dan kebanyakan negara-negara Arab yang lain sedang menyambut ‘Idul Adha pada 16 November 2010 ini (http://www.icoproject.org/icop/hej31.html, 12 November 2010).

Sesetengah orang mengemukakan pandangan supaya negara Malaysia berpuasa dan berhari raya puasa berpandukan cerapan hilal Ramadhan dan Syawal di Malaysia tetapi berhari raya korban berpandukan cerapan hilal Zulhijjah di Arab Saudi. Sejarah membuktikan pandangan ini membawa masalah lain semasa negara Malaysia mengamalkan penentuan ‘Idul Adha berpandukan ketetapan hari Wukuf bilamana bilangan hari dalam bulan Zulhijjah negara pernah menjadi 31 hari seperti yang berlaku pada tahun 1392 H. Ia juga kadangkala menyebabkan bulan Zulkaedah menjadi 28 hari. Perkara ini sudah tentu berlawanan dengan hadith yang bermaksud, “…Bulan itu begini dan begini. Kadang-kadang 29 hari dan kadang-kadang 30 hari” (Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, j. 4, Riyadh: Dar al-Salam, h. 163).

Ringkasnya, kaedah penentuan ‘Idul Adha di Malaysia yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu beraya bersama Arab Saudi. Ringkasnya juga, puasa sempena hari Arafah di Malaysia bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Selasa 16 November 2010 seperti kenyataan rasmi JAKIM di http://www.islam.gov.my.