Rabu, 24 Oktober 2012

Haji sebenar Syiah di mana??

Dikatakan ini ka'bah Syiah di Karbala
Berkenaan kefardhuan ibadah haji di sisi Syiah, golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menafikan ia juga adalah ibadah yang diwajibkan menurut ajaran Syiah Imamiyyah Ithna Ashariyyah[1]

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ajaran Syiah benar-benar terlepas daripada sebarang keraguan berkenaan ibadah haji. Jika dirujuk kepada kitab-kitab Syiah dan pandangan para ulama mereka, terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan keraguan dalam pegangan Syiah berkaitan ibadah haji. Antaranya adalah berkenaan status menziarahi makam Sayyidina Husayn r.a yang seolah-olah lebih besar pahalanya berbanding menunaikan ibadah haji dan kedudukan tanah Karbala yang seolah-olah lebih suci daripada tanah Makkah. Antara riwayat-riwayat yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:

Diriwayatkan daripada al-Sadiq, Ja'far bin Muhammad bahawa beliau berkata, "Ziarah Husain bin Ali adalah wajib atas setiap yang mengakui keimaman Husain daripada Allah 'Azza wa Jalla". Lalu beliau berkata lagi, "Menziarahi Husain menyamai seratus haji yang mabrur dan seratus umrah yang diterima"[2].

Selain itu, tanah Karbala yang menjadi tempat persemadian jasad Sayyidina Husain juga dianggap sebagai tanah yang suci sehingga ia dijadikan tempat sujud oleh penganut Syiah. Keutamaan yang seperti ini tidak pula wujud pada tanah-tanah yang lain termasuk tanah Makkah yang merupakan tanah haram serta tanah Madinah yang menjadi tempat pemakaman Rasulullah S.AW. Antaranya ialah riwayat-riwayat seperti berikut:

Syiah sujud di atas batu Karbala
Allah akan menjadikan Karbala sebagai pusat dan tempat berkumpul para malaikat dan orang-orang mukmin. Ia akan memiliki kemulian, akan tersebar padanya berbagai keberkatan. Seandainya seseorang berdoa di sana kepada Rabb-nya, nescaya Allah akan memberikan dengan satu doa sahaja seribu kali lipat kerajaan dunia. Berbagai tempat di bumi saling berbangga, Ka’bah yang di tanah haram berbangga di atas Karbala. Maka Allah wahyukan kepadanya: Wahai Ka’bah tanah haram diamlah engkau! Jangan engkau berbangga diatas Karbala! Sesungguhnya dia bumi yang penuh berkat[3].

Dalam riwayat Syiah yang lain disebutkan, “Allah telah menciptakan padang Karbala sebelum menciptakan bumi Ka’bah (kota suci Makkah) selama dua puluh empat ribu tahun. Ia (Karbala) telah suci dan berkat sebelum penciptan para makhluk. Ia senantiasa demikian sampai Allah jadikan ia sebagai tempat yang paling afdhal (mulia) di dalam surga[4].

Riwayat-riwayat seperti ini sudah tentu akan menimbulkan kesangsian golongan Ahl al-Sunah wa al-Jama‘ah terhadap Syiah kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa Syiah mempunyai tempat yang lebih utama untuk diziarahi selain daripada Bayt Allah di Makkah dan makam Nabi SAW di Madinah. Pandangan melampau Syiah terhadap ziarah kubur Sayyidina Husain dan kesucian tanah Karbala berbanding Makkah ini juga, berkemungkinan menyebabkan timbul persepsi di kalangan sesetengah golongan Sunni bahawa penganut Syiah tidak mewajibkan ibadah haji di Makkah.

Ahli Sunnah wal-Jamaah juga agak sukar untuk melupakan musim haji pada tahun 2009 apabila terdapat hasrat puak Syiah untuk menukarkan ibadah haji di Makkah ke tempat-tempat suci mereka termasuk Karbala. Sila baca laporan di bawah:


Sumber-sumber berita resmi Irak menyatakan bahwa ribuan warga Syi’ah dari Iran dan negara-negara Teluk melaksanakan wuquf di Karbala, sebagai pengganti wuquf di Arafah, Selasa (23/11/2009).

Najah Al-Balaghi, Kepala Administrasi Bandara Nejef, menyampaikan, "Ribuan pengikut Syi’ah datang dari negara-negara Teluk dan Iran untuk berpartisipasi dalam kunjungan Arafah di makam Imam Husain di Karbala, Selatan Baghdad." Ia menambahkan, " Dalam minggu ini jumlah mereka mencapai 6.235 dari Teluk dan sekitar 7.000 orang dari Iran."

Al-Balaghi juga menegaskan bahwa jumlah pengunjung ini akan bertambah, menunggu pesawat yang bisa membawa mereka ke Nejef. Dalam sehari rata-rata ada penerbangan berasal dari Dubai, Bahrain, Lebanon dan Suriah setelah sebelumnya hanya ada dua kali penerbangan dalam seminggu. Penerbangan ke Teheran dan Masyhad (lokasi syahidnya Husain) dari satu sampai empat kali penerbangan dalam seminggu.


Tokoh Referensi Syi’ah, Huda Ahmed, Wakil dari Mursyid Ali Khamenei, dari kota Masyhad menyerukan untuk menjadikan Masyhad itu sebagai kiblat kaum muslimin, menggantikan kota Mekah. Dia juga mengajak untuk meninggalkan rukun Islam kelima yaitu haji ke Baitullah.

Perwakilan Khamenei ini menyatakan bahwa "Makam Imam Ridha berada di Masyhad, maka ia pun menjadi tempat yang tepat bagi seluruh umat Islam. Sementara tempat-tempat lain, telah menjadi tawanan orang-orang yang sombong." Ia menambahkan, "Tanah Hijaz telah menjadi tawanan kelompok Wahabi," .

Huda menunjukkan bahwa Masyhad ini setiap tahun dikunjungi oleh 800 ribu pengunjung dari luar negeri dan dan 20 juta pengunjung dari dalam negeri Iran sepanjang tahun.. Ia mengklaim bahwa Masyhad adalah ibukota spiritual dan keagamaan, bahkan sebelum adanya makam Imam Ridha, imam Syi’ah yang kedelapan, di dalamnya. (Sumber)




[1] Lihat al-Musawi, Sayid Muhammad Rida (1993), Mukhtasar al-Ahkam (terj.), Bangi: Markaz Ahlul Bait UKM, h. 208.
[2] Al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), al-Irshad fi Ma'rifah Hujaj Allah 'ala al-'Ibad, Qom: Mu'tamar al-Shaykh al-Mufid, h. 133-134; al-‘Amili, Muhammad bin Hasan al-Hurr (1409h), Tafsil Wasa’il al-Shi‘ah ila Tahsil Masa’il al-Shari‘ah, j. 14. Qom: Mu’assasah Al al-Bayt, h. 445; al-Irbili, ‘Ali bin ‘Isa (1423h), Kashf al-Ghummah fi Ma‘rifah al-A’immah, j.2. Tabriz: Bani Hashimi, h. 41.   
[3] Al-Majlisi, Muhammad Baqir (1403h), Bihar al-Anwar al-Jami‘ah li Durar al-Akhbar al-Athar, j. 53. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, h. 12; al-Mufid, Muhammad bin Muhammad (1413h), Kitab al-Mazar-Manasik al-Mazar, Qom: Mu‘tamar Alfiyah al-Shaykh al-Mufid, h. 23; al-Tusi, Muhammad bin al-Hasan (1407h), Tahzib al-Ahkam, j.6. Tehran: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, h. 72. 
[4] Ibid., j.54, h. 202.

Ahad, 21 Oktober 2012

Sembang isu hudud

Nampaknya isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.

Bagi penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:

a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur'an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 55 tahun.
b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.
c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.
d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah 'benchmark' untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.
e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?
Sultan Brunei komited laksanakan hudud
f)   Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.
Sebagai penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:

a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap  pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.
b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara'. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah 'hudud Pas' atau 'hudud UMNO'.
c)  Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.
Sultan Brunei bertitah: “Siapakah kita di hadapan Allah untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu sedangkan undang-undang ini bukanlah baru digubal, tetapi telah termaktub di dalam Al-Quran dan Al Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih”
Penulis yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.

Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau "beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبة الشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديد المراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتى تصل المسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: "Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam".

Wallahu a'lam…

Jumaat, 12 Oktober 2012

Produk yang memperdagangkan al-Qur'an

Penulis melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.

Ini kerana terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an. Maka, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh, mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba 'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh dengan kelebihan.  

Dalam hal ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau mengatakan seperti berikut :

وإن تعجب فعجب أن تكتب الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض. وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا يرضى به عقل سليم.
من كتاب " فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208

"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya, atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat) daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil, perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)

Walaupun fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN DAN DOANYA berbanding produk lain.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.

Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dan meninggalkan perubatan moden.

Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll yang  menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan".