Jumaat, 26 Ogos 2011

Salam Idulfitri : Sila cek result Ramadhan anda!


Rasulullah SAW bersabda;
رب صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
"Boleh jadi orang yang berpuasa namun ia tak mendapatkan apa-apa dari puasanya selain lapar dan dahaga." (Musnad al-Syihab)

Ungkapan Nabi SAW di atas merupakan isyarat bahawa wujud kalangan orang yang berpuasa Ramadhan itu, walaupun mereka tidak makan, minum, dan berhubungan badan atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi result puasanya GAGAL.

Untuk menyemak result puasa kita sama ada GAGAL atau tidak, mungkin kita boleh lihat kepada senarai di bawah;

Pertama, ketika seseorang berpuasa tapi gagal memenuhi target walaupun satu kali khatam al-Qur’an di bulan Ramadhan tanpa apa-apa keuzuran yang munasabah. Imam Syafi’i merupakan salah satu contoh tokoh yang berjaya dalam bulan Ramadhan. Bukan satu atau dua kali khatam al-Qur’an, beliau mengkhatamkannya sebanyak enam puluh kali dalam bulan Ramadhan.

Dr. A’id Abdullah al-Qarni menceritakan keadaan rumah para salafussaleh di bulan Ramadhan. Suara lantunan al-Qur’an sentiasa bergema ibarat gema lebah. "Mereka membaca al-Qur’an dengan tartil, memperhatikan keajaiban-keajaiban isinya, menangisi amaran-amaran yang terdapat di dalamnya, berbahagia dengan berita gembiranya, saling menyuruh dengan perintah-perintahnya, dan saling mencegah dengan larangan-larangannya", tulisnya.

Selain dari itu, Ibn Taimiyah pernah mengatakan, "Sesiapa yang tidak membaca al-Qur’an, ia telah meninggalkan al-Qur’an, sesiapa yang membaca al-Qur’an tetapi tidak merenungi kandungan-kandungan maknanya bererti ia juga telah meninggalkan al-Qur’an, dan sesiapa yang membaca al-Qur’an serta merenunginya namun isinya tidak diamalkan, sama sahaja ia telah meninggalkan al-Qur’an".

Jika membaca dan berusaha mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadhan pun gagal dilaksanakan, apatah lagi membacanya pada bulan-bulan lain? Apa lagi untuk mengamalkan isi kandungannya?

Kedua, ketika seseorang berpuasa tetapi gagal memelihara anggota tubuh dan pancainderanya dari maksiat serta penyimpangan. Salah satu hikmah berpuasa seperti yang disebutkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah sebagai tarbiyah (pendidikan) bagi kemahuan, perang terhadap hawa nafsu yang negatif dan hal-hal tabiat buruk yang telah menjadi tradisi, serta melazimkan kesabaran.

Berpuasa perut tanpa puasa anggota tubuh tentunya hanya memperoleh kepayahan fizikal semata namun kosong daripada hikmah dan tarbiyah. Yang terbaik adalah bagaimana puasa yang dilakukan betul-betul mengandungi kebersamaan, antara menahan diri makan, minum, berhubungan badan, dan pada masa yang sama mempuasakan anggota tubuh dari penyimpangan: hati dari penyakit-penyakitnya; lidah dari mengeluarkan kata-kata dusta, fitnah dan biadab; mata dari pandangan yang tak halal; tangan dari merampas hak orang lain; telinga dari mendengar perkataan kotor; nyanyian-nyanyian seronok yang menaikkan nafsu; dan kaki dari melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik.

Jika ketika berpuasa di bulan Ramadhan pun gagal menahan diri daripada maksiat dan kejahatan, maka bagaimana pula ketika tidak berpuasa dan di luar Ramadhan?

Ketiga, saat malam-malamnya tidak dihidupkan dengan ibadah. Malam-malam Ramadhan adalah waku yang sangat tepat untuk meningkatkan volume ibadah. Setelah beribadah menahan diri dari segala hal yang dilarang ketika berpuasa di siang hari, maka di waktu malam dihidupkan dengan pelbagai perbuatan terpuji.

Melepak, berbual kosong dan menonton TV merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh sebahagian kaum Muslim. Mereka menghabiskan malam-malam dengan bicara tanpa manfaat, merokok, bercengkerama hingga larut malam sambil menghabiskan malam tanpa diisi dengan ibadah untuk meningkatkan ketaqwaan.

Jika di dalam Ramadhan pun malam-malamnya dipersia-siakan, maka bagaimana pula malam-malam di luar Ramadhan?

Keempat, ketika berbuka puasa menjadi saat untuk "membalas dendam”. Berbuka puasa sering dijadikan kesempatan "membayar hutang" makan dan minum di siang berpuasa. Semua makanan dan minuman dilahap untuk menggantikan "tunggakan" sebelumnya. Jika ini yang terjadi, lalu di mana letaknya pengajaran menahan diri dari MENURUTI HAWA NAFSU.

Tidak menjadikan buka puasa sebagai balas dendam, membuat jiwa terkawal, hati akan menjadi sibuk memikirkan hal-hal yang baik, dan orang yang berkemampuan akan semakin sedar bahawa dirinya telah diberi nikmat yang begitu banyak berbanding orang fakir, miskin, dan anak yatim piatu yang sering menahan lapar dan dahaga. 

Sebahagian kaum salaf pernah ditanya, "Mengapa puasa itu disyariatkan oleh Allah?" Mereka menjawab, "Puasa disyari’atkan supaya orang yang kaya pun dapat merasakan pedihnya rasa lapar sehingga mereka tidak melupakan orang-orang yang kelaparan".

Jika di bulan puasa pun nafsu makan dan hikmah meraikan orang fakir miskin tidak mampu dihayati, bagaimanalah keadaannya di luar Ramadhan?

Kelima, ketika Ramadhan tidak dioptimumkan dengan infak dan sedekah. Di bulan Ramadhan, dianjurkan untuk lebih memperbanyak sedekah dan infak. Ramadhan sendiri disebut juga sebagai syahrul juud iaitu bulan kedermawanan. Rasulullah mengatakan bahawa, "Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan ramadhan". (Riwayat al-Tirmizi)

Jika di bulan Ramadhan pun payah nak bersedekah, bagaimanalah agaknya di luar Ramadhan?

Keenam, seseorang juga dianggap GAGAL Ramadhan jika lebih sibuk membekalkan keperluan lebaran berbanding memenuhi bekalan amal soleh khususnya di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sedangkan Nabi SAW dan para sahabatnya menjadi semakin aktif dan giat menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf di masjid, melipatgandakan ibadah, berzikir, memburu malam Lailatul Qadar, dan merasakan kesedihan luar biasa kerana sebentar lagi akan berpisah dengan bulan Ramadhan.

Ummul Mukminin, A’isyah r.a menceritakan tentang keadaan Rasulullah SAW ketika sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan: "Adalah Nabi SAW ketika memasuki sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan, maka beliau mengikat kainnya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya." (Riwayat al-Bukhari)

Jika tawaran sehebat malam Lailatul Qadar pun tidak dipedulikan, inikan pula ibadah-ibadah sedia ada yang wujud di luar dan di dalam Ramadhan, sudah tentu tidak pernah dipedulikan.

Ketujuh, ketika Idul Fitri menjelang, ia disambut seolah-olah hari kebebasan dari “penjara”. Ramadhan dianggap sebagai penjara dan penghalang untuk melakukan perkara-perkara yang menyimpang. Sehingga apabila keluar sahaja daripada Ramadhan, terasa seperti seorang 'banduan' yang menghirup udara kebebasan untuk melakukan apa saja yang diinginkannya. Keadaan ini berlaku kerana selama berpuasa, dia tidak mengikuti adab, tata cara dan jahil dengan hikmah dan tawaran hebat yang wujud dalam bulan itu.

Jika Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan pun tidak tahu dihargai malah dibenci, maka bagaimanakah keadaan imannya di bulan-bulan lain?

Kelapan, tiada tindakan susulan setelah keluar dari Ramadhan. Inilah tanda paling nyata akan kegagalan dalam ‘pertandingan’ Ramadhan. Seseorang itu langsung tidak meneruskan dan mempertahankan taqarrubnya dengan Allah. Seolah-oleh tuhan itu hanya ada di bulan Ramadhan, hilang Ramadhan maka hilanglah segala amal kebajikan, amal ibadah, perintah dan larangan, dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Jika ini berlaku, maka tiadalah beza baginya sama ada Ramadhan itu wujud atau tidak kerana keadaan dirinya akan tetap kembali kepada asal kebiasaannya.

Semoga penulis dan anda semua tidak tergolong kalangan mereka yang GAGAL pada Ramadhan kali ini, sebaliknya LULUS walaupun dengan tahap yang beza-beza. Apa yang penting, moga Syawwal benar-benar menjadi hari kemenangan buat kita semua. Banyakkan takbir dan tahmid kehadrat Allah dan jangan lupa ucapkan “TAQABBALALLAAHU MINNAA WA MINKUM” (SEMOGA ALLAH MENERIMA AMAL IBADAH RAMADHAN DARI SAYA DAN KAMU) setiap kali bertemu sesama saudara seislam kita di Idulfitri nanti.

Wallahu a’lam.

Sabtu, 20 Ogos 2011

Semoga Allah memberkati kita pada 10 yang terakhir!

Kita telah masuk pada penghujung bulan Ramadhan, bererti telah masuk pada sepertiga terakhir yang mengandungi sepuluh atau barangkali hanya sembilan hari saja. Maha Benar Allah SWT ketika menyebutkan bahawa Tetamu Agung Ramadhan hanyalah "Ayyaam ma'dudaat" (beberapa hari yang telah ditentukan).

Cepat dan ringkas, namun Ramadhan mengandungi kemuliaan dan keberkatan yang luar biasa.Kalangan ulama tafsir banyak yang menafsirkan ayat sumpah Allah SWT dalam surah al-Fajr bahawa "layalin asyr" (dan demi malam yang sepuluh) maksudnya adalah malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, walaupun banyak pula yang menafsirkan maksudnya adalah sepuluh malam bulan Zulhijjah, ada pula yang mengatakan sepuluh hari pertama bulan Muharram. Semua tafsiran boleh jadi benar, kerana masing-masing mempunyai dalil-dalil yang mendukungnnya.

Pada hari-hari terakhir ini Baginda Nabi SAW bersiaga penuh mengisi malam-malamnya, sehingga baginda mengasingkan diri dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam masjid, beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT, sebagai kesempatan akhir "mengambil berkat" bulan Ramadhan. Tak hairan seperti diriwayatkan oleh isteri beliau Sayyidah A'isyah bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadat pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan yang tidak dilakukannya pada bulan-bulan yang lain.

Pertanyaanya, mengapa demikian? Mengapa Nabi SAW menggalakkan umatnya untuk melipatgandakan ibadah dalam masa tersebut? Jawabnya ringkas, kerana pada malam-malam bulan Ramadhan tersebut, terutama pada malam-malam yang ganjil, terdapat malam Lailatul qadar, malam kemuliaan yang sangat istimewa yang semua orang berlumba memburunya, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan, sebagai bonus hadiah Tuhan bagi orang yang ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.

Lailatul qadar ibarat benda elok yang sangat indah namun bukan sentiasa ada. Tak hairan jika tak mudah meraihnya, kerana mahal harga belinya. Malam kemuliaan ini hanya boleh dibeli dengan pengorbanan jiwa raga, dengan amalan-amalan ibadah yang ditunjuk oleh agama, seperti melakukan qiyamullail, berpuasa sebaiknya, tilawah, dan tadarus al-Quran dengan tadabbur, berdoa, zikir, memperbanyak istighfar, muhasabah diri, perbanyak sedekah, serta amalan makruf yang lain untuk diri sendiri, keluarga, dan masyarakat pada umumnya.

Lailatul qadar dirahsiakan? Jelas sesuatu yang mahal dan luar biasa tentu dirahsiakan dan tidak dimaklumkan, hikmahnya agar umat semangat berlumba memburunya, dan agar ibadat tidak hanya dilakukan pada waktu tertentu sahaja, tetapi pengabdian haruslah kekal terus dilakukan selagi hayat masih di kandung badan. Merugilah kita yang luput dari peningkatan ibadah pada hari -hari sepuluh terakhir ini.

Kebahagiaan yang beriman sebenarnya bukan hanya kerana akan mendapat bonus pahala Lailatul qadar dan sejenisnya, namun kebahagiaan yang beriman itu adalah saat dirinya mengabdi, mohon ampun, berserah dan tunduk kepada pencipta-Nya, kerana itulah nikmat besar yang tiada taranya!

Wallahu 'alam

Jumaat, 19 Ogos 2011

Pendirian Liqa' Asatizah berkenaan pembedahan batin


Selepas meneliti unsur-unsur yang terdapat dalam pembedahan batin yang diamalkan sesetengah perawat seperti membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, pengubatan jarak jauh dan seumpamanya, dapat disimpulkan seperti berikut :

1) Pembedahan batin adalah suatu hakikat yang kabur kerana tidak boleh dibuktikan dengan naql, aql dan sains. 

2) Pembedahan batin tidak mempunyai sandaran hukum daripada Kitab dan Sunnah Nabi SAW mahupun amalan salafussoleh. 

3) Hujah mengaitkan pembedahan batin dgn pembelahan dada Nabi SAW sebelum diangkat menjadi nabi dan Isra' adalah batil kerana perkara tersebut adalah irhas/mu'jizat yg tidak boleh dikiaskan kepada bukan nabi.

4) Pembedahan batin telah diamalkan dalam agama lain dengan begitu berleluasa seperti Kristian atas nama spiritual healing, psychic surgery @ operation, jirahah gharbiyyah atau jirahah ruhaniyyah. Ini menunjukkan, Islam, iman dan taqwa bukanlah syarat utama pembedahan batin boleh dilakukan seperti dakwaan sesetengah pihak.

5) Tokoh-tokoh awal perubatan alopati Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam (bukan sahaja al-tibb al-nabawi) sekaligus menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat.

6) Pembedahan batin diyakini menggunakan khidmat jin @ qarin yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik berdasarkan nas-nas al-Qur'an dalam surah al-Jin ayat 6 dan surah al-Zukhruf ayat 36.

7) Pembedahan batin termasuk perkara mencarik adat yang mampu dipelajari dan boleh dilakukan secara berterusan, ini menunjukkan ia bukan karamah atau ma'unah sebaliknya lebih dekat kepada unsur-unsur sihir dan sya'wazah.

8) Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin dan kembali kepada al-tibb al-nabawi spt menggunakan ayat-ayat syifa', doa ma'thur dll atau kembali kepada perubatan alopati (moden) yang tidak bercanggah dengan hukum syara'.

21 Julai 2011

Ahli liqa':

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi/ Moderator)
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, (Tidak Hadir)
Ustaz Ramadhan Fitri Elias, (Tidak hadir)
Ustaz Dr. Maszlee Malik,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman

Disahkan dalam liqa' pada 18 Ramadhan 1432

Sabtu, 13 Ogos 2011

Semoga Melayu tak ditipu Kristian Evangelis!

Sedih bila tengok pelbagai komen daripada orang Melayu-Islam tentang isu yang berlaku di Dream Centre DUMC baru-baru ini. Ada yang beri komen tanpa mengetahui hujung pangkal. Ada juga yang komen JAIS lebih untuk jaga 'kepentingan peribadi' kerana 'kes' tertentu. Kadang-kadang bila kita nak menunjukkan kita ini terlalu  toleransi atau kononnya Islam itu agama yang teraaamat 'demokrasi', maka lagak kita lebih dari 'orang putih' yang mengasaskan demokrasi di Barat itu.

Akibatnya adalah amat memalukan apabila ada Melayu-Islam yang menjadi pembela membuta tuli PUSAT PENYEBARAN KRISTIAN di Petaling Jaya yang berselindung di sebalik nama pusat komuniti 'Dream Centre' dan pertubuhan kebajikan 'Harapan Komuniti'. Bagi penulis apabila membaca misi DUMC yang menyebut "TO EVANGELISE THE KLANG VALLEY...", itu sudah cukup menjadi bukti bahawa ini adalah kumpulan Kristian Evanglis yang memang terkenal di seluruh dunia dengan aktiviti-aktiviti penginjilan dan missionary terhadap penganut agama lain. Sama seperti kumpulan evangelist yang lain, matlamat utama mereka adalah untuk menyampaikan ajaran bible kepada seluruh umat manusia. 

Apa yang perlu diketahui, kumpulan evangelist bukanlah sebodoh itu untuk menunjukkan aktiviti penginjilan mereka terhadap agama lain, lebih-lebih lagi penganut Islam! Itu sebab kebanyakan kumpulan evangelist tidak akan meminta mana-mana penganut agama yang berjaya di'baptis'kan atau di'convert'kan semudah itu untuk menukar personaliti atau identiti diri mereka. Bermakna; nama, pakaian, budaya dan cara beragama luaran akan terus nampak kelihatan Islam. Jangan terkejut, mungkin mereka yang sedang sama-sama berpuasa dan bersolat hari raya dengan kita itu sebenarnya bukan muslim lagi, tetapi mereka itu sebenarnya adalah kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Melayu Muslim"! Bahkan memang pun di peringkat dunia sudah wujud konferensi bagi kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Muslim", siap dengan pastor di kalangan mereka sendiri!

Inilah yang telah berjaya dilakukan oleh kumpulan evangelist Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak (yang kini telah tersebar ke seluruh semenanjung). Ketika penulis melakukan kajian di Lawas dan Limbang, dapat dilihat dengan jelas bagaimana penduduk pribumi di sana telah berjaya diubah kepercayaannya tanpa sedikitpun menyentuh budaya mereka. Lihat sahaja nama-nama yang digunakan, masih kekal kelihatan Melayu-Islam-nya (Idris Jala sebagai contoh), pakaian wanitanya seperti berbaju kurung ke gereja dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di gereja termasuk menggunakan kalimah Allah. Apa yang dilakukan oleh gol. evangelist hanyalah mengubah konsep Allah dari ESA kepada Allah sebagai God The Father dan Jesus sebagai anak-Nya. 

Harapan penulis, janganlah ahli-ahli politik dan tokoh tertentu dari kalangan Melayu-Islam terlalu jahil tentang misi dan visi golongan evangelist ini. Al-Qur'an sendiri telah memberi peringatan dan amaran dalam surah al-Baqarah ayat 120 bahawa Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda terhadap Islam hinggalah kita menjadi pengikut agama mereka. Pertahankanlah maruah Islam lebih daripada kita mempertahankan maruah diri dan parti. Janganlah kerana "politik ambil hati orang kafir" yang melampau, parti kita menang tapi akidahnya tergadai...

Wallahu a'lam.

Selasa, 2 Ogos 2011

Isu murahan di bulan Ramadhan

Sempena Ramadhan ini, semoga ia menjadi bulan yang benar-benar  memberikan kita lebih kekuatan beribadah di samping mampu menjaga lidah @ tangan kita daripada melakukan sesuatu yang menyakitkan saudara muslim kita yang lain seperti tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan lain-lain.

Semalam, penulis diberitahu seorang pegawai Jakim di ILIM Bangi telah menulis di laman blognya, cuba membuat assumption untuk mengujudkan persepsi bahawa penulis terlibat dalam komplot untuk membocorkan maklumat sulit dalam Taklimat Keselamatan Isu Wahabi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PDRM. Jawapan penulis mudah sahaja "Subhaanaka haaza buhtaanun 'azim…", Wallahi, ini adalah satu pembohongan yang besar!". 

Dalam ramai-ramai ahli yang hadir penulis dijadikan sasaran? Dipertikaikan pula hadir atas tiket peribadi atau Jakim?  Cukuplah bagi Allah SWT penulis serahkan tuduhan-tuduhan murahan seperti ini. Cuma hairan, apa kena mengena pegawai tersebut dengan isu ini? Apa kaitan dia secara rasminya tentang isu ini? Apa perlunya MKN atau PDRM mendedahkan siapa yg datang mesyuarat dll kepada pegawai ILIM ini? Sehinggakan maklumat penulis 'bergegas pulang' untuk menjemput anak di sekolah pun dimanipulasi kononnya bla bla bla. Subhanallah! Apa ni?

Bagi penulis, sebagai seorang pegawai kerajaan yang telah banyak kali terlibat dengan mesyuarat-mesyuarat kerajaan bersifat sulit dan rahsia, isu ini adalah masalah dalaman MKN, kebocoran maklumat yang berlaku perlu dilaporkan kepada polis dan MKN perlu buat siasatan dalaman. Pelik, kenapa isu ini diceritakan kepada orang yang tiada kena mengena? Sepatutnya hanya pegawai-pegawai agensi berkenaan sahaja yang bercakap, bukan orang yang tiada kena mengena.

Ringkasnya, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, tidak mahu melayan isu-isu murahan ini, penulis tegaskan Wallahi,Wabillahi,Watallahi, penulis tidak pernah membocorkan apa-apa maklumat sulit berkenaan taklimat berkenaan kepada mana-mana pihak atau pun berkomplot dengan sesiapapun untuk tujuan tersebut.

*Teringat, dulu penulis juga pernah dituduh menyebarkan blog esqsesat, alhamdulillah laporan polis telah dibuat dan selesai. So, dipersilakan kepada pegawai ILIM tersebut, MKN dan Bahagian Counter Terrorism PDRM untuk membuat laporan polis berkenaan isu ini dan tak perlu dijaja dalam blog atau ceramah dsb.

WALLAHUL MUSTA'AANU 'ALA MA TASIFUUN…

Mohd Aizam bin Mas'od
Cawangan Aqidah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan
Jakim, Putrajaya