Khamis, 28 Oktober 2010

PERIHAL ISLAMIC FASHION FESTIVAL, HAB HIBURAN ETP, PASANG ANCAK & MENEPUNG TAWAR

Pengamatan penulis, ketiga-tiga isu tersebut berpunca daripada sikap pemerintah yang kurang merujuk atau kurang memanfaatkan sepenuhnya institusi agama, ahli agama, alim ulama atau yang seumpama dengannya dalam pemerintahan mereka. Jika sesuatu isu itu dirujuk terlebih dahulu kepada pihak yang sepatutnya, insya-Allah isu-isu seperti ini tidak timbul sama sekali. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab kepada golongan agama tanpa mengira saluran apa sekalipun selagimana ianya tidak menyalahi hukum agama atau peraturan duniawi untuk menegur pemerintah tersebut. Jika anda golongan agama dalam kerajaan, gunakan saluran sedia ada seperti melalui mesyuarat, mendraf polisi dan lain-lain. Jika anda seorang ahli politik, gunakan sidang DUN atau Parlimen. Jika anda ustaz biasa, gunakan kuliah di surau atau masjid bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada masyarakat supaya masyarakat dapat membezakan antara haq dan batil yang telah dilakukan pemerintah.

Berkenaan isu Islamic Fashion Festival yang diperagakan oleh wanita. Bagi penulis, isu ini tidak jauh berbeza dengan isu pertandingan ratu cantik yang telah diharamkan oleh beberapa negeri di Malaysia seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah. Alasan pengharaman adalah kerana ia merendah-rendahkan martabat kaum wanita yang mempunyai fikiran dan roh serta tidak seharusnya dianggap bahawa wanita-wanita ratu cantik ini hanya ada nafsu syahwat semata-mata. Bagi penulis, soal eksploitasi wanita dalam peragaan fesyen perlu diteliti sedalam-dalamnya. Unsur-unsur eksploitasi sangat jelas. Bukankah hanya wanita-wanita yang cantik bentuk tubuh dan wajahnya sahaja akan dipilih untuk memperagakan fesyen tersebut? Tidakkah kitab-kitab fiqh telah menjelaskan bagaimana kedudukan wanita di hadapan bukan mahram lebih-lebih lagi seorang wanita cantik yang sengaja memperagakan dirinya bagi menarik perhatian khalayak? Berbalik kepada isu Islamic Fashion Festival 2010 yang melibatkan pemimpin negara kita, ia jauh lebih mengundang fitnah kerana melibatkan penghinaan terhadap Islam dalam fesyen yang ditonjolkan.

Berkaitan isu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan pula, bila penulis membaca program yang dicadangkan itu, jelas kepada penulis, ia seperti sabda Rasulullah SAW: “Orang Islam makan dengan satu perut manakala orang kafir makan dengan tujuh perut”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut sesetengah pensyarah hadith, hadith ini adalah satu perumpamaan bahawa orang mukmin tidak makan melainkan daripada sumber yang halal di samping menjauhi yang syubhat dan haram. Tetapi orang kafir mereka makan tanpa mengira apa yang dimakan? Dari mana sumbernya? Bagaimana menghabiskannya? Bagi penulis jika benar negara ini menobatkan Islam sebagai sumber inspirasi pemerintahannya, tetapkan bahawa hendaklah sumber ekonomi utamanya (NKRA) adalah berasaskan perkara yang halal, bukan yang haram dan syubhat. Yakinlah dengan konsep “baldatun thayyibah wa rabbun ghafuur”.

Adapun berkenaan isu ‘main’ ancak dan ‘bertepung tawar’ seperti yang dibuat oleh seorang Menteri Besar baru-baru ini, bagi penulis itu adalah berpunca daripada kejahilan dan tidak merujuk kepada alim ulama’ yang dilantik. Bukankah perkara ini telah masyhur tentang kekhurafatannya dan ketidakrasionalannya. Cukuplah penulis bentangkan petikan Garis Panduan JAKIM tentang khurafat dan azimat berkaitan isu ini (sila lihat Garis Panduan penuh dalam kolum sebelah kanan blog ini).

"Di antara bentuk-bentuk khurafat ialah:

Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepong tawar adat pantai dan sebagainya.

Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut dan bermain pantai".

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada pemerintah negara ini untuk mendengar teguran ulama’, mengakui dan memperbetulkan kesilapan mereka. Walhaqqu ahaqqu an yuttaba’. Wallahu a’lam.


Isnin, 4 Oktober 2010

FUNGSI BAITUL MAL DAN TANGGUNGJAWAB KERAJAAN

Kadang-kadang penulis rasa muak apabila melihat senario politik semasa di negara kita. Lebih memualkan apabila isu-isu berkaitan agama yang sepatutnya ditangani melalui kefahaman fiqh turut dipolitikkan oleh pihak tertentu. Sebenarnya, isu sebegini apabila dipolitikkan sedikit sebanyak akan mencemarkan imej Islam malah akan mencerminkan sikap bangsa Melayu-Islam di negara ini yang “berpolitik kepartian tanpa batas atau melampaui batas”. Sesuatu yang sepatutnya tidak menjadi isu, dijadikan isu. Yang baik diburukkan dan yang buruk dibaikkan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui bila semua ini akan berakhir.

Terbaru, isu berkenaan pemberian wang ihsan kepada warga emas di Pulau Pinang. Bagi penulis isu ini amat mudah dan langsung tiada kekeliruan. Jika pun benar ia adalah hasil kerajaan yang diperolehi daripada sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang dan dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan “Program Membiayai Kemiskinan Tegar”, bagi penulis itu langsung tiada salahnya.

Bukankah perbendaharaan kerajaan adalah setaraf dengan Baitul Mal yang menerima apa jua wang tanpa mengira sama ada ia halal mahupun haram. Ia juga sebagaimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 ketika membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Persoalannya, jika pada hari ini wang-wang haram ini tidak diserahkan kepada Baitul Mal atau perbendaharaan negara, ke mana ia akan digunakan? Kita mahu pihak yang mempertikaikan ini bincang dari sudut fiqhnya. Apakah mereka mempunyai jawapan lain selain daripada apa yang telah difatwakan ini?

Bagi penulis apa yang sepatutnya dibincangkan adalah, jangan sekali-kali kerajaan itu sendiri yang terlibat dalam menjana wang atau pendapatan haram untuk rakyatnya. Bermakna sebagai sebuah kerajaan Islam, jangan sekali-kali pemerintah terlibat dalam membuat dasar yang menghalalkan penjanaan wang haram. Dalam hal judi, tidak salah untuk perbendaharaan negara atau Baitul Mal menerima wang hasil daripada perjudian yang bukan ditaja oleh pemerintah sendiri, begitu juga wang bunga atau faedah bank, wang rompakan dan lain-lain yang diserahkan kepada perbendaharaan negara atau Baitul Mal. Tetapi yang salah apabila kerajaan itu sendiri yang bersekongkol memberi lesen judi, menghalalkan perbankan riba konvensional dll lalu memakan hasilnya melalui cukai yang dipungut.

Sebagai contoh, di Malaysia sendiri perjudian mula diberi lesen sejak 1971. Kini wujud lebih daripada 1200 premis judi di seluruh negara. Hanya Kelantan sahaja yang tidak mempunyai premis judi. Aliran wang rakyat kepada judi kini lebih daripada 1.4 bilion setahun. Dalam seminggu di sesebuah daerah wang judi yang mengalir adalah RM1.2 juta – RM 3.6 juta. Pada 1988 cukai judi adalah sebanyak RM 1.071 bilion : RM 499.8 juta dari Magnum Corporation Bhd. Menurut kajian, rakyat berbelanja RM 1 bilion melalui judi berlesen dan RM 5 bilion tanpa lesen.

Kini industri judi tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Yang mengaut keuntungan adalah syarikat judi. Kerajaan langsung tidak memberi amaran sedikit pun akibat daripada gejala berjudi. Semacam ada konspirasi antara syarikat judi dengan pihak berkuasa yang memberi keuntungan kepada kedua pihak. Antara syarikat judi terunggul di Malaysia ialah 1. Genting Berhad (Kasino) 2. Resort World Berhad (Pusat Hiburan dan Perjudian) 3. Magnum Corporation (Nombor 4 Ekor Loteri) 4. Metroplex Berhad (Subic Bay Casino) 5. Leisure Management Berhad (4 Nombor Ekor dan Lumba Kuda) 6. Berjaya Sport Toto (4 Nombor Ekor dan Ramalan Nombor)7. Tanjong Public United Company (Lumba Kuda).

Keuntungan syarikat judi juga jauh lebih besar berbanding Telekom, TNB, serta Maybank. Keuntungan berjudi tidak merosot walaupun dalam keadaan krisis seperti 1997. Syarikat judi tetap mengaut keuntungan RM 771 juta. Manakala kerajaan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam saham judi sama ada melalui Menteri Kewangan, Amanah Raya Berhad, EPF, Bank Negara dan PNB. Malah lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa orang Melayu-Islam yang terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di dalam syarikat-syarikat perjudian tersebut.

Oleh itu dua perkara perlu dibezakan iaitu:-

Pertama, fungsi Baitul Mal atau perbendaharaan kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan kewangan negara termasuk wang-wang haram yang diserahkan oleh pembuatnya lalu disalurkan kepada yang berhak atau maslahah umum. Ini seperti yang diputuskan oleh ramai fuqaha’ termasuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Hanya orang-orang jahil yang akan mempertikaikan fungsi Baitul Mal atau perbendaharaan negara ini.

Kedua, tanggungjawab kerajaan untuk menjana hasil pendapatan yang halal bagi rakyatnya dan tidak terlibat dalam dasar-dasar yang menjana wang haram seperti meluluskan lesen judi, menghalalkan perbankan riba, membuka kilang-kilang arak dan pelbagai lagi bentuk perdagangan, perniagaan atau pelaburan yang non-syariah compliance. Inilah sepatutnya yang dinilai oleh rakyat dan menjadi tanggungjawab orang-orang politik yang berjawatan sebagai menteri, ahli parlimen, adun dan seumpamanya menegur pihak pemerintah sekiranya dasar kerajaan tersasar sehingga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Nota: Baitul Mal pada zaman Rasulullah SAW dan era khilafah adalah perbendaharaan negara atau kementerian kewangan pada zaman ini.