Jumaat, 4 Disember 2009

HUKUM DOA LAKNAT KE ATAS ORANG MUSLIM YANG FASIQ @ AHLI MAKSIAT

Penulis bukan bermaksud untuk respon kepada isu yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, tetapi apabila isu tersebut berlaku, ramai yang bertanya tentang hukum melaknat orang Islam yang fasiq, zalim, ahli maksiat dan yang sewaktu dengannya.




Pertama sekali kita perlu memahami makna laknat, menurut Imam al-Qurtubi, laknat bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT dan ganjarannya malah membawanya ke neraka. (Lihat: al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Sahih Muslim, j.6, hal. 579) Menurut Ibn ‘Abidin yang menukilkan daripada al-Quhustani, dari segi syara’ jika laknat itu ditujukan kepada orang kafir ia bermakna jauh daripada rahmat Allah SWT tetapi jika ditujukan kepada orang Islam ia bermaksud menggugurkannya daripada darjat orang-orang yang baik. (Hasyiyah Ibn ‘Abidin, j.3, hal. 416)



Berbalik kepada persoalan laknat terhadap orang Islam yang fasiq dan ahli maksiat, jika ia bersifat umum tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama berdasarkan hadith-hadith yang banyak bagaimana Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah, pencuri, peminum arak, pemakan riba, penyambung rambut dengan rambut palsu dll. Hadith-hadith ini tentulah tidak ditujukan kepada orang kafir kerana mereka bukanlah mukallaf yang dipertanggungjawabkan dengan hukum-hukum taklif yang lima (wajib, haram, sunat dll)



Apa yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama ialah, adakah harus mendoakan laknat secara khusus kepada orang Islam fasiq @ ahli maksiat tertentu? Di sini penulis lebih cenderung kepada apa yang disebut oleh pengarang Hasyiyah kepada Nihayatul Muhtaj, katanya, “Adapun melaknat orang kafir atau orang Islam yang fasiq secara khusus, jika dilihat kepada zahir hadith ianya harus, namun al-Ghazali merujuknya sebagai haram, kecuali seseorang yang diketahui bahawa dia akan mati dalam kekufuran…). Kesimpulannya tiada sesiapa dapat menentukan seseorang yang ahli maksiat itu akan meninggal dunia dalam keadaan kemaksiatannya atau nanti akan diberi hidayah dan meninggal dalam keadaan bertaubat kepada Allah SWT.



Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pandangan yang tidak membenarkan doa laknat secara khusus kepada mana-mana orang Islam yang fasiq @ ahli maksiat. Apatah lagi sekiranya kefasiqannya itu tersembunyai dan tidak dapat disahkan dengan bukti yang benar dan nyata. Rasulullah SAW sendiri menyebut dalam hadithnya, diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a, ia berkata, "Rasulullah SAW pernah bersabda, 'Bukanlah seorang mukmin, yang suka mencela, suka melaknat, keji, lagi suka berkata kotor'," (Sahih, riwayat at-Tirmizi). Wallahu a’lam.